Erti Merdeka bagi Sabah dan Sarawak

Siapa yang Merdeka?  Bayangkan jikalau kisah Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah lima bersaudara sebenarnya tidaklah sebagaimana yang diperkatakan dalam sejarah Melayu Melaka, tetapi sebaliknya hanyalah lagenda? Bagaimana pula jikalau ada sejarah lain yang benar mengenai sesuatu peristiwa penting, namun sejarah tersebut disembunyikan? Apakah motif sejarah diperlakukan sedemikian rupa? Siapakah yang menerima faedahnya? Saya bukan berniat untuk menghasut bahkan apatah lagi menghina tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957. Namun, saya ingin mengajak rakyat Malaysia yang berfikiran matang dan terbuka meneliti serta mengkaji semula sejarah sebenar “Persekutuan Malaysia” daripada pelbagai sumber dan aspek. Tahun ini, hari kemerdekaan telah masuk tahun yang ke-57. Dilema Sabah dan Sarawak Salah satu kesilapan fatal dalam penyampaian sejarah adalah kronologi peristiwa Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Sabah dan Sarawak pada mulanya telah pun merdeka, masing-masing daripada British pada 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963. Oleh sedemikian, secara rasminya Sabah dan Sarawak merupakan negara yang berdaulat. Sabah dan Sarawak belum sempat meniti cita-cita sebagai negara berdaulat seperti yang dijanjikan British. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena sebuah gagasan baru dicadangkan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold atas desakan rayuan Malaya serta kerjasama British untuk membentuk sebuah negara baru bagi mengimbangi kuasa politik, menghalang pengaruh komunis serta keseimbangan kaum dan mengukuhkan kedudukan ekonomi. Model Persekutuan yang dijanjikan adalah serupa seperti United Kingdom. Pada mulanya, ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dangan gagasan persekutuan tersebut kerana ianya dianggap satu bentuk koloni baru oleh Malaya. Namun, setelah rundingan, hampir kesemua parti-parti Sabah dan Sarawak pun bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Singapura. Rentetan peristiwa tersebut, Perjanjian Malaysia 1963 pun temeterai dan Persekutuan Malaysia pun diisytiharkan pada 16 September 1963. Beserta Perjanjian Malaysia tersebut, dimuatkan juga Perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak. Jikalau 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak itu hanya memorandum dan bukan perjanjian sebagaimana didakwa oleh segelintir “pakar sejarah” mahupun ahli politik, maka penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 langsung tidak melambangkan citra keagungan, kesucian, kemuliaan dan kedaulatan kerana ianya dicabuli dan menzahirkan bahawa Malaya memang sebuah kolonial yang licik. Melalui Perjanjian tersebut barulah dikatakan lahirnya sebuah cinta iaitu Malaysia dimana ianya dibentuk menjadi sebagai Persekutuan. Realiti Semasa Sabah dan Sarawak Kita lihat pelbagai persepsi serta konotasi negatif dilemparkan apabila penduduk Sabah dan Sarawak berhijrah ke Malaya atas sebab melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan. Sebagai seorang siswa, saya serta rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya pernah diajukan soalan seperti “Di Sabah/Sarawak masih ada yang tinggal atas pokokkah?”, “Orang di kampung masih pakai cawatkah” dan pelbagai lagi soalan mengejek lain diajukan oleh segelintir siswa Malaya yang jahil. Tidak kurang juga di laman sosial, masih ada lagi juak-juak seperti pekerja jabatan kerajaan dari Malaya seperti guru yang kurang prihatin atau tidak ikhlas mempersoalkan mengapa mereka dihantar ke sana serta menghina penduduk Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap serta kekurangan tenaga pekerja tempatan mereka walhal mereka tidak diberi peluang atau tidak mempunyai ruang kerjaya di kawasan mereka sendiri. Jika dilihat pada paksi realiti, Sabah dan Sarawak membangun dengan pesat terutama di kawasan-kawasan bandar serta pekan-pekan kecil. Persoalannya, mengapa kawasan perkampungan dan pedalaman masih lagi miskin dan tidak dilengkapi keperluan asas yang mencukupi? Jikalau dilihat pada kekayaan hasil muka bumi seperti minyak Sabah dan Sarawak, Petronas memperoleh keuntungan hasil kira-kira RM 70 billion setahun. Mana mungkin 5% royalti minyak itu cukup jikalau ianya tidak mencukupi untuk keperluan pembangunan infrastruktur serta modal insan di Sabah dan Sarawak. Realitnya 2/3 hasil minyak tersebut adalah diperoleh dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya ada hak mengurus peratusan perolehan mereka untuk diberikan kepada Persekutuan. Tidak kurangnya dengan pelbagai masalah-masalah lain, seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, serangan pengganas di Sabah projek empangan mega Sarawak dan banyak lagi. Persoalan utama bagi peduduk Sabah dan Sarawak adalah: Inikah yang wajar mereka peroleh selama 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia? Gerakan Nasionalis Sabah dan Sarawak Atas kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak yang sama seperti Malaya, serta inginkan keadilan  dan kebenaran ditegakkan, maka ramai individu Sabah Sarawak tampil mempersoalkan status quo mereka dalam Persekutuan Malaysia. Daripada beberapa individu ini, maka tampillah gerakan nasionalis yang bergerak secara berperingkat-peringkat bagi memberi kesedaran. Meskipun demikian, tidak semua gerakan nasionalis ini sama pada zahirnya. Ada gerakan yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak hanya untuk Sabah dan Sarawak sahaja, ada pula gerakan yang memperjuangkan pengkajian semula Perjanjian 18/20 Perkara Sabah dan Sarawak, serta Akta Malaysia dalam Persekutuan Malaysia beserta pemulihan semula Persekutuan Malaysia. Ada pula gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan mutlak Sabah dan Sarawak dengan pemisahan daripada Persekutuan Malaysia. Persoalan sekarang, mengapa gerakan-gerakan ini timbul dan lebih berani? Adakah ini agenda pembangkang kerajaan? Adakah ini agenda puak pelampau? Saya berpendapat gerakan ini timbul kerana kesedaran segelintir individu yang serik melihat anak bangsa mereka menagih simpati di tempat lain sedangkan tanah tumpah darah mereka kaya dengan hasil bumi. Mungkin juga kerana serik ditipu dengan penyembunyian serta manipulasi fakta sejarah oleh juak-juak tertentu bagi kepentingan pemerintah. Mungkin juga mereka kesal dengan sikap pemimpin bangsa mereka terdahulu yang silap menandatangani perjanjian membentuk Persekutuan Malaysia dan akhirnya merasakan mereka dijajah oleh kolonisasi baru oleh Malaya. Renungan erti kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak Memetik kata-kata Naspazi’s Channel (Nasionalis Sabah) di laman sosial Facebook: Kalau Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 (57 tahun); Kalau Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 (51 tahun); Kalau Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 (51 tahun); maka Bilakah Persekutuan Tanah Malaya merdeka?; dan Bilakah Malaysia dibentuk?; Adakah Malaysia itu Malaya?” Sekiranya mengikut logik kata-kata tersebut, sesiapa yang mengatakan Malaysia itu merdeka 31 Ogos 1957 adalah orang-orang yang berdusta dengan sejarah. Mana mungkin Malaysia merdeka, sedangkan Malaysia tidak pernah dijajah? Adalah lebih fatal jika Sabah dan Sarawak dianggap merdeka pada tarikh 16 September 1963 melalui pembentukan Malaysia. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 diikuti Sabah dan Singapura pada 31 Ogos 1963. Justeru, jikalau kemerdekaan telah disytiharkan, maka status kemerdekaan sudah pasti adalah negara. 3 negara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah merdeka bersama negara Malaya telah membentuk Persekutuan Malaysia; maka disitulah lahirnya sebuah cinta. Akhir kalam, saya berharap agar pihak pemerintah menghentikan pemanipulasian fakta sejarah dengan mengikhtiraf kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963, seiring dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, agar tidak luput dek telan zaman. Apalah makna kemerdekaan jika masyarakat masih terjajah dengan penipuan sejarah serta ketidakadilan sosial yang menghalang pembentukan identiti Malaysia yang sebenar?         unnamed

]]>

Menganuti dua agama sekali: Meninjau fenomena keluarga majmuk agama

Penterjemahan tidak rasmi “What’s it like ‘being both?’ A conversation with interfaith family pioneer, author, Susan Katz Miller” yang, disiarkan di Chron pada 28/08/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal. Bagaimana rasa identiti dua agama sekaligus? Perbualan bersama perintis keluarga beragama majmuk dan penulis, Susan Katz Miller.  Setiap hari, rakyat Amerika kian berinteraksi dengan manusia dari pelbagai agama. Dari jiran-jiran Mormon, rakan sekerja Hindu, dan rakan-rakan yang tidak beragama, tidak hairanlah bahawa perkahwinan antara agama kini semakin banyak di Amerika Syarikat. Naomi Schaeffer Riley melaporkan bahawa hampir setengah (42%) daripada perkahwinan di Amerika Syarikat merupakan perkahwinan antara agama. Peningkatan ini tidak mengira lokasi, jantina, status pendidikan, mahupun tahap pendapatan. Buku Susan Katz Miller, Being Both: Embracing Two Religions in One Interfaith Family (Penterjemahan literal: Menjadi Kedua-duanya: Menghayati Dua Agama Dalam Satu Keluarga) – sebuah buku yang dikatakan sebagai “bukti indah dan inspirasi tentang kuasa cinta….” oleh Reza Aslan, seorang penulis terkenal dan perintis pengajian antara agama – telah ditulis berdasarkan perkembangan demografi ini, dan kesannya terhadap institusi keluarga sekarang. Ia juga menarik pada sesiapa yang berada dalam hubungan seagama ataupun tidak beragama. Bagi mereka yang dalam perkahwinan seagama, “Being Both” memperkenalkan satu dunia lain yang sering dihakimi, dan diketepikan, oleh orang keagamaan yang memandang rendah terhadap penyatuan berbeza agama. Barangkali, walaupun anda berkahwin dengan seseorang yang seagama, anda mempunyai saudara ataupun kenalan yang mempunyai latar belakang agama majmuk, dan mungkin anda berminat tentang dinamik keluarganya, atau ingin mengetahui bagaimana anda boleh mendekatkan diri dengan cara yang terbaik dan sesuai. Buku ini merupakan satu peluang mudah untuk memahami kelebihan, dan cabaran dalam sebuah keluarga yang beragama majmuk. Untuk pemimpin-pemimpin agama, seperti pastor, imam, rabbi, dan sebagainya, ia mencabar mereka untuk mempertimbangkan “teologi pastoral” bagi keluarga yang beragama majmuk. Bagi ahli akademik, ia membuka ruang untuk penyelidikan selanjutnya. Walaupun Miller telah menjalankan tinjauannya sendiri, beliau menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk bidang ini dikaji dengan lebih mendalam secara kuantitatif dan kualitatif. Miller menulis dari pengalaman agama-majmuknya sendiri, dan dengan itu mengekalkan nada yang positif sepanjang buku tersebut. Pakar kemajmukan agama itu merangkumi perbincangan yang luas, daripada komuniti keluarga beragama majmuk, kepada upacara perayaan kematangan / baligh kanak-kanak dalam keluarga majmuk, dan akhirnya pandangan agama mereka apabila dewasa. Buku ini memberi tumpuan khas kepada hubungan Yahudi-Kristian dan terhad dalam perbincangannya mengenai perkahwinan majmuk agama lain seperti Islam, Buddha, Sikh, yang tidak beragama, atau kepercayaan-kepercayaan yang lain. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Miller sendiri, beliau mengalu-alukan penerbitan buku-buku yang mampu meneroka kepelbagaian jenis keluarga beragama majmuk yang lain. Saya berpeluang untuk mengutarakan beberapa pertanyaan susulan kepada Miller mengenai kelenturan sifat agama, meneruskan lagi perbincangan mengenai keluarga beragama majmuk, dan masa depan masyarakat beragama majmuk di Amerika Syarikat. Jawapan beliau sangat wajar untuk direnungkan bersama: Chron: Anda menyatakan bahawa, “Kanak-kanak, sama ada mereka beragama majmuk ataupun tidak, akan keluar ke dunia ini dan membuat pilihan agama mereka sendiri.” Ini membimbangkan sesetengah pihak, mengapa anda fikirkan bahawa mereka tidak seharusnya risau? Susan Katz Miller: Warga Amerika kian bertukar mazhab dan agama, dan meninggalkan kepercayaan formal untuk menjadi “spiritual tetapi tidak beragama,” menurut Pew Research. Inilah realiti keagamaan kita yang fleksibel, di dalam sebuah negara yang mempunyai kebebasan beragama. Jika anda mahukan anak-anak anda mempunyai identiti agama tertentu, strategi terbaik anda ialah untuk membesarkan anak-anak anda dengan identiti tunggal tersebut. Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju untuk membesarkan anak-anak mereka dengan satu agama, silakan. Tetapi jika anda mempunyai dua agama dalam keluarga tersebut, ataupun satu pandangan alam beragama dan satu lagi sekular, pada saya anda tidak boleh mengabaikan pandangan alternatif itu. Kanak-kanak ini membesar dengan mengenali dan menyayangi keluarga daripada dua amalan berlainan, dua sistem kepercayaan. Saya percaya bahawa ini membuatkan mereka cenderung kepada universalisme, membina silaturrahim [bridge-building], dan menyemai kedamaian, yang saya lihat sebagai satu kelebihan dalam hidup, dan baik untuk dunia. Dunia kompleks kita kini saling berhubung melalui media dan internet, dan menyusutkan keupayaan kita untuk berinteraksi dalam dunia sebenar. Kanak-kanak yang menjangkaui sempadan budaya, etnik, kaum dan agama tradisional mempunyai satu kelebihan sebagai penghubung budaya dan diplomat yang boleh membantu kita menjadikan dunia yang kompleks ini suatu dunia yang aman. Bagaimanakan sambutan terhadap buku ini? Tahun ini dipenuhi dengan perbincangan yang menguja. Saya telah berucap di hadapan kalangan ibu bapa, mahasiswa, kumpulan-kumpulan dialog antara agama, dan di hadapan hampir 50 rabbi. Saya berdialog dengan menteri dan paderi, orang Islam dan Hindu. Jika berpeluang, saya ingin melawat setiap seminari di Amerika, kerana golongan paderi perlu bersedia untuk memberikan kaunseling kepada keluarga-keluarga beragama majmuk yang kian semakin banyak. Dan paderi kolej, khususnya, kini mencari kaedah untuk membantu pelajar dengan identiti agama yang kompleks, ataupun yang berada dalam hubungan antara agama yang kompleks. Saya boleh membantu dengan kaedah ini. Terutamanya sekali, saya amat terharu dengan masyarakat Yahudi yang kini mula mempertimbangkan kembali strategi mereka yang mengabaikan 25% daripada perkahwinan bersama pasangan bukan Yahudi, di mana anak-anak mereka dibesarkan “sebahagian Yahudi dan sebahagiannya yang lain.” Mereka ini bukanlah keluarga yang menolak agama Yahudi: mereka masih mahu mengekalkan hubungan keagamaan ini. Contohnya tahun ini, akhbar yang dihormati, Jewish Daily Forward telah menjemput saya sebagai pakar nasihat untuk keluarga beragama majmuk, iaitu satu ruangan baru bagi mereka, di samping pandangan-pandangan yang lebih konservatif. Bagaimanakah seseorang yang tiada pengalaman dalam hubungan antara agama boleh berinteraksi dengan komuniti beragama majmuk dengan lebih baik dan mewujudkan suasana yang tidak meminggirkan mereka? Nasihat saya, ialah cuba melihat bahawa manusia, keseluruhannya termasuklah kita, mempunyai identiti agama yang kompleks. Tiada seorang pun yang dapat dilabelkan dalam satu kotak tertentu dengan mudah. Walaupun kamu sangat berpegang kepada sebuah kepercayaan, misalnya Presbyterian, kamu masih mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah kepercayaan atau amalan jiran seagama anda. Setiap seorang daripada kita membina identiti keagamaan dan kerohanian (ataupun humanis) daripada latar belakang keluarga, pertembungan kita dengan alam, sastera, kitab-kitab agama, dan dengan orang lain. Orang-orang daripada keluarga beragama majmuk tidaklah berbeza dalam hal ini. Kami hanya bermula dengan pengaruh kekeluargaan yang lebih meluas. Apakah langkah pertama bagi keluarga beragama majmuk yang ingin lebih menjadi proaktif? Pasangan yang berkahwin bermula di atas dasar kasih sayang dan hormat-menghormati, dan secara idealnya mereka telah mempunyai perbualan yang mendalam dan persefahaman tentang kehidupan keagamaan dan spiritual keluarga mereka pada masa akan datang. Malangnya, seringkali ianya keluarga dan saudara-mara lain, yang mungkin mempunyai pengalaman yang kurang intim dengan orang-orang beragama lain, yang memberi tekanan terhadap perkahwinan tersebut, tentang pendidikan dan identiti anak-anak mereka pada masa depan dan seterusnya. Semua orang dalam keadaan ini perlu bekerja keras untuk terus berhadapan antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang, dan bukannya kebimbangan mahupun sikap mempertahankan diri. Sebaik-baiknya, daripada berundur ataupun mengelak satu sama lain, luangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara, bercuti dan menyambut perayaan bersama-sama dan melibatkan diri dalam ritual agama, tanpa mendesak sesiapa untuk menukar agama atau memilih masa depan tertentu untuk anak-anak mereka. Apakah potensi, dan juga cabaran terbesar, yang dihadapi oleh keluarga beragama majmuk pada masa kini? Sebagai keluarga beragama majmuk, kami adalah bukti kebebasan beragama dan keupayaan untuk menjangkaui sempadan sosial di Amerika hari ini. Ini sekaligus merupakan potensi dan cabaran. Pengalaman saya sendiri, daripada keluarga tiga-generasi yang bahagia, adalah sangat positif. Cabaran utama saya ialah menjelaskan kebahagiaan ini kepada orang ramai, terutamanya generasi “baby boomers” dan golongan yang lebih tua, yang mengatakan “tidak boleh begitu.” Saya mendapati bahawa anak-anak muda, generasi Millennial dan khususnya “Generasi Z” yang lebih baru, seringkali mempunyai latar belakang keluarga yang kompleks, dan mempunyai pemahaman yang lebih intuitif mengenai kerumitan beragama. Ada sesetengah yang mungkin menyangkal, “bukankah mengatakan bahawa seseorang itu beragama majmuk sama seperti menimbulkan suatu agama baru, yang kini menghargai nilai-nilai pluralisme, toleransi, sinkretisme dan seakan menyembah suatu penggabungan politeistik tuhan? Bukankah mengatakan sesuatu itu ‘kedua-duanya sekali’ hanya satu bentuk keagamaan secara bufet, yang sewenang-wenangnya dipilih-pilih? Apakah respons anda? Keagamaan majmuk bukanlah suatu agama yang lain: ia tidak mempunyai teologi tersendiri, mahupun amalan-amalan yang ditentukan. Kemajmukan agama adalah satu keadaan yang terhasil daripada perkahwinan, ataupun kelahiran, ke dalam keluarga yang beragama majmuk. Masyarakat yang menyokong keluarga beragama majmuk memberikan ruang bagi mereka untuk mengekalkan hubungan dengan kedua-dua agama, mengajar anak-anak mereka tentang sejarah dan teks kedua-duanya, dan memberikan mereka peluang untuk mengalami ritual agama, di mana mereka mungkin tidak diterima atau tidak selesa di rumah ibadat yang lebih tradisional. Komuniti seperti ini juga memberi ruang kepada keluarga-keluarga ini untuk menghayati kemajmukan agama mereka secara positif, dan tidak berasa terpinggir. Sebahagian besar daripada buku anda tertumpu kepada keluarga-keluarga beragama Yahudi-Kristian. Anda mengatakan bahawa anda mengalu-alukan buku-buku lain yang dapat membincangkan gabungan agama majmuk yang lain, tetapi anda juga mengatakan bahawa, “setiap penggabungan agama mewujudkan cabaran dan keserasian yang unik.” Boleh anda terangkan? Saya juga menemu bual pasangan-pasangan beragama majmuk yang lain seperti Islam, Hindu dan Buddha, maka di dalam buku saya anda dapat melihat secara ringkas bagaimana cara hidup keluarga-keluarga ini. Persamaan di dalam semua ini ialah peranan penting sikap hormat-meghormati, pendidikan antara satu sama lain dan penglibatan bersama dalam upacara agama, dan juga usaha untuk mengekalkan hubungan positif dengan keluarga dan saudara-mara. Saya boleh menyarankan tiga buku yang telahpun diterbitkan. The Book of Mormon Girl oleh Joanna Brooks tentang keluarga Yahudi-Mormon, Saffron Cross oleh J. Dana Trent mengenai sebuah keluarga Hindu-Kristian, dan juga sebuah buku baru, In Faith and In Doubt oleh Dale McGowan, mengenai keluarga-keluarga Kristian dan humanis sekular. Apakah langkah seterusnya dalam bidang penyelidikan keluarga dan masyarakat beragama majmuk? Buku saya adalah yang pertama untuk meninjau dan menemu bual kanak-kanak beragama majmuk yang telah dibesarkan dengan pendidikan agama majmuk. Pada saya, hasilnya memberangsangkan, dan memberi harapan dengan menyangkal idea bahawa kanak-kanak beragama majmuk yang dibesarkan sebagai “kedua-duanya sekali” akan kekeliruan. Tetapi saya benar-benar berharap bahawa ahli akademik kini akan menyusul dengan kajian yang lebih meluas tentang perjalanan spiritual dan keagamaan bagi kanak-kanak ini. Bagi ramai pembaca, ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam konsep komuniti beragama majmuk. Boleh anda simpulkan wawasan utama komuniti beragama majmuk kepada tiga? Komuniti keluarga beragama majmuk:

  1. Memberikan “ruang ketiga” di mana seseorang itu bukanlah “tetamu”, dan pasangan ini boleh mendalamkan pemahaman dan perasaan hormat mereka terhadap kedua-dua agama.
  2. Memberi pendidikan kepada kanak-kanak beragama majmuk, supaya mereka boleh mempelajari sejarah, teks, kepercayaan dan amalan kedua-dua agama dalam program dikendalikan oleh seorang guru Yahudi dan Kristian di dalam setiap bilik darjah.
  3. Memberi ruang kepada keluarga beragama majmuk untuk meraikan cuti bersama-sama, membincangkan pengalaman mereka, dan menerapkan sikap positif dalam kanak-kanak dari keluarga yang beragama majmuk.
Anda menyentuh tentang potensi ” identiti dan amalan agama majmuk” bagi seseorang individu, dan permasalahan institusi agama. Sila terangkan. Banyak institusi keagamaan di Amerika sedang berusaha untuk mengekalkan keahlian dan hubungan mereka dengan masyarakat, dalam satu era di mana orang kian memilih untuk menjadi spiritual tetapi tidak beragama, ataupun yang tidak berpegang kepada konsep kerohanian sama sekali. Sebaik-baiknya, keluarga yang membesarkan anak-anak mereka dengan ajaran agama majmuk dapat mengekalkan hubungan dengan kedua-dua institusi agama, misalnya sebuah rumah ibadat Yahudi dan gereja, di dalam komuniti keluarga beragama majmuk, tanpa merasa bahawa mereka tidak diterima. Ianya terpulang kepada institusi-institusi agama ini untuk memutuskan sama ada mereka bersedia untuk menerima kanak-kanak yang beragama majmuk. Apabila keluarga-keluarga ini diterima, maka manfaatnya adalah untuk pasangan tersebut, anak-anak mereka, dan juga institusi tersebut dengan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti ibadat, dan berhadapan dengan realiti kemajmukan agama di dalam dunia abad ke-21 ini.   ]]>

Persekutuan Kristian Malaysia: Kita mesti terus berharap

Tahun ini, kita memperingati Ulang Tahun Merdeka yang ke-57 dan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-51. Masyarakat Kristian di Malaysia sentiasa menganggap ia suatu rahmat untuk berkongsi detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang sejarah kita sebagai satu negara. Walau bagaimanapun, pengalaman kami sepanjang tahun ini tercalar akibat dua kejadian; pertamanya, perampasan Kitab Suci kami daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia dan keduanya, keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Herald. Kami terus bimbang tentang status kitab suci yang dirampas dan kesudahan beberapa kes-kes mahkamah yang belum diputuskan berhubung dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh umat-umat Kristian. Tambahannya, kita juga menyaksikan peningkatan di dalam fahaman pelampau perkauman dan keagamaan, di mana puak-puak dengan kebencian dan pemikiran sempit sering dimarakkan oleh maklumat palsu dan penyalahtafsiran; dusta dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan merobek susunan kemasyarakatan negara kita yang telah dibina di atas prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian budaya. Kita percaya semua rakyat Malaysia sesungguhnya turut merasa bimbang. Memandangkan pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi hari ini, tambahan dengan kenyataan dan pengumuman kurang sensitif dan kurang logik daripada sesetengah anggota kerajaan serta parti politik yang mentadbir, juga menerusi pemacuan dasar ekonomi yang hanya menambahkan kos sara hidup, maka ia tidak menghairankan apabila ramai telah menunduk kepada pandangan pesimis dan sinis. Sekiranya kita ingin terus bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu, dan ingin mempertahankan harapan untuk masa depan bersama, kita semua mesti melawan dan menentang pengaruh-pengaruh yang membinasakan ini. Semua yang menyerah kepada ketakutan dan kekecewaan akan menjadi musuh harapan. Sebaliknya, kita mesti mengelakkan kenaifan dan optimis palsu yang berpunca daripada kejahilan dan sikap acuh tak acuh ataupun perbuatan sengaja bagi menutup isu-isu yang penting. Apakah itu harapan sejati?

Harapan sejati melibatkan pengorbanan kerana ia tidak berkisar pada kedamaian minda atau ketiadaan persengketaan.

Harapan sejati menuntut keberanian untuk mengambil risiko, tekad moral untuk terus setia dengan pegangan kita serta melawan secara aktif terhadap pengaruh-pengaruh binasa, kebencian dan keganasan.

Harapan sejati tidak sesekali menafikan kebenaran, hakikat kehidupan yang suram, pereputan dan kerasuahan yang menjangkiti masyarakat kita. Harapan sejati mesti mendedahkan selubung dusta, penipuan dan tipu daya yang sering digunakan untuk memaksa dan menakluki minda menerusi maklumat palsu dan ketakutan.

Harapan sejati nampak masa depan adalah terletak pada perbincangan yang bermakna, penerimaan sesama sendiri, kerendahan hati dan saling menghormati.

Harapan sejati menuntut untuk orang lain apa yang kita tuntut untuk diri kita.

Harapan sejati tidak memisahkan “kita” daripada “mereka” tetapi menganggap semua sebagai “satu”. Dan setiap tindakan yang memberi harapan merupakan satu kemenangan. Justerunya, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi komitmen baru kepada kerjasama padu demi menyelamatkan Malaysia daripada pengaruh pemikiran sempit, fahaman agama pelampau dan perpecahan kaum. Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi ke arah perubahan individu, antara individu dan institusi untuk mengubah negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan berprihatin di mana semua dapat menikmati sepenuhnya kehidupan dan kebebasan, perlindungan saksama di bawah undang-undang dan kebebasan asasi. Kami menyaran semua rakyat Malaysia untuk menyokong pergerakan-pergerakan dan kumpulan-kumpulan yang berusaha untuk menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia agar kita dapat hidup aman dan damai. Kebelakangan ini, negara kita diselubungi oleh kedukaan yang teramat atas kehilangan penumpang dan krew-krew pesawat penerbangan MH 370 dan MH 17. Umat-umat Kristian di Malaysia bersatu dengan semua rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat yang kehilangan orang kesayangan dan rakan mereka dalam dua tragedi ini, dalam doa dan renungan mendalam, demi memohon ketenangan jiwa dan pendorongan bagi mereka yang berkabung. Walau bagaimanapun, kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunduk kepada perasaan putus asa dan kemuraman di hari-hari yang sukar ini. Marilah kita bersatu di dalam doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa bagi memohon kekuatan untuk bertahan dan kegagahan untuk berharap dan berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia. Kami memanjatkan doa untuk pemimpin-pemimpin negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Mentri-mentri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta ahli-ahli kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para kehakiman, pasukan polis dan angkatan tentera, semoga mereka menjunjungkan kebebasan beragama dengan integriti mutlak sepertimana yang dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan bersama. Semoga Allah merahmati negara kita yang tercinta, Malaysia, serta semua rakyatnya!
Ditandatangani oleh,



Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib Pengerusi

Archbishop Datuk Bolly Lapok, Naib Pengerusi

Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib Pengerusi

]]>

Hak LGBT dan Akta Harmoni Nasional

yang cuba berterus-terang dalam menjawab lapan unsur Peguam Muslim UPro. Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama rang undang-undang Harmoni Nasional dicadangkan ialah untuk menjadikan prejudis kaum dan agama sebagai jenayah, serta menghapuskan diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna apa-apa bentuk diskriminasi berdasarkan kepercayaan adalah tidak munasabah. Tetapi apakah implikasi keterangan tersebut ke atas mereka yang ingin untuk menghukum golongan LGBT berasaskan kepercayaan agama? Hukum Agama dan Keharmonian Negara Di sini, saya ingin membahaskan apakah maknanya keharmonian negara sekiranya soal keadilan diabaikan. Mereka yang tegas menentang hak asasi manusia bagi LGBT kata “jangan berani hendak menuntut hak kamu sebagai LGBT kerana ini bertentangan dengan kepercayaan kita sebagai orang yang beragama Islam”. Disebabkan kepercayaan agama mereka, soal keadilan tidak akan timbul untuk golongan LGBT. Golongan ini sudah dijadikan penjenayah sebelum mereka berbuat apa-apa yang salah. Tetapi perbuatan yang salah di sisi undang-undang tidak patut disamakan dengan perbuatan yang berdosa dari segi agama. Patutkah penolakan mereka terhadap LGBT semata-mata bermakna kelompok LGBT patut digelar penjenayah? Atas dasar apa? Melalui proses yang ditentukan oleh siapa? Bak kata lain, kumpulan-kumpulan yang menganggap mereka sebagai pembela majoriti negara berlagak seperti suara mereka adalah suara muktamad. Soal majoriti yang sering digunakan untuk menentukan asas kepentingan politik tidak sewajarnya digunakan untuk menegakkan keadilan. Perundingan di tahap nasional dijalankan kerana suara golongan minoriti sering disenyapkan dan distigma. Jika hak minoriti tidak diiktiraf, buat apa berbelanja untuk mengadakan konsultasi? Sekiranya harmoni negara hanya bergantung kepada sesiapa yang paling kuat berteriak, mereka yang paling disokong parti politik atau mereka yang paling banyak menerima liputan media massa, ini bermakna kita akan tercengkam di bawah naungan mereka yang lebih agresif terhadap kita. Adakah itu “keharmonian Negara” yang patut didirikan? Sikap hipokrit Hakikatnya, aktiviti seks manusia – hetero mahupun sejenis – tidak begitu berbeza. Tidak boleh dinafikan bahawa ada di antara golongan heteroseksual yang juga melakukan perhubungan seks oral dan perbuatan yang lain yang biasanya tidak dianggap sebagai “fitrah”. Sekiranya perhubungan seks itu adalah sama dan hanya pasangannya yang berbeza, apakah dosa yang dilakukan oleh golongan LGBT? Bukankah ini satu sikap yang hipokrit, untuk menghukum golongan LGBT hanya kerana semata-mata jenis perhubungan seks mereka? Kerugian bagi Negara “Harmoni nasional” negara bermakna peminggiran golongan LGBT, adalah harmoni yang palsu. Jelas sekali daripada perdebatan yang sedang berlaku, ada tekanan untuk menggugurkan klausa yang melindungi golongan LGBT daripada diskriminasi dan keganasan. Contohnya Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli jawatankuasa MKPN berasa perlindungan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan orang trans atau transgender akan menjejaskan Akta Harmoni. Beliau seolah-olah tidak mengambilkira bahawa paksaan yang digunakan oleh sesetengah pihak tertentu ke atas MKPN untuk menggugurkan klausa tersebut dalam menegakkan harmoni nasional akan secara langsung menghapuskan harmoni tersebut. Soalan yang perlu ditanya adalah pengiktirafan LGBT akan bermakna mereka yang menentang hak LGBT tidak dapat hidup tanpa diskriminasi, stigma dan keganasan? Apa yang menjejaskan harmoni negara adalah bila kita yang berprinsip dan berperikemanusiaan rela berkompromi dalam keadaan yang tertekan, mahupun orang yang menekan adalah orang yang beragama atau tidak. Patutkah situasi syak dan ketegangan wujud dalam hal menegakkan harmoni nasional? Sekiranya kita membenarkan situasi tersebut berlaku, bukankah kita seolah-olah memberi kebenaran untuk sesiapa untuk bertindak secara prejudis, di mana mereka hanya perlu menekan dan marah sehingga mereka mendapat tuntutan mereka? Jika ya negara ini malangnya akan dijadikan tebusan sesiapa yang paling berkuasa dan paling kuat marah dan mengugut. Maka tergadailah integriti dan kemanusiaan kita. Ia juga bermakna kita mempunyai pemimpin yang hanya berprinsip dalam keadaan dan isu yang senang dan selamat sahaja. Kata akhir Dalam blognya, Dr. Mujahid memberi jaminan bahawa proses penggubalan rang undang-undang Harmoni Nasional belum muktamad dan masih di peringkat perundingan. Namun, apa yang muktamad bagi saya adalah reality bahawa harmoni negara tidak dapat ditegakkan selagi keadilan tidak ditegakkan untuk semua, tanpa pilih kasih, tanpa prejudis, tanpa berat sebelah, tanpa pengaruh orang atasan, orang berkuasa dan agamawan. Keadilan hanya boleh ditegakkan dalam keadaan dimana kesetaraan dijamin untuk semua. Setiap rakyat negara berhak dilindungi daripada diskriminasi, stigma dan keganasan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Undang-undang yang degil berbuta terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada mana-mana golongan minoriti, termasuk LGBT, adalah satu penghinaan terhadap keadilan yang ingin ditegakkan.       unnamed

]]>

Muslim menggadaikan nyawanya untuk Kristian di Mosul

Laman web ankawa.com mengisahkan seorang profesor universiti yang telah mati dibunuh kerana menentang penganiayaan anti-Kristian. Sementara itu, ISIS telah menetapkan jizyah sebanyak 450 dolar:

Beliau enggan berdiam diri tentang keganasan yang dihadapi oleh penganut Kristian di Mosul, yang terpaksa memilih samaada untuk memeluk Islam, membayar jizyah (cukai Islam untuk warga bukan Islam) atau melarikan diri. Profesor Mahmoud Al ‘Asali, seorang profesor perundangan dan pensyarah bidang pedagogi di Universiti Mosul, telah berani membantah ugutan kejam ini yang beliau percayai adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi beliau telah membayar harga pendirian ini dengan nyawa: beliau dibunuh oleh militan ISIS di Mosul semalam.

Ankawa.com – antara sumber berita terpantas mengenai bencana yang dihadapi penganut Kristian di Iraq – telah menyiarkan kisah tersebut. Di tengah pergolakan tragedi yang sedang berlaku di negara ini, laman web tersebut tidak mahu kisah keberanian ini terlepas dari pandangan awam tanpa disedari. Profesor Ali ‘Asali cukup sedar apakah risiko yang dihadapinya: semua di Mosul mengetahui bahawa di Raqqa – sebuah kota di Syria yang telah ditakluki ISIL pada tahun lepas – ramai aktivis hak asasi manusia telahpun berkorban nyama menentang kekerasan ISIS. Namun Al ‘Asali tidak mampu hanya berdiam diri.

Begitu juga ramai umat Islam yang lain, yang telah melancarkan kempen “Saya warga Iraq, Saya Kristian” sebagai tindak balas kepada tanda huruf “Nun” yang tertulis pada dinding rumah-rumah Kristian di Mosul. Semalam, sebahagian daripada mereka hadir di luar Gereja St. George di Baghdad, bersama panji yang tertera dengan cogan kata tersebut dan menyiarkan gambarnya di Facebook.

Tetapi tindakan-tindakan penentangan ini tidak mampu menghentikan kegilaan fundamentalis ISIS. Pada hari ini, pembersihan etnik kian berterusan, dengan penguatkuasaan jizyah – cukai “perlindungan” Islam yang perlu dibayar oleh semua orang bukan Islam yang ingin kekal atau kembali ke Mosul. Jumlah bulanan yang perlu dibayar ialah 450 dolar, iaitu suatu jumlah yang mustahil bagi sesiapa yang menetap di Utara Iraq. Hari ini, sebuah lagi lokasi bersejarah Kristian telah jatuh ke tangan ISIS: bangunan biara Syro-Katolik Mar Benham, berhampiran dengan Qaraqosh, iaitu bandar Kristian di dataran Nineveh yang merupakan pusat pelarian bagi majoriti penganut Kristian. Biarawan-biarawan telah menduduki Mar Benham sejak abad ke-4 lagi. “Mereka menghalau tiga biarawan dan beberapa keluarga yang tinggal di biara tersebut dan memaksa mereka meninggalkan kuncinya,” ujar Yohanna Petros Moshe, biskop Syro-Katolik Mosul, kepada agensi berita Fides. Blog Bagdadhope melaporkan bahawa biara tersebut dibaik pulih pada tahun 1986 dan telah menjadi destinasi penziarahan bagi penganut agama Kristian dan juga Islam.   Makalah asal oleh Giorgio Bernardelli, disiar di vatican insider 07/21/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal.   unnamed

]]>

Seksualiti, gender dan kebahagiaan: Suatu renungan

Usaha untuk menegakkan statistik dasar kebahagiaan negara kasar (gross national happiness index) adalah untuk menentukan satu indikator mengukur kualiti hidup atau kemajuan sosial dan psikologi penduduk sesebuah negara secara yang menyeluruh. Keluaran dalam negara kasar (gross domestic product) yang masih tetap digunakan untuk mengukur kualiti hidup pada tahap dunia adalah tertumpu kepada aspek ekonomi sahaja. Hanya Bhutan Walaupun indikator dan konsep Kebahagiaan Negara Kasar lebih menyeluruh, ia hanya pernah digunakan secara rasmi di negara Bhutan, negara yang melahirkan indeks tersebut. Indeks ini dipandang oleh negara itu sebagai satu tanda komitmen untuk betul-betul memelihara kualiti hidup orang Bhutan secara keseluruhan, dan bukan terhad kepada isu produktiviti sahaja.  Amat jelas bagi pemerintah Bhutan pada masa itu bahawa indeks negara yang mengukur produktiviti negara tidak dapat menjamin tadbir urus yang bagus (good governance) atau kualiti hidup yang bagus secara saksama untuk semua penduduk Bhutan. Kemajuan negara perlu diukur berdasarkan unsur-unsur bersifat sosial. Contohnya seperti tahap bahaya dan diskriminasi terhadap kanak-kanak, bahaya terhadap wanita, isu keselamatan penduduk, keganasan rumah tangga, kadar penceraian, kualiti alam sekitar—pencemaran udara, pencemaran bunyi, pencemaran air; dan lain-lain), dan unsur-unsur bersifat psikologi (kadar bunuh diri, isu kemurungan, tekanan hidup, bilangan pesakit psikoterapi dan sebagainya). Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah menyedari hakikat ini, dan sejak tahun 2012 mengeluarkan lapuran tentang status kebahagiaan negara-negara seluruh dunia, termasuk Malaysia. Mengikut lapuran PBB edisi 2013, penduduk Malaysia kurang bahagia berbanding dengan penduduk negara-negara jiran ASEAN, Singapura dan negara Thai. Kedudukan Malaysia di rang indeks tersebut adalah 56 daripada 156 negara ahli PBB. Keadaan di Malaysia Ramai di antara penduduk Malaysia sedar bahawa nisbah jantina di negara Malaysia semakin meningkat. Ini bermakna bilangan orang lelaki melebihi bilangan wanita. Berita ini telah pun disebarkan oleh media massa pada tahun 2010), namun mungkin implikasinya kepada pencapaian kebahagiaan negara kurang dibahaskan. Mari kita renungkan isu ini bersama-sama. Mengikut data Jabatan Perangkaan Negara, nisbah ini mula meningkat pada tahun 1980. Pada tahun 2010, nisbah untuk seluruh negara adalah 106. Maknanya, bagi setiap 100 orang wanita, terdapat 106 orang lelaki. Mengikut Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi 2010, nisbah lelaki berbanding perempuan secara relatifnya adalah paling tinggi bagi Pahang (113), diikuti oleh negeri-negeri Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), W. P. Labuan (107) dan Sarawak (106). Sebaliknya, bilangan lelaki kurang daripada perempuan bagi W. P. Putrajaya (89) dan Perlis (97) Secara kesuluruhannya, ini bermakna bagi jumlah penduduk seramai 28.3 juta (tahun 2010), hanya terdapat sekitar 13.74 juta orang wanita berbanding dengan 14.56 juta orang lelaki. Mungkin lebih ramai orang lelaki perlu menumpu pencarian mereka untuk pasangan hidup (perempuan) mereka di W.P. Putrajaya dan Perlis. Itupun, belum dapat dijamin berjaya atau tidak, kerana negara kita membenarkan berpoligami. Lebih-lebih lagi, nisbah jantina terutamanya tertinggi bagi golongan yang dikatakan golongan produktif, yang berumur 15 tahun hingga 49 tahun. Mungkin apa yang tambah merisaukan adalah perkadaran penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) adalah sebanyak 67.3 peratus daripada jumlah penduduk 2010 (28.3 juta). Nisbah tidak seimbang Ada ahli akademik yang merujuk kepada indikator ini sebagai salah satu amaran awal bahawa kebencian terhadap perempuan (misogyny) sedang bertambah teruk, dan fenomena kebencian tersebut dapat diperhatikan melalui kes-kes keganasan terhadap wanita dan bagaimana wanita diperlakukan oleh berbagai pihak. Di sini, sepatutnya termasuk juga keganasan yang dialami oleh golongan transgender kerana mereka dipandang sebagai mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan sebab itu, dianggap kurang bernilai daripada “lelaki tulin”. Diskriminasi dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita dan golongan transgender biasanya ditegakkan menerusi polisi dan perlaksanaan undang-undang yang berat sebelah.  Apa yang belum lagi dapat ditegakkan dalam penelitian nisbah jantina sesebuah negara, adalah perhubungan linear di antara nisbah jantina dan tahap keganasan di negara tersebut.  Seksualiti di sebalik kebahagiaan Bagi saya, di dalam menentukan perhubungan nisbah jantina dengan tahap keganasan di sesebuah negara, kita perlu diteliti nilai-nilai patriarki yang ada di dalam masyarakat berkenaan. Mengikut Bank Dunia, sekiranya nilai yang diberikan kepada seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita, tidak sama dan kurang daripad nilai yang diberikan kepada seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki, pasti wujudnya keganasan, kemiskinan, dan kemunduran di dalam masyarakat tersebut. Selagi wanita didiskriminasi dan ditindas, selagi negara itu akan bertambah kebelakangan. Contoh oleh Riaz Hassan Bagi sesiapa yang mungkin ragu terhadap kenyataan ini, fenomena peningkatan kebencian terhadap wanita dapat dikesan oleh Riaz Hassan daripada aspek yang lain, dan dihuraikan di dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 2008, “Inside Muslim Minds” (Di Dalam Minda Orang Islam).   Kajiannya cuba meneliti jenis Islam yang diamalkan di beberapa buah negara, termasuk Malaysia. Di sini Malaysia memang dikesan sebagai sebuah negara yang bertambah buruk sifatnya terhadap wanita (mahupun di bawah “Islam PAS” atau “Islam UMNO”). Di antara 6,390 orang Islam dari 7 buah negara yang terlibat di dalam kajian ini, seramai 804 orang Islam (termasuk ahli akademik, pemimpin politik, pegawai kerajaan, pakar professional) dari 5 buah negeri di Malaysia (3 buah negeri ditadbir oleh UMNO dan 2 buah negeri ditadbir oleh PAS) yang menjadi responden di dalam kajian tersebut. Responden untuk kajian tersebut tidak dipilih sewenangnya. Profil asas mereka adalah: beragama Islam, dianggap berpelajaran, berkebolehan dan ada upaya kepimpinan. Keganasan terhadap wanita dan transgender

Sejak kebelakangan ini, kita di Malaysia dapat memerhatikan betapa kerap dan betapa teruk keganasan yang diperlakukan terhadap wanita, dan juga budak perempuan. Kes rogol perempuan kaum Penan masih dipersoal dan “disiasat” walaupun kerajaan sudah mengesahkan  bahawa rogol itu memang telah berlaku pada tahun 2008. Kes budak perempuan yang dirogol oleh hampir 40 orang lelaki di negeri Kelantan pula mendatangkan berbagai-bagai pendapat yang kejam tentang “sifat” dan “perangai” perempuan tersebut. Adakah kita sudah begitu buta kepada keganasan yang diperlakukan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan? 

Ketidaktenteraman “psyche” (minda dan emosi) semua penduduk akan terancam sekiranya kita tetap membuta kepada kelakuan mereka yang bersalah, yang meg-objektifikasikan wanita, dari segi keganasan emosi dan fizikal dan sebagainya. 

Seksualiti 

Bagaimana pula dengan isu seksualiti? Baru-baru ini, pada 8hb Jun, ada kes 17 orang mak nyah yang diperlakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan di Bahau. Tidak dihiraukan bahawa mereka memang tetamu dan bekerja sebagai Mak Andam tetapi masih ditangkap semasa satu perayaan perkahwinan. Banyak lagi kes yang dapat direkodkan pada tahun-tahun yang lepas, dan dilaporkan kepada beberapa badan tertentu, termasuk SUHAKAM. Namun usaha untuk memahami isu kemaruahan manusia dengan lebih mendalam, dan untuk menegakkan keadilan dan tadbir urus yang bagus di negara ini, masih tidak dapat berganjak maju. Isu keganasan terhadap orang trans atau transgender adalah juga isu kebencian terhadap wanita, dan sekiranya PBB telah mengambilkira kes keganasan seksual yang berlambak di Malaysia, mungkin kedudukan Malaysia di rang indeks kebahagiaan dunia akan lagi turun ke bawah.         unnamed

]]>

Seminar: Kebebasan, Agama dan Media Sosial

RUANG TERHAD. DAFTAR DI: projekdialog@yahoo.com 

Projek Dialog dengan kerjasama Article 19 akan mengendalikan seminar untuk meniliti isu-isu sekitar hubungan kebebasan agama dan hak asasi dalam era media sosial. 

Kita akan tumpukan aspek teori dan praktikal.  Dari segi teori kita akan membahaskan kebebasan agama dalam kerangka hak asasi manusia dan kaitannya dengan keadaan tempatan. Kemudian sesi praktikal akan diadakan, di mana cara cara media sosial boleh digunakan untuk advokasi harian akan dibentang. Antara lain kita akan membahaskan: Apakah asas hubungan tersebut? Bagaimanakah ia boleh diperlihara dalam konteks Malaysia? Apakah cabaran yang akan dilalui dalam menegakkan hak asasi dan apakah langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh rakyat biasa dalam meningkatkan kesadaran masyarakat terhadap isu ini? Seminar ini berbentuk forum yang terdiri daripada panelis dan pakar, serta ruang perbincangan terbuka di mana hadirin dapat menyuarakan pendapat mereka. Seminar ini akan diadakan pada Ahad, Ogos 24 2014, dari jam 9 pagi ke 8 malam. Makan tengah hari dan makan malam akan disediakan. Tempat: Pusat Rakyat Loyar Burok. Turut serta: Faisal Tehrani, Lena Hendry, Uthaya Sankar SB, Khairil Yusof dan Ehsan Shahwahid RUANG TERHAD. DAFTAR DI: projekdialog@yahoo.com Sila telefon: 0123319537 jika anda ada sebarang pertanyaan. 10608723_572433826200565_6595252433728348794_o 10537325_572527862857828_7419434369246466651_n  

]]>

Penindasan Rohingya: Data dan fakta penting

Di sini adalah sedikit fakta mengenai mereka.

Siapakah orang Rohingya?

* Mereka adalah golongan Muslim minoriti yang hidup di Myanmar (dahulunya Burma) yang mana majoriti penganutnya beragama Buddha. Kebanyakan Rohin berada di kawasan barat Rakhine dan bilangan mereka, menurut Kementerian Imigrasi adalah seramai 1.33 juta orang.

* Rohingya mendakwa mempunyai susur galur keturunan selama berabad lamanya di Rakhine. Walaubagaimanapun, Undang-undang Kerakyatan 1982, yang dikuatkuasakan oleh kerajaan tentera dahulu telah mengecualikan mereka daripada senarai lebih 100 kumpulan yang diiktiraf sebagai etnik minoriti. Pengecualian ini menyebabkan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kerakyatan. Sejak itu, mereka tidak mendapat Kad Pengenalan, yang diperlukan untuk pelbagai urusan daripada persekolahan, perkahwinan, pekerjaan sehinggalah kepada sijil kematian.

* Majoriti daripada mereka berada di utara daerah Rakhine (NRS – Northern Rakhine State) yang terdiri daripada 3 bandar utama – Buthidaung, Rathedaung dan Maungdaw – dan bersempadan dengan Bangladesh. Rohingya merupakan 91peratus daripada jumlah penduduk NRS yang dianggarkan leih kurang 1 juta penduduk. Ia juga merupakan salah satu kawasan yang paling terpencil, miskin, dan padat di negara itu. Akses media dan bantuan ke NRS amatlah dihadkan. 

Bagaimanakah kehidupan mereka? 

* Rohingya di NRS mengalami pelbagai halangan. Mereka tidak dibenarkan berhijrah, berkahwin atau mencari rawatan tanpa kebenaran rasmi, yang sangatlah mahal dan tidak terjamin. Kumpulan-kumpulan pembela hak asasi mengatakan  Rohingya turut menghadapi dakwaan, pemerkosaan, dipaksa menjadi buruh, rampasan harta dan diberi akses yang terhad terhadap perkhidmatan awam. 

* NRS terduduk di bawah standard bagi negara yang mempunyai markah rendah dalam kebanyakan kajian sosio-ekonomi. PBB mengatakan, kematian kaum ibu adalah sebanyak 380 kematian per 100,000 kelahiran hidup di Maungdaw – yang berganda daripada jumlah kematian di 200 negara dalam kajian UNICEF. Kematian bawah 5 tahun adalah sebanyak 135 orang per 1000 kanak-kanak di Maungdaw berbanding bilangan bagi negara sebanyak 77 orang.  

* Tinjauan telah menunjukkan bahawa kes-kes kurang zat makanan di NRS secara berterusan sebanyak 15 peratus lebih tinggi daripada garis maximum yang diletakkan oleh World Health Organization (WHO). Pada tahun 2008, masalah kurang zat makanan adalah sebanyak 22.7% di bandar Buthidaung dan 20.2 % pada tahun 2009. Analisa pada tahun 2011 menunjukkan 45 % tidak mempunyai akses makanan yang meyakinkan. 

Mengapakah mereka sering dipapar kaca berita kebelakangan ini?  * Dua peristiwa keganasan masyarakat pada tahun 2012 telah membunuh sekurang-kurangnya 192 orang dan membuatkan sejumlah 146,000 orang hilang tempat tinggal. Kebanyakannya adalah Rohingya. Ada puluhan ribu yang berada di kem-kem penempatan sementara di luar Sittwe ibukota Rakhine. 

* Seramai 86,000 orang meninggalkan Rakhine menggunakan bot antara Jun 2012 hingga April 2014 untuk memulakan hidup baru, dan pejuang hak asasi mengatakan jumlah ini akan semakin meningkat. 

* Mereka yang tidak boleh meninggalkan terpaksa bergantung pada bantuan daripada pelbagai agensi dari segi keperluan seharian, menyebabkan datangnya tuduhan daripada nasionalis Buddha di Rakhine dan juga Myanmar, mengatakan ianya tidak adil. 

* Médecins Sans Frontières-Holland (MSF-H) dan Malteser International, dua organisasi yang telah memberikan bantuan kesihatan yang besar di NRS dan di kem pelarian, telah dihalau daripada Rakhine pada Febuari dan Mac, setelah adanya kempen menentang mereka daripada golongan pelampau beragama Buddha. Pada 24 Julai, kerajaan Myanmar mengumumkan bahawa badan-badan tersebut dibenarkan untuk kembali untuk memberi bantuan, tetapi keadaan keselamatan mereka tidak terjamin. 

* Walaupun kesusahan yang mereka hadapi, masih tidak banyak simpati yang berjaya diraih untuk golongan Rohingya di Myanmar. Sentimen anti-Rohingya tersebar luas, dan pihak berkuasa memanggil mereka ‘Bengalis’, untuk menyamakan mereka dengan pendatang asing daripada Bangladesh. Gerakan demokrasi di Myanmar, termasukalah penerima anugerah Nobel Aung San Suu Kyi, masih tidak menyatakan pendirian yang berpihak pada Rohinya. 

Sumber : World Food Organization, UNHCR, UNOCHA, Fortify Rights, Human Right Watch, The Arakan Project, The European Comission. Penterjemahan tidak rasmi FACTBOX – Facts and figures about Myanmar’s Rohingya.” Diterjemah oleh Noor Amalina Rosli. 

]]>