Hubungan Malaya, Sabah dan Sarawak: Cinta atau dusta?

Perihal Perjanjian Malaysia 1963 Salah satu intipati penting pembentukan Persekutuan Malaysia adalah Perjanjian Malaysia 1963. Mengapa Perjanjian Malaysia ini wujud? Setiap tender projek mesti ada pengesahan antara pemberi dan penerima beserta garis panduan, manakala setiap urusan perkhidmatan mesti ada terma dan syarat. Dalam konteks Malaysia, perjanjian ini mengikat kontrak sosial antara beberapa pihak. Sekiranya ianya diingkari, pihak yang terlibat ada hak untuk mempersoalkannya. Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di Kuala Lumpur 7 September lalu, “Tidak ada mana-mana pihak boleh mengatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dalam mempersoalkan perkara asas yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni kerana Perlembagaan sendiri tidak menganggap ia sebagai satu hak.” Jelas, kata-kata Timbalan Perdana Menteri ini adalah satu singgungan besar bagi seluruh penduduk Sabah dan Sarawak. Mereka sewajarnya diberi hak untuk mempersoal serta menuntut sama ada 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia itu dipatuhi atau tidak. Apa yang saya ingin nyatakan disini, kerajaan Persekutuan ingin menutup suara jati Sabah dan Sarawak kerana telah sedar bahawa mereka gagal mematuhi Perjanjian Malaysia 1963. Percanggahan? Jikalau diteliti dengan jitu, terdapat percanggahan antara Perjanjian Malaysia 1963 dengan Perlembagaan Persekutuan. Mengapa perkara ini terjadi? Siapakah yang menggubal dan meluluskan akta-akta tersebut serta memansuhkan akta-akta penting yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963. Terdapat banyak kajian serta dapatan umum berserta fakta mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan kaitannya dengan Perlembagaan Persekutuan oleh gerakan-gerakan nasionalis mahupun peguam serta ahli akademik. Salah satu sebab utama yang mengatakan Perjanjian Malaysia tidak sah dan perlu disemak semula setelah terkeluarnya negara Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Pemansuhan serta pemindaan akta-akta penting bagi hak Sabah dan Sarawak seperti yang melibatkan kebebasan beragama di Sabah dan Sarawak, penggunaan bahasa Inggeris, pengeluaran petroluem dan yang berkaitan menunjukkan ada usaha kolonisasi politik Malaya ke atas Sabah dan Sarawak. Wajarkah royalti 5% petroluem diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk usaha pembangunan jika dibandingkan dengan 11 lagi negeri-negeri Malaya yang jauh lebih kecil keluasannya dan tidak setimpal dengan kekayaan hasil buminya? Status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia Renung kembali fakta sejarah penting ini. Penubuhan Sarawak adalah pada 24 September 1841 oleh James Brooke. Ia merdeka daripada kolonial British pada 22 Julai 1963. Sabah pula ditubuhkan pada 20 Mei 1882 oleh Syarikat Piagam Borneo Utara British dan telah dimerdekakan oleh kolonial British pada 31 Ogos 1963. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ditubuhkan pada 31 Januari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Persekutuan Malaysia. Agak mendukacita apabila hanya mendapat 4,000 daripada 1.2 juta penduduk dari Sabah dan Sarawak sahaja yang menyokong referendum Persekutuan Malaysia ketika itu. Ini menimbulkan persoalan, bagaimana laporan Surahanjaya Cobbold menyatakan 2/3 rakyat Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia boleh diusulkan sekaligus untuk membentuknya? Ramai tidak faham apa status negara Persekutuan Malaysia jika diaplikasikan pada tahun 1963 ketika itu. Singapura, Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi setaraf bersama Malaya sebagai gabungan beberapa negara dalam membentuk Persekutuan Malaysia. Justeru, tidak hairan mengapa penduduk Malaya terpaksa mempunyai passport untuk memasuki kawasan ketibaan kapal terbang di Sabah dan Sarawak. Setengah abad berlalu Setelah lebih setengah abad Malaysia dibentuk, Sabah dan Sarawak dahulunya negara berdaulat, kini berubah menjadi negeri dalam sebuah kawasan bernama Malaysia dengan pelbagai siri-siri pencabulan terhadap Perjanjian Malaysia 1963. Sekiranya benar Perjanjian Malaysia 1963 batal dan tidak sah, rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu terikat untuk kekal dalam hubungan tidak sama rata dan tidak adil dengan Malaya kerana mereka mempunyai hak yang sewajarnya ke atas bumi mereka sendiri. Masakan pokok bergoyang jikalau tiada ributnya. Begitulah juga dengan Persekutuan Malaysia. Suara-suara sumbang nasionalis Sabah dan Sarawak semakin membingit dan memekak tanpa menghiraukan ancaman Akta Hasutan menunjukkan semangat kental mereka untuk menuntut kembali hak mereka yang telah dicabuli. Apa yang dapat saya sampaikan, patuhi Perjanjian Malaysia 1963 kalau ingin kekal bersama Sabah dan Sarawak. Kesimpulan Saya bukan bermaksud untuk menghina hari Malaysia melalui penulisan ini. Saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir dan renung sejenak akan realiti yang berlaku di Malaysia. Azam Hari Malaysia sewajarnya menjadi lebih indah dan bermakna bagi Malaya, Sabah dan Sarawak jika dihayati dengan cinta kasih terhadap kontrak sosial pembentukannya iaitu Perjanjian Malaysia 1963. Akhir kalam, terpulanglah kepada sesiap untuk mengandai kiranya Malaysia ini adalah lahirnya sebuah cinta atau lahirnya sebuah dusta.         unnamed

]]>