Sebagai wanita Muslim, saya meminta kalian untuk tidak memakai hijab atas nama solidariti inter agama

Penterjemahan “As Muslim women, we actually ask you not to wear the hijab in the name of interfaith solidarity”  yang diterbitkan di Washington Post pada 21hb Disember 2015. Diterjemahkan oleh Johan Ariff. [caption id="attachment_5447" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: Associated Press Sumber gambar: Associated Press[/caption] Pada minggu yang lepas tiga pemimpin agama wanita – seorang rabai agama Yahudi, seorang paderi Episkopal, dan pendeta Unitarian – dan juga seorang imam lelaki berjalan memasuki ruang suci di hadapan mimbar yang diselaputi jubin hiasan di Pusat Islam Khadeeja yang terletak di West Valley City, Utah. Mereka tersenyum lebar, kepala mereka dililiti tudung yang berwarna terang sebagai tanda sokongan bagi hari “Wear a Hijab”. Laman web Salt Lake Tribune menyiarkan gambar gadis-gadis belasan tahun, yang tidak beragama Islam di antara orang ramai dan merupakan antara sebahagian khalayak yang hadir di kawasan masjid. Masing-masing menutup rambut mereka dengan skarf panjang. KSL TV kemudiannya melaporkan: “Hijab – ataupun tudung – adalah simbol kepada sifat rendah diri dan maruah. Apabila golongan wanita Muslim memakainya, itu bermakna bahawa mereka sudah siap siaga untuk dikenali sebagai penganut agama Islam.” Pada kami, wanita kebanyakan yang lahir di Mesir dan India, keadaan yang berlaku di Pusat Islam Khadeeja merupakan sesuatu yang menyakitkan kerana ianya mengingatkan kami kepada usaha yang dibiayai sepenuhnya oleh golongan Muslim konservatif dalam percubaan untuk mendominasi masyarakat Muslim moden. Gerakan konservatif Islam marcapada ini menyebarkan ideologi politik Islam yang diberi nama “Islamisme”, yang mempengaruhi ramai penyokong inter agama yang baik dan media, untuk mempromosi idea bahawa “hijab” merupakan ‘rukun ke enam’ dalam Islam, selepas lima rukun Islam yang  dimaktub tradisi iaitu mengucap dua kalimah syahadah (dan menunaikan Haknya), menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu. Kami menolak interpretasi bahawa “hijab” ini hanyalah simbol kepada sifat rendah diri dan maruah seperti apa yang dipercayai wanita Muslim. Gerakan zaman moden ini, yang termaktub di Iran, Arab Saudi, Taliban di Afghanistan dan ISIS secara keliru telah menyamakan perkataan arab Hijab dengan perkataan dalam konteks sekular iaitu tudung. Menyamakan hijab dengan tudung kepala merupakan suatu bentuk salah faham agama. “Hijab” secara literal bermaksud “tirai” dalam bahasa Arab. Ia juga membawa maksud “berselindung”, “menghalang” dan “mengasingkan” seseorang atau sesuatu. Dalam Al-Quran, hijab tidak pernah membawa maksud tudung atau skarf di kepala seperti yang difahami umum. Dalam bahasa Arab kolokial, tudung/skarf di kepala adalah tarha. Di dalam bahasa Arab klasik pula, “kepala” adalah al-ra’as dan penutup adalah gheta’a. Walau apa jua formula yang digunakan, “hijab” tidak pernah membawa maksud tudung/skarf di kepala. Media seharusnya berhenti daripada terus menyebarkan interpretasi songsang ini. Lahir pada tahun 1960an di dalam keluarga yang konservatif tetapi tetap mempraktikkan sikap keterbukaan (Hala di Mesir dan Asra di India), kami membesar tanpa disuruh untuk menutup rambut. Tetapi bermula pada tahun 1980an, susulan revolusi Iran pada tahun 1979 oleh minoriti Syiah dan kebangkitan ulama-ulama dari sektarian Sunni yang didanai penuh oleh Arab Saudi, kami dibuli dengan percubaan untuk memaksa kami menutup rambut dari dilihat oleh lelaki waima kanak-kanak. Anak perempuan dan gadis, yang seringkali dipanggil “enforce-hers” dan “Muslim mean girls”, mengambil langkah lebih ‘maju’ dengan mempersenda wanita-wanita yang dianggap salah caranya dari segi pemakaian hijab mereka  Golongan wanita yang memakai jeans skinny seringkali dipanggil “hijabis” selalu dilabel secara biadap sebagai “ho-jabis”, penggunaan istilah yang kasar bagi “pelacur”. Namun dalam pelbagai interpretasi yang wujud dari abad ke tujuh sehingga ke hari ini, dari sarjana Morocco Fatima Mernissi ke ahli akademik dari UCLA, Khaled Abou El Fadl, termasuk jugalah Leila Ahmed (Harvard), Zaki Badawi dari MEsir, hinggalah kepada Abdullah al Judai dari Iraq dan dari Javaid Ghamidi dari Pakistan, masing-masing secara jelas dan terang-terangan menetapkan bahawa golongan wanita Muslim tidak diwajibkan untuk menutup rambut mereka. [caption id="attachment_5448" align="aligncenter" width="477"]Komik dari novel grafik, "Persepolis" Komik dari novel grafik, “Persepolis”[/caption] Mencabar pemakaian hijab Justru, bagi kami, “hijab” merupakan simbol interpretasi agama Islam yang perlu tolak totok kerana ianya bersandarkan suatu pemahaman bahawa golongan wanita adalah makhluk seksual pengalih perhatian (sexual distraction) terhadap golongan lelaki yang senantiasa lemah dan tidak seharusnya dibiar tergoda oleh penampakan rambut wanita. Tentu sekali kami tidak dapat menerima jalur kefahaman sebegini. Ideologi ini telah mempromosi norma sosial yang membenarkan lelaki untuk mengganggu wanita secara seksual dan mengalihkan tanggungjawab kepada mangsa (wanita) yang seharusnya melindungi diri melalui cara pemakaian mereka. Gerakan Pembaharuan Muslim (Muslim Reform Movement), iaitu sebuah jaringan pemimpin dari seluruh dunia yang mendukung hak kemanusiaan, keamanan dan pemerintahan sekular, menyokong hak kebebasan wanita Muslim sama ada untuk memakai atau tidak memakai, tudung atau skarf di kepala. Tetapi malangnya, idea bahawa pemakaian “hijab” ialah wajib  dan mandatori telah disebarluaskan oleh usaha-usaha naif seperti melalui Hari Hijab Sedunia (World Hijab Day), yang dimulakan pada tahun 2013 oleh Nazma Khan, seorang warganegara Amerika-Bangladesh yang memiliki syarikat tudung/skarf di kepala di Brooklyn, dan juga melalui stesen Ahlul Bayt, stesen televisyen yang menyebarkan ajaran Shiah, dan University of Calgary di selatan barat Kanada, turut mempromosikannya bagi menunjukkan keterlibatan mereka dengan Hari Hijab Sedunia ini. Syarikat stesen televisyen Ahlul Bayt ini berhujah bahawa pemakaian tudung adalah perlu bagi golongan wanita untuk mengelakkan “perhatian yang tidak diingini”. Pihak penganjur Hari Hijab Sedunia (World Hijab Day), stesen TV Ahlul Bayt dan pihak University of Calgary tidak memberi apa-apa maklum balas ketika diminta untuk memberi komen mengenai perihal ini. Sambil melampirkan pelbagai sumber di laman sesawang rasminya, stesen TV Ahlul Bayt turut mengaitkan hal bertudung ini dengan konsep bahawa “wanita adalah aurat” atau terlarang (forbidden): suatu konsep yang langsung menjurus kepada pengurungan, sub-ordinasi, paksaan untuk  mendiamkan diri dan penguasaan terhadap suara-suara wanita dan keterlibatan mereka di dalam masyarakat awam. Di laman sesawangnya  stesen TV ini turut memuatkan sebuah artikel bertajuk, “10 alasan yang digunakan wanita Muslim yang tidak memakai hijab dan kelemahan-kelemahan mereka,” (The top 10 excuses of Muslim women who don’t wear hijab and their obvious weaknesses) dengan seruan, “Ayuh naikilah kereta api di landasan taubat ini, saudara seagamaku, sebelum ia berpergian dari perhentianmu.” Gesaan untuk memaksa wanita menutup rambut mereka telah tiba di suatu tahap yang amat membimbangkan dengan wujudnya laman web Muslim ultrakonservatif dan organisasi-organisasi yang terus menyebarluaskan interpretasi sebegini, seperti VirtualMosque.com dan Al-Islam.org, di mana mereka turut menyiarkan rencana bertajuk, “Hijab Jokes”, yang sinis menyindir golongan wanita Muslim yang tidak menutupi rambut mereka secara “Islamik”. Pada minggu lepas, pelajar perempuan dari Vernon Hills High School, di pinggiran Chicago, melilit kepala mereka dengan skarf sempena program “Walk a Mile in Her Hijab”, yang ditaja oleh persatuan konservatif Pertubuhan Pelajar Muslim di sekolah mereka. Aktiviti ini sesuatu yang merisaukan apabila kami melihat gambar-gambar anak-anak ini berkerudung di kepala. Tambahan pula, beberapa kumpulan Muslim sedang giat menyebarkan pelbagai artikel mengenai golongan wanita Muslim berhijab yang mendepani pelbagai ancaman. Kakitangan Majlis Hubungan American-Islamic telah mendakwa dan membuat aduan terhadap syarikat-syarikat di Amerika Syarikat yang melarang pekerjanya daripada memakai hijab di tempat kerja. Malah mereka telah menamakan organisasi mereka sebagai “the hijab legal defense fund”. Kini, pada abad ke 21, kebanyakan masjid di seluruh dunia, termasuklah di Amerika Syarikat, menafikan hak agama kami sebagai wanita Muslim untuk bersolat tanpa kerudung, sekaligus mendiskriminasi kami dengan tidak membenarkan kami masukke dalam masjid jika kami tidak menutupi rambut kami. Seperti Gereja Katolik selepas reformasi Vatican II pada tahun 1965 yang menghapuskan kewajiban untuk golongan wanita untuk memakai kerudung jika hendak memasuki gereja-gereja , masjid juga seharusnya menjadikan skarf di kepala sebagai pilihan dan bukan kewajipan andaikata mereka benar-benar ingin menjadikan masjid sebagai ruang yang “mesra-wanita”. Mujurlah, adanya beberapa individu yang berani mencabar arahan-arahan mandatori seperti ini. Pada awal Mei 2014, jurnalis dari Iran, Masih Alinejad, memulakan kempen baru yang berani, #MyStealthyFreedom, untuk memprotes undang-undang yang mewajibkan wanita untuk memakai hijab. Ia dilaksanakan setelah teokrasi Iran memenangi tampuk kuasa pada 1979. Kempen slogan tersebut adalah: “Ianya ialah hak bagi mana-mana individu wanita Iran untuk memilih sama ada mereka ingin memakai hijab.” [caption id="attachment_5449" align="aligncenter" width="460"]Sumber gambar: Morocco World News Sumber gambar: Morocco World News[/caption] Kepentingan interpretasi kitab Al-Quran Mandat yang memerlukan golongan wanita menutup bahagian rambutnya selama ini telah bersandarkan kepada interpretasi songsang terhadap ayat-ayat Al-Quran. Di dalam kamus bahasa Arab, hijab merujuk kepada “halangan”, tidak semestinya di antara lelaki dan wanita, tetapi juga di antara seorang lelaki dengan lelaki lain. Perkataan “hijab” muncul di dalam Al-Quran (33:53) pada tahun ke-5 penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah, apabila beberapa tetamu berada di rumahnya terlalu lama. Dengan itu termaktublah beberapa peraturan etika apabila ingin berbicara dengan isteri-isteri Nabi Muhammad: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.” Oleh yang demikian,jelas, hijab membawa maksud pembahagi (partition). Perkataan hijab hanya terbit sebanyak lapan kali di dalam Kitab Al-Quran sebagai “halangan” atau “dinding pembahagi” (7:46), sebagai “tirai” (33:53), “tersembunyi” (38:32) dan “dihalang” atau “terdinding dari rahmat Tuhan” (83:15). Di dalam Al-Quran, penggunaan perkataan Hijab tidak membawa konotasi ketaatan pada agama atau kesolehan. Sebaliknya, ia membawa konotasi negatif sebagai halangan yang jelas atau metaforikal dalam  memisahkan golongan “bukan penganut Islam” ke dalam ruang yang gelap, seperti yang jelas tertulis melalui “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami)(41:5),” sebagai contoh, dinding pembahagi di antara golongan di neraka dan di syurga (7:46) atau “Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya (83:15).” Mahjaboon merupakan kata kerja yang terbit daripada perkataan hijab. Al Quran tafsir dari Arab Saudi menterjemahkannya sebagai “terselindung”. Sebenarnya, dalam konteks penggunaannya melalui ayat ini, ia membawa maksud “tidak mampu mencapai (denied access)”. Ayat yang sering digunakan bagi mempertahankan kewajipan pemakaian tudung (33:59) menyatakan, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya (jilbab) bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Merujuk kepada kamus Arab, jilbab bermaksud “gaun yang labuh dan panjang” yang juga merupakan pakaian tradisional Arab pada waktu itu. Ayat tersebut tidak mengarahkan golongan perempuan memakai cebisan kain yang baru, cuma sebaliknya membetulkan pakaian yang telah ada. Ia juga tidak membawa maksud kerudung di kepala. Yang membimbangkan, kerajaan Arab Saudi memanipulasi terjemahan ayat tersebut untuk mewajibkan penutup muka (purdah) terhadap golongan perempuan, dan hanya membenarkan wanita untuk melihat dengan hanya “satu mata”. Terjemahan oleh  kerajaan Arab Saudi dibaca seperti ini: “O Prophet! Tell your wives and your daughters and the women of the believers to draw their cloaks (veils) all over their bodies (i.e. screen themselves completely except the eyes or one eye to see the way). That will be better, that they should be known (as free respectable women) so as not to be annoyed, and God is most forgiving, most merciful.” Mengikut konteks, ahli sejarah Islam menyatakan bahawa ayat ini diturunkan di kota Madinah, pada waktu Nabi Muhammad melarikan diri daripada di bunuh di Mekah, dan ayat ini terbit bagi melindungi wanita dari keganasan seksual yang seringkali dihadapi di jalan-jalan Madinah, di mana golongan lelaki selalu mengganggu wanita secara seksual, terutamanya golongan hamba. Pada hari ini, kita mempunyai kod jenayah yang mampu menjadikan tindakan ini sebagai jenayah; negara yang tidak mempunyai kod jenayah seperti perlu mengadakannya, berbanding semata-mata menghukum golongan wanita walhal jenayahnya ialah disebabkan oleh tindakan keganasan oleh pihak-pihak lain. Ayat yang lain (24:31) turut juga digunakan secara meluas bagi menjustifikasikan kewajipan pemakaian tudung, yang menyatakan “….Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…” Di dalam puisi Arab yang lama, “khemar” adalah skarf sutera yang dipakai oleh golongan wanita kaya. Ianya diletak di bahagian tengah kepala dan ekor kainnya dijatuhkan ke bahagian belakang, sebagai cara untuk memikat para lelaki dan menunjukkan kekayaan yang ada. Ayat ini juga diturunkan pada waktu di mana perempuan menghadapi gangguan apabila mereka menggunakan tandas yang terbuka. Ayat ini juga merupakan arahan bagi menggunakan pakaian tradisional sedia ada pada waktu itu. Ia tidak langsung memaksa untuk menggunakan sesuatu yang baru. [caption id="attachment_5450" align="aligncenter" width="959"]Sumber gambar: WSJ Sumber gambar: WSJ[/caption] Pemerolehan semula agama kami Pada tahun 1919, wanita Mesir berarak di jalanan menuntut hak untuk mengundi; mereka membuka purdah mereka, yang merupakan tradisi budaya yang diambil dari Empayar Uthmaniyah, bukannya sebagai arahan agama. Purdah, setelah itu, menjadi sesuatu yang  lapuk. Kemudian, Presiden Mesir Gamal Abdel-Nasser berkata melalui ucapannya pada awal 1960-an, sewaktu beliau sedang mendamaikan ahli-ahli Muslim Brotherhood kerana percubaan membunuh beliau pada 1954, Pemimpin Agung Ikhwanul Muslimin memberi beliau satu senarai tuntutan, antaranya ialah “menuntut pemakaian hijab pada wanita Mesir”. Para penonton pada waktu itu tidak memahami dengan apa yang dimaksudkan dengan hijab. Apabila Gamal Abdel-Nasser menjelaskannya, para penonton mulai ketawa berdekah-dekah. Sebagai wanita yang membesar di dalam keluarga Muslim yang moden dengan  beberapa ahli teologi dalam keluarga kami ini, kami sedaya upaya cuba untuk memulihkan semula agama kami supaya terlepas dari interpretasi sehala yang terlalu ketat. Misalnya, ketika remaja, kami menjadi saksi kepada percubaan untuk menjadikan ideologi yang ketat ini sebagai satu-satunya versi yang diterima Islam. Kami telah melihat sendiri bagaimana kebangkitan politik Islam mempengaruhi wilayah tempat asal dan di negara tempat tinggal kami kini. Sebagai warga Amerika Syarikat, kami percaya terhadap kebebasan beragama. Namun kita perlu jelas menerangkan kepada mereka di universiti, media, dan forum-forum perbincangan yang mengeksplorasi isu “hijab”, bahawa mereka bukannya mempelajari agama Islam, tetapi sebaliknya sedang menerokai ideologi politik Islam yang dianuti golongan Mulla atau Ulama di Iran dan Arab Saudi, pihak Taliban di Afganistan dan Islamic State (ISIS). Atas nama “inter agama”, warga Amerika Syarikat yang berniat baik tertipu oleh agenda Muslim yang berhujah bahawa maruah wanita bergantung kepada “kesucian” mereka dan dengan relanya memaksa-maksa kewajipan pemakaian hijab ini pada setiap individu wanita. Sebaliknya, sila lakukan ini: Jangan memakai skarf di kepala sebagai tanda “solidariti” dengan ideologi yang seringkali mendiamkan kami, menyamakan tubuh kami dengan “maruah”. Sebaiknya, berdirilah bersama-sama kami dengan keberanian moral menentang ideologi Islamisme yang telah menuntut paksa kami supaya mengerudungi rambut kami. Asra Q. Nomani adalah bekas wartawan Wall Street Journal dan penulis buku “Standing Alone: An American Woman’s Struggle for the Soul of Islam.” Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas Muslim Reform Movement, inisiatif golongan Muslim yang baru dan sekutunya, menyokong kedamaian, hak kemanusiaan dan pemerintahan sekular. Beliau boleh dihubungi melalui asra@asranomani.com Hala Arafa adalah wartawan yang sudah bersara, bekerja selama 25 tahun di International Bureau of Broadcasting sebagai program review analyst. Beliau juga pernah menjadi editor berita di bawah cawangan bahasa Arab di Voice of America.  

]]>