Cinta: Menjangkaui Hari Valentine

Oleh Muhammad Al-Mahdi “Apa erti Valentine’s Day pada saudara Muhammad Al-Mahdi?” Soalan ini ditembak kearah saya sejurus setelah bunga api diledak keudara Istanbul. Istanbul, kota dua benua, tempat terbenamnya mentari dicelah tujuh gunung ini semestinya adalah tempat pilihan untuk berasmara. Berpeleseran disana-sini pasangan yang sudah berkahwin mahupun belum. Soalan ini membuatkan saya berseloroh “Pada saya yang single ini, hari Valentine adalah seperti hari-hari biasa.” Segera beliau menjawab “So tak ada value la kita mengagungkan hari tu kan?” “Hebat kan serangan ke atas ummah sekarang?” tambahnya lagi. Saya terpinga: Bilakah kita mengagungkan hari ini? Lewat malam pun saya menulis. Valentine seperti yang kita sering tahu dan saya sendiri keliru dengan penceritaannya adalah hari menyambut kekasih dan terkadang juga diriwayatkan hari ulangtahun Muslim dibakar, Muslim dibunuh di Andalusia atau apa sahaja yang anda dengar dan anda ingin percaya. Umumnya ia adalah hari menghargai kekasih. Namun kenapakah kekasih harus dihargai? Saya pernah berdiri semasa guru masuk kekelas semasa di pasentren, maka guru itupun bertanya “Mengapa kalian berdiri? Menghormati saya atau ilmu?” Beliau memahamkan tentu sahaja seorang kiyai tanpa ilmu adalah kosong dan tidak ada erti. Begitu juga kekasih yang kita hargai adalah cintanya yang disalurkan kepada kita dan bukanlah sosoknya. Cinta? Tradisi seluruh agama-agama utama dunia menyatakan perihal cinta. Persoalannya samada sejauh mana kuantiti dalam literal teks suci atau sejauh mana kualiti kita memahaminya. Sungguhpun agama Yahudi lebih menekankan halakhah (syariah) ia tetap mempunyai konsep cinta didalam dimensi Kabbalahnya. Kristian pula sangat jelas memberi penekanan terhadap cinta terutamanya terhadap konsep Agape yang melambangkan cinta yang tidak terhingga, yang tidak boleh diluahkan oleh naluri dan nafsu badan. Islam juga tidak ketinggalan menyebutkan perihal cinta. Samada ia bernama Al-Asq, al-Hubb, Rahmah, Mawaddah, Sakinah atau mana-mana sahaja namanya yang membawa erti berbeza. Raikan cinta Maka apakah salah kita meraikannya? Kalaulah cinta itu satu anugerah dan anugerah itu sesuatu yang berharga apakah salah kita menghargainya dan mereka yang menjadi wasilah kepada Cinta itu. Rumi sering mengatakan “Allah adalah cinta” kerana penuh cinta Dia mencampakkanya kedalam nurani manusia. Dan anugerah itulah yang sedang kita nikmati sehingga si ibu mengasihi anaknya dan kita semua terasa aman dalam cinta. Riyadus-salihin Nabi menjelaskan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang  99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) al-Bukhary dalam Shahih-nya; Riqaq, 19.2. Muslim dalam Shahih-nya; bab Tawbah, 18-21.) Cinta dan tamadun Saya membelek karya “ulama-ulama” yunani yang telah terdahulu memberi huraian tentang cinta sebelum ulama Muslim muncul menghuraikan dari sumber Muslim: Jenis-jenis cinta: 1 – Eros menurut Plato adalah cinta erotik (cinta berahi), tarikan seksual  berikutan terpanah dengan kecantikan dan membawa kepada perlakuan secara fizikal . Walaupun sebenarnya kecantikan bisa lebur (baca: tak bermakna) dalam jenis-jenis rasa cinta yang seterusnya. 2 – Philia pula adalah kesenangan dan cinta yang melahirkan kesetiaan. Bukan sahaja pada kekasih tetapi kepada keluarga, polisi, displin, ilmu atau apapun. Philia memotivasi manusia menurut Aristotle, sehingga seseorang melakukan dengan penuh ghairah tanpa diminta atau diarahkan demi kepuasan diri atau selainnya. Philia melahirkan ketenangan dan kebahagiaan hasil dari kepuasan dan kesempurnaan melaksanakankan cinta ini. Terakhir, seperti yang saya katakana tadi, ialah Agape yang merujuk kepada cinta akan Tuhan dan cinta Tuhan kepada hamba-Nya dan sejenis kasih kepada seluruh persaudaraan dan alam. Begitulah perkataan Ahev dalam bahasa Ibrani membawa lebih luas maknanya berbanding Agape perkataan Yunani. Dalam tradisi mencintai Tuhan Judaic-Christian:  “kamu harus mencintai Tuhan dengan sepenuh hatimu , dan sepenuh jiwa, dan segenap kemampuanmu” (Deuteronomy 6:5) dan juga “mencintai jiran sepertu mereka sendiri” (Leviticus 19:18). llmuan moden Kant mula meluaskan konsep ini dengan rasa penghormatan kepada seluruh manusia tanpa berat sebelah. Dalam Islam al-hubb membawa erti kecintaan yang menarik dan mengagumi. Imam Qushairy contohnya enggan mentakrifkannya dengan berkata ia “tak tergambarkan”, Ibn Arabi juga ‘gagal’ mengungkapkannya melainkan hanya dapat membezakan ciri-ciri pecinta secara zahir. Ashq, pula ditakrifkan sebuah cinta yang mendorong kepala perjalanan kepada al-mahbub. Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan Ashq itu membuatkan seorang sehingga menangis, atau boleh saya katakan ia adalah rindu yang berjauhan sehingga mengerakkan untuk pergi kepada objek yang dicintai. Maulana Ar-Rumi banyak membahaskan perihal ini. Mawaddah: diterjemahkan sebagai layanan mesra. Allah menyebutkannya dalam perihal rumah tangga (Rum: 21) dan pergaulan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW (Syura: 23). Mawaddah adalah cinta yang digambarkan dengan lemah-lembut , hormat dan rapat fizikal mahupun keterikatan hati. Rahmah pula adalah dari makna belas, mengasihani. Keluasan cinta Nah begitu besarnya Cinta kalaulah kita mengerti. Ia luas dan tidak semestinya menjurus kearah tarikan seksual walaupun saya tidak menafikan bahawa ia membawa kearah hubungan seks. Tetapi cinta itu sendiri sangat luas dan bernilai dan perlu dihargai. Dari perspektif manapun jika dipandang samada dari kacamata tradisi agama mahupun fitrah cinta tidak ternafi, jadi mengapa kita menafikan pengiktirafan terhadapnya dan manifestasi cinta itu sendiri? Kerana cinta itu luas dan bukan harus dicekang kemarakkannya. Ia harus dibawa untuk meletuskannya dan merasionalkannya bukan meletakkannya di pertimbangan emosi semata dengan meninggalkan sisi intelek yang telah kita warisi dari ilmuan barat dan timur. Kegagalan merasionalkan cinta adalah membuatkan cinta terhayun dengan perasaan dan tindak-balas di luar moral dan pertimbangan kesan masa panjang. unnamed

]]>