Supra mazhab ke sektarianisme: Maju mundurnya PAS

kepimpinan parti tersebut bersih dari pendokong dan penganut mazhab Syiah. Usul ini kemudian disambut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa tiada pemimpin PAS yang menganut mazhab Syiah. Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu? Pada tanggal 2 Oktober 1960, ketika berucap di pembukaan Kongres Ahli-Ahli Tarikat As-Sufiah Seluruh Malaya yang bertempat di Dewan Bandaran Kuala Lumpur, Dr Burhanuddin al-Helmi telah memetik pandangan Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh besar Islam. Al-Afghani telah ditanya orang, apakah makna kepada ‘benih pembaharuan Islam’ yang beliau gagaskan (dalam bahasa mutakhir ‘reformasi’, dalam bahasa alMarhum Ustaz Fadzil Noor ia berbunyi tajdid); al-Afghani dikatakan membalas pertanyaan itu dengan jawapan yang panjang, sebahagiannya berbunyi: “Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara ahli sunnah dan ahli syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak…” Meskipun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada perwakilan atau ahli PAS, mengambil kira kapasiti beliau yang ketika itu menjawat kedudukan sebagai Yang Dipertua Agung Parti Islam Semalaysia, dan mewakili parlimen Besut, beliau telah secara terbuka meletakkan parti tersebut di atas apa jua mazhab. Secara ringkas, tokoh PAS tersebut menegaskan jalan penyatuan adalah jalan supra mazhab sementara jalan perpecahan diterokai oleh orang-orang yang tamak. Merenung seluruh isi ucapan beliau tersebut, jelaslah Dr Burhanuddin al-Helmi tidak sahaja mengecilkan kecamannya kepada raja-raja tetapi termasuklah ahli politik, termasuklah ulama yang tamak. Bukan itu sahaja, raja-raja yang tamak itu kelihatannya ditujukan kepada kumpulan Salafi-Wahabi yang menyalakan api sektarianisme, atau apa yang beliau sebutkan, sebagai ‘perbalahan’ atau ‘perpecahan rekaan’. Apakah yang membuatkan Dr Burhanuddin al-Helmi seorang tokoh supra mazhab? Almarhum pernah menuntut di Anglo Indian College di Aligarh, India. Dr Burhanuddin al-Helmi mendapat sepenuhnya semangat supra mazhab yang dipupuk di madrasah yang ditubuhkan oleh Sayyid Ahmad Khan. Salah satu sumbangan besar Sayyid Ahmad Khan adalah penubuhan Fakulti Usuluddin di kolej yang kemudian dikenal sebagai Aligarh MuslimUniversity pada tahun 1920. Fakulti ini dianggap unik kerana menawarkan pengajian Islam yang mengajarkan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Syiah. Beliau mengundang sarjana Sunni mahupun Jafari menjadi tenaga pengajar. Usaha Sayyid Ahmad Khan tidak lepas dari kritikan, kecaman dan kontroversi tentunya. Maulana Qasim Nanotvi, pengasas Darul Uloom Deoband pernah menjawat kedudukan Dekan di Fakulti Usuluddin ini buat seketika tetapi kemudiannya Maulana Qasim Nanotvi dan Maulana Yaqoob Deoband memilih jalan sektarian. Bukan itu sahaja, mereka membuat inisiatif untuk menghimpunkan 60 orang ulama bagi mengeluarkan fatwa bagi menghalalkan darah Sayyid Ahmad Khan. Sejarah membuktikan kumpulan penganut sektarianisme tumpas, dan institut pengajian tinggi yang menyepadukan pelbagai ilmu dunia dan akhirat, ilmu agama yang mengatasi sekian mazhab, serta ilmu-ilmu alternatif termasuk perubatan homopati diperkenalkan. Di sinilah Dr Burhanuddin al-Helmi pernah belajar. Di persekitaran inilah alMarhum pernah tumbuh. Semangat supra mazhab yang dianuti Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut semakin hari semakin kecil di dalam parti yang dipimpinnya. PAS ternyata terheret sama dalam ‘perbalahan’ dan ‘perpecahan rekaan’ (meminjam terma Dr Burhanuddin al-Helmi) yang dinyalai oleh ‘raja-raja yang tamak’. PAS ikut serta dalam pesta tari menari sektarianisme yang canggung sehinggakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan sesuatu yang menyalahi semangat progresif Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut; “Mana-mana ahli Pas yang terlibat dengan Syiah, haruslah keluar daripada Pas sebab kita tidak terima selain daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jemaah”. Sudah tentu pandangan progresif Dr Burhanuddin al Helmi tersebut akan berdepan dengan seteru seperti mana yang dihadapi oleh Sayyid Ahmad Khan. Kenyataan yang menyokong sektarianisme dan menolak idea supra mazhab adalah keras dan menguntungkan musuh. Malah ia nampak tidak selari dengan komitmen Presiden Parti Islam Semalaysia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang nekad meneruskan semangat supra mazhab yang diwarisinya dari pimpinan terdahulu, seawal Dr Buhanuddin al Helmi. PAS harus mengambil jalan yang diambil oleh AK Parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan dalam hal meraikan kebebasan beragama dan mengkayakan pandangan jamaah. Presiden Turki, Abdullah Gul, yang merupakan bekas pimpinan AKP ketika mengunjungi komuniti Alawi di Erzincan sempena ashura baru-baru ini menegaskan: “Negeri ini kita semua yang punya. Datuk nenek kita, seperti mana mereka pernah hidup bersama. Kita hanya dapat maju ke depan asalkan kita meraikan setiap kita dengan hormat, kasih sayang dan siap untuk berdialog”. Ini bukanlah kali pertama sikap supra mazhab sebegini ditunjukkan. Recep Tayyip Erdogan pada 16 Disember 2010 ketika hadir dalam acara ashura anjuran komuniti Syiah di Istanbul menegaskan tanggal 10 Muharam adalah asas penyatuan kerana ia merupakan tarikh terkorbannya pemimpin besar Islam iaitu Saidina Husin, kesan dari menentang kuasa zalim, despotik, autoritarian, yang sebenarnya dapat dihubungkan dengan mana-mana kuasa jahat sekalipun. PAS harus kembali kepada semangat Dr Burhanuddin al-Helmi. Kalaupun tidak dapat kembali sejauh itu, PAS harus menyelak kembali hubungannya dengan Hizbullah, sebuah gerakan Islam Syiah yang berpengaruh di Timur Tengah pada tahun 2006. Ketika melawat ibu pejabat Hizbullah di Lubnan pada tahun tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan kekagumannya terhadap perpaduan puak Sunni, Syiah dan bukan Islam seperti Kristian yang menjadi faktor kekuatan Hizbullah dan kegagalan Israel menawan Lubnan. Ahli PAS harus menghindar penyakit sektarianisme, berhenti menari mengikut gendang musuh dan akur dengan anjuran Dr Burhanuddin al-Helmi dan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan; “Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula. Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan.” Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu? Apakah semangat supra mazhab yang kaya dan alamiah satu masa dahulu telah terkorban menuju kejumudan dan sektarianisme? Jika benar PAS ingin menjadi jaguh dalam memperjuangkan umat Islam, ahli-ahli PAS tidak wajar tergelincir dan terjerumus dalam kancah persengketaan mazhab yang hanya memudahkan kumpulan tamak dan rakus terus bermaharajalela. Inilah jalan yang sepadan dengan PAS.       unnamed

]]>

Larangan kalimah Allah: Suatu renungan

Sebab Larangan dibuat Perkara itu ditetapkan setelah berbinang dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988. Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor. Sebab yang lain adalah untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas sebagaimana titah baginda. Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 (En. 1/88) Ramai penduduk Selangor yang bukan Islam tertanya-tanya adakah hak kebebasan beragama dilindungi atau dikawal? Kewujudan enakmen ini adalah salah satu bentuk intimidasi ke atas mereka. Setelah diselidik enakmen ini, dilampirkan satu jadual iaitu Jadual 1 (Sekysen 9) Bahagian 1 yang terkandung perkataan-perkataan (35) dan luahan yang tidak boleh digunakan atau dikaitkan dengan orang bukan Islam. Kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11 (4) ada menyebut: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara. Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang . Kesan Perlaksanaan Artikel ini bukan untuk mengajak pembaca untuk mengutuk mahupun akur terhadap peruntukkan undang-undang yang dilihat seakan-akan meminggir penganut bukan Islam di Malaysia. Ianya lebih kepada kesedaran mengenai implikasinya ke atas penganut bukan Islam. Pertama, jikalau kesemua enakmen diwartakan dan dilaksanakan serta-merta, akan ramai penganut bukan Islam dihukum melaluinya dengan pelbagai kesalahan. Dari sudut penganut bukan Islam, mereka tidak boleh mengamalkan agama mereka secara terang-terangan kerana khuatir dikenakan tindakan. Kedua, artikel-artikel, penulisan, akhbar, kitab suci serta buku-buku keagamaan mungkin akan ditapis, disekat dan dipaksa untuk suntingan semula. Ketiga, ianya telah melanggar kontrak sosial sebagaimana dalam Perjanjian 18/20 Perkara Sarawak dan Sabah pada 1963. Sabah dan Sarawak telah dijanjikan Perkara 1: Agama bahawa apa-apa perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana di Sabah dan Sarawak tiada agama rasmi. Rata-rata ada juga penduduk Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung Malaysia atas tuntutan nafkah hidup. Adakah mereka juga dikenakan tindakan menurut enakmen itu jika disabit kesalahan? Apa yang harus diperbuat? Apa yang ingin penulis katakan di sini ialah bahawa keadaan kepelbagaian dan keharmonian agama dilihat seakan-akan telur dihujung tanduk. Terlalu banyak kerosakan telah terjadi sehingga usaha untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum dan agama kelihatan sukar dilaksanakan. Antara cadangan yang boleh dikemukakan disini adalah, semak semula semua undang-undang yang ada di negara Malaysia ini termasuk Perlembagaan Persekutan, Undang-undang Negeri dan Undang-undang Syariah. Adakah ianya menepati kontrak sosial Persekutuan Malaysia yang termeterai pada 16 September 1963? Jika bercanggah, perlunya satu usul dibawa di Parlimen bagi pindaan yang sesuai secara adil dan saksama. Kedua, tukar mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada Rukun Negara, gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020. Semua pihak, dari pemerintah sehingga kakitangan swasta dan kerajaan sewajarnya dibentuk dan diasah untuk berfikiran matang dan terbuka dalam pelbagai perkara dalam kehidupan seharian kita. Akhir kalam, dialog merupakan salah satu kunci untuk mampu mematangkan toleransi antara kaum dan agama didunia ini. Manusia sememang hidup dalam kolompok berbeza-beza dalam pemikiran mahupun cara hidupnya. Namun demikian, demi keamanan wajarlah kita berusaha untuk mencapai ke arah itu.       unnamed

]]>

Daripada belanjawan ke bajet: Upacara Anglisasi bahasa untuk mewujudkan Melayu Borjuis Baharu

“A man who has a language consequently possesses the world expressed and implied by that language.” – Frantz Fanon, “Black Skin, White Masks”

Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa perkataan ‘bajet’ digunakan walhal korpus Bahasa Melayu mempunyai perkataan untuk makna yang sama iaitu ‘belanjawan’? Tetapi ‘bajet’ hanyalah satu dari ribuan perkataan yang telah di-Melayukan. Biasakah anda dengan perkataan seperti Transformasi, Fiskal, Akomodatif, Indikator, Fertigasi ataupun Sekuriti? Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita telah membuktikan betapa gilanya kita terhadap Bahasa Inggeris ini. Pada 2002-2003, tanpa adanya perbahasan di Dewan Negara, sebuah dasar yang mengangkat Bahasa Inggeris telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dinamakan dengan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melaksanakan program mentor untuk memperkasa kemahiran guru yang mengajar Bahasa Inggeris dengan belanja sehingga 270 juta untuk 360 mentor dalam tempoh tiga tahun sahaja sehingga 2013. Tidak cukup dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan September 2013 lalu telah mewartakan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Fungsi bahasa Satu perkara yang perlu kita semua setuju dan jelas adalah Bahasa Inggeris penting, namun sejauh mana pentingnya bahasa asing ini perlu dilihat dengan kaca mata yang adil dan kritis. Untuk memahami dengan lebih mendalam senario ini, kita perlu merujuk apakah fungsi sebenar bahasa. Ngugi Wa Thiong’o, penulis Kenya di dalam makalah beliau ‘Imperialism of Languge: English, a Language For The World?’ menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua aspek iaitu i) sebagai cara berhubung dan ii) sebagai pendukung sejarah dan kebudayaan. Menurut beliau lagi, berbeza dengan negara seperti Afrika, negara ‘Scadinavian’ seperti Norway, Sweden dan Finland menggunakan Bahasa Inggeris hanya sebagai komunikasi, tidak lebih dari itu. Ngugi Wa Thiong’o menegaskan, bahasa asing boleh dipelajari dan digunakan jika tiga aspek ini dpaat dipenuhi iaitu; i) kesetaraan ekonomi, ii) kesetaraan politik dan iii) kesetaraan budaya. Dengan kata lain, Bahasa asing perlu dipelajari di mana yang membelajar itu mempunyai autonomi, bahawa ia berkuasa ke atas keadaannya. Budaya menindas Tetapi beliau menyatakan bahawa sejarah pendokongan Bahasa Inggeris sebagai bahasa institusi dan dasar di kalangan negara-negara bekas jajahan British berlaku di dalam suatu konteks di mana Bahasa Inggeris meminggir bahasa lain. Sebagai bahasa penjajah atau ‘language of the conqueror’, Bahasa Inggeris disajikan sebagai bahasa ‘penyelamat’ di mana penjajah menyarankannya sebagai bahasa yang akan membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana Bahasa Inggeris diinstitusikan dalam keadaan kolonialisme  di mana adanya hierarki kukuh antara penjajah yang mengawal dan rakyat yang dikawal, tidak hairanlah Bahasa Inggeris itu mula menyerap ke dalam fabrik masyarakat tempatan. Ini berlaku hampir di semua negara yang pernah dijajah di bawah Empayar British. Secara sikit demi sedikit, melalui sedutan perlahan ke dalam sistem ekonomi, politik dan institusi budaya kolonial British, mereka (baca: rakyat yang dijajah) yang menggunakan Bahasa Inggeris dianggap bebas dari kegelapan kerana menzahirkan bahasa yang kononya melambangkan ‘Pencerahan Eropah’. Di dalam makalah yang sama Wa Thiong’o juga menceritakan tentang konteks kolonial Afrika untuk menunjukkan bagaiman penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata dianggap kononya sebagai bukti kebijaksanaan dan ketamadunan seseorang itu. Beliau menyifatkan ini sebagai sejenis ‘false consciousness’ (kesedaran palsu) kerana mereka yang berbangga dalam penguasaan Bahasa Inggeris tidak pula mengambil kira hakikat eksploitasi dan keganasan kolonial apabila mereka meraikan ketamadunan British yang dikatakan sungguh “cerah”. Malahan menurut beliau, Bahasa Inggeris telah diajarkan kepada seluruh masyarakat Afrika seolah-olah mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Bahayanya situasi ini, mereka yang tidak tahu dan tidak faham menggunakan Bahasa Inggeris akan dilihat lebih rendah. Budaya Eurosentrik Menurut Wa Thiong’o, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam konteks pasca-kolonial, pewaris kuasa daripada penjajahan British berasal dari golongan elit. Dalam konteks itu adanya wacana keinginan untuk  berkongsi lidah dan sistem kepercayaan yang sama dengan pemimpin British – tidak lain tidak bukan untuk kelihatan seperti mereka. Dari situ, mulalah tren di mana rakyat diajar menggunakan Bahasa Inggeris dan dipimpin untuk beriman dan mempercayai betapa perlu dan pentingnya Bahasa Inggeris untuk masa depan mereka. Malangnya apabila situasi ini berlaku, perkembangan sains dan teknologi disimpan di dalam rak Bahasa Inggeris, bukan lagi di dalam perpustakaan bahasa asal mereka. Berbanding dengan masyarakat biasa yang tidak berbahasa Inggeris, ilmu tersebut terpenjara di dalam penjara Bahasa Inggeris. Imperialisme bahasa ini adalah bentuk budaya kolonial baharu di zaman moden ini. Dalam konteks Malaysia, imperialisme bahasa ini digunakan untuk membentuk satu golongan kolonial baharu iaitu ‘Melayu Borjuis Baharu’. Melayu Borjuis Baharu Seperti konteks umum pasca-kolonial yang dijelaskan secara ringkas tadi, golongan ini adalah golongan yang sama mewarisi pemerintahan dari British 50 tahun yang lalu. Golongan ini adalah sekumpulan kecil elitis yang merangka dasar dan pemikiran bangsa sekian lama ke atas sekumpulan besar masyarakat yang lain. Dan tugas mereka kini adalah untuk memelihara kumpulan kecil elitis ini, melalui pembentukan sekumpulan kecil elitis kecil yang lain untuk menyokong mereka pada masa hadapan. Golongan ini bercakap di dalam Bahasa Inggeris, menulis menggunakan Bahasa Inggeris, menghantar anak-anak mereka belajar sehingga ke London bahkan sedang berusaha keras merangka dasar pendidikan pro-British melalui gerakan imperialisme Bahasa Inggeris di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara. Lebih jauh, mereka sedang memastikan masyarakat terbesar juga berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan penyerapan perkataan-perkataan asas, walaupun perkataan tersebut wujud sejak sekian lama di dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk memastikan gerakan imperialisme mereka ini berjaya, budaya Euro-sentrik dijadikan fahaman asas di dalam keluarga kecil elitis yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara dan Bangsar. Mereka akan memastikan komunikasi efektif hanya di dalam Bahasa Inggeris, menjadikan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu i) kumpulan kecil elitis yang memerintah dan ii) kumpulan besar masyarakat yang diperintah. Upacara Anglisasi Kini kita tiba kepada soalan mudah; apakah proses imperialisme moden melalui bahasa ini berjaya? Ya, jawapannya mereka berjaya. Kini anak muda Malaysia tidak akan diambil bekerja di syarikat perniagaan ternama jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Untuk sebahagian besar pensyarah, hasil kerja penyelidikan mereka tidak akan diiktiraf jika tidak mempunyai label ISI-Scopus yang perlu diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Di universiti awam, para mahasiswa berlumba-lumba mengadakan program menggunakan Bahasa Inggeris. Samada program intelektual mahupun tidak, mereka akan kelihatan lebih ‘antarabangsa’ jika dapat menganjurkannya di dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan impak dari program tersebut kepada pelajar secara makro. Masyarakat awam yang sejak dari kecil diajar untuk beriman kepada fahaman Euro-sentrik mula memandang golongan kecil elitis yang memerintah dan menduduki tempat khas dalam negara sebagai malaikat yang perlu dipatuhi kerana mereka lebih pandai berbahasa Inggeris. Di akhirnya, mereka akan kekal sebagai golongan kecil elitis, yang merangka dan membentuk cara faham dan berfikir masyarakat terbesar. Manakala wujud semacam ketakutan dalaman kepada  masyarakat biasa, golongan pertengahan dan bawahan yang tidak belajar di luar negara serta mempunyai kemahiran minimal di dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa diri mereka lebih kecil dan tidak mampu mengatasi mereka yang mempunyai kemahiran lebih baik di dalam Bahasa Inggeris (walaupun selalunya kemahiran yang mereka miliki dalam lapangan mereka sendiri lebih baik dari mereka yang punyai kemahiran lebih baik dalam Bahasa Inggeris ini). Kumpulan elitis kecil ini – adalah golongan yang sama memerintah sejak dari dahulu, diperturunkan dari anak beranak kepada saudara mara dan sepupu-sepapat, dihantar ke London untuk belajar bahasa dan cara berfikir kolonial – dan segera pulang untuk menjalankan imperialisme di dalam negara dan bangsa mereka sendiri, untuk kepentingan diri, keluarga dan kumpulan kecil elitis ini. Perlukah kita belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris? Perlukah kita menguasai Bahasa Inggeris untuk mendapatkan kerja di dalam negara yang bahasa kebangsaannya adalah Bahasa Melayu? Perlukah kita berbelanja ratusan juta untuk mengimport mentor Bahasa Inggeris untuk membantu guru Bahasa Inggeris kita? Perlukah kita menyerap ribuan perkataan dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu? Berbaloikah pengorbanan yang kita lakukan ini? Jawapannya tidak. Namun kita tidak dapat melakukan apa-apa kerana yang berkuasa kini adalah kumpulan kecil elitis – yang kini sedang merangka sebuah gerakan imperialisme untuk membina sekumpulan kecil Melayu Borjuis Baharu yang kelak pada masa hadapan akan menyokong mereka dari segi politik dan ekonomi. Rusia telah membuktikan pengembaraan ke angkasa lepas tidak memerlukan Bahasa Inggeris. Perancis, Jerman dan sekian banyak negara Eropah telah membuktikan Bahasa Inggeris bukanlah syarat untuk menjadi maju. Sedangkan Malaysia, sebuah negara paling unik dari komposisi budaya di Asia Tenggara pula sedang tergila-gilakan Bahasa Inggeris. Keterdesakkan untuk menyertai arus globalisasi yang berakar di negara-negara empayar, hanya akan menggadaikan autonomi budaya Malaysia. Ia mengabai peluang yang ada untuk menghayati keunikan kemajmukan negara kita yang sudah berkurun lama dibentuk dan dijanakan secara organik. Inilah hakikat yang patut menjadi sumber untuk memperkayakan lagi pengalaman bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi jangan haraplah ia akan menyelamatkan kita. Bagi mereka yang mendokong logik anglisasi sebagai cara mendapat pelabur asing, kita sudah tahu asal-usul logik kolonial ini. Kesemua upacara penukaran istilah tidak lain hanyalah sebahagian kecil dari ritual keagamaan untuk menyembah Bahasa Inggeris – untuk menunjukkan bahawa mereka lebih warak dan beriman dari yang lain. Mereka ini adalah – Melayu Borjuis Baharu.         unnamed ]]>

Transgender dan agama

Transgender dalam Mitos Hindu” (Free Malaysia Today, 11 November 2013), kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu. Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana. Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” (Projek Dialog, 18 September 2012) bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama. Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa. Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013. Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan. Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama. Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda? Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang. Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki. Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik (attracted) itu lebih intim berbanding dengan individu lain. [caption id="attachment_2770" align="alignleft" width="300"]PD 1Pelajar Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.[/caption] Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur. Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu. Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan. Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera. Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama? Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita. Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja. Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan. Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah (contradicting) dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran. Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan. Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul. Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza. Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan. Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya. Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan. Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender. Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama. Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu! Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai? Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan membuat rujukan. [caption id="attachment_2769" align="alignleft" width="195"]Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender. Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.[/caption] Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”. Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan). Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya. Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female). Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”. Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”. Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj). Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”. Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”. Bagaimana pula dengan individu transeksual? Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan). Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita. Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin). Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah. Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat. Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan. Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”. Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan. Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya. Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka? Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan. Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan. Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal. Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin). Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya). Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara. Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan? Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina dalam kalangan orang Islam. [caption id="attachment_2771" align="alignleft" width="300"]Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.[/caption] Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”. Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu. Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati. Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita. Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya. Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita. Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat). Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat. Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual. Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu. Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender. Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser. Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa. Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.         unnamed

]]>

Konvoi Rumah Ibadat di Shah Alam

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Projek Dialog menganjurkan siri Konvoi Rumah Ibadat ke masjid, kuil, gereja, tokong, wat dan gurdwara sejak 2010. Pada 24 November 2013 (Ahad), konvoi akan berkunjung ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil di Seksyen 23, Shah Alam. Kuil ini pernah mendapat perhatian ramai pada tahun 2009 berikutan insiden perarakan kepala lembu oleh pihak tertentu. Penyertaan konvoi ini terbuka kepada umum sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan, tolak ansur dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama. Semasa empat konvoi sebelum ini, peserta hanya berpeluang meluangkan masa sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat yang dikunjungi. Maka, pada kali ini, penganjur memilih sebuah sahaja rumah ibadat supaya peserta dapat menggunakan masa sekitar dua jam untuk mengenali sejarah, seni bina, ritual, budaya, adat dan keunikan rumah ibadat yang dilawati. Kesemua peserta dalam rombongan ini tidak mempunyai apa-apa agenda politik. Sebaliknya ikhlas dalam memupuk perpaduan serta perasaan saling memahami dan menghormati. Penganjur memohon jasa baik para peserta supaya berpakaian sopan serta mematuhi peraturan dan norma di rumah-rumah ibadat yang dikunjungi dalam siri Konvoi Rumah Ibadat. Selepas berkunjung ke kuil pada bulan ini, penganjur akan mengaturkan pula konvoi ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, gereja, gurdwara, wat dan tokong pada bulan-bulan akan datang. Kavyan berjaya menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat melibatkan enam rumah ibadat pelbagai agama di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Pada 17 Februari 2013, konvoi berlangsung di Seremban dengan kerjasama Hidayah Centre Negeri Sembilan. Konvoi pada 12 Oktober 2013 dijalankan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Projek Dialog dan mendapat liputan media antarabangsa. Konvoi sama sedang dirancang di Melaka pada Disember 2013 dan di Georgetown, Pulau Pinang pada Februari 2014. Semasa konvoi ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil pada 24 November 2013, peserta akan dapat melihat sendiri suasana, seni bina dan aktiviti melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di kuil berkenaan. Peserta juga akan berkongsi pengalaman menerusi perbualan dan dialog santai. Perbincangan tidak hanya mengenai kuil dan agama Hindu, tetapi juga mengenai rumah-rumah ibadat dan agama-agama lain. Dialog ini selaras motif “raikan kepelbagaian, tolak perkauman”. Orang ramai yang berminat menyertai konvoi ini boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk maklumat lanjut. Mana-mana pihak yang berminat hadir sebagai “pemantau” dan “pemerhati” juga dialu-alukan; dengan syarat mengisi borang penyertaan yang disediakan di blog.

]]>

Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian akhir)

(Anda juga dijemput membaca bahagian pertamakeduaketiga dan keempat) Pentingnya dialog Pernah satu hari saya berbeda pendapat dengan seorang teman yang sama beraliran Sunni tentang sikap mencari damai dalam perbedaan antara Sunni dan Syiah. Teman saya itu mahu mengambil sikap membenteras Syiah dengan kekerasan, sedangkan saya mencadangkan dialog yang lebih sihat. Pendapat saya ditolak beliau. Apabila saya bertanya, apa sikap sewajarnya terhadap mereka yang berfahaman Syiah. Beliau menjawab, “cukup sekadar mereka mengakui bahawa mereka bukan beragama Islam” Saya bertanya lagi, “apa pendapat anda jika mereka pula minta Sunni mengakui bahawa Sunni bukan beragama Islam?” Soalan saya itu menyebabkan dia terdiam. Rata-rata kita menilai kononnnya dialog antara Sunni – Syiah seperti gagal. Tanpa kita sedari bahawa kesan dari usaha damai yang diusahakan mereka terdahulu menjadikan usaha dialog segar antara dua belah pihak semakin berlaku. Walaupun tidak semeriah seperti yang dijangka, sekurang-kurangnya di pihak Syiah sendiri sudah ada sebilangan mereka yang menyeru agar kritikan dan mengkafirkan sebilangan sahabat oleh Sunni tidak dilakukan. Dalam perbuatan mengkafirkan sesiapa sahaja secara terbuka, kebimbangan yang paling besar adalah ia akan membawa kepada pertumpahan darah. Pengkafiran akan mangkibatkan sesuatu yang boleh dibincang secara damai bertemu jalan kegagalan. Ini kerana, menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir, melahirkan sentimen kebencian dan kemarahan, akan tentunya menghalang dialog secara ilmiah dan rasional. Bahayanya tuduhan pengkafiran Mengkafirkan manusia bermaksud menentukan orang yang tidak sealiran sebagai terkeluar dari islam. Dalam maksud yang lain, dia telah menentukan orang yang dituduhkannya  sebagai ahli neraka, sedangkan semasa si penuduh melakukan tuduhan tersebut, dirinya sendiri pun masih belum ada “cop mohor” kelayakkan masuk syurga. Hakikat yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja bahawa ke syurga atau tidak, bukan cop dan lebel kafir yang diberikan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain; bukan dari satu aliran terhadap aliran lain; bukan dari satu fahaman terhadap fahaman yang lain. Syurga seseorang itu berdasarkan rahmat dari Allah SWT. Dalam riwayat Sunni, daripada Al-Imam al-Bukhari, didatangkan satu Hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “Sesekali seseorang itu tidak masuk syurga dengan sebab amalannya”. Lalu seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apakah diri Nabi Muhammad SAW juga begitu? Nabi SAW menjawab yang maksudnya, “Ya, aku juga tidak masuk syurga dengan amalan, tetapi dengan dikurniakan rahmatNya”. (Al-Bukhari, Hadis No : 5241, Muslim, Hadis No : 5040) Dalam kes sebegini, saya amat terkesan dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Al-Imam Al-Tahawi yang pernah menyatakan, “Kami menetapkan sebagai ahli Qiblat (Kaabah) sebagai Muslim dan Mukmin selama mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia beramal dengan semua perkataan Baginda SAW dan membenarkan semua yang Baginda SAW beritakan.” Dalam pemikiran Sunni, sesuatu perkara itu tidak boleh diletakkan hukum haram kecuali terdapat nas yang jelas dan saheh. Inikan pula, untuk menentukan seseorang itu kafir, sudah pasti tidak boleh berlaku kecuali dengan sesuatu yang jelas dan nyata. Di zaman penurunan wahyu, budaya kafir mengkafir ini tidak berlaku, tetapi hairan di zaman wahyu sudah berhenti, budaya takfir ini semakin menjadi-jadi. Ini memberi gambaran, bagaimana budaya kafir mengkafir ini bukan satu perkara yang sihat, tetapi ia terhasil dari sikap kebencian, emosi melampau, hawa nafsu dan berpunca dari sikap tidak berusaha mencari jalan damai dalam berhadapan dengan perbedaan. Ada sebilangan Sunni marah dengan sikap sebilangan Syiah yang mengkafirkan sahabat, makanya mereka mengambil sikap mengkafirkan balik orang-orang Syiah. Jika difikirkan balik, sikap orang Sunni yang sebegitu sekali-kali tidak dapat mendatangkan kedamaian, kecuali permusuhan semakin membengkak, Akibat dari itu dialog antara dua belah pihak semakin gagal berlaku. Dan di pihak sebilangan orang-orang Syiah ada pula yang mahu mengkafirkan sahabat, apakah perlunya mereka mengeluarkan kenyataan kafir mengkafir terhadap sahabat di khalayak, sedangkan ia sedikit pun tidak mendatangkan hasil yang baik dalam hubungan antara masyarakat yang terdiri dari berbagai latar pegangan mazhab dan aliran. Tahaluf  Saya secara peribadi tidak berharap agar Sunni membuang pakaian Sunni, lalu menyarung pakaian Syiah, atau Syiah membuang pakaian Syiah, lalu menyarung pakaian Sunni. Pada saya, setiap Sunni dan Syiah perlu kekal dengan pemahaman dan kepercayaan masing-masing. Tetapi tapi dalam perbedaan kepercayaan ini, mereka boleh seiring sejalan dalam perkara yang boleh mereka bersama, dan berdialog secara segar dalam perkara yang mereka berbeda. Isu-isu sensitive antara kedua-duanya, seperti isu mengkafirkan sahabat wajar dielak berlaku di khalayak demi untuk menghormati perasaan Sunni. Pihak Sunni juga patut diak turut menimbulkan sensitive yang melahirkan perbalahan dengan Syiah. Tetapi, jika mahu ia didebatkan secara ilmiah, hendaklah dilakukan di kalangan mereka yang berkelayakkan sahaja. Tujuannya adalah, agar perbedaan ini tidak melahirkan perbalahan, sebaliknya menghasilkan natijah yang baik. Pada saya, seruan agar menSyiahkan orang Sunni, atau menSunnikan orang Syiah bukan seruan yang sihat, kerana ia adalah permulaan terhadap perasaan rasa tidak jujur antara satu dengan yang lain. Dengan perasaan sebegini, perbedaan itu satu masa nanti akan bernatijahkan perbalahan dan permusuhan. Makanya, dialog sihat dan damai akan bertemu kekusutan dan jalan buntu. Kesimpulan Perbedaan pendapat, kepercayaan dan aliran tidak seharusnya difikirkan sebagai perbalaham. Sebaliknya ia perlu dianggap sebagai warna warni untuk mengindahkan kehidupan. Namun, perbalahan sering terjadi ekoran tidak ada sikap ingin kenal mengenali dan fahami memahami antara satu dengan yang lain. Banyak tamadun yang hebat dahulu runtuh ekoran tidak bersedia mengenali pihak yang berbeda. Tamadun yang berjaya mencipta nama, selalunya bermula dari sikap pencoraknya dari kalangan mereka yang hormati perbedaan, malahan tidak segan untuk pelajari kelebihan dari pihak yang berbeda dengan mereka.         unnamed

]]>

Respon Marina Mahathir kepada ISMA: Islam menegakkan keadilan

Marina Mahathir Saya kecewa ISMA tetap menegaskan keputusan mereka untuk memfitnah saya sebagai ‘dalang ‘ di sebalik COMANGO. Tambahan pula, ISMA meneruskan taktik membuli dengan menyelewengkan kata-kata saya dalam kenyataan mereka yang terkahir. Memang saya bangga menjadi ahli Sisters in Islam yang telah giat berjuang selama dua puluh tahun untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi golongan Muslimah di Malaysia. Sejak peringkat awal penubuhan lagi, Sisters in Islam adalah antara gerakan wanita yang utama yang merujuk kepada Quran dan Sunnah untuk menekankan prinsip-prinsip etika dalam membela keadilan untuk kaum wanita. Kini, usaha kami sudah menjadi ilham kepada organisasi-organisasi wanita di negara-negara Muslim yang lain dalam pendirian kita bahawa Al-Quran ke arah keadilan dan kesaksamaan. Ini adalah asas kepercayaan saya, bahawa semua manusia dicipta oleh Tuhan yang Satu, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Berbeza dengan manusia, Tuhan tidak membuat kesilapan dan oleh itu dia mencipta setiap insan mengikut kehendak-Nya. Oleh itu, peranan kami adalah untuk menghormati keputusan Allah dan ciptaan-Nya.  Ia satu keharusan untuk kita menilai setiap insan ciptaan Tuhan dengan maruah, rasa hormat dan perikemanusiaan, tanpa mengira bangsa, agama, orientasi seksual dan keupayaannya. Seperti yang difirman Allah dalam Surah Al -Hujurat, ayat 13: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya. Saya ingin mengulang penegasan saya bahawa ISMA menyebar fitnah dengan mengatakan bahawa saya adalah dalang di sebalik COMANGO . Saya sedar bahawa SIS adalah sebahagian daripada peserta Comango. Saya juga sedar bahawa laporan Comango disediakan untuk proses UPR. Tetapi saya tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat atau terlibat secara peribadi dalam menghasilkan laporan tersebut, yang hanya salah satu daripada 28 laporan NGO mengenai keadaan hak asasi manusia di Malaysia. Sepertimana yang semua orang tahu, laporan-laporan NGO adalah sebahagian daripada proses kajian semula PBB dan tiada apa-apa yang luar biasa mengenai laporan Comango. Saya tahu mengenai laporan itu dan saya menyokongnya tidak kurang kerana ia bukan seperti apa yang ISMA katakana. Ini jelas bagi sesiapa yang cukup mengambil berat untuk membacanya melalui laman web Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan tahu. Jadi amatlah tidak jujur bagi ISMA untuk menyatakan bahawa COMANGO ke luar negara untuk memusnahkan imej Malaysia dan Islam. Seluruh dunia  memangpun sudah peka terhadap apa yang berlaku di Malaysia dengan adanya internet. Seperti apa yang dijelaskan COMANGO, kerajaan Malaysia sering hadir ke mesyuarat-mesyuarat PBB untuk melaporkan perekembangannya dalam  memenuhi kewajipan untuk akur kepada pelbagai perjanjian dan peretujuan PBB. Biasanya, kerajaan menyetujui dan melaksanakan perjanjian-perjanjian berikut. Satu contoh baru-baru ini ialah alokasi 30% untuk wanita menganggotai jawatankuasa sesebuah syarikat, dasar yang disarankan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Convention for the Elimination of Discrimination Against Women / CEDAW). ISMA enggan untuk mengaku bahawa mereka sudah mencetak dan menyebar 70,000 flyer yang mengandungi fitnah terhadap saya. Ini aduan saya. ISMA berlaku tidak jujur apabila mereka ingin mengubah isu. Surah Al-Hujurat, Ayat 12 menyatakan: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Ini Islam kepercayaan saya. Saya amat berharap bahawa ia juga Islam kepercayaan ISMA.

]]>

Dari kubur Yahudi ke gurdwara

street art). Masjid Kapitan Keling dibina pada tahun 1801 manakala Kuil Sri Maha Mariamman dibina pada 1833. Perlu dinyatakan bahawa kesemua tempat ini bukan terasing sebagai “tempat pameran untuk dilawati” atau “muzium kenangan”. Sebaliknya adalah tempat-tempat yang masih terus “hidup” dengan aktiviti seharian masyarakat tempatan. Seorang rakan Facebook, Nagathisen Katahenggam pula membawa saya dan Kughan ke dua tempat istimewa yang tidak termasuk dalam jadual asal kami. Yahudi sudah lama berakar-umbi di sini Sebenarnya saya agak terkejut dan hairan apabila dimaklumkan bahawa terdapat suatu kawasan kubur khusus bagi orang Yahudi di Georgetown. Dalam perjalanan (berkereta) ke sana, Nagathisen menceritakan serba sedikit mengenai kubur itu dan orang Yahudi. [caption id="attachment_2743" align="alignleft" width="300"]Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini. Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini.[/caption] Rupa-rupanya memang pernah ada kumpulan minoriti orang Yahudi di Pulau Pinang sehingga akhir tahun 1970-an. Hubungan antara Yahudi dan penduduk negara ini dikatakan bermula di Lembah Bujang pada abad kesembilan, serta turut kukuh di Melaka pada abad ke-18. Hasil pencarian di ruang siber, saya mendapat maklumat bahawa menjelang tahun 1963, hanya terdapat 20 keluarga orang Yahudi di Pulau Pinang. Terdahulu, semasa penjajahan Jepun (1941-45), orang Yahudi di Malaya dan Singapura turut menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan daripada orang Yahudi yang terselamat memilih untuk berhijrah ke Israel, Australia dan Amerika Syarikat, selain tinggal di Singapura. Segala maklumat ini adalah amat baru bagi saya. Malah hanya kini saya mendapat peluang untuk melangkah masuk ke kawasan perkuburan Yahudi – tanpa perlu ke luar negara! Siapa sangka bahawa dalam pada politikus dan puak tertentu di Malaysia berkempen secara besar-besaran, penuh kelantangan tetapi tanpa ilmu yang mendalam mengenai orang Yahudi, rupa-rupanya mereka terlepas pandangan bahawa Yahudi sudah lama berakar-umbi di negara ini. [caption id="attachment_2742" align="alignleft" width="300"]Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi. Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi.[/caption] Kubur Yahudi Pulau Pinang yang kami lawati diasaskan pada tahun 1835 di atas tanah hampir seluas 3.5 kilometer persegi (sekitar 38 ribu kaki persegi) di tepi Jalan Zainal Abidin. Nama jalan itu sendiri dahulu dikenali sebagai Jalan Yahudi. (Agak lucu dan ironi juga apabila melihat bangunan Umno Pulau Pinang tersergam di Jalan Yahudi.) Penjaga kawasan kubur yang dilawati hanya memperkenalkan dirinya sebagai Raju. Katanya, kerja menjaga kawasan kubur berkenaan dilakukan secara turun-temurun. Elaun dibayar oleh lembaga pemegang amanah yang ditubuhkan pada 1885. Raju membawa saya, Kughan dan Nagathisen melawat kubur yang unik ini sambil memberikan penerangan berdasarkan pengalaman. Bagi Nagathisen sendiri, ini kali pertama beliau berpeluang masuk ke kawasan perkuburan ini yang menempatkan lebih seratus kubur. Berakhirnya sebuah warisan Rupa dan bentuk kubur Yahudi memang unik dan tersendiri serta mengikut gaya kubur di Israel. Orang ramai yang menziarah tidak membawa bunga seperti yang biasa dilakukan masyarakat Malaysia. Sebaliknya, ketulan batu diletakkan di atas kubur bagi menggantikan bunga. Kubur paling tua bertarikh 9 Julai 1835 manakala yang paling baru (dan dipercayai terakhir) bertarikh 15 Julai 2011. Saki-baki orang Yahudi di Pulau Pinang dikatakan sudah sama ada memeluk ajaran Kristian sejak tahun 1970-an atau berhijrah ke luar negara. Kewujudan tanah perkuburan Yahudi ini nampaknya kurang diketahui orang ramai. Mujurlah juga tanah itu milik persendirian dan dijaga oleh lembaga pemegang amanah. Jika tidak, dengan sentimen anti-Israel dan anti-Yahudi yang begitu kuat, pasti ada pihak membuat tarian punggung atau membakar buku-buku di hadapan kubur berkenaan! Menurut Nagathisen dan Raju, satu-satunya synagogue – rumah ibadat orang Yahudi – yang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan itu bukanlah kerana tekanan daripada kerajaan yang tidak mengiktiraf negara Israel, atau ugutan daripada kumpulan ultra kiasu, fanatik dan pentaksub seperti (contoh sahaja) Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ridhuan Tee Abdullah dan Utusan Malaysia. [caption id="attachment_2745" align="alignleft" width="300"]Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib. Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib.[/caption] Sebaliknya, synagogue berkenaan terpaksa ditutup kerana korum (minyan) jemaah seramai sepuluh orang dewasa tidak dapat dipenuhi. Bangunan lama itu – saumaah atau rumah perhimpunan – kini sudah tidak berfungsi. Selepas meluangkan sedikit masa di Kubur Yahudi, Nagathisen membawa saya dan Kughan ke Wadda Gurdwara Sahib yang turut menempatkan Sekolah Khalsa Dharmik. Kalau nama “Jalan Yahudi” ditukar kepada “Jalan Zainal Abidin”, nama “Jalan Kiln Bata” (Brick Kiln Road) pula ditukar kepada “Jalan Gurdwara” sempena rumah ibadat ini. Menurut “pemandu pelancong” kami, nama lain bagi Wadda Gurdwara Sahib adalah Gurdwara Sahib Khalsa Dharmak Jatha Wadda dan Diamond Jubilee Sikh Temple. Nama terakhir itu adalah kerana tapak/tanah bagi pembinaan rumah ibadat berkenaan diberikan kepada penganut Sikh pada tahun 1897 sempena sambutan jubli intan Ratu Victoria. Konvoi Rumah Ibadat Dana bagi pembinaan gurdwara ini merupakan sumbangan masyarakat Sikh yang menyerahkan gaji sebulan bagi merealisasikan impian membina rumah ibadat berkenaan. Pengorbanan mereka ternyata berbaloi kerana apabila siap pada 1899, Wadda Gurdwara Sahib diiktiraf gurdwara terbesar di Asia Tenggara. Saya pernah terlibat secara langsung dalam Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan pada 2 Oktober 2010, 2 Mei 2011, 17 Februari 2013 dan 12 Oktober 2013. Saya juga sudah biasa memasuki gurdwara, masjid, kuil, gereja, wat dan tokong. Namun, saya tetap terpesona dengan keunikan setiap “rumah Tuhan” yang dikunjungi sejak usia kanak-kanak. [caption id="attachment_2744" align="alignleft" width="300"]Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”. Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”.[/caption] Atas sebab itulah juga saya menerima pelawaan Kughan untuk melawat Georgetown kerana senarai tempat yang disediakannya meliputi rumah-rumah ibadat dan tapak warisan pelbagai kaum/agama/mazhab. Selepas berpeluang mengadakan lawatan ke pelbagai tempat menarik, unik, bersejarah dan bermakna di Tapak Warisan Dunia ini, saya semakin yakin bahawa ia lokasi yang sesuai bagi mengadakan Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan dan Projek Dialog pada masa akan datang. Konvoi ke beberapa rumah ibadat sekitar Jalan Ipoh dan Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2013 mendapat perhatian masyarakat di dalam dan luar negara selepas liputan khas disiarkan menerusi BBC World News sepuluh hari kemudian. Malah, Kavyan menerima e-mel daripada pelbagai pihak – dari dalam dan luar negara – yang begitu teruja untuk terlibat sama dalam konvoi akan datang. Masing-masing gembira kerana sementara politikus – Badut Paul Lathic – membuat manipulasi “pecah dan perintah” serta menyemarakkan api perkauman untuk terus berkuasa, usaha-usaha murni memupuk perpaduan kaum/agama masih semarak dalam kalangan masyarakat. Siri konvoi melibatkan pelbagai rumah ibadat di pelbagai lokasi sedang dalam perancangan. Orang ramai boleh menghubungi editor@projekdialog.com untuk maklumat lanjut.

]]>