Kuil Sri Maha Nageswari Amman

Kughan Nadarajah (kanan) turut serta dalam pertemuan dengan Moorthy Pattan. Kughan Nadarajah (kanan) turut serta dalam
pertemuan dengan Moorthy Pattan.[/caption] Kata-kata nenek-moyang itu menunjukkan betapa kuil sebagai rumah ibadat memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Hindu, yakni penganut Sanathana Dharma iaitu agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia. Pada 14 September 2014, saya dan Kughan Nadarajah berpeluang melawat Kuil Sri Maha Nageswari Amman yang terletak bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Kemuning Utama, Shah Alam. Kunjungan kami adalah susulan undangan pengerusi Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman, Moorthy Pattan. Beliau yang saya kenali sejak tahun 2004 memang sudah beberapa kali mengajak saya ke kuil baru itu sejak hampir setahun lalu. Kuil ini pada mulanya dua kuil berasingan yang dikenali dengan nama Kuil Maha Mariamman dan Kuil Nageswari Amman. Kedua-duanya dulu terletak di Ladang Emerald, di tepi Jalan Bukit Kemuning yang menghubungkan Taman Sri Muda, Shah Alam ke Kampung Jawa, Klang. Semasa saya mewawancara Moorthy dan ibunya, Letchumi lebih sedekad lalu bagi sebuah makalah di majalah Sarina (Ogos 2004), kedua-dua kuil sudah pun diarah berpindah. “Paramount Property selaku pemaju yang mengambil alih kawasan ini memberikan suku ekar tanah untuk kuil baru. Pemaju juga menghulurkan bantuan dana bagi menampung kos membina bangunan kuil. “Pihak pemaju itu selalu datang ke kuil untuk bersembahyang dan meminta saya melakukan pooja khas sebelum pembinaan dimulakan di beberapa tapak perumahan di Ladang Emerald yang kini dikenali sebagai Kemuning Utama,” Moorthy menceritakan. Katanya, pihak pemaju berkenaan juga terlibat melakukan upacara pecah tanah dan penanaman adikal (batu asas) bagi Kuil Sri Maha Nageswari Amman pada 16 September 2011. Kuil Maha Mariamman sebenarnya berusia lebih seratus tahun dan dipercayai diasaskan oleh kumpulan pekerja ladang kelapa sawit yang mula-mula datang ke Ladang Emerald. Berhala berusia lebih seratus tahun Pattan yang merupakan penjaga dan petugas yang melakukan upacara pemujaan di Kuil Maha Mariamman kemudian mengasaskan Kuil Nageswari Amman pada tahun 1970-an berikutan peristiwa terserempak sepasang ular tedung di sisi sebuah busut berhampiran kuil. [caption id="attachment_4137" align="alignleft" width="300"]PD 2Terdedah Bangunan kuil akan dibiarkan terdedah
kepada hujan dan matahari selama enam bulan
sebelum dicat.[/caption] Semasa saya mewawancara Letchumi dan Moorthy pada 2004, Ladang Emerald sudah dikosongkan. Rumah-rumah sudah dirobohkan dan para penduduk sudah berpindah ke tempat lain. Apa yang tinggal hanyalah kuil berkenaan serta SJKT Ladang Emerald. Sewaktu saya dan Kughan melawat bangunan kuil yang masih dalam pembinaan baru-baru ini, kami diberikan taklimat khas oleh Moorthy yang turut membawa kami melawat bahagian atas (bumbung) kuil yang dipanggil gopuram. “Kedua-dua kuil kecil yang asal sudah dipindahkan ke tapak baru sekitar lima tahun lalu. Projek pembinaan bangunan kuil baru ini pula bermula hampir satu setengah tahun lalu,” kata Moorthy sambil membawa kami melawat setiap penjuru kuil. Sejumlah sepuluh pekerja pakar dibawa khas dari Tiruchi, Tamil Nadu, India. Mereka bekerja dua belas jam sehari bagi memastikan bangunan kuil ini dibina mengikut rekabentuk yang diinginkan dan juga mengikut jadual yang ditetapkan. [caption id="attachment_4131" align="alignleft" width="300"]PD 2Seni Kerja seni yang cukup halus oleh pakar binaan
yang dibawa khas dari India.[/caption] Saya dan Kughan kagum melihat kehalusan seni pada setiap tiang, dinding, penjuru dan bumbung bangunan kuil ini. Apabila beberapa foto dipaparkan di Facebook, ramai yang menyukai serta segera berkongsi foto-foto itu dengan penuh kekaguman. Menurut Moorthy, rekabentuk kuil adalah berdasarkan idea yang beliau sendiri kemukakan. Selama beberapa tahun, beliau melawat lebih 150 kuil yang sedang dalam pembinaan di Tamil Nadu untuk mendapatkan idea terbaik. Moorthy turut mengadakan perbincangan, rundingan dan perkongsian idea dengan pakar pembinaan kuil di India sebelum membuat rekabentuk kuil ini dengan kerjasama jurutera pakar. Sebuah kuil pasti sahaja tidak lengkap tanpa berhala. Walaupun kuil baru yang amat cantik dan rekabentuknya mengagumkan sedang dalam proses pembinaan, berhala utama yang akan ditempatkan di ruang utama (mulastanam) tetap berhala lama. “Berhala Ambal (Amman) ditempatkan di kuil asal sejak lebih seratus tahun dahulu. Mendiang bapa mewariskan kuil ini kepada saya. Berhala yang sama akan ditempatkan di mulastanam nanti. “Buat masa ini, berhala Ambal ditempatkan di kuil sementara di sebelah bangunan kuil yang sedang dalam pembinaan ini,” kata Moorthy sambil merujuk kepada bangunan bersaiz sederhana yang tidak putus-putus dikunjungi peganut dari jauh dan dekat. Mahameru yang kurang diberikan perhatian Tujuh berhala baru pula ditempah khas dari Bangalore. Berhala Vinayagar, Murugan dan sebagainya diperbuat daripada batu hitam. Sesungguhnya, dalam ajaran Hindu, ilmu ikonografi amat penting dalam proses membuat berhala bagi kegunaan di kuil dan rumah. Kuil baru itu nanti akan turut menempatkan navagraham serta memiliki mahameru. Navagraham adalah sembilan dewa yang mewakili sistem solar dan dipercayai amat mempengaruhi kehidupan setiap individu. Mahameru pula mungkin agak kurang dikenali oleh penganut Hindu sendiri di Malaysia. Nama-nama lain termasuk Sri Chakra, Sri Yantra dan Navayoni Chakra. Rekaannya berupa mandala atau lingkaran bulat bercorak. Secara paling asas, mahameru terhasil daripada gabungan empat segi tiga yang mewakili Shiva dan lima segi tiga mewakili Shakti. Mahameru juga mewakili Lalitha atau Tirupura Sundari yang merujuk kepada “keindahan tiga dunia (syurga, bumi, neraka)”. Bahagian mahameru juga penting dalam struktur binaan bangunan kuil dan diberi perhatian khusus oleh Moorthy. Secara saintifik, terbukti berlaku pantulan tenaga positif apabila seseorang berada berdekatan mahameru. [caption id="attachment_4132" align="alignleft" width="300"]Bahagian mahameru mampu mengalirkan tenaga positif kepada pengunjung kuil. Bahagian mahameru mampu mengalirkan
tenaga positif kepada pengunjung kuil.[/caption] Di Kuil Sri Maha Nageswari Amman, mahameru akan ditempatkan di bahagian bumbung; benar-benar di atas tempat orang ramai berdiri untuk memohon restu Maha Mariaman yang ditempatkan di mulastanam. Seperti dinyatakan tadi, berhala Maha Mariamman berusia lebih seratus tahun akan ditempatkan di kuil baru ini. Sejumlah tujuh berhala lain pula ditempah khas dari Banglore. Setelah berhala siap dan dibawa ke kuil ini, upacara khas yang dinamakan “jalamsamadhi” akan dilangsungkan. Dalam upacara keagamaan berpandukan veda iaitu kitab agama, berhala akan dibenam dalam tangki air selama 48 hari. Sesiapa yang kurang memahami ilmu ikonografi serta menganggap berhala di kuil Hindu sebagai batu semata-mata wajar mengambil inisiatif memahami ajaran dalam veda supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan fitnah yang menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu. Tentu sahaja rakyat pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya yang hidup bersatu tidak memerlukan kehadiran lebih ramai Zakir Naik, Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee Abdullah yang hanya mahu memecah-belah umat manusia. Peluang mengunjungi kuil, mengenali senibina unik Berbalik kepada kisah tadi, semasa meluangkan masa hampir sejam melawat kuil dan berbual-bual dengan Moorthy pada 14 September 2014, saya dan Kughan turut berpeluang melihat bahagian rajagopuram dan menara mulastanam yang melangit. [caption id="attachment_4133" align="alignleft" width="300"]Rajagopuram ini dibina mengikut panduan, syarat dan peraturan agama dan veda. Rajagopuram ini dibina mengikut panduan,
syarat dan peraturan agama dan veda.[/caption] Menara pada bahagian mulastanam tingginya sekitar 8.5 meter (28 kaki) manakala rajagopuram yang merupakan bahagian depan kuil tingginya hampir 11.6 meter (38 kaki). Kedua-dua menara ini dihiasi ukiran tangan serta hiasan tambahan yang penuh seni, cantik, halus dan mengasyikkan. Menurut Moorthy, ketinggian menara mulastanam dan rajagopuram tidak boleh dibuat sesuka hati. Panduan dalam veda menetapkan ukuran yang betul, sesuai dan temat sebagai panduan. Apabila ditanya mengenai tarikh bangunan kuil ini akan siap sepenuhnya, Moorthy berkata, tarikh jangkaan adalah Februari 2015. Bagaimanapun proses keseluruhan belum lengkap. “Apabila kerja-kerja pembinaan siap, bangunan kuil ini akan dibiarkan terdedah kepada hujan dan panas selama enam bulan. Selepas itu, barulah kerja-kerja mengecat akan dimulakan.“ Kalau kerja-kerja mengecat dimulakan sebaik bangunan siap dibina, hasilnya nanti tidaklah sehebat yang diinginkan. Untuk menguruskan kerja-kerja mengecat, kami akan membawa tiga pekerja pakar dari Tiruchi dan mereka akan dibantu sejumlah pekerja tempatan,” Moorthy menjelaskan. [caption id="attachment_4136" align="alignleft" width="300"]Bangunan kuil akan dibiarkan terdedah kepada hujan dan matahari selama enam bulan sebelum dicat. Letchumi menjaga busut ini yang
dipercayai dihuni ular tedung istimewa.[/caption] Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak 2010, serta konvoi pada Oktober 2013 mendapat liputan media antarabangsa. Mungkin apabila Kuil Sri Maha Nageswari Amman hampir siap nanti, suatu kunjungan khas boleh diaturkan oleh Kavyan dengan kerjasama Projek Dialog. Para peserta pelbagai kaum dan agama pasti kagum dengan keunikan senibina kuil ini. Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut jika berminat turut serta. Semasa konvoi itu nanti, peserta juga mungkin akan berpeluang melihat seekor ular tedung istimewa yang dikatakan menghuni busut besar di kuil ini. Biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenainya sehingga peserta datang untuk melihatnya sendiri. unnamed

]]>