Mengapa Saya Mengajar Evolusi Kepada Pelajar Islam

Evolution Penterjemahan tidak rasmi “Why I Teach Evolution to Muslim Students” oleh Rana Dajani, terbitan www.nature.com. Diterjemah oleh Yana Rizal. Mengapa Perlu Mengajar Evolusi? Menggalakkan pelajar mencabar idea begitu penting untuk memupuk generasi saintis Islam yang bebas berfikir, kata Rana Dajani. Permasalahan sikap terhadap sains telah diimport ke dalam masyarakat Islam akibat globalisasi dan pemodenan yang pesat – sebagai contoh, penolakan teori evolusi. Namun ia juga merupakan peluang. Saya mengajar evolusi kepada pelajar-pelajar universiti di Jordan. Hampir kesemua daripada mereka menentang idea tersebut pada mulanya. Guru-guru sekolah mereka barangkali telah mengabaikan atau sekadar menyentuh subjek ini. Namun, kebanyakan pelajar masih terbuka untuk membincangkan evolusi, dan di akhir kursus ini, majoriti dapat menerimanya. Jikalau pelajar Islam mampu mencabar idea akademik yang kontroversi sebegini, maka mereka juga boleh menilai aspek-aspek kehidupan mereka dengan mempersoalkan keadaan yang sediakala – dan bukan hanya menerima secara membuta tuli. Kebolehan dan sikap begini adalah penting dalam pembentukan personaliti dan menjadi warga yang bertanggungjawab. Meyakini Islam & Evolusi Para pelajar sering terkejut. Saya memakai tudung, maka mereka tahu bahawa saya seorang yang mengamalkan ajaran Islam. Namun saya bersyarah menyokong evolusi sebagai mekanisme penjelasan tentang kepelbagaian dan perkembangan spesies. Malah mengiktiraf Charles Darwin sebagai saintis yang menyumbang kepada pemahaman kita tentang kemunculan dan kepelbagaian hidupan di bumi. Barangkali sayalah Muslim pertama yang mendukung teori ini kepada mereka. Sesetengah pelajar mengadu kepada universiti bahawa saya berdakyah menentang Islam. Namun pegawai-pegawai universiti berpuas hati apabila saya menunjukkan bahawa evolusi termasuk dalam subjek buku-buku teks yang telah diluluskan oleh universiti. Apa yang saya ajarkan adalah langsung daripada buku-buku ini. Saya memuji pelajar yang mengadu atas keberanian pendirian mereka, dan saya bersedia membincangkan kebimbangan mereka bersama-sama. Islam & Evolution Di Mana Percanggahannya? Apabila mengajar, saya berikan penjelasan terperinci evolusi alam tumbuhan dan pembiakan pilihan. Kemudian, kami membincangkan penentangan antibiotik, vaksin influenza dan perkembangan perubatan HIV. Setelah perbincangan ini, kebanyakan pelajar bersedia untuk menerima evolusi sebagai mekanisme penjelasan pembentukan semua spesies kecuali manusia. Ramai yang memetik bukti dari Al-Quran yang ditafsirkan bahawa Adam – dan kejadian manusia – diciptakan secara spontan. Evolusi manusia masih topik yang pantang kerana pelajar tidak bersedia untuk melepaskan konsep bahawa manusia diciptakan berbeza. Saya mengingatkan mereka bahawa Islam memberi amaran tentang keangkuhan, dan manusia hanyalah sebahagian daripada ciptaan. Sarjana Islam seperti Hussein al-Jisr dan Ahmad Medhat pada tahun 1880-an menyokong evolusi. Sebelum Darwin, al-Jahiz dan lain-lain mencadangkan teori asas evolusi pada abad kesembilan. Saya menjelaskan bahawa tanggapan kontroversi antara evolusi dan Islam hanya timbul pada abad kedua-puluh, apabila idea-idea Darwin dikaitkan dengan kolonialisme, imperialisme, Barat, ateisme, materialisme dan perkauman. Ulama Islam mula berpendirian menolak evolusi, dan kemudiannya diikuti awam. Para ulama menggunakan ideologi Kristian tentang penciptaan untuk menyokong pendirian mereka, sekaligus menyerap juga pergelutan antara sains dan agama di Barat kepada Islam. Sesetengah pelajar berhujah bahawa penerimaan evolusi bermakna penafian kewujudan Tuhan. Saya mengatakan bahawa evolusi tidak membincangkan asal-usul alam semesta. Tiada siapa lagi yang memahami permulaan kejadian. Bagi saya, permulannya ialah Tuhan. Setelah itu, kaedah-kaedah logik dan sains menerangkan perkembangan alam semesta dan seterusnya. Mendamaikan Sains & Agama – Ke Arah Kemajuan Dari pengalaman saya, ramai orang Islam terbuka untuk mempertimbangkan hal ini. Saya telah menemui beberapa saintis Islam yang setuju dengan pendirian saya, namun tidak secara terbuka kerana takut dilabelkan sebagai pencetus masalah. Sesetengah ulama juga bersetuju, namun ingin mengubah pendapat secara beransur-ansur, supaya tidak terus ditentang sekaligus membantut perkembangan. Pendapat saya, sebagai seorang saintis Islam, ialah Al-Quran menyuruh manusia untuk memerhati dan merenung hakikat dunia sementara mengejar ilmu. Ia tidak mengesahkan penemuan saintifik. Sains membolehkan kita mempersoalkan dan mengetahui bagaimana dunia berfungsi dan Al-Quran menyediakan panduan moral untuk menghadapinya. Jika timbulnya percanggahan antara penemuan sains dan tafsiran Al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kedua-duanya, sains (yang berubah dengan kemajuan) dan tafsiran Al-Quran (yang tidaklah sentiasa tepat, kerana ianya penaakulan manusia) sebagai punca perbezaan. Ini adalah proses yang berterusan, dan merupakan sebahagian daripada tujuan kehidupan orang Islam. head of soulTanggungjawab Pendidik Membuka Minda Sama ada seorang pelajar menerima konsep evolusi manusia ataupun tidak, bukanlah faktor dalam cara penandaan kertas peperiksaan mereka. Sebagai pendidik, objektif kami ialah membantu pelajar supaya bebas berfikiran sendiri. Saya tidak mahu pelajar-pelajar menulis bahawa mereka menerima evolusi hanya untuk lulus peperiksaan. Saya ingin mereka memberikan hujah untuk mencapai kesimpulan mereka, walaupun ia akhirnya menolak evolusi manusia. Jika tidak, maka ianya sama seperti orang-orang yang mengutuk evolusi: memaksa pandangan mereka keatas orang lain. Matlamat saya ialah untuk mengajar pembentukan metodologi rasional bagi menilai alam semulajadi dan menghasilkan pendapat, hipotesis dan teori sendiri, bukan hanya meniru yang lain. Ianya seruan untuk cara fikiran yang baru: perjalanan untuk menuntut ilmu, yang merupakan salah satu prinsip asas Islam. Jika kita berjaya dalam usaha ini, maka kita akan menyumbang kepada pembentukan generasi saintis Islam yang bebas berfikir. [Rana Dajani ialah profesor biologi molekul di Universiti Hashimiah di Zarqa, Jordan, dan merupakan sarjana pelawat di Institut Faraday, Universiti Cambridge, UK.]

]]>