Menemui Zurinah: Perihal 1 Wanita, setelah 12 Laki-Laki

Sebelum Zurinah Hassan, kesemua dua belas Sasterawan Negara ialah lelaki. Sumber gambar: http://penulisanasini.blogspot.my/2016/04/tahniah-sasterawan-negara-ke-13.html[/caption] Mengapa saya selalu mengangkat persoalan ini 1 Wanita, 12 Lelaki ini? ‘Teori’ saya, konstruk sosial masyarakat kita yang membataskan dan mengkelasduakan wanita dalam soal pendidikan dan hal-hal hidup telah menjadikan wanita sukar untuk bebas dan lepas dalam merasai pengalaman hidup seperti kaum laki-laki. Pengalaman hidup yang terbatas inilah yang boleh jadi menyebabkan wanita tersebut ketinggalan dalam banyak hal. Apatah lagi sebagai seorang penulis dan seniman, seseorang itu perlu keluar mengembara bermain dengan alam, menghabiskan banyak masa membaca karya-karya besar, mengikuti diskusi yang wacana yang tidak kenal masa dan jarak dari rumah dan lain-lain. Kebebasan untuk ‘keluar dari ruang rumah’ sama ada melalui pembacaan atau pengembaraan fizikal, ialah keperluan untuk seseorang seniman menajamkan pemikiran lantas dengan berkesan mendapat ilham untuk melimpahkan dakwat penanya. Tetapi apakah wanita punyai ini semua? Maka, apabila Pandita Fest memberi ruang untuk kolektif Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), menguruskan slot forum Bahasa dan sastera di Pandita Fest, saya terima khabar ini dengan besar hati. Pihak penganjur Pandita Fest mencadangkan agar tajuk forum sebagai  ‘Bahasa sebagai jiwa bangsa atau alat menindas manusia?’, saya menyambut saranan itu dengan ria dan senang hati. Tidak beberapa lama, saya terus menghubungi Sasterawan Negara Zurinah Hassan untuk hadir sebagai salah seorang panelis. Beliau setuju. [caption id="attachment_6306" align="aligncenter" width="640"] Forum ‘Bahasa sebagai jiwa bangsa atau alat menindas manusia?’ kelolaan UTAM di Pandita Fest, Pulau Pinang. Dari kiri, En Rosli Ibrahim (OKU Bangkit), Dato’ Dr Zurinah Hassan (Sasterawan Negara) dan penulis selaku moderator.[/caption] Jam 3 petang, 18 Mac pun tiba, setelah satu dua soalan basa-basi, saya bertanya kepada Sasterawan Negara Zurinah – apakah keterbatasan yang diletakkan kepada wanita dalam konstruk sosial dan masyarakat Malaya/Malaysia memberi kesan kepada kematangan berbahasa dan penulisan kaum wanita, sekaligus isu 1 Wanita 12 Lelaki sebagai Sasterawan Negara ini bukan hal yang mengejutkan? Zurinah seperti mengangguk sedikit. Zurinah menceritakan bagaimana ketika membesar, keluarganya sendiri seperti sukar untuk memahami minat dan kecenderungannya dalam bidang penulisan dan pembacaan. “Saya cucu perempuan pertama yang diberi belajar tinggi-tinggi”, kata Zurinah sambil melahirkan rasa sedih mengenai rata-rata anak remaja perempuan di zamannya yang disuruh untuk menjadi pakar memasak pelbagai lauk, dan dicerukkan di rumah dan dapur, hanya semata-mata mereka itu wanita. Seolah-olah, seluruh penghidupan seorang remaja perempuan di zamannya adalah untuk menyiapkan anak gadis itu untuk menjadi isteri, ibu dan anak menantu yang ‘baik’ kelak. Seolah-olah wanita ini hidup hanya untuk itu. Bahkan selepas kahwin, menurut Zurinah, wanita tidak punya banyak masa untuk membaca sebab ia harus menjalankan tugas hakikinya setelah pulang dari kantornya—memasak, menjaga anak-anak, mengemas rumah. Wanita, dalam konstruk tipikal masyarakat Malaysia, tidak punya banyak waktu seperti lelaki yang boleh berehat setelah pulang, boleh membaca, tidak perlu mengemas dan memasak. “Saya ini satu ‘survival’. Saya ‘survive’ (belajar tinggi) dan akhirnya saya dapat di hadapan tuan-tuan dan puan-puan hari ini (sebagai Sasterawan Negara)”. Suara Zurinah dalam hal ini bukan gemaan baru. Zurinah konsisten menyuarakan isu dan cabaran wanita dalam masyarakat melalui tulisan-tulisannya. Paling jelas ialah 12 cepren beliau yang diterbitkan dalam ‘Meneruskan Perjalanan’ (DBP, 1987). Cerpen-cerpen yang ditulis dalam dekad 70-an dan 80-an ini berkisar dengan tema keterbatasan wanita dalam mendapat pendidikan tinggi, kebebasan wanita untuk bergerak dalam masyarakat, cabaran wanita mengepalai kerja-kerja domestik rumah tangga di samping bekerja sepenuh masa dan menyumbang kepada ekonomi keluarga, ketidakfahaman keluarga dan lelaki terhadap wanita yang cerdik, pandai dan mandiri, wanita yang terikat dengan naluri dan tugas dominannya dalam penjagaan anak-anak di rumah dan cabaran wanita di pejabat. Saya menghubungi Zurinah baru tadi dan bertanya lanjut akan hal kebebasan ini. Zurinah menjawab lekas dan tajam, “(Apabila seseorang itu) lebih banyak berinteraksi, maka itu akan dapat menajamkan pemikiran mereka. Perempuan di zaman saya banyak sangat kongkongannya, meskipun perempuan sekarang lebih bebas, namun tidaklah sebebas mana sebenarnya, Mengemas, memasak, menjaga anak sampai tiada masa untuk berekspresi dan mencurahkan idea. Untuk menulis. Menulis ini memerlukan waktu yang lama untuk berfikir dan sebagainya”. Saya merasa sebak dan kaget memikirkan hal menjadi perempuan ini. Apakah saya akan sesedar ini jika saya lelaki? Saya lantas teringat tulisan Zurinah dalam cerpennya Siti Hawa dan Pengembara yang Singgah (1981): “Kau mungkin mengatakan bahawa aku tidak harus terburu-buru. Aku mesti menumpukan perhatian kepada penulisan terlebih dahulu. Aku mesti melihat dunia ini dahulu dan meninggalkan soal kahwin untuk masa hadapan. Andy, kalau aku lelaki sepertimu, tidak payahlah kau mengajar semua ini. Kalau aku lelaki, aku akan mengembara dan berpuisi, bebas daripada sebarang tekanan tanggungjawab kekeluargaan. Kalau aku lelaki, soal kahwin hanya akan kufikirkan apabila aku sudah bersedia kelak. Tetapi apakan daya aku ini seorang perempuan yang telah dibatasi oleh kejadian keperempuanannya. Aku tidak dapat mengatakan yang aku mahu pergi jauh-jauh sekarang kerana sepulanganku kelak mungkin tidak ada lagi seseorang yang akan memikirkan soal rumah tangga itu bersamaku. Ya benar, ia satu ketakutan yang amat merugikan”. Menyuruh masyarakat berfikir mengapa kita hanya mempunyai SATU orang wanita di samping DUA BELAS orang lelaki sebagai Sasterawan Negara, bukanlah untuk merendahkan wanita yang dipilih itu. Yang mahu diajak fikirkan sekali ialah mengapa sedemikian jurang itu, apakah masalahnya. Dalam jenuh kita mendepani tekanan sosial dan politik madani, kita tentulah lebih memahami hal-hal keterbatasan dan kebebasan ini. Maka, apalah salahnya untuk melapangkan lagi ruang pikir tersebut dalam memahami pergelutan yang dialami wanita sejak zaman berzaman? Kita selalu menjelikkan politikus yang suka membuat sesuatu yang merugikan bangsa. Kita pula?]]>