Siapakah saya?

Untuk menjadi setia, dan tunduk dalam kawalan sesebuah kelompok sudah tidak menawarkan apa-apa keselamatan. Sekarang dunia ini memerlukan orang yang oleh menghubungkan beberapa kesetiaan, beberapa pertalian, beberapa identiti. – Naomi Gildenberg

Kita tidak pernah bertanyakan “siapakah saya”. Kita seringkali ditanya apakah bangsa kita, agama kita atau etnik kita. Bagi saya itu merupakan persoalan lama dan tidak lagi relevan pada masa kini. Dalam upaya saya untuk menjawab persoalan siapakah saya, saya perlu menghubungkan beberapa budaya dan latar belakang berbeza yang saya lalui. Siapakah saya? Sememangnya keperibadian saya dibentuk oleh sejarah, tetapi terdapat kekurangan perspektif tentang apa yang berlaku pada masa lalu. Juga, saya adalah gabungan segala ketidakpedulian, cita-cita, kerinduan untuk kebebasan dan segala kerohanian di dunia. Saya adalah hasil daripada indoktrinasi nilai keluarga, agama, sistem politik dan pemikiran majoriti kelas menengah. Saya adalah makhluk yang direka-bentuk akibat daripada hasil binaan konteks sosio-politik di negara saya. Di mana saya adalah dan sedang dikawal oleh idea-idea orang lain, yang saya sangkakan kepunyaan saya. Saya seorang rakyat Sabah dan tercatat dalam kertas ID sebagai warganegara Malaysia, tetapi ia bukan sejarah keperibadian saya, bukan identiti saya. Bulan lalu (September) merupakan bulan yang penting bagi kebanyakkan rakyat di Sabah dan Sarawak mengenai identiti mereka sebagai rakyat Malaysia. Perbincangan identiti itu menjadi penting kerana selepas beberapa tahun baru wujud sebuah kesedaran baru mengenai kepentingan 16 September, atau Hari Malaysia. Dan apa yang menarik lagi, tahun ini merupakan tahun Malaysia mencapai umur 50 tahun. Jika seseorang sudah berumur 50 tahun, dia sering dilihat sebagai seorang yang sudah dewasa dan mencapai kematangan. Dan meliputi sebuah pengalaman yang luas dengan pelbagai adaptasi dari segi tingkah laku dan cara hidup. Dan kebanyakkan kita sibuk dalam dunia orang dewasa, kita jarang mencari masa untuk berhenti dan bertanyakan soalan asas mengenai identiti kita. Kerana peranan dan fungsi kita cenderung untuk menentukan identiti kita. Dan berbalik kepada Malaysia yang sudah berumur 50 tahun dan dianggap dewasa dan matang. Apakah maksud pendewasaan ini? Terdapat bukti-bukti yang menyokong Dr. Harry Blatterer di mana beliau menegaskan bahawa kekuatan ekonomi kapitalisme lah yang menentukan dan mendefinisikan pendewasaan dalam masyarakat kontemporari masa kini. Penanda ukur yang Blatterer namakan “the classical marker of adulthood” ialah: kebebasan, keluarga dan pekerjaan. Ketiga-tiga elemen ini juga boleh diterjemahkan kepada: kerjaya, perkahwinan heterosexual, rancangan persaraan, insurans, anak, kereta, rumah dan banyak lagi. Dan selagi seseorang berfungsi secara efektif dalam masyarakat, ia dianggap bahawa pendewasaan kita adalah sihat dan berkembang. Dalam erti kata lain, untuk lelaki, mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja yang produktif,  mendapat upah yang layak, menjadi bapa kepada anak-anak dan mengekalkan kawalan. Manakala, untuk perempuan, itu bererti menjadi isteri dan ibu, menjaga keperluan rumah dan dapur, dan melahirkan anak. Kehidupan yang berhasil dan produktif, itulah maksud menjadi seorang dewasa. Dimana ada satu bentuk persetujuan yang kita harus mainkan yang ditentukan oleh politik, ekonomi dan agama zaman sekarang. Maka, dalam pemikiran kita, itulah identiti kita. Identiti kita telah dimanipulasikan dengan suntikan sistem pecah dan perintah, supaya kekuasaan mampu dikawal oleh hanya segelintir kumpulan. Kita dipaksa untuk percaya bahawa antara manusia, kita adalah berbeza antara bangsa, warna, kepercayaan dan agama. Kita dipaksa untuk percaya bahawa dunia ini penuh dengan dosa, dan bumi adalah mati, maka manusia mempunyai “tanggungjawab” untuk mengeksploitasikannya. Seperti juga konsep bangsa atau negara bangsa, yang bertujuan untuk memecah-belahkan manusia dan eksploitasi sumber alam semulajadi. Seperti yang kita tahu, kita dilahirkan dari bumi, dan akan kembali juga ke bumi. Tubuh kita adalah sebahagian daripada alam semesta ini, dan diaplikasikan sama kepada semua manusia di peringkat lokal, nasional, regional dan internasional. Darah kamu yang mengalir dalam badan, warnanya merah sama seperti darah yang mengalir dalam badan saya. Dan apabila kita tersilap menganggap bahawa kita mempunyai identiti kekal, maka ia akan membawa kepada penderitaan. Jadi siapakah saya? Apa fungsi saya dalam menyumbangkan kepada dunia yang lebih baik. Kita mempunyai kebiasaan untuk melihat diri kita dengan cara tertentu. Tapi semua akan berubah kalau kita bermula untuk bertanyakan soalan asas, siapakah saya. Dengan pertanyaan kepada soalan itu akan mencungkil satu dimensi yang lebih mendalam. Contohnya kita selalu berkata, matahari telah terbit. Bertahun-tahun tanpa refleksi mendalam kita mengatakan matahari telah terbit, kita bangun pagi dan melihat matahari sudah naik. Dan kita menganggap bahawa memang begitulah apabila sudah pagi, matahari sudah naik. Tapi apabila satu hari saya berdiam dan bertanya, bagaimana matahari itu terbit? Dengan pengetahuan sains, saya mendapat tahu matahari langsung tidak terbit, tetapi sebenarnya bumi ini yang bergerak dan berputar. Menjadikan matahari statik itu bersinar kepada kita. Sesuatu yang selama ini saya abaikan, sekarang saya melihatnya dengan perspektif yang berbeza. Saya telah melihat kewujudan cahaya matahari tidak terasing daripada acara yang saling berkaitan dengan keadaan sekelilingnya. Dan konsep yang sama juga digunakan untuk bertanyakan siapakah saya. Identiti saya bergantung kepada banyak sebab-sebab yang lain. Tetapi perkara pertama yang selalu kita lihat dalam budaya kita ialah bangsa atau agama kita. Kita telah diberitahu banyak kali dalam media, dalam buku teks, di sekolah, di universiti, oleh ibu bapa kita, kawan-kawan kita, ahli pemimpin kita, ketua agama kita bahawa kita adalah begini dan begitu. Kuncinya disini ialah pada pertanyaan, dan bukan kepada jawapan yang kita terima. Saya dibentuk oleh sejarah, oleh keperibadian yang saya temui sepanjang hidup saya, begitu banyak sekali sehingga tidak ada identiti yang jelas untuk saya kata apakah identiti saya yang sebenar.  Keperibadian saya juga bergantung kepada kombinasi keadaan dan tindakan, ia tidak kekal juga tidak independen. Saya terus sedar bahawa terdapat banyak jaringan yang menghubungkan saya kepada kehidupan orang lain, saya sedar bahawa kewujudan saya penuh erti melalui interaksi dengan orang lain. Di peringkat yang lebih mendalam, kita bukan sahaja rapat secara fizikal, tetapi juga kepada makhluk hidup yang lain. Dan ini membawa saya kepada realisasi bahawa pemahaman saling kaitan dengan semua kehidupan boleh membawa kepada dunia yang lebih aman. Kita seharusnya merayakan kepelbagaian manusia, dan belajar untuk tidak terancam dengan perbezaan antara kita. Ini kerana pada peringkat yang paling asas, kita, melalui satu ikatan mistik, dilahirkan untuk berkongsi dalam jangka hayat di planet yang sama ini, dalam alam semesta yang luas. Dengan kebanggaan terhadap identiti kita, kita juga harus sedar bahawa ancaman terhebat sekali kepada keberlanjutan budaya kita ialah kemusnahan alam dan bumi kita. Itu ancaman kepada pembunuhan identiti kita. Kerana tujuan kekuasaan dan asimilasi hanya ada satu tujuan, iaitu untuk menyenangkan kerja untuk memusnahkan bumi dengan rampasan tanah, pembikinan projek mega, empangan, hotel, dan pembangunan yang tidak lestari. Maka identiti kita sebagai manusia akan hilang, dan hanya menjadi robot akibat dehumanisasi dan penindasan. Jika kita hanya mendengar satu cerita, kita akan menghasilkan stereotaip, dan masalah dengan stereotaip ialah ia bukan tidak betul, tetapi ia tidak lengkap. Soalan siapakah saya ini bukan saja terletak pada kertas, IC atau pasport. Tapi termasuk juga segala hubungan yang menyumbang kepada keperibadian saya dalam sepanjang kehidupan say. Dan dalam proses pendewasaan ini, saya juga mengajak untuk memikirkan kembali definisi klasik yang menjadi penanda kepada apa maksud menjadi dewasa pada zaman kontemporari kini, kerana ia juga menjadi pengaruh terbesar kepada identiti kita. ]]>