Cinta gadis gula-gula getah

 

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka” dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”, – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Al Kahfi, 22.[12]

I Tak ingat nama pemandu bas mini tersebut. Yang semua orang tahu beliau lewat sekitar 30 ke 50 minit. Cuaca agak sejuk, di hadapan, berdiri dua anak lelaki berumur mungkin 9 atau 10 tahun. Sekejap mereka berlari, menyepak pasir dan berkejaran. Sekejap mereka kembali dan asyik menuding jari ke baju Naim yang tertulis perkataan dalam tulisan Jawi; Syria. Betul ke ni anak Syria?[1] Ishak jawab acuh tak acuh; ya kerana mereka tidak ke sekolah pada waktu sebegini. Jam di tangan menunjukkan angka 2.30 minit. Dua anak Syria [2] ini masih di hadapan kami. Duduk di atas tembok, seolah-olah sedang menunggu barsama-sama kami. Sesekali, mereka mengirim senyum yang hujungnya tawa besar antara mereka tatkala mengerling kami. Tipikal gaya Arab, bumi Irbid juga seolah-olah baru selesai perang. Di hadapan, sebuah lubang besar terbentuk. Katanya sebuah apartmen akan dibina. Di hujung satu sudut, kelihatan sampah berlonggok. Di hujung sudut yang lain juga, terlonggok sampah-sampah lama. Bukan di hujung sudut itu sahaja, di sepanjang tepi jalan juga. Ah, di mana-mana sebenarnya. Bas mini sampai. Kami naik dengan barang bantuan. II Pun, tak ingat pukul berapa kami sampai ke Mafraq dari Irbid. Tempat pertama kami sampai, kawasan tersebut lengang. Dari lenggok perbualan pemandu bas kami, difahamkan sejumlah pelarian Syria [3] pernah membuka khemah mereka di sini tetapi akhirnya diminta berpindah oleh pihak berkuasa. Bas kemudiannya berpusing beberapa lama mencari ke mana berpindahnya pelarian tersebut. Tak berapa lama kemudian, setelah melalui sebuah lorong kecil kami berjaya menemui sekumpulan kecil pelarian dengan khemah tertera perkataan UNHCHR.[4] Seorang lelaki muda dengan wajah kusam dan rambut tidak terurus menyambut kami. Anak muda ini naik ke dalam bas sehingga kami sampai betul-betul di hadapan kawasan khemah. Hanya ada sekitar 8 ke 10 buah khemah kecil. Bas kini dikerumuni lelaki dan perempuan yang memegang sijil pelarian dari UNHCR,[5] lebih dari 30 orang semuanya. III Belum kaki kanan menapak keluar dari lantai bas, hawa udara dingin menyelinap masuk ke dalam jaket. Suhu betul-betul rendah di kawasan lapang ini. Di celah kedinginan ini, mereka berebut menghulur sijil pelarian[6] yang tertera nama mereka dengan kenyataan yang membenarkan mereka untuk menerima bantuan. Abe, ketua rombongan akhirnya bersetuju untuk menyampaikan bantuan, sepaket beras, sekotak teh, gula, tepung, beberapa bahan makanan yang lain untuk sebuah keluarga serta sepasang kasut untuk setiap anak-anak. Kami bergerak ke khemah[7] untuk mengira berapa ramai yang menginap di dalam khemah-khemah tersebut. Rambut tak terurus, muka berdebu, pakaian kotor. Tak pasti berapa lama mereka tak mandi di musim sejuk ini. Seorang lelaki tua berjalan ke sana sini berkaki ayam. Belasan anak-anak berumur kurang dari 12 tahun mengelilingi kami dengan senyum di bibir, meminta kasut baharu yang tahan sejuk untuk mereka. IV  Seorang wanita tua mengeluarkan x-ray miliknya dari celah khemah, memohon agar diberi wang untuk membeli ubat asma. Angin dingin bertiup dan hati meluluh saat mendengar penyakit asma di musim sejuk sebegini. Khemah[8] mereka tidak punya apa-apa selain hamparan tikar dan tilam, dengan bahagian tepi ditindih dengan batu agar angin tidak dapat menembusinya. Khemah yang mempunyai dapur boleh dibilang. Tiada elektrik, tiada bekalan air. Dan mereka tidak dapat bekerja kerana status sebagai pelarian, maka tiada wang untuk dibelanjakan. Baju yang sama mungkin sudah dipakai berbulan-bulan, selipar atau kasut yang sama, tiada bekalan makanan[9], selain harapan bahawa akan ada rombongan yang hadir memberi bantuan. V Selesai Maghrib, kasut disarung untuk berjalan ke luar. Angin sejuk memeluk dan seperti biasa, poket diseluk untuk mengecas haba. Di hadapan masjid di Irbid ini, kelihatan deretan peniaga memasang meja untuk berniaga baju musim sejuk di tepi jalan. Menunggu Marwan yang berjanji untuk membawa makan bersama dengan menyandar di hujung pintu pagar. Entah dari mana, tiga anak kecil muncul menonong di hadapan. Di tangan mereka kelihatan paket gula-gula getah[10], seorang abang, seorang adik dan seorang lagi adik kecil, sang perempuan. Masing-masing tolak menolak untuk mendapatkan perhatian. Sebagai seorang lelaki yang tidak belajar bahasa Arab tinggi, aku memang tidak faham langsung perkataan yang keluar dari mulut mereka. Kata Musa ketika sempat ziarahnya di Mafraq beberapa hari lalu, anak-anak ini tidak menggunakan bahasa Arab formal. Bahasa Arab mereka bahasa pasar. Ah, kalau Arab formal pun belum tentu aku faham juga. VI Tidak semena-mena, seorang lelaki Arab berbadan besar dari belakang menempik anak-anak ini dengan mengangkat kasutnya gaya membaling ke arah mereka.  Anak-anak yang terkejut,  adik perempuan paling kecil jatuh dahulu di hadapan. Sang abang sempat berlari, sang adik pula cuba membantu adik perempuan. Nasib tidak menyebelahi, syiling sang adik keluar dari poket jaketnya, beberapa gula getah juga jatuh. Ketika sedang mengutip itulah, lelaki tadi datang dan menyepak bontot sang adik. Sang abang sudah hilang, sang adik pula jatuh ke tanah kali ini. Terkocoh-kocoh mereka mengutip dan berlari meninggalkan kawasan masjid. Di hadapan aku kejadian itu berlaku, aku lihat ada sisa di atas tanah. Gula-gula getah.[11] (Dan perasaan sesal memeluk. Aku tak sempat membeli satu-dua gula-gula getah dari anak Syria ini.[12] )         ***   1) Sehingga 2,379,710 rakyat Syria menjadi pelarian sejak konflik bermula pada 2011 menjadikan mereka sebagai kumpulan pelarian terbesar dalam sejarah perang moden dengan tiada harapan konflik akan selesai dalam masa terdekat (Data UNHCR) 2) Dianggarkan populasi pelarian akan mencecah 4 juta sehingga penghujung 2014 (Data UNHCR) 3) Dari 30,000 anak Syria didaftarkan di sekolah awam dan sekolah dalam kem pada Mac 2013, ia meningkat kepada 83,000 anak pada hujung September 2013. (Data UNHCR) 4) Seluruh generasi Syria sedang dipertaruhkan dengan krisis memasuki tahun ketiga, program pendidikan seperti pendidikan awal kanak-kanak, perlindungan fizikal dan psiko-sosial serta kemahiran adalah sangat penting untuk menyediakan anak-anak ini untuk membina semula negara mereka ketika mereka pulang nanti. 5) Di Lebanon, 80% anak Syria tidak bersekolah, jumlah mereka bersamaan 435,000. 3 tahun lalu, 90% anak-anak Syria masih ke sekolah. (Data UNHCR) 6) Di Iraq pelarian Syria berjumlah sehingga 1.13 juta keseluruhannya selepas pintu Peshkhabour dibuka. (Data UNHCR) 7) Di Jordan, sehingga 576,354 pelarian direkodkan sehingga 31 Disember 2013. (Data UNHCR) 8) Di Turki, sehingga 571,513 rakyat Syria direkodkan sehingga 13 Januari 2014. (Data UNHCR) 9) Sehingga 11,420 anak-anak Syria dilaporkan meninggal dunia sehingga Disember 2013 dengan setiap 10 orang yang mati, seorang adalah kanak-kanak. (Data Oxford Research Group) 10) Di Lebanon dan Jordan, anak-anak seawal 8 tahun bekerja untuk mendapatkan makanan. Mereka dipaksa bekerja oleh keluarga sendiri untuk membantu menyara keluarga. Pendaftaran murid di sekolah-sekolah dalam kem seperti Zatari juga rendah kerana mentaliti seperti ini. (Data UNICEF Jordan) 11) April 2014 ini, #TFTN akan membuka kelas pertama untuk anak-anak Syria di Irbid. Dijangkakan pada hujung tahun lebih banyak sekolah akan dibina untuk memastikan generasi muda Syria ini mendapat pendidikan yang sepatutnya. 12) Perjalanan ke Jordan baru-baru ini mengingatkan satu perkara. Ke mana hala tuju pendidikan jika bukan untuk kemanusiaan?         unnamed ]]>

Kembali kepada asas permasalahan isu Kalimah Allah

oleh Dr. Patricia Anne Martinez Kebanyakkan di kalangan kita telah hilang tumpuan dan keliru akan asal kewujudan permasalahan Kalimah Allah. Hal ini kerana ia telah lama berlarutan, dari satu “drama” ke satu “drama” yang lain. Maka demikian, saya ingin berkongsi pandangan saya mengenai asal usul berlakunya kontroversi kalimah “Allah” di negara ini. Hal ini adalah penting kerana sesetengah “jalan penyelesaian” yang sedang beredar di dalam laman-laman internet, yang dicadangkan bagi masyarakat Kristian, adalah tidak adil serta tidak masuk akal. Sebagai contohnya, ada yang menggunakan petikan Bible dari Isa dan menggesa umat Kristian untuk “memalingkan pipi ke arah lain” (turn the other cheek) bila tersinggung. Dalam maksud lain, umat Kristian di negara ini digesa untuk berundur dan tidak berkonfrontasi dalam isu ini sebagai mengikut contoh Isa. Masalahnya, masyarakat Kristian tidak tersinggung pun, tetapi terdapat perkara penting yang perlu kita lihati berkenaan penggesaan masyarakat Kristian untuk bersabar demi ‘memelihara keamanan dan kestabilan negara’; atau ‘menundukkan kepala, walaupun sedikit’. Masyarakat Kristian sememangnya telah “MEMALING PIPI KE ARAH LAIN”. Sebagai contohnya, demostrasi oleh UMNO dan penyokong-penyokongnya yang lain di luar makamah di Putrajaya dan di tempat-tempat lain, serta ancaman untuk mengadakan demostrasi mega di masa kelak oleh UMNO, roadshow anjuran UMNO untuk ‘menerangkan kebenaran isu kalimah Allah kepada umat Islam’ dimana mereka menuduh dengan sewenang-wenangnya seorang Kristian – Father Lawrence Andrew (walhal SEMUA orang Kristian berdiri teguh dibawah perlembagaan negara ini dalam hak kebebasan beragama), ancaman untuk membakar Alkitab, pelbagai tuduhan tidak berasas dilempari, laporan polis dan ancaman-ancaman oleh beratus-ratus penyokong UMNO, menggunakan kesempatan isu kalimah Allah untuk memburuk-burukkan pihak pembangkang serta membuat tuduhan melulu kononnya masyarakat Kristian ingin menukarkan Malaysia menjadi negara Kristian (Utusan Malaysia), membakar patung dan foto muka Father Lawrence Andrew …. DALAM MASA HANYA DUA TAHUN…. TIADA SATUPUN tindakan balas yang melulu daripada masyarakat Kristian. Paling tidaknya, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan ketua-ketua Gereja di Sabah dan Sarawak telah mengeluarkan beberapa KENYATAAN berhubung dengan isu ini. Maka itu, masyarakat Kristian sememangnya telah bersabar, dan TELAH “memaling pipi ke arah lain” demi memelihara keamanan antara agama yang merupakan ajaran yang termulia dalam agama Kristian, serta memelihara keharmonian negara kita yang tercinta. Secara jujurnya, kata-kata Muhammad Tajuddin berkenaan “menjaga keselamatan” masyarakat Kristian di negara ini menunjukkan bahawa betapa bahayanya ancaman yang dihadapai oleh masyarakat Kristian di negara ini… TANPA SEBARANG TINDAKAN BALAS selain daripada rayuan untuk kekal bersabar, bersikap rasional, dan berdoa untuk kedamaian. Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jnr. diangkatkan oleh Muhammad Tajuddin sebagai contoh “memaling pipi ke arah lain” i. e. menerima ketidakadilan secara aman: namun begitu TIADA SATUPUN daripada tokoh-tokoh keamanan ini “memaling pipi ke arah lain”. Bahkan, mereka mengajar masyarakat dunia makna “bantahan awam” (civil disobedience) dan mengadakan protes-protes terhadap ketidakadilan dengan melakukan perkara yang DIHARAMKAN, tetapi bukan dengan keganasan – terhadap kerajaan colonial (Gandhi), dan terhadap undang-undang yang tidak adil (undang-undang pengasingan – Martin Luther King, dimana beliau mengadakan  protes dengan menduduki ruangan tempat duduk bas-bas, restaurant dan sebagainya untuk “Orang Putih Sahaja”).  Contoh yang lain: rakyat kulit gelap Amerika Syarikat berjalan beramai-ramai untuk protes secara aman. Mereka langsung tidak berundur atau berdiam diri menerima keadaan pengasingan kaum pada masa itu, dan “memaling pipi ke arah lain”. Ramai rakyat Malaysia terus mencadangkan agar orang Kristian menggunakan perkataan ‘Tuhan’ dan bukan kalimah ‘Allah’. Fakta kajian daripada CFM ( ditulis dalam tiga bahasa ) yang boleh didapati dengan meluas di SEMUA media atas talian dan dari pejabat CFM, menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan.Realitinya, Alkitab telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sejak empat abad yang lalu, menggunakan KEDUA-DUA perkataan Tuhan dan kalimah Allah. Dalam petikan di mana Tuhan merujuk kepada diri-Nya sebagai “Tuhan”, ayatnya berbunyi, ” Saya adalah Tuhan dan Allah Kamu” (“I am your Lord and your God”). Maka dengan menggantikan Allah dengan ‘Tuhan ‘ bermakna menulis “Saya adalah Tuhan dan Tuhan Kamu”, secara tidak langsung akan menjadikan Kristian musyrik, hal ini kerana orang Kristian adalah beragama tauhid sebagaimana orang Islam juga. Berkenaan dengan teologi Triniti, seperti yang difahami oleh orang Islam, ‘ ALLAH ‘ HANYALAH MERUPAKAN RUJUKAN LINGUISTIK BAGI MAKNA TUHAN dalam bahasa, budaya dan sempadan geografi daripada tiga agama Ibrahim. Dan agama Kristian telahpun wujud sebelum Islam … Sejak berabad-abad lagi,  masyarakat Kristian yang bertutur dalam bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian mereka membentuk 64% daripada jumlah KESELURUHAN UMAT KRISTIAN MALAYSIA, malah mereka hanya mempunyai Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar mereka…. mereka juga telah menggunakan kalimah ‘Allah’ tanpa sebarang gangguan SEHINGGA BARU-BARU INI. Jika apa yang diinginkan oleh orang Kristian adalah UNTUK MENGEKALKAN HAK ASAL MEREKA MENGGUNAKAN KALIMAH ‘ALLAH’ SEJAK TURUN-KEMURUN, MENGAPAKAH PERLU ORANG KRISTIAN ‘MELEPASKAN’ HAK ASAL MEREKA, DAN ‘BERTOLAK-ANSUR’? Sesungguhnya  mereka yang ingin mengganggu hak penggunaan kalimah ‘Allah oleh masyarakat Kristian yang sepatutnya perlu bertolak ansur? Sememangnya itulah tanggungjawab mereka yang membuka isu ini. Siapakah yang sengaja ingin mengganggu hak asal tersebut? Ia adalah pihak berkuasa agama iaitu dengan mengharamkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dan termasuk juga perkataan lain seperti ” Haji ” dan ” surau ” oleh orang bukan Islam! Mantan Menteri Negeri Dalam Negeri telah memutuskan bahawa sebuah majalah Gereja Katolik ( The Herald ) yang diedarkan dikalangan penganut Katolik yang melanggani majalah tersebut sahaja, tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen The Herald dalam Bahasa Malaysianya, alasannya kerana The Herald diedarkan di Sabah dan Sarawak. INI ADALAH ASAL SUL ISU ‘ALLAH’ TETAPI FAKTA ISU INI LANGSUNG TIDAK disiarkan kepada SEMUA, terutamanya bagi orang Islam. Selepas bertahun-tahun melakukan pelbagai rundingan, rayuan, melampirkan bukti dan sebagai secara tertutup; pihak Gereja katolik akhirnya menemui jalan buntu. Mereka tidak mempunyai pilihan tetapi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri Mahkamah atas pengharaman penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh masyarakat Kristian. Jalan terakhir ini adalah rekursa yang logik dan muktamad bagi warganegara Malaysia yang dilindungi oleh perjanjian Perlembagaan termasuk kebebasan beragama dan kebebasan untuk mengurus hal ehwal agama seseorang. Maka demikian, BUKAN ORANG KRISTIAN YANG MEMULAKAN KONFLIK ISU ‘ALLAH’ INI. Pihak gereja Katolik telah menjadi mangsa pertama dimana pihak Kementerian Dalam negeri memilih untuk ‘mengharamkan’ penerbitan majalah mereka – namun begitu pihak Kementerian tersebut boleh sahaja memilih untuk mengharamkan mana-mana penerbitan Kristian yang lain. Oleh itu, perjuangan untuk mengekalkan hak asal penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi 64% orang Kristian di Malaysia ini adalah perjuangan untuk SEMUA orang Kristian. Ini bukan lagi “perjuangan” Gereja Katolik dan Father Lawrence Andrew, seorang paderi Katolik Jesuit dan editor The Herald. Beliau juga bukan seorang yang berniat jahat seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. Tidak terdapat di mana-mana dalam upacara sembahyang Kristian Malaysia atau di dalam Alkitab bahasa Inggeris, Tamil atau Cina, dimana kalimah ‘Allah’ muncul, dan orang Kristian tidak mempunyai niat untuk menukar perkataan ‘Tuhan ‘ kepada ‘ Allah ‘ di dalam Al-Kitab . Tuduhan yang diedarkan dalam laman sesawang ini adalah salah satu pembohongan yang besar, bahkan ditambah pula dengan adendum bahawa orang Kristian kini cuba untuk merampas ‘hak’ keistimewaan Melayu dan Islam – sebuah isu ‘sensitif’ bagi mereka yang memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’, hal ini termasuk juga pembohongan lain bahawa orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah untuk ‘mengelirukan’ dan ‘ memurtadkan’ umat Islam. Semakin ramai umat Islam sendiri juga mempersoalkan: adakah kepercayaan mereka begitu lemah? Jadi mereka mudah berubah? Sejak Mahkamah Rayuan memberi penghakiman bahawa orang Kristian diharamkan daripada menggunakan kalimah ‘Allah’, ulama Islam seluruh dunia (dan di Malaysia) – SEMUA bersepakat tidak bersetuju dan mencemuh akan tindakan pengharaman tersebut, mereka juga “berasa aib” terhadap versi Islam di Malaysia yang menjadikan kalimah “Allah” sebagai perkataan ekslusif bagi orang Islam sahaja ( petikan ini telah dipaparkan dalam media alternatif). Dalam pada itu, media daripada negara-negara Islam mentertawa serta mengkritik Malaysia – dari Timur Tengah; dan Turki, Pakistan, termasuk juga jiran kita Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia. Dalam akhbar Jakarta Post terpampang tajuk “Sejak bila orang Islam memiliki Tuhan?” … akhbar tersebut membuat kesimpulan sebagaimana orang Kristian di Malaysia telah simpulkan: bahawa kalimah “Allah” hanya satu rujukan linguistik bagi perkataan Tuhan. Ia tidak mendatangkan apa-apa masalah besar kepada sesiapa pun. Masyarakat Kristian mencintai keamanan dan tidak sesekali bertindak secara melulu. Kami tidak ingin untuk memberi tindakan balas atau meminta pihak yang menentang orang Kristian dalam isu ini untuk berundur. KITA HANYA INGIN MEMINTA BAHAWA KEMBALIKAN MALAYSIA KEPADA KEADAAN SEDIAKALA YANG AMAN-DAMAI. Namun begitu, isu ini telah DIKACAU-BILAUKAN DAN KEMUDIAN DIMANIPULASI, DIPUTARBELITKAN DAN SEKARANG DIANCAM SERTA DIKEJI sebagai agenda bagi menjatuhkan Islam. Keindahan agama dan dunia Islam kini digunakan sebagai alat untuk agenda-agenda tertentu – termasuk agenda politik. Islam tidak akan terselamat dan menjadi salah satu agama yang paling pesat berkembang di dalam dunia jika penganutnya begitu mudah dimanipulasikan, ‘keliru’ dan ‘dimurtadkan’. Tidak ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan bahawa orang Kristian tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’. Orang Kristian digambarkan sebagai Ahli Kitab dan yang mempunyai hubungan paling erat dengan umat Islam. Sememangnya, terdapat dua jenis petikan di dalam Al-Quran mengenai Kristian dan Yahudi – ayat-ayat yang berbentuk positif (ayat-ayat sedemikian boleh ditemui dengan banyaknya di dalam Al-Quran); dan ayat-ayat berbentuk negatif (ayat-ayat sedemikian agak kurang ditemui di dalam Al-Quran). Teori naskh atau pembatalan ayat-ayat positif TIDAK pula diberi perhatian di sini. Naskh selalunya digunakan sebahagian besarnya untuk isu-isu fiqh, hal ini kerana perundangan Syariah adalah dipetik daripada al-Quran. Namun begitu, ayat-ayat yang tertakluk kepada naskh telah dikurangkan daripada 270 ayat …. kepada kira-kira 20 ayat sahaja. Dan tiada satupun daripada ayat-ayat yang berbentuk positif berkenaan Kristian yang telah dimansukhkan . Saya menulis semua ini dengan harapan untuk menjernihkan isu ini dan membuka ruang pemikiran yang rasional terhadap isu ini, sebelum ia menjadi tidak terkawal dan membahayakan masyarakat negara ini – kebanyakkannya melalui taktik manipulasi, penipuan, kejahilan akal, dan kepentingan politik. Saya menulis ruangan ini berdasarkan rasa hormat yang tinggi terhadap Islam, sebuah agama yang aman, yang sayangnya diputarbelitkan dan difitnah dalam konflik isu kalimah “Allah” ini, dan secara tidak langsung mengganggu kestabilan dan keamanan sekian lama bagi 64% masyarakat Kristian di negara ini.     Dr. Patricia Anne Martinez ialah seorang pembaca projekdialog.com. Rencana ini diterjemahkan dari versi Bahasa Inggeris oleh Nor Arlene Tan dan Ahmad Fuad Rahmat.

]]>