Surat Terbuka Kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS); Sebuah analisis muhasabah Pasca PRU13.

oleh Mohammad Sufian Bin Talib, penulis undangan.  PRU13 telah menyaksikan bahawa kemenangan di pihak Barisan Nasional (BN) apabila berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah iaitu dengan mengutip sejumlah 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang berjaya mengutip 89 kerusi bagi Parlimen Malaysia. Perpindahan sebanyak 7 buah kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat telah memberi satu landskap baru politik PR apabila mereka julung-julung kalinya beroleh peratusan undi popular mengatasi BN.

PRU13 juga turut menyaksikan perjalanan proses demokrasi dicemari pelbagai cacat cela dan tindakan tidak profesional pihak SPR. Isu dakwat tidak kekal, isu peti undi dilarikan, isu pengundi asing yang mempunyai mykad, isu black out ketika penjumlahan undi, isu beli undi dan lain-lain lagi telah menyumbang kepada penurunan tahap integiriti bersih dalam perjalanan proses pemilihan calon yang ingin diperintah. Nampaknya isu ini hanya bermain dibibir-bibir pihak PR dan penyokongnya akibat khuatir berlaku penipuan dalam pilihan raya. Malangnya, BN dan lain-lain parti sedikitpun tidak menyatakan kebimbangan dari isu-isu itu. Bukti video dan gambar salah laku dan ketidaktelusan boleh didapati di laman-laman sosial seawal waktu pembuangan undi lagi. Ya, itu asalnya adalah sebuah prediksi yang kini telah dibuktikan oleh pihak SPR sendiri yang memberi peratusan mengapa berlaku kekalahan di beberapa kerusi panas yang mungkin dimenangi PR. Ada sebuah lagi masalah besar kekalahan PR dalam PRU13 yang disifatkan sengit ini. Isunya adalah berkait rapat dengan strategi PAS yang dilihat tidak serik-serik dengan kekalahan lampau. Keperihatinan saya pada hari ini terhadap PAS menyebabkan saya terpaksa menyatakan beberapa kesilapan besar PAS yang menyumbang kepada kekalahan PAS dalam banyak kerusi sekaligus mengurangkan kutipan kerusi PR. 1. Kenyataan terbuka Presiden PAS yang memberi gambaran tidak baik kepada rakan dalam PR. Ia berlaku dalam tempoh kempen semasa proses negosiasi perletakan calon yang ingin ditampilkan. Amat mengecewakan apabila beliau dengan secara terbuka memberi bola tanggung kepada BN untuk menyerang dan mempertikai semangat setiakawan PR. Antaranya Isu calon PKR dipilih tangkap muat dan pengedar pil kuda. 2. Pertindihan kerusi bertanding antara PAS dan PKR. Pas dan PKR sekali lagi bertindak tidak profesional dan seolah tidak berbincang apabila berlaku pertindihan di 7 buah kerusi selepas penamaan calon. Seharusnya perkara ini tidak patut timbul memandangkan tempoh kempen seharusnya digunakan sepenuhnya untuk memberi penerangan kepada rakyat manifesto PR dan meyakinkan rakyat untuk mengundi PR. Apa yang menyedihkan, beberapa hari dalam tempoh berkempen digunakan untuk masih berbincang pembahagian kerusi dan ini secara tidak langsung merugikan masa-masa akhir PR. Pertindihan ini secara langsung memberi petunjuk bahawa PR tidaklah seakrab dan sefahaman seperti yang digambarkan. 3. Kempen calon walaupun telah menarik diri. Ini lebih menyedihkan saya selaku penyokong dan pemerhati yang melihat secara dekat gerak geri PAS, apa yang berlaku di Kota Damansara sangat menyedihkan dan sekali lagi memberi peluang untuk BN menambah kerusi kemenangan. Senario ini telah menyebabkan PR sekali lagi dilihat dihimpit isu kejatuhan keyakinan rakyat terhadap mereka. Seharusnya PAS perlu menghormati keputusan mesyuarat dan bertindak lebih bijak untuk berhenti berkempen untuk calon sendiri. Jika PAS terus dengan sikap ini, rakyat akan bersangkaan kuat bahawa PAS sangat gila kuasa dan memberi peluang untuk rakyat membuat kesimpulan bahawa PAS ini ‘hanya dia sahaja yang baik, orang lain tidak’. 4. Timbul semula isu hudud dan nama Allah. Ya, saya menyambut baik apabila PAS memperkenalkan tawarannya Negara Berkebajikan. Saya beranggapan bahawa PAS kini telah keluar dari kepompong cara fikir tradisionalis dan konservatif pemikiran apabila tidak lagi mengutamakan label sebaliknya ruh Islam itu. akan tetapi PAS cuba bergerak kebelakang apabila gagal melihat prioriti. Isu hudud dan nama Allah ini lebih selesa untuk saya cadangkan pembaca cuba cungkil sedalamnya pendapat yang dilontarkan Mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin tanpa saya ulas di sini. Kemudian anda pasti akan memahami mengapa hudud dan nama Allah ini tidak sesuai ditimbulkan semula oleh Pimpinan PAS. 5. Ku Li sebagai PM. Bising juga apabila ada beberapa pimpinan PAS menyuarakan pandangan untuk Ku Li diberi jawatan PM sekiranya PR berkuasa. Ini sangat tidak patut dan menimbulkan kemarahan rakyat dan penyokong PR. Seharusnya PAS perlu bertindak konsisten terhadap keputusan majlis PR tentang calon PM sekiranya PR berkuasa. Bunyi-bunyi seperti itu sekali lagi mendedahkan kepada potensi kekalahan terhadap PR sekaligus menjelaskan bahawa wujudnya pihak ‘United Government’. 6. Calon muda dan profesional. Melihat kepada calon-calon yang diketengahkan PKR dan DAP, ternyata PAS ketinggalan dalam meletakkan calon muda dan profesional sebagai wakil sebaliknya mengekalkan tokoh-tokoh veteran mereka walaupun telah beberapa kali tewas dalam PRU yang lepas. Teramatlah baik sekiranya PAS melakukan perobahan dalam mengenengahkan calon profesional muda seperti Rafizi dalam memberi nafas baru terhadap strategi yang harus diambil PAS dan idea-idea segar dan realistik untuk dimuatkan dalam manifesto yang ingin ditawarkan. Saya khuatir PAS akan ketinggalan jauh dari arus kemodenan yang sedang dilalui rakan-rakan dalam PR. Sedikit nasihat dari saya agar PAS merubah rentak dan cara berjalan dalam membawa wajah Islam yang lebih harmoni dan berkualiti. PAS perlu serik dengan kekalahan yang berlaku disebabkan hal yang hampir sama. Belajarlah dari sebuah negara yang bernama Turkey. Walaupun masih mengekalkan nama sekularnya, tetapi pimpinannya yang berpandangan jauh telah bertindak sangat bijak apabila tidak mengutamakan label sebaliknya meniupkan ruh Islam didalam pentadbiranya. Seperti yang saya katakan, lampu isyarat sudah cukup islamik walaupun tidak dinamakan Lampu Isyarat Islam. Yang baik tetapi tidak berstrategi hanya akan dikalahkan dengan si jahat tetapi lengkap dengan strategi. Belajarlah. Yang Ikhlas, Sufian Talib
Dip. al-Syariah, KIAS, B.Sc (Hons) Fiqh & Usul Fiqh, AABU Jordan Mediator Bertauliah, The Accord Group Australia Calon Sarjana Tinggi, Sains Politik Islam, UM
]]>