Apabila Islam Adalah Minoriti

Islam di pinggiran Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka. Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan. Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims. Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian. Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku. Diskriminasi dan penindasan Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika. Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul? Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana. Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011. Hipokrisi? Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka. Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti. Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka? Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka? Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti. Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang. Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas. Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” unnamed

]]>