Surat terbuka untuk Ridhuan Tee

Oleh Afiq Noor Sekiranya saya diberi pilihan untuk meninggalkan prinsip hak asasi dan kebebesan bersuara yang saya percaya, maka saya tanpa ragu-ragu lagi akan menasihati Ridhuan Tee Abdullah untuk diam daripada terus memalukan Islam dan mencemarkan imej agama yang saya cintai ini. Saya membaca respon Ridhuan Tee terhadap surat terbuka yang ditulis oleh 25 mantan pegawai tinggi kerajaan yang antara lain mencadangkan agar Perdana Menteri memberikan perhatian terhadap wacana keislaman dan mempromosikan kepelbagaian pendapat dalam tradisi keilmuan Islam. 25 mantan pegawai tinggi kerajaan tersebut juga mengingatkan kepimpinan Perdana Menteri agar menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang dasar negara. Ridhuan Tee di awal responnya telah melakukan serangan peribadi terhadap 25 orang mantan pegawai tinggi kerajaan ini dengan tuduhan tidak bersih dan korup serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan mereka. Saya mengingatkan Ridhuan Tee bahawa serangan peribadi seperti ini adalah bercanggah dengan nilai-nilai keislaman serta adab budaya orang Melayu. Sejarah keilmuan Islam mencatatkan bahawa agama ini tidak pernah sunyi dari perdebatan dan perbezaan pendapat. Para ilmuan sehingga kini sering berbeza pendapat dalam berbagai hal dan ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam tradisi keilmuan Islam. Adalah mustahil untuk kita memaksakan pendapat kita untuk diterima oleh orang ramai dan begitulah sebaliknya. Tetapi apa yang lebih utama, kita menghormati dan meraikan kepelbagaian pendapat tersebut dengan beradab. Islam bukan agama monopoli Islam bukanlah agama yang eksklusif untuk dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja dalam masyarakat. Perbincangan dan perdebatan dalam Islam adalah bersifat inklusif dan memerlukan input daripada ramai pihak. Sikap pihak berkuasa dan golongan agama di Malaysia yang memonopoli agama seolah-olah cukong yang mengawal syarikatnya adalah sangat memualkan dan mendukacita. Sheikh Muhammad Al Nuwaihi, seorang pemikir Arab di dalam bukunya Nahwa Al Tsaurah Fi Al Fikri Dini menyatakan bahawa Islam pada awalnya merupakan agama yang progresif dan revolutionari tetapi ia berubah sifatnya menjadi agama yang menyekat intelektualisme dan pembekuan masyarakat kerana dua (2) hal. Pertama munculnya kelas masyarakat yang memonopoli tafsiran agama yang menurut mereka, hanya mereka yang berhak untuk berbicara tentang agama dan menentukan pendapat dan doktrin yang sesuai dengan Islam. Kedua, keyakinan kelas ini bahawa sumber-sumber keagamaan atau teks memiliki aturan yang mengikat dan tidak boleh dimodifikasi atau diubah baik yang bersifat doktrin atau yang menyentuh kehidupan seharian. Kelas masyarakat yang mendominasi dan mengawal agama ini merupakan sesuatu yang asing dan tidak dikenali dalam tradisi keilmuan Islam. Islam tidak pernah mengakui pengkelasan dalam masyarakat seperti kelas kependetaan. Golongan inilah yang menolak diskusi dan perbincangan ilmiah serta menggunakan pengaruh dan kuasanya untuk melabel orang yang berbeza pandangan dengannya sebagai kafir dan sesat. Justeru Islam dilihat sebagai agama yang kaku dan pegun serta anti-establishment. Al-Wasatiyah Saya juga terpanggil untuk membetulkan kenyataan Ridhuan Tee bahawa Islam bukan agama yang “moderate.” Sedangkan “moderate” atau dalam bahasa arabnya “Al Wasathiyah” adalah diskripsi Allah kepada kita sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah Al Baqarah ayat 143 – “Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat yang moderate (Ummatan Wasatha) agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul menjadi saksi atas kamu.” Gagasan Al Wasathiyah ini juga turut diakui oleh para ulama’ klasik semisal Al Imam Ibnu Taymiyah, Ibnu Al Qayyim, Al Syathibi dan Ibnu Atheer. Saya tertanya-tanya adakah Ridhuan Tee tidak pernah membaca karya-karya hebat para ulama’ ini yang menyatakan Al Wasathiyah adalah bahagian penting di dalam Islam. Penyimpangan dari prinsip Al Wasathiyah inilah yang menyebabkan berlakunya Irhab Al Fikri atau terorrisme pemikiran yang kesannya jauh lebih bahaya dan boleh membuka pintu kepada terorrisme fizikal atau Irhab Al Hissi. Di Malaysia, kita mungkin tidak punya terorris seperti ISIS dalam bentuk fizikal tetapi pola pemikiran seperti Ridhuan Tee, jika tidak dibendung memungkinkan Malaysia mempunyai ISIS nya sendiri.  

]]>