Navaratri: Meraikan emansipasi wanita

Navaratri atau Maha Navaratri dalam kalangan penganut ajaran Hindu adalah pada bulan Purattasi (September-Oktober) mengikut kalendar Tamil. Perkataan “nava” bermakna “sembilan” dan “ratri” bermakna “malam”. Seperti yang dapat diagak, sambutan Navaratri adalah selama sembilan malam berturut-turut. Sambutannya berlangsung dari 25 September hingga 3 Oktober 2014 khusus bagi meraikan Sakthi Devi yang dimanifetasikan sebagai dewi-dewi dalam sembilan inkarnasi yang penuh variasi. Walaupun Hinduisme adalah agama tauhid pertama dan tertua di dunia, konsep trimurti (tiga dewa) memang diketahui umum; sesuai dengan konsep Ekan Anekan di mana Tuhan adalah Maha Esa tetapi berada di mana-mana dan dalam segala rupa. Tuhan dalam ajaran Hinduisme dimanifestasikan menerusi trimurti iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah; Pengakhir). Bagi melaksanakan tugas sebagai pencipta, pemelihara dan pemusnah (dengan erti kata menguasai segala-galanya di mayapada), maka Brahma, Vishnu dan Shiva mendapat sakti (Sakthi; kuasa) daripada pasangan masing-masing iaitu Durga, Laksmi dan Saraswati. Ketiga-tiga dewi ini masing-masing mewakili keberanian/kekuatan, kemewahan/harta dan ilmu/pengetahuan. Sebelum timbul sebarang kekeliruan dan salah tafsir, harus ditekankan bahawa Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Maha Esa. Bagaimanapun, bagi menggambarkan segala sifat yang dimiliki-Nya, penganut Hindu dibenarkan mevisualkan rupa Tuhan yang pelbagai mengikut kemampuan masing-masing. Berbalik kepada sambutan Navaratri selama sembilan hari serta kehadiran tiga dewi, masing-masing diraikan selama tiga hari. Durga pada hari pertama, kedua dan ketiga; diikuti Laksmi selama tiga hari; dan Saraswati pada tiga hari terakhir. Upacara serta sambutan Navaratri boleh dibuat di rumah atau di kuil. Bagaimanapun, bagi memudahkan urusan serta bagi melibatkan lebih ramai orang, maka upacara khas biasanya diadakan di kuil. Boleh diraikan mengikut pemahaman masing-masing Dalam Markandey Purana, dinyatakan bahawa inkarnasi Sakthi ialah sebagai Shailputri, Brahmacharni, Chandraghanta, Kushmanda, Skandamata, Katyayani, Kalratri, Mahagauri dan Siddhidatri. [caption id="attachment_4041" align="alignleft" width="300"]Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri. Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri.[/caption] Inkarnasi Sakthi Devi juga disebut dalam Shiva Purana dan sering menjadi rujukan dalam kalangan orang Hindu yang meraikan Navaratri. Bagaimanapun, terpulang kepada setiap individu untuk memilih sembilan inkarnasi yang mahu diraikan. Harus diakui bahawa ajaran Hinduisme iaitu Sanatana Dharma (“agama yang abadi”) amat kompleks dan mungkin sukar difahami orang luar yang kurang pengetahuan mendalam mengenai agama tauhid pertama dan tertua ini. Apa-apa maklumat yang dikongsikan di sini adalah secara amat mudah dan amat ringkas demi membantu pemahaman agar masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh saling menghormati. Antara inkarnasi Sakthi Devi (Mother Goddess) ialah Durga, Bhadrakali (Kali), Ambal, Annapoorna, Sarvamangala, Lalita dan Moogambikai. Patung dewi-dewi ini biasanya disusun pada rak bertangga khas yang dibuat bagi majlis “kolu” sepanjang sambutan Navaratri. Ada warna khas yang dipilih dan ditetapkan bagi setiap hari. Misalnya, bagi tahun ini, warna-warna yang ditetapkan (mengikut urutan hari) adalah kuning, hijau, kelabu, jingga, putih, merah, biru, merah jambu dan ungu. Sambutan Navaratri bukanlah suatu acara yang rigid dan terlalu formal. Sebaliknya setiap individu diberikan kekebasan untuk menyambutnya mengikut pilihan masing-masing. Hal ini penting kerana setiap individu yang berbeza umur, pengetahuan, tahap ketakwaan, pendidikan, latar belakang dan sebagainya pasti memiliki kemampuan yang berbeza untuk meraikan dan menghayati mana-mana sambutan dalam Hinduisme. Semasa berkongsi kisah menerusi Facebook baru-baru ini, Chitra Alagan yang lahir di Taiping, Perak dan kini bekerja di Pulau Pinang terkenang akan pelbagai juadah nabati (sayur-sayuran) yang dihidangkan sepanjang Navaratri. Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor pula mengimbas pengalaman menyanyikan lagu-lagu keagamaan memuji Amman (Mariamman). “Sepanjang sembilan malam, lagu-lagu pujaan dinyanyikan di kuil. Satu lagi pengalaman Navaratri yang tidak boleh saya lupakan adalah sambutan Saraswati Pooja di mana buku-buku diletakkan di bilik sembahyang dan semua ahli keluarga bersembahyang bersama dan berdoa demi kemajuan dalam pelajaran,” kata guru kelahiran Klang itu. Saraswati Pooja dan Ayudha Pooja Saraswati Pooja disambut pada hari kelapan (2 Oktober 2014) khusus bagi Saraswati iaitu dewi yang dikaitkan dengan ilmu, pengetahuan, seni dan sastera. Upacara sambutan ini sangat terkenal di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) demi memohon restu bagi murid-murid. Buku-buku pelajaran akan diletakkan di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu. Akan tetapi, harus dinyatakan dan diingatkan bahawa Saraswati Pooja bukan hanya bagi bahan bacaan seperti buku. Sebaliknya turut melibatkan apa-apa barangan yang digunakan orang untuk sama ada menimba ilmu atau menyara diri. Maknanya, seorang ahli muzik mungkin meletakkan alat muzik miliknya di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu, anugraham (anugerah) dan memohon dimurahkan rezeki. Seorang penulis mungkin meletakkan alat tulis, buku nota atau komputer riba semasa Saraswati Pooja dijalankan. Seorang petani mungkin meletakkan cangkul dan sabit untuk memenuhi hajat di hati. Bercakap mengenai cangkul, sabit dan pelbagai peralatan lain mungkin mengingatkan penganut Hindu kepada Ayudha Pooja pada hari kesembilan. Perkataan “ayudha” atau “ayudham” membawa makna “senjata”. Akan tetapi, tidak pula bermakna bahawa senjata seperti parang, pisau, tombak, pistol, senapang, kayu pemukul, rantai dan sebagainya dipuja pada hari berkenaan. Sebaliknya peralatan yang membantu kita dalam berjuang meneruskan kehidupan dengan membuat kerja-kerja yang halal dikenang pada hari tersebut. Restu Tuhan juga diminta menerusi upacara sembahyang atau puja khas. Selama sembilan hari sepanjang Navaratri, pelbagai acara seni dan kebudayaan diadakan di kuil. Mereka yang berbakat dalam seni tari tradisional seperti bharatanatyam akan membuat persembahan khas untuk menonjolkan keunikan setiap dewi yang diraikan pada hari berkenaan. Individu yang pandai membuat kolem menggunakan beras, bijirin dan bunga pula menghasilkan lukisan seni yang penuh warna-warni untuk menonjolkan bakat kesenian serta meraikan sifat-sifat keindahan dan kesenian yang dikaitkan dengan dewi-dewi yang diraikan. Nyanyian lagu-lagu thevaram serta upacara pooja (puja) khas di kuil memang menjadi kebiasaan. Bunga pelbagai warna, buah-buahan dan manisan dipersembahkan di hadapan berhala sebelum diagih-agihkan kepada orang ramai. Makna simbolik yang mungkin dilupakan [caption id="attachment_4040" align="alignleft" width="300"]Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita. Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita.[/caption] Seperti yang dinyatakan tadi, sambutan Navaratri bukanlah suatu upacara yang rigid atau diwajibkan. Sebaliknya Sanatana Dharma memberikan kekebasan kepada orang ramai untuk meraikan kebesaran Tuhan Yang Maha Esa menerusi cara dan pilihan masing-masing mengikut kemampuan serta tahap ketakwaan. Selepas sambutan selama sembilan hari (Navaratri), maka hari kesepuluh (4 Oktober 2014) adalah Vijayadasami iaitu hari meraikan kemenangan atau kejayaan (wijaya). Sambutan itu diraikan secara simbolik dengan mengangkat Durga yang dikatakan berjaya memusnahkan syaitan berkepala kerbau, Mahishasura. Secara mudah ia menandakan kejayaan kebaikan menghancurkan kejahatan. Durga digambarkan sebagai dewi yang memegang senjata dengan lima pasang tangan serta duduk di atas seekor singa. Gelaran lain yang diberikan kepada dewi berkenaan ialah Mahishasura Mardhani. Salah satu mesej tidak tertulis yang diraikan menerusi Navaratri adalah kehebatan, kuasa, kekuatan, jati diri, kekentalan, keberanian dan semangat juang yang dimiliki oleh golongan wanita dalam kehidupan seharian. Maka sambutan Navaratri bukan sekadar meraikan dan memuja dewi-dewi dalam bentuk berhala. Sebaliknya untuk memperkasa, memotivasi dan menjana kekuatan dalam diri golongan wanita itu sendiri. Atas dasar dan kesedaran itulah juga beberapa filem Tamil dan Hindi bertema emansipasi wanita mengangkat dewi-dewi seperti Kali, Durga dan Amman untuk memberikan semangat juang kepada watak dalam filem. Pada masa sama, Navaratri juga seharusnya berperanan mengingatkan orang ramai (khususnya lelaki) betapa pentingnya kehadiran golongan wanita dalam kehidupan kita. Seperti kata watak seorang ayah dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam): “Awaklah Lakshmi dalam rumah ini. … Awaklah yang memberikan nafas pada rumah tangga ini.” Apa gunanya meraikan Navaratri jika golongan wanita masih merasakan diri mereka serba lemah dan terpaksa bergantung kepada orang lain (lelaki)? Dan apa gunanya meraikan kehebatan dewi-dewi jika golongan lelaki masih memperhambakan wanita? unnamed

]]>

Akta Hasutan dan ayat-ayat cinta

Cinta yang satu Menurut tokoh falsafah Jerman, Freidrich Hegel (1770 – 1831) boleh malah perlu dalam soal kenegaraan. Bukan sekadar cinta dan kebebasan, tapi juga melibatkan individu, masyarakat, perundangan, sejarah, malah dengan monarki. Bahkan dengan Tuhan. Kesemuanya harus keseluruhan, jadi Satu. “Jerman bukan lagi sebuah Negara”. Ujar Hegel dalam esei ‘The German Constitution’, bagi menimbulkan dilema perundangan pada waktu Jerman menuju kemodenan di awal kurun ke-19, tapi masih dalam perpecahan wilayah, pada masa yang sama menghadapi ancaman siri peperangan di Eropah. Perundangan dalam sesebuah negara itu tidak sepatutnya hanya berteraskan institusi kuasa serta proses, lebih penting untuk melihat ruang yang lebih luas meliputi kehendak warganya, corak hubungan sosial serta kesedaran budaya masyarakat semasa. Kritikan ini ditujukan terhadap penguasa khususnya pengamal perundangan yang menjadikan undang-undang hanya untuk mengekalkan norma cara hidup kebiasaan dan sekadar senarai peraturan untuk mengawal perilaku rakyatnya tanpa peduli sama ada undang-undang itu masuk akal, rasional atau masih relevan dengan kesedaran masyarakat semasa. Peranan sistem perundangan Keperluan perundangan itu hadir dengan pilihan dan persetujuan para warganya. Bukan berdasarkan kehendak penguasa yang merasakan sepatutnya ada untuk mengawal dan menuntut kepatuhan warganya. Negara bukan hanya tentang institusi dan sistem, tapi lebih utama kesedaran, kemahuan serta semangat rakyat yang secara bebasnya menumpahkan taat setia. Institusi, sama ada perundangan ataupun politik sewajarnya mengikut semangat zaman warganya, bukan sebaliknya. Wujud atau tidak Negara itu akan teruji dalam situasi menghadapi cabaran, khususnya ancaman musuh. Jerman, yang pada waktu itu sedang menghadapi serangan ketenteraan Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte, kemudiaannya tewas dalam ‘Pertempuran Jena’ pada 1806. Kekalahan Jerman ini bukan sangat tentang peperangan, tetapi kerana gagalnya menghasilkan warga yang berkesedaran dan taat setia untuk mempertahankan tanah air dan persaudaraan se-Negara. Hegel, seorang Jerman. Namun, dalam peperangan tersebut merasakan selayaknya kemenangan berpihak Perancis dan Napoleon kerana Negara itu sebenarnya bukan pada nama. Makna negara Nama Negara itu tidak penting, begitu juga siapa pemimpinnya. Sistem kenegaraan,cara lantikan pemerintahan, corak pentadbiran, percukaian, malah penentuan nilai, pendidikan, bahasa mahupun identiti beragama, itu semua bukan keutamaan dalam satu negara di era moden, melainkan kesetiaan, semangat dan cinta warganya kepada Negara. Tapi purlu untuk dipersoalkan: apa yang penting sangat sampai perlu ada cinta pada Negara? Dan pastinya cinta itu bukan paksaan. Jadi apa yang membuatkan Negara itu terlalu istimewa sampai menjadi kewajipan untuk berikrar janji taat-setia? Kenapa perlu Patriotisme? “What is rational is real, and what is real is rational.” Petikan terkemuka Hegel ini dari karya Philosophy of Right menjelaskan tentang apa yang rasional itu ada, dan apa yang ada itu mestilah rasional. Konsep realiti ini bukanlah sekadar pengetahuan, tapi mampu untuk dihidupkan, diwujudkan, menghasilkan tindakan. Realiti itu bukan sekadar persoalan makna (essence), tapi juga mampu ada (existence). Rasional itu pula mestilah boleh diterima akal, bukan sekadar ditahap kefahaman, tapi juga penghayatan. Daripada asas ini, Hegel menerangkan perihal pembentukan ideal hubungan sesama manusia dalam masyarakat. Sekiranya cinta yang menjadi asas hubungan sesama manusia itu benar, ia mestilah boleh difahami, dihayati malah membebaskan belenggu yang menimpa manusia. Dinamika keluarga dan masyarakat Perhubungan paling asas sesama manusia melalui institusi kekeluargaan di mana perhubungan sesama pasangan dalam satu perkahwinan berasaskan perasaan dan kasih sayang yang menghasilkan pembebasan jiwa kedua-dua individu dengan matlamat yang sama, mengukuhkan hubungan berkeluarga dengan kelahiran dan pembesaran generasi kemudian. Di tahap masyarakat pula, hubungan sesama ahli berasaskan ‘kontrak’, persetujuan yang saling memenuhi keperluan bersama. Hegel menggunakan terma ‘civil-society’ dalam menjelaskan perhubungan ini yang turut berperanan dalam urusan pasaran, komuniti serta perlindungan. Hubungan bersama ini membawa kepada pembebasan dalam aspek keperluan kehidupan ahli masyarakat yang saling memerlukan satu sama lain. Jadi apa pula yang diperlukan sebagai asas hubungan dalam Negara? Kebersama warga Negara menghasilkan kebersamaan warga yang kemuncaknya terletak pada kesedaran dan nilai-nilai etika yang sama. Kesedaran bersama ini yang akan membentuk persaudaraan dengan jaminan pengekalan kepentingan individu, saling rasa hormat, serta saling memperbaiki antara satu sama lain. Perhubungan ini menjadi asas kepada taat setia, dengan ikrar untuk melindungi kepentingan sesama ahli dengan semangat pemilikan dan tanggungjawab bersama. Hubungan ini hanya akan mampu tercapai dengan rasa cinta antara warga, serta penghargaan akan kebebasan setiap individu untuk mencapai cita-cita. Cinta Negara itu rasional. Cinta Negara itu punya arah dan arahnya ialah kebebasan. Kebebasan, bukan liberalisme Kebebasan itu intipati bagi setiap individu mengembangkan kebolehan diri. Hanya dengan kebebasan, kemuncak kehidupan manusia dapat dicapai. Sama ada dalam bentuk kreativiti seni, imajinasi sains dan falsafah mahu pun pengalaman beragama. Namun kebebasan itu juga perlu rasional. Kebebasan perlu dipastikan faedahnya dinikmati semua. Dalam perhubungan politik, kebebasan itu ada batasan supaya kebebasan individu itu akan meraikan kebebasan individu lain, bukan menyekat, dan tidak terasing. Hegel mengkritik konsep kebebasan liberal yang sering menganggap negara sebagai sekatan kepada kebebasan individu. Kebebasan yang terlalu tertumpu kepada individu ini mengakibatkan berlakunya pengasingan (alienation) antara kehendak individu dengan kepentingan Negara, malah boleh menyebabkan kepentingan individu ataupun sekolompok mengatasi kepentingan umum Negara. Pembebasan itu tak berlaku dalam pengasingan. Bukan sekadar antara individu, malah perbatasan kebebasan juga perlu mengambilkira persoalan sejarah, perundangan dan semestinya Negara. Kerana Negara itu sendiri ialah warganya, maka juga tanggungjawab Negara untuk menjamin pembebasan warga keseluruhannya. Negara itu hanya akan wujud dengan penyatuan kesedaran para warganya, untuk mempertahankan kepentingan dan segala pemilikannya daripada sebarang ancaman, menuju kebebasan dengan dengan semangat cinta dan taat setia. Patriotisme itu hanya boleh berdiri dengan cinta ini, murni, abadi, sejati. Malaysia? Dengan semangat penyatuan keseluruhan ini, sampai Negara itu disifatkan sebagai manifestasi Tuhan di muka bumi. Cukuplah terbang di awangan idealisme Hegel, kembali bertapak di dunia nyata. Cuma persoalannya, Malaysia, sejauhmana kita sudah satu Negara? “Andai Ku terbuang tak diterima, andai Aku disingkirkan. Ke mana harus Ku bawakan cinta ini..? Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini..” Bendera masih gemilang berkibaran, dari dataran sampailah tepian jalan, irama Negaraku pun diberi penghormatan di pawagam. Slogan kenegaraan saling bergantian, yang paling utama, “Syukurlah, Malaysia masih aman”. Jika ini yang jadi kepentingan utama Negara, memadailah, kemerdekaan ini sudah hampir selesai. Kekal dalam keamanan, sembang-sembang perpaduan, sedang segelintir rebut kekayaan. Perjuangan ini sampai bilapun kibar bendera, dendang irama negara. Cukuplah nak digelar pencinta Negara. Pada masa yang sama, para cendekiawan, agamawan serta anak-anak muda yang menyeru pembebasan berhadapan penahanan dan penjara, digelar penghasut-penderhaka. Sering jadi mengelirukan, ketara kesedaran warga sebenarnya masih bertentangan. Tujuan bernegara ini sebenarnya apa, tuntut kesyukuran, atau membebaskan? Siapa sebenarnya pencinta, siapa pula penghasut? Seakan Negara ini masih belum wujud. “Ku ingin kotakan seribu janji, sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan, Akulah penyambung warisan” Segalanya satu proses Negara ini masih belum sempurna, masih dalam pembentukan. Terpulanglah kepada para warganya untuk menentukan, kerana di sebalik setiap kata, juga setiap tindakan, kita membuat pilihan. Kita generasi penyambung warisan, cuma yang jadi pilihan warisan siapa yang ingin diperturunkan. Kebebasan itu warisan kemanusiaan, bukan warisan penjajahan. Jadi seharusnya mengikut penghasut zalim gila kuasa, atau pencinta yang mahu merdeka? Namun, kalaulah dianggap Negara idaman itu khayalan sahaja. Cinta dan merdeka itu tak lain mainan kata-kata. Negara itu sekadar hal perundangan dan kuasa. Tapi, sewajarnya masih boleh mengambil pengajaran, buat segalanya yang dimiliki, juga yang memiliki kita. Bukankah bicara Tuhan mengajarkan; “Hak milik siapakah segalanya yang di langit dan yang di bumi? Hak milik Tuhan yang menentukan dengan rahmat dan kasih sayang…” Atau bukan dari Tuhan sebaik pengajaran? Atau bukan Tuhan kemuncak Cinta dan kekuasaan? Atau bicara Tuhan juga satu hasutan? #MansuhAktaHasutan unnamed      

]]>

Manual untuk tentukan siapa kafir

Kafir Justeru apakah kafir? Watak Hashemi dalam novelku itu membalas; “Kehilangan iman itu sendiri.” Protagonis novel kemudiannya menghuraikan bahawa kata kafir, yang masyhur digunakan untuk membezakan ketinggian seseorang muslim itu ketimbang non muslim, boleh ditemukan dalam al-Quran paling kurang 252 kali. Benar, Islam melarang manusia menjadi kafir, tetapi Islam tidak juga memaksa seseorang untuk beriman. Demikian hak manusia dipelihara, hak untuk beriman digalakkan tetapi hak menjadi kafir juga dihormati. Walaupun demikian, apakah definisi kafir menurut al-Quran? Ini memandangkan al Quran menyebut berkali-kali pengertian kafir. Pada ayat 6 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya; ‘Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman’. Ini menunjukkan kata kafir itu dipadankan dengan kata sifat pengkhianatan. Lihat juga ayat 38 surah al-Hajj; ‘Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur’. Selain itu kata sifat tidak setia dikaitkan dengan kekafiran pada ayat 32 surah Luqman; ‘Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi’. Sementara kata sifat pendusta dihubungkan pula dengan kata kafir pada surah az-Zumar ayat 3; ‘Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)’. Sifat degil turut dihubungkan dengan orang kafir pada surah Qaf ayat 24; ‘(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): “Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.’ Sementara pula kegiatan atau kerja maksiat dihubungkan dengan kafir pada ayat 27 surah Nuh; ‘Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya merekaakan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar’. Akhlak Jelas sekali, Islam menghubungkan orang kafir itu dengan perbuatan tercela sementara orang beriman pula ditandai dengan akhlak terpuji. Saya berpandangan tingkatan akhlak adalah lebih mustahak berbanding soal ukuran keimanan yang difahami masyarakat dewasa ini. Pemerian di awal ini secara terang memaknakan bidalan Melayu yang disebut oleh Tenas Effendy dalam Tunjuk Ajar Melayu bahawa ‘adat hidup orang beriman, tahu diri perangai pun sopan’. Bidalan seterusnya yang dikutip beliau pula menjelaskan gejala kurang sopan sebagai; ‘apa tanda orang terkutuk, tak tahu diri tak ingat petunjuk, hati tamak bercampur kemaruk, kemana pergi aruk mengaruk’. Tidak terbantah lagi, kita mendapati yang kata keimanan dipakejkan bersama tingkah laku yang tinggi dan kesopanan. Keimanan tidak disangkutkan hanya, semata-mata dengan keIslaman. Seseorang yang dalam sejarah hayatnya pernah mengucap dua kalimah syahadah boleh sahaja seorang kafir. Ia menjadi kafir apabila saat hilang keimanannya, dan ia juga menjadi kafir apabila ia ‘hilang akal’ dan ‘buruk pekerti’. Fikah seperti yang kita maklumi sangat berhubungan dengan akhlak. Sebagai contoh, aksi atau ibadah solat dihubungkan dengan usaha menegah kekejian dan kemungkaran pada ayat 45 surah al-‘Ankabut; ‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan’. Sementara ibadah puasa pula dihubungkan dengan menjadi orang bertakwa pada ayat 183 surah al-Baqarah; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa’. Ia tidak berakhir di situ, ini kerana orang yang bertakwa itu pula dihubungkan dengan ayat ‘orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang’ pada ayat 134 surah Al-i-’Imran. Ibadah besar haji juga dihubungkan dengan akhlak, seperti yang difirmankan Allah pada ayat 197 surah al-Baqarah, maksudnya; ‘(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).’ Ibadah Aktiviti dan ibadah zakat pula dilihat sebagai sia-sia jika tidak berakhlak pada ayat 264 surah al-Baqarah, iaitu ayat yang bermaksud; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir’. Berdasarkan pembuktian menerusi ayat-ayat di atas, ini bermakna hubungan intim akhlak dan ibadah ini sangat diperipentingkan oleh agama Islam hatta dalam fikah sekalipun. Dalam erti kata lain akhlak dan fikah sangat berhubungan. Justeru hukum (yang terkandung dalam fikah) datang dengan falsafah untuk membentuk akhlak, bukan semata-mata untuk menjatuh hukuman buat manusia. Klise? Tetapi, bukankah secara klise pengertian kafir itu dilekatkan kepada orang bukan Islam sahaja? Pengertian yang diberikan oleh saya di atas membolehkan kata kafir terlekat bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam. Dalam hal ini orang yang tidak berakhlak, atau kafir, juga dapat dianggap sebagai tidak berhikmah. Apakah maksud hikmah? Antara lain maksud hikmah terkandung panjang lebar dalam al-Quran pada ayat 23-39 surah Al-Israa’, maksudnya; [23] Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [25] Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. [26] Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. [27] Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. [28] Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati. [29] Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. [30] Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. [31] Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. [32] Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [33] Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). [34] Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. [35] Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). [36] Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [37] Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. [38] Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu. [39] Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah). Ayat-ayat suci al Quran di atas menjelaskan betapa akhlak yang baik mampu meningkatkan darjat manusia. Ini adalah kerana, ketika Allah menciptakan iman, iman itu sendiri merintih berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah menguatkannya dengan akhlak yang baik dan kebajikan. Kemudian, ketika Allah menciptakan kekufuran, kekufuran juga berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah memperkuatkannya dengan kebakhilan dan akhlak yang buruk. Hak asasi manusia Saya ingin menghubungkan pula pengertian kafir dan tidak berhikmah yang dihurai panjang lebar di atas dengan hak asasi manusia yang mengalami pencabulan berleluasa. Contoh kecil; jika anda berada di atas jalan, kekafiran anda tidak terungkap pada akidah atau kepercayaan. Jika anda tidak berakhlak di atas jalan raya, semberono dan hilang santun, jika anda seorang pembuli jalanraya, jika anda seorang pencarut tegar maka anda seorang kafir walaupun anda berserban berjubah, atau berhijab litup. Contoh besar; jika anda meyakini kepercayaan atau kaum anda lebih superior dan benar, anda pun mengherdik kepercayaan orang lain, lantas menghina kaum lain dengan begitu angkuh dan sombong, justeru walaupun ada seorang alim di mata komuniti anda, tetap menurut al-Quran anda adalah seorang kafir. Justeru, pencabul hak asasi manusia terkelompok dalam golongan kafir. Kesimpulannya, saya berpandangan kekafiran diungkap pada rendah atau tingginya akhlak, tidak semestinya terletak pada pernah atau tidak anda mengucap dua kalimah syahadah. Kayu ukur kekafiran ini diperolehi berdasarkan al-Quran dan juga kearifan Melayu (Malay wisdom). Berdasarkan kayu ukur di atas; bagaimana, adakah anda seorang kafir? Yang pasti, mereka yang mencabul hak asasi manusia dan ‘melampaui batas’ adalah sememangnya kafir. Sebelum melabel orang lain kafir dan merasakan diri anda tidak kafir, mungkin baik juga anda merujuk ‘manual Ilahiyyah’ untuk menentukan siapa dalam kalangan kita adalah sebenarnya kafir. unnamed

]]>

Moguhok: Rawatan shamanisme tradisional Sabah

Tiga cara Ketiga-tiga cara ini digunakan mengikut kepada kesakitan yang di alami oleh pesakit. Moguhok dengan menggunakan cara Opuhan biasanya di amalkan apabila si pesakit mengalami kesakitan seperti sakit perut dan sakit kepala. Bobolian akan mengambil secubit kapur sirih dan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali ke atas kapur sirih dan selepas nyanyian ke tujuh, Bobolian akan mencampurkan sedikit air ke atas kapur sirih dan meletakan kapur sirih tersebut di kepala ataupun di perut si pesakit. Kesakitan perut dan kepala akan hilang secara perlahan-lahan dalam masa 30 minit. Moguhok yang kedua iaitu Kotigogon juga di gunakan untuk kesakitan perut di mana Bobolian akan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali sambil mengurut perut si pesakit. Kotigogon di lakukan mengikut masa waktu kesakitan perut tersebut berlaku. Contohnya, jika kesakitan berlaku di waktu subuh, maka Moguhok Tigog Bantakan Kosuabon atau bermaksud mengurut di waktu pagi mesti di lakukan. Begitu juga jika kesakitan berlaku di waktu tengah hari dan petang, Tigog Bantakan Tangadau atau mengurut di waktu tengah hari dan Tigog Bantakan Sodopon atau mengurut di waktu petang mesti di lakukan. Kesakitan yang berlaku di waktu pagi tidak boleh di lakukan di sebelah malam ataupun tengah hari. Moguhok yang ketiga ialah Puruton dimana Bobolian akan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali sambil memungut kesakitan yang di alami di mana-mana bahagian tubuh badan dan meletakkan kesakitan tersebut di dinding. Bobolian tidak di benarkan memlemparkan secara kasar atau membuang kesakitan tersebut di celah-celah lubang kerana Bobolian percaya yang Rogon ataupun syaitan tidak boleh di sakiti walaupun mereka menyebabkan si pesakit merana dengan kesakitan tersebut. Pengeras Ketiga-tiga cara Moguhok ini di amalkan dengan cara yang mudah di mana Bobolian akan menghafal semua nyanyian samada pendek ataupun panjang dan biasanya mengambil dalam masa 6 bulan untuk mempelajarinya. Seseorang pesakit biasanya di wajibkan untuk memberi pengeras kepada Bobolian seperti duit RM2.00 atau secubit beras. Melalui beberapa pengalaman yang saya telah lalui di mana saya akan kongsikan disini. Semasa saya kecil, saya telah mengalami kaki terseliuh yang teruk di mana kaki sebelah kanan telah bengkak sehingga saya sukar untuk berjalan. Nenek saya mengambil sehelai kain hitam dan menyapukan minyak ke atas kain hitam tersebut. Kemudian nenek saya menyanyikan tujuh kali jampi dan mengikat kain hitam tersebut di kaki saya yang bengkak. Wow! Ianya mengambil masa dalam setengah jam, bengkak di kaki saya surut dan kesakitan berkurang. Selain itu, seorang perempuan di kampung saya telah mengalami tulang belakang terseliuh yang teruk sehingga suaminya terpaksa mengangkatnya. Nenek saya melakukan Mohugok seperti yang di lakukan dengan kaki saya. Dalam masa seminggu, perempuan tersebut dapat berjalan seperti biasa tanpa mendapat perubatan daripada hospital. Syed Muhamad Saya akan kongsikan bait-bait nyanyian untuk kesakitan yang terseliuh di sini di mana mesti di nyanyikan sebanyak tujuh kali. Butung kusita si tambi-tambi, si kobot komulakas, si kabar ponupala, barakat Syed Muhamad, barakat ku Melalui pengamatan dalam nyanyian di atas, kita dapat melihat satu nama yang sinonim dengan pendengaran kita semua iaitu Syed Muhamad. Mengikut kepercayaan Bobolian, nama tersebut di panggil untuk meminta berkat dengan tujuan untuk penyembuhan. Pengalaman yang seterusnya iaitu bapa saya telah mengalami keracunan bisa akibat gigitan labah-labah hitam. Nenek saya mengambil isi bawang putih dan menumbuknya halus. Selepas itu, nenek saya menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali dan meletakkan isi bawang tersebut di tangan bapa saya yang telah terkena gigitan labah-labah hitam. Secara perlahan-lahan, bapa saya mengatakan yang kesakitan tersebut beransur-ansur pulih dalam 30 minit kemudianya. Bait-bait nyanyian untuk Moguhok ini adalah seperti berikut; Ondung-ondung di tarabandung, burung di bukit, suyung lumunu, suyung di lunu Nyanyian dan puisi dalam rawatan Nyanyian di atas adalah seperti sebuah puisi di mana apabila kita mengamatinya setiap nyanyian adalah berunsurkan kepada alam seperti bukit dan burung. Inspirasi dan tenaga dalam pengamalan Moguhok sangan bergantung kepada tenaga kosmos yang menyembuhkan setiap kesakitan manusia. Apabila mengamati kesemua pengamalan seperti Mamagambil, Magambao dan Moguhok dalam shamanism agama tradisi, saya mendapati bahawa kesemua shamanism ini adalah membawa manafaat kepada manusia dan ianya tidak bertentangan dengan agama-agama lain. Seperti yang kita sering dengar di mana shamanism agama tradisi adalah kepercayaan kuno dan melanggar ajaran agama Kristian dan Islam di mana ada yang mengatakan “kamu tidak boleh belajar ilmu ini jika kamu sudah menganuti agama Kristian”. Saya berfikir, sejauh manakah kenyataan ini benar dan tepat? unnamed

]]>