Renungan Raya: Islam dan keadilan

Teori keadilan dalam Islam Dalam Al-Quran, ungkapan keadilan juga termaktub dalam banyak ayat. Kadangkala ada ayat mengaitkan antara keadilan dengan ketauhidan. Ia dapat dilihat dalam surah Ali-Imran, ayat ke 18. Tauhid merupakan asas bagi Islam, sedangkan keadilan pula dikaitkan dengan ketauhidan itu. Apabila digabungkan antara tauhid dan keadilan, tidak bermakna keadilan itu perkara aqidah, tetapi menafikan elemen keadilan dalam aqidah adalah sesuatu perkara yang wajar dipersoalkan. Jika tidak, mengapa Tuhan yang maha Bijaksana itu menggabungkan keadilan dan tauhid. Rata-rata umat Islam mengenali keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Definisi keadilan ini, tidak diketahui siapa yang berikan, namun definisi ini amat popular sehingga dianggap sebagai definisi sakral. Al-Qaradawi dalam satu wacana Al-Syariah wa Al-Hayat yang boleh didapati dalam youtube, mencadangkan definisi yang lain bagi keadilan. Bagi beliau, keadilan itu adalah memberikan hak kepada yang berhak. Beliau mengemukakan definisi itu kerana merujuk kepada hadis saheh bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan bahawa tugasan seseorang manusia adalah memberikan hak kepada yang berhak, sama ada hak mata, iaitu dengan tidur; hak badan, diberikan waktu berehat; hak isteri, diberikan masa berkeluarga dan bersetubuh dan berbagai-bagai lagi. Jika dalam soal mata yang mengantuk pun punyai hak keadilan, sudah pasti perkara yang lebih besar juga perlu hak keadilannya. Di kalangan sarjana muslim lain, seseorang bernama Dr Abd Rab Al-Nabi telah menulis sebuah tesis bertajuk “Nazariyah Al-muwazanah Baina Al-Manaf’ wa Al-Madhar“. Beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah perimbangan antara maslahah dan mafsadah. Maslahah diterjemah oleh para sarjana dengan pelbagai tafsiran. Ada yang menterjemah sebagai manfaat, kelazatan dan elemen yang membawa kepada manfaat dan kelazatan itu. Begitu juga makna mafsadah: ada di kalangan sarjana muslim menafsirkan ia sebagai keburukan, kejahatan, kerosakan, kesakitan dan elemen yang boleh membawa kepada keburukan, kerosakan, kejahatan dan kesakitan. Perimbangan Apabila disebut sebagai maslahah dan mafsadah, sudah pasti ada sedikit kesamaran dalam pemikiran bagi mereka yang mahu berfikir. Ini kerana, kehendak di suatu tempat dianggap sebagai maslahah, tetapi tidak bermakna ia adalah sesuatu yang maslahah di tempat yang lain. Sesuatu yang dinilai sebagai maslahah di suatu ketika masa, tidak semestinya ia adalah maslahah di suatu ketika masa yang lain. Begitujuga dalam menilai mafsadah. Ekoran itu, terdapat perbincangan dalam satu tajuk dalam pemikiran Islam yang dinamakan sebagai fiqh muwazanat – iaitu kefahaman secara mendalam tentang perimbangan- apa yang dinamakan sebagai perubahan hukum berdasarkan masa, tempat dan situasinya. Dengan kata lain, kemaslahatan dan kemafsadatan tidak boleh dilihat secara statik atau sawabit, tetapi hendaklah dilihat secara non statik, atau mutaghayyirat. Kepentingan konteks Contoh dari sudut masa adalah, seseorang berdiri di tengah jalanraya di sesebuah kampung pada pukul 4 pagi, ia tidak menghasilkan mafsadah kepada orang lain, seperti jem, menyusahkan laluan orang lain dan sebagainya. Tetapi ia akan mendatangkan mafsadah jika dia berdiri di jalan raya yang sama pada pukul 8 pagi, iaitu saat orang bergegas mahu pergi kerja. Ekoran itu, dianggap sesuatu yang adil bahawa dalam pendapat imam Al-Syafie yang menfatwakan keizinan memiliki tanah yang diterokai tanpa mendapat geran dan surat keizinan dari pemerintah, kerana fatwa itu dikeluarkan di saat banyak tanah yang gagal dimajukan. Jika fatwa itu mewajibkan geran dan surat keizinan pemerintah untuk pemilikan tanah yang diterokai, sudah pasti tanah itu tidak akan dapat dimajukan oleh rakyat dengan alasan punyai birokrasi yang menyusahkan mereka. Namun fatwa itu tidak lagi diamalkan oleh ulama-ulama dalam mazhab Al-Syafie selepas itu. Ini kerana, perebutan pemilikan tanah sudah berlaku, maka sudah pasti mensyaratkan mendapat keizinan dari pihak pemerintah adalah satu keperluan. Contoh dari sudut tempat pula, seseorang yang buang air besar di khalayak ramai boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah berbanding orang yang buang air besar dalam jamban. Orang yang buang air besar di tempat buang air kecil boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah, sedangkan orang yang membuang air kecil di jamban membuang air besar boleh dianggap sebagai tidak melakukan mafsadah. Ekoran itu, Imam Abu Hanifah mengizinkan berlakunya penghakiman dengan penyaksian dari orang yang tidak diketahui keadaannya, kerana dengan merujuk kebiasaan orang pada era zaman Tabiin dan Tabii Al-Tabiiin yang terbiasa dengan keadilan, malahan ketika itu amat sukar untuk mencari orang zalim dalam kehakiman. Fatwa ini berubah pada era dua ulama dalam mazhab beliau, Al-Imam Abu Yusuf dan Al-Imam Muhammad disebabkan di zamannya tersebarnya kefasikan dan penipuan. Contoh dari sudut situasi pula seperti seseorang yang berceramah di hadapan kanak-kanak tadika tentang kegawatan ekonomi adalah sesuatu yang tidak mendatangkan maslahah, tetapi ia amat mendatangkan maslahah jika ucapan yang sama dilantunkan di hadapan ahli – ahli ekonomi. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengizinkan orang muda dari mencium isterinya ketika dia sedang berpuasa kerana bimbang keizinan itu boleh membawa kepada persetubuhan dalam bulan Ramadan, sedangkan Nabi SAW mengizinkannya kepada orang tua. Apabila Nabi Muhammad SAW ditanya, Baginda SAW menjawab bahawa orang tua itu boleh menahan dirinya. Dengan itu, meletakkan sesuatu itu dengan imbangan maslahah dan mafsadah ini merupakan keadilan menurut kupasan Dr Abd Rab Al-Nabi. Wahyu Ada sebilangan orang pihak islam menyatakan keadilan hanya tercapai dari sumber wahyu Islam sahaja, tidak dari sumber lain. Dakwaan ini tidak tepat. Hujahnya adalah, jika benar keadilan itu hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti keadilan tidak akan berlaku pada kalangan orang bukan Islam. Keadaan ini amat bercanggah dengan konsep Nabi, bahawa Baginda pernah mengakui keadilan Raja Habshah yang ketika itu beragama Kristian sehinggakan menyuruh para sahabat yang ditindas oleh pembesar Mekah agar berlindung di bawah kerajaan Raja Habshah itu. Dakwaan itu boleh dianggap tidak tepat juga, kerana dalam Al-Quran bahawa Allah pernah menyatakan bahawa Dia tidak akan membinasakan ahli sesebuah kerajaan secara zalim, jika ahli kerajaan tersebut saling melakukan islah (kandungan islah adalah kejayaan imbangan maslahah dan mafsadah). Hal ini dibahas oleh Al-Imam Fakhr al-Din Al-Razi dalam kitab Mafatih Al-Ghaib dan Al-Qaradawi dalam kitab Duar al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Isqtisad al-Islami, iaitu ketika membahaskan ayat ke 117 dari Surah Hud. Jika dianggap bahawa keadilan hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti Quran tidak akan memuji kebaikan kerajaan Saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis yang ketika itu belum beragama Islam lagi. Pihak mereka mahu mengukuhkan lagi pendapat mereka dengan mendakwa bahawa syirik adalah kezaliman yang paling besar, makanya orang yang tidak beragama islam sudah pasti tidak dapat melaksanakan keadilan. Dakwaan ini tidak tepat. Ini kerana, soal syirik adalah soal kepercayaan yang ia tidak memberi implikasi buruk pada keadilan yang berlaku dari sudut perbuatan. Jika mahu dikira, dalam Al-Quran pernah menyatakan bahawa kezaliman itu berlaku juga pada orang Islam yang melakukan kesilapan. Ini dapat dilihat dalam doa Nabi Yunus ketika berada dalam ikan (lihat surah Al-Anbiya, ayat 87), doa Nabi Adam ketika jatuh dari dunia (lihat surah Al-baqarah, ayat 37) dan berbagai-bagai lagi. Jika kesalahan yang dilakukan oleh para Nabi yang tidak melibatkan dosa pun, dianggap sebagai zalim menerusi Al-Quran, sudah pasti orang islam yang melakukan kesalahan yang melibatkan dosa, lebih-lebih lagi dikira sebagai zalim. Ekoran itu, kezaliman dalam ungkapan Al-Quran itu sendiri perlu diklasifikasikan kepada beberapa bentuk. Kezaliman dalam melakukan syirik, kezaliman dalam melakukan dosa dan kezaliman dalam melakukan kesilapan. Kesemua kezaliman ini tidak menafikan kewujudan melakukan keadilan dalam kerangka yang lebih besar, terutama dalam bernegara. Dengan maksud, selama mana wujud pemberian hak kepada yang berhak dan berjaya imbangkan maslahah dan mafsadah, maka ia adalah maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang merupakan maksud bagi keadilan.         unnamed

]]>