Tuhan untukku, Allah milikmu?

Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” (2013). Buku berkenaan diedarkan secara percuma bersama-sama buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) pada Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014. Wakil MAIS memberitahu wartawan The Malaysian Insider (25 Mei 2014) bahawa buku berkenaan hanya diedarkan kepada masyarakat Islam. Pada hakikatnya, ia diedarkan juga kepada peserta Kristian yang dipaksa menghadiri seminar berkenaan. Saya berpeluang membaca buku itu pada 30 Mei 2014 dan memperoleh pelbagai maklumat menarik. Memandangkan buku tersebut dalam Bahasa Inggeris, mungkin sebahagian khalayak sasaran menghadapi masalah untuk memahami kandungannya. Jika perkara itu berlaku, tentulah usaha dan niat murni MAIS menjadi sia-sia. Tambahan pula, dalam isu kalimah Allah yang menjadi fokus utama buku ini, MAIS menekankan bahawa “penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebenarnya bertujuan memecah-belah (split) orang Melayu-Islam” (halaman 45). [caption id="attachment_3560" align="alignleft" width="300"]Buku ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak terkeliru. Buku ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak terkeliru.[/caption] Bab 3 dimulakan dengan penerangan kandungan Perkara 4 (1), Perkara 3 (1), Perkara 11 (1), Perkara 11 (4) dan Perkara 11 (5) dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia antara lain menyentuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak beragama, dan larangan menyebarkan agama-agama lain kepada orang Islam. Pembaca diingatkan (halaman 18) bahawa penyebaran agama-agama lain, termasuk pengedaran buku atau petikan ajaran selain Islam dalam Bahasa Malaysia kepada orang Islam, serta penggunaan perkataan-perkataan yang berasal daripada ajaran Islam adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan negara. Turut ditekankan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam) melanggar Perkara 11 (4) kerana “Allah” dalam konteks keagamaan adalah milik eksklusif Islam. “Adalah menjadi penghinaan kepada Islam dan Muslim jika kalimah Allah disalahguna mengikut citarasa dan keinginan penganut agama lain,” kata MAIS sehingga membuatkan saya tertanya-tanya apakah saya yang tidak faham Perkara 11 (4) selama ini. Entah bagaimana MAIS berjaya mengaitkan kedua-duanya! Walau bagaimanapun, saya tidak mahu masuk campur dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Herald kerana Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan kes pada 23 Jun 2014. Apa yang saya lakukan hanyalah memperkatakan, menghuraikan serta menterjemahkan sebahagian kandungan buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” demi manfaat sebahagian individu yang menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014 tetapi menghadapi kesukaran memahami kandungan buku berkenaan. Umat Islam mudah dikelirukan orang Kristian? Sebenarnya, isu kalimah Allah bukan sesuatu yang baru. Mesyuarat Kabinet pada 16 Mei 1986 memutuskan bahawa kalimah Allah termasuk perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya oleh orang Tidak Islam (halaman 20). Selain daripada Allah, perkataan seperti baitullah, solat dan Kaabah turut digazetkan sebagai milik eksklusif orang Islam pada 5 Disember 1986. Keputusan sama khabarnya dipersetujui Mesyuarat Kabinet pada 18 Oktober 2006, 1 November 2006 dan 3 Januari 2008. Menurut MAIS, Majlis Fatwa Kebangsaan juga sudah membincangkan pada 5-7 Mei 2008 berhubung isu tuntutan orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah. Fatwa yang dikeluarkan adalah bahawa kalimah Allah merupakan eksklusif untuk Islam dan Muslim, serta tidak boleh digunakan oleh agama-agama lain. Antara penjelasan yang diberikan adalah bahawa kalimah Allah yang digunakan orang Islam adalah nama khas. Istilah Allah pula tidak pernah digunakan dalam bahasa asal Bible. Istilah yang digunakan dalam Bahasa Greek adalah Theos dan diterjemahkan sebagai God dalam Bahasa Inggeris. “Maka orang Kristian yang bertutur bahasa Melayu masih boleh mengamalkan agama mereka dengan menggunakan perkataan Tuhan tanpa perlu meminjam nama Allah Yang Maha Suci kerana tindakan itu menjadi satu bentuk penyalahgunaan nama Allah,” menurut penjelasan yang diberikan. [caption id="attachment_3559" align="alignleft" width="300"]Antara hujah yang digunakan oleh MAIS dalam buku ini. Antara hujah yang digunakan oleh MAIS dalam buku ini.[/caption] Turut dihujahkan bahawa kalimah Allah tidak pernah muncul dalam Old Testament (Torah) yang ditulis menggunakan Bahasa Hebrew dan New Testament (Bible) yang menggunakan Bahasa Greek. Perkataan yang digunakan bagi Tuhan adalah El, Eloah, Elohim dan YHWH. Apabila membaca segala maklumat dalam buku ini, pembaca pasti akan teringat akan hujah-hujah hampir sama dan serupa dalam kes mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Seolah-olah teks yang sama dikitar semula. Salah satu perkara yang boleh dianggap keterlaluan adalah sikap MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang terlalu obses terhadap apa yang mereka bayangkan sebagai “agenda kristianisasi”. Realiti takut akan bayang-bayang sendiri juga menjadi asas penerbitan buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh turut dijadikan “panduan untuk mereka yang mahu murtad” – rujuk “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014). Dalam buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” dinyatakan sekali lagi bahawa satu-satunya sebab orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah adalah untuk “mengelirukan orang Muslim” dan mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua. Saya tidak pasti jika ada pihak (termasuk MAIS) yang mahu berkata sebaliknya. Sebagai pengamal multifaith, saya juga menegaskan bahawa Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua, tiga, empat, lima. Jangan sampai anggap ada Tuhan lain! Apabila sudah sah dan diakui bahawa Tuhan Maha Esa, mengapa pula ada pihak tertentu (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berhujah seolah-olah adalah lebih daripada satu Tuhan? Lebih menakutkan apabila mereka (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berkata “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” seolah-olah ada lebih daripada satu Tuhan. Dalam menangani hal ini, jangan pula ada pihak yang terkeliru lalu berhujah bahawa “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” sama maksudnya dengan pendirian “Bagiku agamaku, bagimu agamamu.” Kita perlu mampu memahami apa itu “Tuhan” dan apa itu “agama” sebelum membuka mulut. Berbalik kepada minat dan keghairahan MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan menghina dan memfitnah agama Kristian, perkara sama dilakukan di halaman 23. Disajikan tuduhan bahawa Bible telah diubah dan dipinda mengikut keinginan paderi Kristian, sehingga akhirnya orang Kristian tidak lagi tahu nama Tuhan mereka. Sekali lagi dikatakan bahawa niat orang Kristian menterjemah God sebagai Allah dalam Bible versi Bahasa Malaysia adalah supaya penganut Islam juga menjadi seperti mereka (orang Kristian) yang tidak tahu makna sebenar Tuhan. Tentu sahaja saya tidak berniat mempersoalkan bidang kuasa MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Bagaimanapun, tentulah amat menyedihkan apabila Islam yang suci dicemari dengan tindakan pihak tertentu yang seolah-olah memperalatkan Islam dan Allah untuk menghina, memperlekeh, memperbodoh, memfitnah dan menyalahkan agama Kristian dan pengikut ajaran Krsitian. Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor membuat keputusan berhubung isu kalimah Allah pada 10 Jun 2008 sebelum digazetkan pada 27 Januari 2010. Perkara itu khusus berkaitan “isu tuntutan hak orang Kristian menggunakan kalimah Allah”. Seksyen 9 dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 menyenaraikan sejumlah perkataan dan frasa Bahasa Arab yang tidak boleh digunakan oleh orang Tidak Islam di luar konteks Islam. Harap maklum bahawa peraturan itu sebenarnya bukan melarang atau mengharamkan terus penggunaan Allah, Illahi, rasul, nabi, dakwah, fatwa, wahyu, subhanallah, masya-Allah, alhamdulillah, insya-Allah dan sebagainya. [caption id="attachment_3561" align="alignleft" width="300"]Bab 3 melihat isu kalimah Allah dari sudut perundangan. Bab 3 melihat isu kalimah Allah dari sudut perundangan.[/caption] Sekiranya Seksyen 3 (kriteria menentukan sama ada seseorang itu Islam), Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 12 dilihat bersama-sama Seksyen 9, maka kita akan lebih memahami perkara ini serta tidak mudah tertipu. Malah, Seksyen 9 (1) dan Seksyen 9 (2) menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan jika seorang individu Tidak Islam menggunakan perkataan dan frasa “terlarang” itu dalam konteks agama Islam serta dalam bentuk petikan atau rujukan (quotation or reference). Pembaca sasaran (Melayu-Islam) serta orang ramai (Tidak Islam) yang berpeluang membaca buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” wajar menghadam buku ini secara menyeluruh dan bijak supaya tidak tertipu, terkhilaf atau terpengaruh dengan agenda anti-Kristian yang seolah-olah menjadi asas kebanyakan buku terbitan MAIS. Insya-Allah kita tidak akan termasuk dalam golongan yang dimurkai dan dilaknati Allah.         unnamed

]]>