Rombongan Pusat Islam Berbuka di Gurdwara – Dubai

Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times[/caption] Terjemahan makalah “Islamic Centre Members Break Fast at Dubai Gurdwara”, terbitan Asia Samachar pada 24 Jun 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Tahun lepas, 10 anggota dari Pusat Islam Al Manar telah melawat Guru Nanak Darbar untuk menggalakkan persefahaman antara agama. Tiba jam 7.16pm, waktu rasmi berbuka puasa pada bulan suci Ramadan di Dubai, suasana di dewan langar (dewan makan di Gurudwara Guru Nanak Darbar, iaitu sebuah kuil Sikh) berkumandang dengan alunan azan, bukan dengan bacaan kirtan seperti biasa, demi menghormati para tetamu dari Pusat Al Manar. Di satu bahagian, sekumpulan manusia duduk bersila dalam barisan menunggu hidangan langar (makan malam), manakala bahagian sebelahnya dikhaskan sebagai ruang solat. Pengalaman ini amat menyentuh hati. “Saya tidak pernah menyaksikan sesuatu sebegini sebelum ini,” kata Surjit Kaur, seorang wanita lanjut usia dari Punjab di utara India, yang sedang melawat anaknya di Dubai. Antara persitiwa julung kalinya buat Gurudwara yang baru dibuka pada bulan Januari 2012 itu, rombongan dari Pusat Islam Al Manar telah melawat pada hari Selasa demi menggalakkan persefahaman antara agama. Kedua-dua pihak saling bertukar mesej keamanan di dewan ibadat utama dan petangnya diikuti dengan hidangan mewah juadah vegetarian untuk Iftar. [caption id="attachment_4914" align="aligncenter" width="517"]Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times[/caption] “Saya rasakan ia usaha baik untuk mengadakan dialog terbuka antara warga berbeza agama dan amalan,” kata Surinder Singh Kandhari, Pengerusi Gurudwara Guru Nanak Darbar. “Lawatan seperti ini membantu menjelaskan salah faham. Dunia ini begitu besar dan ianya sesuatu yang baik untuk mempelajari dari agama lain juga. Sikh sebagai agama memuliakan toleransi, kesetaraan, sikap membantu dan kerendahan hati, dan Islam berkongsi prinsip yang sama,” katanya. “Kami berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai kerana memberikan kami tanah ini secara percuma dan memberi kebenaran untuk membina rumah ibadat dan mengamalkan agama kami secara bebas. “Kami dibenarkan menghidangkan langar sepanjang hari walaupun di bulan suci Ramadan. Lawatan ini melambangkan kemuliaan sama yang telah ditunjukkan pemerintah ke atas agama lain. ” Ketika beramah-mesra, gurudwara tersebut telah menghadiahkan delegasi dengan Saropa, iaitu pakaian kehormatan tertinggi di sebuah gurudwara. “Kami mengambil inisiatif ini ketika di Konvensyen Keamanan Dubai, yang merupakan acara dua tahun sekali. Kami menjemput wakil pelbagai agama; kami pernah menerima delegasi dari gereja dan kuil. Matlamatnya ialah untuk menyebarkan mesej keamanan melalui dialog. Usaha kami adalah supaya orang ramai dapat mengenali intipati Ramadan, mengapa ianya benar-benar istimewa bagi umat Islam,” ujar Abdul Hadi dari Pusat Islam Al Manar. Al Manar adalah pusat pengajian al-Quran dan dakwah yang diselia di bawah naungan Shaikha Hind binti Maktoum bin Juma Al Maktoum, isteri Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed. Jumaat lalu, 150 warga Sikh telah dijemput ke Pusat Islam tersebut untuk berbuka puasa dan berbicara.

]]>