Pengajaran dari Prambanan

Jika anda berkesempatan ke Yogyakarta, Indonesia, salah satu tempat wajib kunjung bagi setiap pelancong adalah Candi Prambanan. Terletak lebih kurang 16 Km dari Yogyakarta, candi yang diklasifikasikan sebagai salah satu tapak warisan UNESCO ini tidak semasyur Candi Borobodur, tetapi bagi penulis, Prambanan lebih menarik daripada Borobodur.

Di Prambanan, pastikan anda bayar Rs70,00 untuk mendapat perkhidmatan seorang guide yang membawa anda mengelilingi tapak. Tiada gunanya anda melawat Prambanan sekiranya anda tidak mendalami sejarah dan falsafah Prambanan. Sekiranya anda bernasib baik, anda akan dipandu oleh Edi, seorang lelaki Indonesia dalam lingkungan 40-an. Dia seorang yang tinggi, dengan rambut lebat dan kerinting dan kumis tipikal seorang Jawa. Kulit sawo matangnya gelap, mungkin kerana berjemuran di bawah mentari terik dalam menjalankan tanggungjawabnya membawa sekian ramai manusia yang berkunjung ke Prambanan setiap hari. Edi bertutur dengan penulis dalam bahasa Inggeris. Ini memang disengajakan, kerana dikhuatiri Bahasa Indonesia telo Jawanya terlalu pekat untuk difahami, walaupun dalam bahasa Indonesia. Dan Edi fasih berbahasa Inggeris. Edi memaklumkan pada penulis bahawa bapanya Muslim dan ibunya beragama Buddha. Di Indonesia, perkahwinan berlainan agama seperti ini adalah biasa, kata Edi. Malu pula penulis untuk memberitahunya bahawa di Malaysia, ibu dan bapanya hanya boleh berkahwin jika ibunya meninggalkan agamanya. Berlainan dengan Borobodur, candi Prambanan bukanlah satu candi tunggal yang besar. Prambanan adalah sebuah kompleks yang tediri daripada beberapa buah candi-candi. Lingkaran luar dahulunya penuh dengan lebih 200 candi kecil, tetapi semua kecuali 2 sudah tiada, batu-batu mereka dicuri dek orang. Lingkaran dalam pula terdiri daripada 8 candi-candi yang masih berdiri; terselemat kerana penduduk setempat percaya adalah tabu untuk mencuri batu-batu daripada lingkaran dalam. 6 candi di dalam lingkaran dalam didirikan untuk 6 dewa agama Hindu. 3 untuk dewa-dewa Trimurti; Brahma yang mewujudkan, Vishnu yang mengekalkan dan Shiva yang memusnahkan. 3 lagi untuk dewa-dewa yang menjadi tunggangan dewa-dewa Trimurti; Angsa tunggangan Brahma, Nandi tunggangan Shiva dan Garuda tunggangan Vishnu. 3 candi dewa Trimurti melambangkan langit (Angkasa), 3 candi dewa-tunggangan melambangkan bumi (Bhumi) dan 2 candi yang dikenali sebagai Apit yang memaksikan keduanya sebagai Cakerawala. Menurut Edi, falsafah pembinaan Prambanan adalah pemahaman tentang ‘Kewujudan’. Existance.  Edi membawa penulis ke tengah-tengah lingkaran dalam Prambanan. Menurut Edi, seorang pengunjung Prambanan, jika dia dia berdiri di titik itu, akan berada di tengah Cakerawala, di antara Angkasa dan Bhumi dan memahami tempat dirinya di alam semesta. Maka, dia akan memahami Kewujudannya. “Which is more important, truth or existence?“, tanyanya pada penulis.

Penulis memikir sejenak dan menjawab ‘kebenaran’.

For me, it is existence, sir“, Edi menjawab, sambil membuka kaca mata hitam yang dipakainya. Matanya merenung tepat dan tajam ke arah penulis. “All religions say that they are Truth, and because of their Truths, they fight. But is it not better to Exist, and to acknowledge that other religions exist as well?“.

Kata-kata bermain di minda penulis. Bukan dari aspek spiritual atau keagamaan (JAIS, jangan cari saya, ini bukan ‘pluralisme agama’!), tetapi sebagai pengajaran yang boleh digunapakai di dalam konteks nasional dan situasi sosio-politik tanahair. 

Antara cabaran paling besar dalam membina sebuah negara-bangsa Malaysia adalah perpaduan. Begitu sukar untuk kita mencapai perpaduan yang sebenar. Mungkin kerana garis-garis perpisahan yang kita lakar sebelum ini begitu banyak dan jelas kelihatan.

Dan apabila individu atau pihak ingat diri mereka betul dan mereka sahaja membawa Kebenaran, maka untuk menegakkan kebenaran itu terdapat pergeseran. Samada pergerseran di antara kaum, agama mahupun ideologi politik. Walaupun pergeseran itu biasa dan tidak bersetuju itu memang lumrah manusia, untuk membina sebuah negara-bangsa adalah penting untuk kita juga mencari persamaan yang kita ada.

Contoh yang terbaik dapat kita lihat dalam kontroversi baru-baru ini berkenaan dengan agama kanak-kanak bawah umur. Jika kita hanya lihat dari satu sudut sahaja kita rasa itulah kebenaran, perspektif pihak yang lagi satu akan terlindung oleh bias kita sendiri. Kita tidak nampak, contohnya, ketidakadilan yang bakal dialami oleh si suami atau si isteri yang tidak punya suara untuk menentukan agama anaknya.

Untuk itu, kita harus memahami Kewujudan kita. Di mana letaknya kita di mata dunia. Faham juga Kewujudan ‘Yang Lain’, mereka yang berbeza dengan kita dari pelbagai aspek. Iktiraf dan faham juga bahawa mereja juga mencari Kebenaran dan mereka juga percaya dengan Kebenaran mereka. Barulah kita akan sedar bahawa kita berada di atas paksi yang sama, Cakerawala, yakni tanahair, yang sama. Barulah kita dapat menerima Yang Lain dan membina negara-bangsa Malaysia.

Penulis tidak bertanya apakah agama yang Edi anuti, tetapi melalui perbualannya dengan penulis, jelas Edi adalah seorang yang spiritual. Dia bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guide, tetapi benar-benar mempercayai apa yang diberitahu kepada penulis. Bukan sekadar lakonan sebagai menyempurnakan ‘pengalaman Prambanan’.

Ironik juga, pengajaran untuk menjadi pedoman di tanahair sendiri ditimba di tanahair orang, dikelilingi batu-batu yang dibina beratus tahun dahulu.

]]>