Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan

Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.      Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia   Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.

]]>