Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Melawan?

Chubadak Forum “Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Melawan” mendapat sambutan hebat pada 12hb September yang lepas. Tajuk forum ini merupakan permainan kata dari lagu pop ikon Melayu, “Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Menawan”, yang dinyanyikan dari perspektif lelaki, dengan secara humornya menukarkan kata “menawan” kepada “melawan”. Adakah ia sebagai tanda bahawa golongan wanita tidak lagi ingin dianggap sebagai objek, “senang dipandang” menurut mata lelaki dan hanya diukur melalui kecantikan semata-mata? Tajuk forum seperti ini menarik kerana ia memberi suatu anjakan kepada wacana-wacana di negara kita tentang penilaian semula peranan wanita secara umum. Walaupun wujud nada-nada skeptikal yang kebanyakannya dari golongan lelaki, namun tidak dapat kita nafikan kelantangan tajuk sebegini merupakan suatu keperluan. Lebih-lebih lagi di negara kita, di mana kehormatan itu sendiri mempunyai batas, dan nada sesuatu hal lebih diberikan keutamaan berbanding isu yang diperjuangkan. Sebelum kita mula membincangkan isi-isi yang dinyatakan oleh para panelis yang dijemput, harus kita persoalkan semula tajuk yang diberi. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gadis Melayu yang melawan? Adakah ia dilihat sebagai landasan kenyataan bahawa gadis Melayu telah melalui proses sosialisasi yang menyebabkan mereka menjadi akur tanpa mampu mempersoalkan keadilan sosial secara tegas? Adakah ia memberi fokus spesifik kepada contoh-contoh gadis Melayu yang tegas menentang sistem patriarki melalui medium-medium yang mampu digunakan oleh mereka? Ataupun ia hanya permulaan berdialog untuk mencetuskan sedikit perdebatan dan perbincangan tentang perlunya wacana autonomi wanita dimulakan dan disebarkan ke seluruh pelosok negara? Jadi ayuh kita teruskan dengan isi-isi yang dinyatakan oleh para panelis, dan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘gadis melawan’ menurut mereka. Harus diingatkan terlebih dahulu bahawa artikel ini merupakan ulasan kasar saya sebagai penulis dan bukannya laporan yang mengutip kata-kata mereka secara spesifik. Oleh itu, beberapa analisis yang ditulis ini merupakan gabungan di antara tanggapan saya dan pendapat umum yang diberikan oleh para panelis. Imej Gadis Melayu di Zaman Pascamoden? Persoalan yang diberikan oleh pengacara pada awalnya adalah definisi tipikal yang telah lama melekat kepada erti ‘Gadis Melayu’. Yati Kaprawi, pembikin dokumentari (Ulama Perempuan, Aku Siapa, Mencari Kartika) menyatakan keluhan beliau mengenai tanggapan masyarakat secara umumnya terhadap imej perempuan Melayu. KebayaBeliau menyatakan peralihan imej telah berlaku secara drastik dan secara tidak langsung membentuk pendapat yang berbeza tentang perempuan Melayu. Beliau meneruskan pendapat bahawa masyarakat telah menghukum imej perempuan pada waktu dahulu dan menempelkan label sebagai “liar”. Fadiah Nadwa selaku aktivis dan peguam Hak Asasi Manusia yang juga merupakan salah seorang penganjur BERSIH pula menyatakan impak kategori wanita Melayu yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Beliau juga menyentuh tentang stereotaip dan prejudis di kalangan masyarakat, yang melahirkan dikotomi di antara urban-moden dengan kampung-kolot, dan lain-lain. Beliau meneruskan lagi bahawa perbalahan ini tidak menolong golongan perempuan sesama sendiri untuk berusaha meningkatkan kesedaran mengenai sistem patriarki yang secara amnya menindas kesemua golongan perempuan.   Kongkongan Budaya dan Simbol Kesucian Wanita Dari segi aspek budaya pula, kongkongan melalui pemakaian semakin berleluasa. Yati Kaprawi di acara Art for Grabs tersebut turut membikin kad lukisan wanita berkemban sebagai tanda solidariti kepada para pengkarya wanita yang telah dihalang penerbitannya hanya kerana menunjukkan adegan tersebut. Sedangkan, babak berkemban merupakan gambaran zaman lampau di mana tudung belum lagi diguna pakai. Kemban Yang saya nampak di sini adalah percanggahan di antara tradisi dan imej beragama di tempat kita. Jika diikutkan kesinambungan budaya Melayu lampau, sebagai contoh tarian tradisional, mereka tidak mengenakan tudung dan ini tidak dilihat sebagai sesuatu masalah. Tetapi pada waktu ini wujudnya suatu pergelutan dari segi etika keterampilan imej dan penerusan tradisi yang telah berlangsung dari masa lampau. Langsung persoalan yang timbul dari benak saya ialah, adakah tidak wujudnya pada waktu dahulu walau sedikit pun pemilikan tubuh badan wanita sebagai simbol? Bagaimana pula dengan simbol kesucian yang dimaknakan pada waktu dahulu? Adakah ia dimanifestasikan melalui tubuh wanita secara spesifik? Atau adakah ia suatu konsep abstrak yang lebih memberi kelonggaran terhadap budaya tempatan? Pada waktu ini, pelbagai pihak mulai cuba memiliki simbol tubuh wanita walhal ia sebagai alasan untuk mereka mengongkong wanita. Pada waktu ini kesucian telah dimaknakan secara fizikal (tubuh wanita) dan diberi beban kepada golongan wanita, dan ironinya pemaknaan kesucian ini jugalah yang mengakibatkan segala bentuk ketidakadilan berlaku kepada mereka. Melalui medium seni visual pula, Engku Iman selaku seniwati muda pula menceritakan pengalamannya melukis subjek yang berkait rapat dengan organ tubuh wanita. Karya yang diletakkan di ruang awam membangkitkan kemarahan masyarakat sekeliling yang mempersoalkan semula bakat dan pilihan subjek beliau. Berdasarkan pengamatan saya melihat karya-karyanya, beliau hanya menggunakan simbol organ itu sebagai kritik terhadap budaya yang sering memperlekehkan subjek tersebut. Dari segi permainan susunan kata dan penggayaan simbol tangan, kesemuanya berbalik kepada organ wanita dan bagaimana ia digunakan sebagai sesuatu yang jelik. Manakala media popular pula turut memainkan peranan menguatkan lagi kesinambungan budaya yang menindas golongan perempuan. Lihat sahaja filem-filem Melayu pada waktu ini yang membenarkan imej perempuan sebagai simbol menurut perintah dan rela mengikut arahan tanpa punya kuasa untuk mempersoalkan apa-apa pun. Karya fantasi tetap relevan dan harus dilihat sebagai cerminan realiti yang sedang kita hadapi. Sangat jelas karya-karya yang dihasilkan tidak langsung memikirkan impak sebenarnya terhadap golongan wanita Melayu. Ombak Rindu Kolonialisme sebagai Punca Anjakan Imej Panelis keempat, Nurhayyu Zainal merupakan seorang aktivis dan penggerak muda bersama Kolektif Guerilla Budaya (KGB).  Beliau menyatakan impak kolonialisme merupakan salah satu punca yang menambah kesinambungan dominasi sistem patriarki terhadap wanita Melayu. Mengikut konteks budaya pada waktu ini, adakah wujudnya anjakan drastik terhadap imej perempuan apabila pertembungan budaya dikuatkan lagi melalui media massa dan budaya popular yang disebarkan dari negara Barat? Kerana semestinya waktu ini, produk budaya telah dihasilkan secara lambakan. Ia mampu diraikan oleh semua golongan berbanding pada waktu dahulu. Yati Kaprawi pula menekankan bahawa proses “Islamisasi” adalah lebih kepada peminjaman budaya secara membabi buta. Beliau menyatakan bahawa definisi kepada apa yang dianggap sebagai budaya Islam di rantau ini hanyalah tirai kepada budaya yang sebenar-benarnya dicedok , iaitu budaya Arab. Beliau memberi contoh bahasa, di mana berbeza dengan bahasa Melayu yang seringkali bersifat neutral, bahasa Arab pula membezakan sesuatu melalui gender. Pada masa yang sama para panelis turut mengkritik Parti Islam yang tidak berusaha mengangkat darjat wanita. Mereka melihatnya sebagai suatu hipokrasi yang menggunakan agama sebagai landasan untuk menindas. Sedangkan setiap agama yang wujud dimaknakan melalui peningkatan maruah setiap manusia yang menjangkaui gender, tetapi yang bertentangan pula berlaku pada waktu ini. Langsung persoalan mengenai budaya yang tampak Islam tetapi intinya kosong. Bersih Girls Hal Kepimpinan sebagai Simbol Melawan Jadi berbalik kepada persoalan utama, adakah wanita Melayu secara umumnya tidak pernah melawan? Para panelis menyanggah tanggapan ini kerana terdapat banyak inisiatif yang dimulakan oleh golongan wanita Melayu untuk menyanggah sistem patriarki. Di sini harus ditekankan bahawa forum ini tidak membawa niat “membenci lelaki” seperti apa yang difikirkan oleh golongan lelaki seksis. Itu merupakan alasan klise dan tidak mempunyai hujah yang kukuh. Wanita-wanita dari NGO Sisters in Islam, WCC dan banyak lagi yang berusaha untuk mengangkat semula martabat wanita. Mereka menekankan aspek kepimpinan sebagai peneraju utama bagi wanita menentang sistem patriarki. Konsistensi kepimpinan yang dilakukan harus dilihat sebagai usaha untuk melawan simbol dominasi yang telah dikawal kuat oleh tenaga maskuliniti sebagai citra utama patriarki. Ini merupakan sesuatu yang baru dan penindasan secara sedar ataupun prasedar inilah yang harus ditentang secara tegas. Secara tidak langsung mereka melihat semua ini sebagai tanggungjawab semua pihak, termasuklah golongan lelaki yang tidak hanya wajar menghormati wanita, tetapi turut menolak produk-produk budaya patriarki. Kesimpulan Secara menyeluruhnya forum ini berjalan dengan lancar dan berjaya membuka ruang perbincangan agar isu feminisme dan patriarki mampu terus dipersoalkan secara konsisten. Antara kritikan terhadap forum ini adalah kurangnya persoalan mengenai kuasa politik yang dipegang oleh golongan wanita (ini berdasarkan komen melalui laman web Facebook yang menyatakan kekecewaan apabila setiausaha politik DAP, Dyana Sofya tidak dapat hadir untuk memberi sudut pandang dari segi politik). Ada pula yang merasakan bahawa para panelis terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi, kelas menengah dan tidak mengambil kira sudut pandang golongan kurang bernasib baik seperti pekerja kilang dan kawasan industrial. Mungkin ini membawa tanggapan bahawa perbualan ataupun masalah yang diutarakan tidak sepenuhnya menggambarkan keadaan sebenar penindasan yang berlaku terhadap golongan wanita. Dan saya secara jujurnya mengharapkan agar para panelis lebih menceritakan pengalaman mereka dan bagaimana mereka sebagai wanita Melayu “melawan” sistem patriarki yang wujud di sini. Tapi saya tidak menafikan kekuatan gadis Melayu yang melawan, dan kita akhiri dengan tentangan yang halus, “Siapa bilang gadis Melayu tak melawan?”

]]>