Rogol, kelelakian dan kisah Nabi Lut

Interpretasi teks suci Ada di antara kita yang cuba memastikan bahawa teks suci difahamkan sebagaimana yang ditentukan Tuhan. Tetapi interpretasi yang diberi, tidak dapat dinafikan, adalah interpretasi manusia. Tidak ada seorang manusia pun yang sebegitu berpengetahuan untuk mengenali kemahuan Tuhan. Sekiranya, mereka kata interpretasi mereka sahaja yang benar, mereka hanya mengagungkan diri, dan dalam pemahaman saya berkenaan agama, itu dosa yang terbesar. Ada juga di antara kita yang begitu pasti bahawa penafsiran yang mengiktiraf kesahihan perspektif sekarang tidak berkenaan, kerana, interpretasi yang dianggap suci perlu khusus, tunggal dan tidak berubah-ubah mengikut zaman. Bagi saya, sekiranya teks suci benar-benar ada relevansinya untuk setiap zaman, interpretasinya tidak boleh lagi terikat kepada isu zaman dahulu tetapi isu zaman sekarang. Begitu juga dengan kesedaran lelaki tentang kelelakiannya. Kesedaran ini masih bergolak dengan konteks dan oleh itu harus dimatangkan. Politik kelelakian (masculinity) Saya pernah membaca buku oleh Bob Pease yang bertajuk “Recreating Men: Postmodern Masculinity Politics.” [Penterjemahan tajuk: “Mencipta Semula Lelaki: Pascamoden Politik Kelelakian.”] Saya tertarik hati dengan bukunya sebab sebagai seorang lelaki, Bob Pease bertanya-tanya diri dengan sesungguhnya apakah manfaat untuk seorang lelaki sekiranya dia menyokong feminisme dan hak asasi wanita? Beliau mengenalpasti dirinya sebagai seorang lelaki pro-feminisme. Dalam bukunya, Bob Pease dengan begitu jujur hati mengulas kedudukan beliau dan rakan-rakan beliau sebagai lelaki yang pro-feminisme dan perasaan mereka yang tidak selesa dengan kelelakian yang diunjurkan oleh majoriti lelaki secara am. Di antara yang ditemubual oleh Bob Pease adalah seorang yang bernama Pat yang mengakui kecenderungan beliau untuk mengikut nafsunya terhadap wanita. Pat bercakap tentang perjuangan dalaman beliau, di antara keinginnya untuk mengikut nafsunya terhadap wanita dan keinginannya untuk menghormati wanita dengan cara yang dimajukan oleh golongan feminisme. Pat dengan tulus hati mengakui bahawa ada masanya beliau mahukan kuasa untuk mengawal dan mendominasi wanita mengikut nafsunya. Seorang lagi yang bernama Graham pula mengakui pada satu masa dahulu, dia pernah melabelkan lelaki yang merogol sebagai lelaki yang tidak berguna, lelaki yang jahat, dan beliau memandangkan dirinya sebagai seorang lelaki yang baik. Lama-kelamaan, Graham juga menyedari bahawa beliau sebagai seorang lelaki mempunyai kecenderungan untuk merogol dan kecenderungan ini adalah berkenaan kemahuannya untuk mempunyai kuasa ke atas wanita. Kesedaran kedua-dua Pat dan Graham tentang kecenderungan mereka untuk menjadi lelaki yang tidak diingini oleh mereka terhasil pula daripada kesedaran mereka tentang sistem patriarki dan cara mereka dididik menjadi lelaki. Patriarki dan kelelakian Buku Bob Pease mengemukan bagaimana sistem patriarki menindas lelaki. Bagi beliau dan rakan-rakan lelakinya yang pro-feminisme, sistem tersebut cukup merbahaya. Ini adalah kerana sistem patriarki pada dasarnya cuba menafikan pengalaman kemanusiaan kita. Oleh kerana kita dibesarkan dalam sistem patriarki, kita belajar menafikan pengalaman kita, terutamanya untuk lelaki. Lelaki diajar untuk tidak mempercayai pengalamannya. Lelaki diajar menafikan perasaannya, emosinya. Kesimpulan ini, menurut Bob Pease, boleh diperhatikan melalui pemutusan dalam perhubungan lelaki (a disconnect in men’s relationships) yang sering berlaku di antara lelaki dan wanita, di antara lelaki sebagai seorang anak dengan bapanya, dan di antara lelaki dengan lelaki yang lain. Di antara cerita yang paling menarik adalah cerita seorang yang bernama Michael. Michael menceritakan bagaimana dia tidak selesa dengan kerjanya sebagai seorang buruh. Beliau selalu rasa kosong dan sepi walaupun bapanya juga seorang buruh dengan syarikat yang sama. Michael tidak faham kenapa dia tidak rasa selesa dengan pekerjaan tersebut dengan suasana yang menonjolkan kelelakian rakan sekerjanya. Michael mula berfikir beliau seorang homoseksual, tetapi itu bukan isu sebenar. Michael merupakan seorang lelaki yang mempunyai kelelakian yang berbeza tetapi kelelakiannya tidak diterima dalam budaya kelelakian dominan dan dia mula berasa terasing daripada rakan sekerjanya. Perjalanan kejujuran hati Buku Bob Pease menunjukkan ada banyak jenis luahan kelelakian. Terdapat kelelakian yang menghormati wanita dan kelelakian yang tidak menghormati wanita. Wujud juga kelelakian yang cuba menyuarakan ketidakselesaannya dengan kelelakian dominan yang mahukan kuasa ke atas wanita, kelelakian dominan yang tidak mengakui kesamarataan wanita dengan lelaki. Bagi saya, apa yang paling menarik tentang buku Bob Pease adalah pengemukaan kejujuran hati beliau dan rakan-rakannya dalam cara mereka menyuarakan bagaimana susahnya bagi mereka untuk mengelak kecenderungan dan kemahuan mereka untuk menguasai wanita dalam isu keganasan seks. Bagi saya, itulah perjuangan kelelakian yang sebenar, untuk mencipta semula lelaki dengan penuh kesedaran dan kejujuran untuk mengenalpasti dalam diri mereka apakah jenis kelelakian mereka. Di sinilah, saya ingin berbalik kepada kisah Nabi Lut. Sekiranya, kita jujur dalam hati kita, kita akan menyedari bahawa mana-mana teks suci bertujuan untuk membantu kita mengenal diri kita, bukan untuk melabel orang lain sebagai penjahat dan bukan untuk menyalahkan orang lain untuk kesalahan kita unnamed  

]]>