Filem "?" [Tanda Tanya]: Apa Yang Sebenarnya Harus Kita Persoalkan?

Film Tak dapat disangkal dunia kita di sini sedang dalam proses kematangan yang diselitkan dengan pelbagai cabaran yang meresahkan. Cabaran seperti apa? Pertama, cabaran untuk kita sentiasa memikirkan jalan penyelesaian untuk konflik di antara kelompok-kelompok tempatan yang berlainan agama, etnik dan juga budaya. Kedua, cabaran untuk menyelarikan sudut pandang yang subjektif agar perselisihan boleh diselesaikan dengan matang dan rasional, tanpa tercetusnya konflik yang membahayakan semua pihak. Dan di sini telah pun kita lihat, wujudnya beberapa individu yang mula melakukan inisiatif untuk mengangkat persoalan-persoalan tersebut agar dapat disajikan kepada orang awam. Mereka yang gusar tentang masalah yang wujud mulai menggunakan medium popular sebagai agen penjanaan isu sensitif. Barangkali melalui pendekatan estetik, ia mampu melunturkan rasa keresahan dan menyalurkan rasa gembira, sayu dan juga lega. Tanda Tanya Tanda Tanya Pada 7hb April 2011 karya filem yang bertajuk “?” (juga dikenali sebagai Tanda Tanya) dari Indonesia mengangkat persoalan konflik di antara agama, etnik dan juga budaya. Indonesia merupakan negara yang ditubuhkan di atas landasan perbezaan agama, budaya, etnik dan keturunan. Bayangkan saja, negara yang ditubuhkan atas nama perbezaan masih lagi berusaha untuk menghasilkan filem dengan niat untuk mempersoalkan dan mengukuhkan lagi inti toleransi dan pemahaman sesama sendiri. Cerita ini bermula dengan insiden dimana seorang pastor ditikam sewaktu sedang menjemput para penganut Kristian untuk masuk ke Gereja. Bermula dari babak itu kita disajikan dengan keadaan konflik di mana pengganas di daerah itu aktif membuat provokasi dan menyemarakkan keresahan yang sudah lama terpendam di antara penduduk tempatan. Konflik tidak berakhir di antara agama sahaja, tetapi juga berlaku antara etnik iaitu diskriminasi terhadap etnik Tionghua Indonesia yang telah mempunyai sejarah kekerasan lama di kawasan tersebut. Pergolakan Emosi dan Subjektiviti Pemikiran Individu Sepanjang naratif filem itu, kita disajikan dengan pergolakan emosi seorang lelaki Muslim yang ingin mencari kekuatan diri, seorang wanita Muslim yang telah menukar agama dan juga seorang lelaki Tionghua yang sinis terhadap kewujudan agama kerana meletakkan batas kepada cintanya. Sebagai contoh, kehadiran Rika yang memilih jalan hidupnya untuk murtad sebagai reaksi kepada suaminya yang ingin berpoligami. Terdapat dialog dimana Rika menjawab dengan penuh emosi kepada temannya, Surya. “Aku cerai dari Mas Panji bukan karena mengkhianati kesucian pernikahan dan aku pindah agama bukan karena mengkhianati Tuhan!”. Nadanya menandakan pergelutan keberadaan dirinya yang telah dibentuk oleh tekanan masyarakat dan pandangan serong yang dialaminya pasti membuatkan hatinya tertekan. Karakter Soleh, seorang Muslim yang bergelut dengan egonya sebagai lelaki yang seharusnya menjaga keluarganya pula melakukan kesilapan apabila menyerang restoran makanan Cina yang dimiliki oleh Tan Kat Sun. Sewaktu beliau sedar kesilapannya, beliau melenting dan melepaskan rasa pendamnya sebagai ego lelaki yang tidak mampu berbuat apa, “Aku pengen punya arti dimata kamu, anakku, keluargaku, agamaku! Itu aja, Nuk!”. Menarik diperhatikan bahawa setiap karakter yang terhasil menampakkan pergolakan dalaman yang berteraskan sudut pandang setiap individu yang kompleks. Namun secara luarannya, filem ini jelas menunjukkan beberapa aspek objektiviti yang boleh kita lihat melalui dialog ataupun ritual-ritual yang telah ditetapkan. Pergolakan emosi mencetuskan persoalan tentang kepentingan subjektiviti kita semua. Adakah sudut pandang kita harus terus ditenggelami dengan daya luaran yang memaksa kita mendiamkan diri? Adakah realiti kehidupan di dunia ini memaksa kerangka pemikiran kita untuk turut mengikuti kuasa luar yang menjangkaui garapan rasional kita? Kekacauan dan batas individu inilah yang memberi erti lebih kepada kita sebagai seorang manusia, sebagai kekuatan bagi setiap manusia untuk memberi makna kepada dirinya sendiri dan cekal meneruskan kehidupan seadanya. Interfaith Kesederhanaan Pemikiran – Jalan Penyelesaian Selain itu, filem ini memberi keseimbangan diantara sikap prejudis dan sikap yang memahami sesuatu keadaan secara menyeluruh. Jelasnya pergelutan yang berlaku secara melampau dibalas dengan jalan penyelesaian yang sederhana. Ini ditunjukkan melalui babak dimana sikap prejudis seorang Muslim terhadap restoran milik orang Cina yang diraguinya. Wanita Muslim itu mempersoalkan kebersihan restoran dengan nada kurang ajar, tanpa diketahuinya bahawa kuali, senduk, dan pisau-pisau diasingkan untuk kegunaan daging babi dan daging yang lain. Lalu pemilik restoran iaitu Tan Kat Sun hanya berdiam diri, tidak langsung mengeluh dan meneruskan pekerjaan memasaknya tanpa punya rasa dendam. Beliau membawa watak yang menghormati perbezaan pendapat, hanya dengan harapan agar wujudnya peluang bagi semua umat manusia untuk memahami kepelbagaian kehidupan kita sendiri. Manakala adegan para penganut Katolik menolak keras teater Kisah Pensaliban Isa yang dilakonkan oleh orang Muslim pula diselesaikan dengan hujah rasional oleh seorang pastor yang dengan tenang menyatakan, “Kenapa mesti mempersoalkan hal yang kecil dan mengorbankan hal yang besar?”, dan beliau meneruskan lagi, “Sejarah telah membuktikan, kehancuran iman dan agama kerana kebodohan”. Dapat kita lihat bahawa setiap konflik yang berlaku dalam filem itu disebabkan sensitiviti yang tidak terkawal, dibelenggu oleh kejahilan dan sifat reaksioner yang dicetuskan oleh keadaan psikologikal yang tidak dianalisa secara telus. Ditambah lagi dengan kegerunan keadaan yang disebabkan oleh kekacauan pengganas yang berleluasa pada waktu itu. Inilah keganasan yang seharusnya dibendung, kerana apabila kejahilan mengawal tindak tanduk sesuatu kelompok, jarang benar ia diakhiri dengan kenduri makan yang disertai dengan senyuman dan keriangan. Alienation Tema Kemajmukan Sebagai Persoalan Keseluruhan Melalui apa yang saya perhatikan di laman media sosial, perayaan kemajmukan itu tidak pernah tembus masuk ke dalam pemikiran kita sebetulnya. Dari penggunaan bahasa, ejekan-ejekan yang digunakan antara golongan etnik sendiri amat jelas menjadikan kaum lain sebagai “Yang Lain”. Wujudnya pengenal pastian yang membezakan aku dan mereka, dan ia diperkukuhkan lagi dengan pelbagai stereotaip yang menjengkelkan. Malah lebih parah lagi, ia berlangsung secara terbuka dan dalam keadaan sedar dan sihat. Inilah bahana gerombolan yang terlalu selesa dengan golongan masing-masing, berbual sesama sendiri tanpa sedar akan wujudnya budaya lain di sekeliling kita. Bahana gerombolan seperti ini jelas terlihat apabila Soleh, selaku lelaki ego mengetuai rusuhan untuk menghancurkan restoran kerana tidak berpuas hati dengan peraturan barunya. Anak pemilik restoran, Hendra telah memaksa para pekerja Muslimnya untuk turut bekerja pada hari kedua bulan Aidilfitri. Sedangkan semua ini disebabkan oleh Soleh yang digerakkan oleh egonya yang tercabar, dan bukan sepenuhnya kerana peraturan baru itu semata-mata. Kekuasaan ketakutan dan prejudis terhadap bangsa lain adalah faktor utama yang beliau gunakan untuk menghasut yang lain. Low Yat Di Malaysia Pula… Kejadian seperti ini masih berlaku di negara kita, kisah protes di Low Yat mungkin sahaja disebabkan oleh orang yang menipu dan ditipu. Tetapi sentimen yang merebak itu benar-benar seakan penyakit yang tak dapat dikawal, hampir seluruh catatan ataupun komen melalui media sosial memaparkan sikap rasisme yang selama ini dipendam. Jadi tidak dapat tidak persoalan kemajmukan ini merupakan persoalan yang utama. Di mana-mana pun, dari negara yang membangun atau tidak, tema kemajmukan dan pendekatannya yang ideal adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ya, secara objektifnya segalanya bisa dihujah secara rasional. Setiap pihak yang terlibat mampu mengeluarkan fakta-fakta yang bernas dan menyatakan sikap tegas terhadap sesuatu tanpa kompromi. Tetapi pandangan keseluruhan adalah sesuatu yang masih belum dapat dilakukan oleh kita semua. Filem Tanda Tanya adalah contoh inisiatif pembikin filem yang ingin memaparkan suatu pandangan yang menyeluruh. Beliau menyajikan pergelutan subjektiviti dan objektiviti pada masa yang sama. Dan kedua-duanya disaluti dengan suatu titik perspektif luaran yang tidak dapat dilihat oleh kita. Beliau mencetuskan semula persoalan yang telah lama disimpan, dan kita pada waktu ini tidak dapat menolaknya lagi.   – Reviu ini ditulis oleh Johan Zolhaidi bagi pihak Projek Dialog

]]>