Pakaian Wanita: Obsesi Komuniti atau Hak Individu?

Faith Fashion Fusion Gambar: Powerhousemuseum.com[/caption] Sebenarnya, masyakarat kita sudah lama mempunyai obsesi tentang tatacara pemakaian, khususnya untuk kaum Hawa. Berdesing juga telinga tatkala dikatakan pakaian wanita mengundang rogol, membawa provokasi, ataupun tidak kena semata-mata kerana susuk tubuh yang dimiliki tidak menonjolkan cantik pada pandangan mata kaum Adam. Besarnya kuasa wanita, panjang pendeknya skirt yang dikenakan juga berkemungkinan menyebabkan kaunter perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dapat beroperasi! Tubuh badan wanita seringkali dijadikan bahan lucah tanpa sedar dan masyarakat meletakkan ukuran tidak munasabah terhadap apa yang dikatakan cantik, mahupun apa yang dianggap sopan. Jika kita mengimbau album gambar ataupun filem dari zaman dahulu, wanita Malaysia lebih selesa melakukan aktiviti seharian dengan hanya mengenakan batik sarong secara berkemban. Memang selesa untuk melakukan kerja rumah dan bergerak bebas, tambahan pula dalam cuaca panas di negara beriklim khatulistiwa kita ini. Namun, seiring dengan kemajuan zaman; wanita kini bukan hanya bekerja dari rumah. Wanita merupakan tulang belakang ekonomi dan tenaga kerja negara, memegang kerjaya dalam pelbagai bidang. Tatacara pemakaian wanita ditentukan berdasarkan keselesaan wanita sendiri dan seringkali dipengaruhi kepercayaan agama. Kebelakangan ini, sukar untuk melihat wanita berpakaian mengikut pengaruh kaum etnik masing-masing dalam aktiviti seharian dan pakaian tradisional hanya digayakan tatkala musim perayaan sahaja. Bagi kaum wanita beragama Islam, apa yang saya dapat lihat kebelakangan ini adalah pakaian wanita mempunyai pengaruh Arab. [caption id="attachment_4802" align="alignleft" width="375"]Gambar: Metro Online Broadcast Gambar: Metro Online Broadcast[/caption] Jika kita melihat gambar dalam tahun-tahun pertama pasca merdeka ataupun dalam filem-filem karya Seniman Agung P Ramlee, wanita menggayakan kebaya pendek dan berkain batik sarong ataupun mengenakan gaun pendek sesuai dengan fesyen global zaman berkenaan. Mengimbau album keluarga saya sendiri, ibu dan kedua makcik saya menggayakan kebaya atau gaun dalam gambar-gambar lama mereka. Sejak kecil, saya mencemburui kecantikan ibu seperti dalam gambar-gambar lama beliau. Tambahan pula, susuk tubuh saya ketika membesar lebih berbentuk bulat dan baju kebaya beliau tidak muat untuk saya pinjam dan gayakan. Pada saya, kebaya pendek dan batik sarong menggambarkan lambang keanggunan wanita Melayu. Namun, berdasarkan pengalaman sendiri; pandangan serong sering diajukan apabila saya menggayakan kebaya dan batik sarong. Ada yang menyatakan susuk tubuh saya tidak cukup cantik menggayakan pakaian tersebut; manakala ramai juga yang mengajukan komentar bahawa pakaian tersebut menonjolkan “aset” yang tidak sepatutnya. Tambahan pula, jika dilihat sekeliling dan meneliti fesyen semasa, kaum wanita Melayu kini lebih gemar mengenakan jubah dan menggayakan tudung seperti wanita Arab.   Pakaian Sukan Wanita Komentar berkenaan pakaian saya paling galak diajukan apabila berpakaian sukan. Sebagai seorang pelari amatur, acara marathon berjarak 42.195km merupakan satu acara yang sukar dan semua pelari patut mengenakan pakaian yang sewajarnya. Pengalaman sendiri mengajar saya pakaian mana yang selesa untuk berlari dalam jarak tersebut. Ini kerana jika tidak selesa, kulit boleh melecet dan berdarah. Kemungkinan untuk menyelesaikan acara sebenarnya sangat berkait dengan pakaian yang dikenakan. Komentar negatif yang dilemparkan kepada atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pada pendapat saya sememangnya tidak wajar. Acara sukan gimnastik memerlukan beliau berpakaian sedemikian dan sewajarnya beliau dihargai dan dijulang, bukannya dicemuh kerana kononnya mendedahkan aurat. [caption id="attachment_4801" align="aligncenter" width="450"]Gambar: The Star Gambar: The Star[/caption] Jika saya yang amatur pun sukar untuk melengkapkan larian jika tidak selesa dengan pakaian yang dikenakan, apatah pula seorang atlet negara yang berjaya merangkul 6 pingat termasuk 2 pingat emas di Sukan SEA? Tidak banggakah rakyat Malaysia dengan pencapaian atlet sendiri? Tambahan pula, mana cemuhan sebegini kepada peserta bina badan dan pasukan bola sepak lelaki negara? Saya tidak nafikan bahawa ada atlet wanita yang bertudung. Dalam kalangan rakan-rakan pelari saya sendiri ada rakan yang bertudung dan memenangi acara larian dan merupakan pelari denai (trail runner). Tetapi, kebolehan mereka adalah berdasarkan tahap keselesaan sendiri semasa latihan dan acara; dan pastinya pakaian yang dikenakan tidak menyekat pergerakan.   Keselesaan adalah fesyen utama Secara kesuluruhannya, penting untuk wanita untuk berpakaian selesa. Gaya tersendiri dipengaruhi faktor agama, pengaruh kaum etnik dan pengalaman sendiri mencari apa yang selesa. Faktor utama yang sepatutnya adalah pilihan wanita itu sendiri. Masyarakat tidak sepatutnya meletakkan jangkaan terhadap wanita dan memaksa kami mengenakan pakaian mengikut pendapat atau kepercayaan majoriti. Di zaman moden ini, keutamaan sepatutnya diberikan untuk memperkasakan wanita dalam pendidikan, serta bersama menjana ekonomi dan kemajuan negara; bukannya kepada ukuran kelabuhan skirt wanita. Jika seorang wanita selesa berbaju kurung, dari kaum etnik manapun, sepatutnya beliau boleh menggayakannya tanpa komentar negatif. Muslim Women AFL Jika wanita perlu berpakaian moden ataupun mengenakan leotard untuk mencapai prestasi persembahan dan sukan yang ulung; sepatutnya kita menerima pakaian tersebut sebagai lumrah acara itu yang mampu menyokong usaha dedikasi latihan atlet saban lama. Jika wanita menggayakan kebaya, ia sepatutnya dilihat dari segi menghargai nilai etnik warisan kaum. Bukannya untuk mendedahkan aurat. Obsesi komuniti terhadap pakaian wanita tidak membawa manfaat apa pun selain membuak perasaan negatif dan egoistik patriarkal yang sepatutnya sudah lama luput. Tiba masanya untuk wanita dilihat dari segi kebolehan sendiri dan bukannya dihakimi berdasarkan pakaian yang dikenakan semata-mata. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” – Surah Al- A’raf (7:26) Article 19

]]>