Antara Hudud dan Kemanusiaan

Gambar: themalaysiantimes.com.my Gambar: themalaysiantimes.com.my[/caption] Hudud – Ya atau tidak, mengapa? Pada 18 Mac yang lalu, kerajaan Kelantan telah meluluskan penggubalan RUU Kanun Jenayah Syariah Islam. Dengan erti kata lain, kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob telah mendapat mandat untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Isu pelaksanaan hudud bukanlah wacana baharu. Hudud telah menjadi subjek perbahasan di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyokong hudud kerana berpandangan ia adalah hukum Allah yang wajar ditegakkan oleh umat Islam. Ada pula yang menyanggah kerana hudud masih belum sesuai dilaksanakan kerana isu-isu penting seperti kemiskinan, korupsi dan penindasan masih berlaku. Tak kurang juga yang berpendapat bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menyelesaikan masalah jenayah kerana akhirnya yang dihukum adalah orang miskin yang tidak berkuasa. Penulis tidak berminat untuk membahaskan tentang hudud. Sudah terlalu banyak perbahasan tentang hudud; sama ada dibicarakan dalam konteks akademik mahupun bukan akademik. Namun, suatu isu yang wajar direnungi oleh semua adalah – apakah itu agama bagi diri kita? [caption id="attachment_4593" align="aligncenter" width="496"]Paus, Rabbi dan Imam. Gmabar: Saltandlighttv.org Paus, Rabbi dan Imam. Gmabar: Saltandlighttv.org[/caption] Apa Makna Agama – Undang-undang atau Kasih Sayang? Adakah agama itu belas kasihan dan sifat kasih sayang? Atau, agama itu laksana undang-undang yang wajar penganutnya patuhi? Atau mungkin sahaja kedua-duanya betul mahupun salah. Oleh demikian, kita wajar untuk menyingkap semula apa yang kita maksudkan dengan beragama. Selain daripada isu Hudud, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Mie – seorang aktivis kemanusiaan yang mengabdikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyelamatkan anjing-anjing terbiar. Kehilangan Pak Mie merupakan kesedihan buat kita semua. Pak Mie telah menyedarkan kita bahawa jati sebenar umat beragama adalah untuk berbakti demi kasih sayang dan belas kasihan. Jasa-jasa Pak Mie wajar dikenang oleh setiap umat Islam kerana beliau telah mengajarkan kita erti kasih sayang terhadap binatang-binatang terbiar. Hero kemanusiaan seperti Pak Mie mungkin kisah kecil berbanding isu-isu besar yang lain. Tetapi bagi penulis, sikap Pak Mie mewajarkan kita semua untuk merenung kembali peranan agama di dalam masyarakat. [caption id="attachment_4594" align="aligncenter" width="342"]Gambar: texansforpeace.org Gambar: texansforpeace.org[/caption] Agama untuk agama atau Agama untuk manusia? Kita harus fahami bahawa agama memainkan peranan penting terhadap pemikiran masyarakat. Agama juga boleh menyebabkan kita menjadi manusia yang bermoral dan beretika. Penulis percaya bahawa ramai daripada kita memilih untuk melakukan kebaikan, jika bukan kerana diri sendiri – ia disebabkan oleh ajaran agama. Bagi seorang Muslim, kita dibesarkan dengan konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kita diajar sejak kecil supaya melakukan kebaikan kerana kita akan memperoleh pahala dan syurga. Jika kita berbuat jahat, kita akan menerima dosa dan hukuman neraka. Jadi, wacana ini tertumpu kepada renungan kembali terhadap agama. Soalannya apakah agama ini diturunkan kerana agama atau kerana manusia? Jika agama ini untuk manusia, bukankah mesej utama setiap agama yang wujud di muka bumi ini adalah untuk berpesan-pesan ke arah kebaikan. Mungkin kita perlu merenung kembali apakah kebaikan-kebaikan di dunia datang kerana a) belas ihsan dan kasih sayang atau b) hukuman dan perintah agama. Sejarah kedatangan Islam turut mengajarkan kita bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan kemanusiaan. Menurut sejarawan Ayesha Jalal, konsep Jihad yang diutarakan dalam Al-Quran menyeru kaum beriman supaya menegakkan keadilan dan kemanusiaan. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menangguhkan hukuman hudud kerana kemiskinan dan keadilan masih belum ditegakkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar menunjukkan bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan rasa ihsan sesama manusia. Jadi, soalnya di antara Hudud dan kemanusiaan; mana lebih utama? Jawapannya terpulang kepada pembaca kerana Tuhan telah mengurniakan akal yang cerdas supaya kita berfikir dengan waras! unnamed

]]>

Kebangkitan Kapitalisme Islamik di Malaysia

Gambar: Mthago WordPress Gambar: Mthago WordPress[/caption]   Kebangkitan Ekonomi Melayu Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat. Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan. Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam. Islamisasi Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’. Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam. Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’. Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu. Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya  proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia. Teori Modernisme & Kapitalisme Islam [caption id="attachment_4587" align="alignleft" width="249"]Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster[/caption] Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh. Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam. Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat. Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat. Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam. Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran. Benih-benihnya di Malaysia Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak. Proses urbanisasi dan modernisasi  orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial. Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam. ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda  sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia. Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik? Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan  masyarakat. Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama. Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim. Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.   [caption id="attachment_4585" align="aligncenter" width="721"]KL Skyline - Wikimedia Gambar: Wikimedia.org[/caption]   Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam  Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia. Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya. Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik. Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa. Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia. Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara. Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia. Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik. unnamed

]]>

Ambil tindakan kepada mereka yang membuat ugutan online

Oleh Syerleena Rashid “Aku mahu berjumpa dengan perempuan itu…sudah lama rasanya tidak menumbuk seseorang…siapa kisah jika aku digelar dayus kerana mencederakan wanita…dia patut mati!” Kenyataan di atas merupakan sebahagian daripada reaksi terhadap Aisyah Tajuddin. Penulis ingin bertanyakan satu soalan, adakah komen tersebut menyebabkan kamu marah? Jika tidak, ia bermakna kamu membenci wanita. Dan, jika kau tidak mengerti apa itu misogini dan merasakan video tersebut anti-Islam sebelum kamu melihat paparan video dengan menyeluruh. Maka, ia bermakna kamu mengalami defisit intelektualisme, dan hadirin sekalian, perkara ini mengundang dampak yang memusnahkan. Video terbitan BFM telah mengundang kemarahan orang ramai. Ia menunjukkan betapa jijiknya pemikiran sempit orang Islam-Melayu. Video tersebut sudah ditarik-balik, namun dampaknya akan sentiasa menghantui segelintir masyarakat. Terdapat banyak caci maki dan ugutan diterima di media sosial; mengukuhkan lagi bahawa gejala misogini di dalam talian internet sangat merisaukan dan harus dipantau secara serius. Apa yang menjadikan komen-komen ini lebih merisaukan adalah ruangsiber yang luas buat golongan pentaksub meluahkan dan mengancam sesiapa sahaja tanpa mudah dikesan. Komen-komen ini turut memaparkan sikap kurang waras segelintir golongan apabila berdepan dengan topik-topik sensitif, khususnya, melibatkan agama. Isu Hudud telah menggantikan ketakutan kita terhadap bayang-bayang 13 Mei. Bagi sesetengah orang (Muslim dan bukan Muslim), ketakutan ini berpunca daripada ketidaktahuan mereka terhadap Hudud, telah mencetuskan rasa syak dan prasangka terhadap masyarakat. Perbahasan tentang hudud, atau kurangnya perbahasan, telah menciptakan argumen remeh untuk warga Malaysia, lantas mematikan hujah perbahasan (samada kamu bersetuju atau tidak bersetuju). Jika seorang Melayu-Muslim mahu mengangkat kerisauan tentang bagaimana Hudud dapat dilaksanakan di dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, pengkritik yang taksub akan menggelar anda murtad dan mendorong kecaman teruk di media sosial. Di dalam kes Aisyah Tajuddin, dia telah menjadi mangsa kerakusan golongan pentaksub untuk dijadikan kambinghitam dan tempat untuk melepaskan geram. Dia bukanlah satu-satunya mangsa yang diancam dengan ugutan. Nik Raina Nik Abdul Aziz (pengurus kedai Borders), Dyana Sofya (setiausaha politik Sdr. Lim Kit Siang) dan penulis sendiri – telah dijadikan sasaran ugutan bunuh di Internet dan dilihat sebagai subjek oleh segelintir mereka sebagai ‘fantasi seks’ yang amat teruk. Isunya mudah: proses pengukuhan agama dan sistem patriaki telah membenarkan sifat misogini menjadi masalah yang akut di dalam masyarakat moden. Umum mengetahui di dalam dunia yang didominasi kaum lelaki, wanita hanyalah umpan mudah. Ia tidak mendorong warga Malaysia untuk mendakap budaya intelektualisme. Kebanyakan daripada mereka berbesar hati supaya dikawal oleh seseorang dan memaksakan kepercayaan terhadap mereka. Peristiwa tersebut menjurus kepada interpretasi yang dangkal dan mengarut. Kita sering memahami sesuatu isu secara literal akibat daripada sistem yang membenarkan pemikiran anti-intelektual untuk dijana menjadi ideologi. Proses ‘Pembodohan’ yang terjadi. Ancaman yang dihalakan kepada Aisyah Tajuddin dan BFM merujuk kepada proses pembodohan yang sedang berlaku di dalam negara kita. Sikap terlalu mempolitikkan sesuatu isu ‘hyper-politicisation’ (i.e. reaksi para pentaksub) dan kurangnya berpolitik ‘hypo-politicisation’ (i.e. sikap tidak peduli akan politik terutamanya golongan muda) hanya membenarkan golongan fanatik ini melakukan kemusnahan terhadap negara ini. Isu sebenar yang diangkat di dalam video tersebut menyingkap kerisauan yang terbuku di dalam minda warga Malaysia – mengapa mereka yang berkuasa memberikan perhatian terhadap hudud, sedangkan isu-isu penting masih belum diselesaikan? Survei yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati majoriti rakyat Kelantan mengharapkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan pemulihan pasca banjir. Malangnya, agama telah dimanipulasi untuk menyembunyikan isu-isu mustahak, malah mengalih perhatian kita. BFM hanya mengangkat kebenaran sebenar dan bagi sebahagian daripada kita, kebenaran itu sangat pahit dan sulit. Seperti yang telah diperkatakan oleh penulis, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan yang serius terhadap ugutan dan keganasan yang ditujukan kepada Aisyah Tajuddin. Komen-komen yang tidak bermaruah boleh ditemui di dalam media sosial dan harus dianggap sebagai ancaman yang serius.     Makalah ini penterjemahan “Take action on those who made threats online“. Penterjemah: Muhammad Nazreen. 

]]>

Sisters in Islam: Kenyataan Media Terhadap Ugutan Jenayah Kepada Aisyah Tajuddin

Kupas” terbitan bersama BFM dan Projek Dialog yang membincangkan tentang Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 March 2015 yang lepas. Ugutan yang diterima oleh Aisyah Tajuddin merupakan satu tindakan jenayah di bawah Seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. Kami juga menyeru agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kamar Peguam Negara  mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang melakukan ugutan jenayah tersebut. Ugutan berbentuk jenayah yang dilakukan terhadap Aisyah Tajuddin adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam dan kebebasan berpendapat yang telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kami juga percaya bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 bukanlah sesuatu yang sakral dan tidak boleh dikritik secara substantif dan dari sudut pelaksanaannya. Ia juga terbuka kepada cabaran perundangan di Mahkamah melalui satu semakan kehakiman. Isu-isu yang dibangkitkan oleh Aisyah Tajuddin di dalam video satira tersebut seperti masalah pasca-banjir, dadah dan kemiskinan juga harus diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan dijadikan keutamaan (awlawiyat) berbanding dengan melaksanakan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993. Dr Yusuf Al Qaradawi di dalam Kitabnya Fi Al Fiqhi Al Awlawiyat: Dirasah Jadidah Fi Daw’I Al Quran Wa Al Sunnah menyatakan bahawa antara kesalah fahaman yang sering terjadi kepada para pejuang Islam adalah kerana terlalu taksub dan berlebih-lebihan di dalam memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta’zir  sehingga menimbulkan tanggapan yang kurang baik terhadap kalangan orang awam. Terbaru, dalam satu temuramah Al Jazeera pada tahun 2011 beliau menyatakan pelaksanaan Hudud bukanlah satu keutamaan di saat rakyat masih lagi kelaparan, peluang pekerjaan juga sukar untuk di dapati dan negara masih gagal menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi kepada rakyat. Kami menyeru agar kita bersikap lebih objektif dan berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan dan tidak terburu-buru menuduh Aisyah Tajuddin atau sesiapa sahaja yang mengkritik dan memberikan saranan terhadap pelaksanaan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993. Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 untuk memasuki ruang awam melalui saluran demokrasi, oleh yang demikian sesiapa sahaja berhak bersuara tentang undang-undang tersebut sebagaimana yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sisters in Islam 20 Mac 2015

]]>

Mitos Pemerintahan Khalifah

Caliphate Terjemahan “The Myth of the Caliphate“, tulisan Nick Danforth yang diterbitkan oleh Foreign Affairs pada 19 November 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Sejarah Politik Sebuah Idea Pada tahun 1924, pemimpin Turki Kemal Ataturk secara rasmi memansuhkan khilafah Uthmaniyyah. Hari ini, kebanyakan perbincangan Barat tentang ISIS bermula dengan merujuk peristiwa ini kononnya sebagai satu titik perubahan besar dalam sejarah Islam. Beberapa Islamis kontemporari juga sama pemikirannya. Misalnya, ada sebab mengapa Lion Cub, penerbitan bahan kanak-kanak Ikhwan Muslimin, pernah beberapa kali menganugerahkan Ataturk, si “pengkhianat Yahudi”, tempat pertama dalam pertandingan “Kenalilah Musuh Agama Anda”. Walaupun Islamis hari ini merujuk kepada pemerintahan Uthmaniyyah, namun sebahagian besar daripada mereka lebih tertumpu kepada usaha mewujudkan semula khilafah-khilafah sebelumnya:

  • Era keempat-empat Khulafa Ar-Rasyidin, yang memerintah sebaik selepas kewafatan Muhammad pada abad ketujuh, contohnya, atau
  • Khilafah Abbasiyah, yang wujud dalam berbagai bentuk dari abad kesembilan hingga ketiga belas (sebelum dimansuhkan secara rasmi oleh puak Mongol)
Dengan mencampurkan kerajaan Uthmaniyyah pada abad kesembilan belas dengan khilafah-khilafah alaf lalu, penganalisis politik Barat dan pemikir Islam nostalgik kedua-duanya telah membina naratif khilafah sebagai sebuah institusi yang berkekalan, yang dilihat sebagai teras kepada Islam dan pemikiran Islam antara abad ketujuh dan kedua belas. Namun, khilafah merupakan idea politik atau agama yang kerelevanannya berubah mengikut keadaan. Sejarah khilafah yang lebih baru di bawah pemerintahan Uthmaniyyah menunjukkan mengapa institusi tersebut lebih sesuai difikirkan sebagai fantasi politik. Ia idea yang masih samar, sama seperti idea “pemerintahan proletariat”. Dalam konsep khilafah, Islamis kontemporari menciptanya mengikut keadaan zaman itu. (Jika tidak, masakan ISIS begitu mudah menyamakan istilah khilafah bagi rejim kezaliman dan pertumpahan darah mereka, dengan sistem pemerintahan demokratik dunia Islam yang selalu dibayangkan para peniaga Muslim British.) Lebih daripada itu, kisah khilafah Uthmaniyyah juga menunjukkan bahawa usaha untuk merealisasikan mana-mana versi fantasi ini mungkin berdepan dengan pertembungan sama yang menghancurkan zaman Uthmaniyyah seabad lalu. Penjenamaan Semula Uthmaniyyah Apabila Empayar Uthmaniyyah menakluki Mesir dan Semenanjung Arab pada tahun 1517, Sultan Selim (Si Bengis) secara rasminya menggunakan gelaran khalifah untuk dirinya serta warisnya. Selain daripada menguasai kota Mekah dan Madinah, Selim mengukuhkan kedudukannya dengan membawa koleksi pakaian dan bulu janggut Nabi kembali ke Istanbul. Berabad kemudian, empayar Uthmaniyyah memutuskan bahawa mereka perlu membuatkan keseluruhan proses tersebut kelihatan lebih bermartabat. Maka sejarawan diraja mula menegaskan bahawa waris terakhir khilafah Abbasiyah, yang dihalau ke Kaherah berabad setelah kehilangan takhta, telah dengan sukarelanya mengurniakan gelaran beliau kepada Selim. Secara lebih praktikal, empayar Uthmaniyyah mengukuhkan tuntutan mereka sebagai tampuk kepimpinan Islam dengan menjadi pelindung haji dan menghantar kiswah bersepuh emas untuk menyelubungi Kaabah setiap tahun. Untuk memberi perspektif tentang rebutan gelaran ini, apabila pemerintah Uthmaniyyah, Sultan Mehmed II menakluki ibu negara Byzantine, iaitu Constantinople (kini Istanbul) 64 tahun sebelum Selim menawan Mesir, beliau telah menuntut gelaran Caesar Rom untuk keturunannya. Sejauh mana pengaruh gelaran khalifah berbanding dengan Caesar di empayar Uthmaniyyah lewat abad kesembilan belas, sebahagian besarnya hasil daripada kempen politik Sultan Abdulhamid II untuk menyemarakkan semangat antikolonial dan menguatkan kedudukan beliau di sana. Teknik beliau termasuklah mengarahkan namanya dibaca ketika solat Jumaat dan mengirimkan Quran ke seluruh dunia Islam, dari Afrika ke Indonesia. Tiada keraguan bahawa ramai umat Islam, ketika berdepan dengan penjajahan Eropah di negara masing-masing, semakin terinspirasi dengan idea seorang pemimpin warak dan berkuasa seperti Sultan Uthmaniyyah yang menentang imperialisme Barat bagi seluruh dunia Islam. Tentunya, pegawai-pegawai British dan Perancis meluahkan kebimbangan tentang potensi kekuasaanya ke atas kawasan jajahan Islam di Afrika Utara dan India. Walaupun beliau ingin mengambil kesempatan terhadap ketakutan itu, namun Abdulhamid sendiri meragui kekuatan pengaruh beliau hasil usahanya di negara-negara jauh. Perkara yang amat membimbangkan beliau adalah hakikat bahawa bukan semua menerima tuntutan beliau sebagai khalifah. Berbeza dengan mereka yang menyokong Abdulhamid kerana perpaduan agama, ada juga yang didorong nasionalisme Arab atau tidak berpuas hati dengan kezaliman Abdulhamid, yang mempersoalkan asas keagamaan pemerintahannya. Pemikir sebegitu, termasuklah Rashid Rida di suatu ketika, menyokong penciptaan khilafah Arab baru, dengan memetik kata-kata Muhammad bahawa khalifah sebenar perlulah dari keturunan suku kaum Nabi, iaitu Quraisy. (Warga Uthmaniyyah, nampaknya, menerima kesahihan hadis ini namun mempunyai tafsiran tersendiri tentangnya, di mana Nabi sebenarnya memaksudkan bahawa khalifah tidak perlu berketurunan Quraisy.) Walau apapun, keganasan politik di awal abad kedua puluh pantas melebihi kesahihan teologi. Walau dengan usaha terbaik beliau dengan gelaran pembela agama, Abdulhamid semakin kehilangan wilayah dan kuasa politik kepada imperialis-imperalis Kristian. Ini membantu pemimpin sekular gerakan Turk Muda seperti Enver Pasha, meminggirkan sultan dan mengambil alih kekuasaan pada malam sebelum Perang Dunia I. Apabila Empayar Uthmaniyyah menikmati secebis kejayaan militer, apabila ia bertahan dengan sendirinya di Perang Kedua Balkan, Enver menjadi inspirasi kepada dunia Islam. Malah, senarai bayi yang dinamakan sempena beliau ketika itu termasuklah Enver Hoxha, yang bakal memimpin Albania, dan Anwar al-Sadat, bakal pemimpin Mesir. [caption id="" align="aligncenter" width="480"] Enver Pasha[/caption] Pewaris Arab Namun pasti, kemasyhuran Enver sendiri juga akan pudar, dengan kekalahan Uthmaniyyah di pengakhiran Perang Dunia I. Ataturk lantas muncul sebagai hero baru, pemimpin yang berjaya menghalau tentera Perancis, Itali, British, dan Yunani keluar daripada Anatolia di empayar Uthmaniyyah. Masyarakat politik umat Islam yang sebelum ini menyokong khilafah anti-imperialis Abdulhamid, kini pantas sekali mengagumi perjuangan bersenjata Ataturk menentang kekuatan Eropah. Di Palestin, contohnya, umat Islam yang sebelum ini bergantung kepada perlindungan khilafah Uthmaniyyah terhadap penceroboh Zionis dan penjajahan British mula bersorak untuk Ataturk. Ini mencetus kebimbangan pegawai British bahawa tokoh Turki ini telah menjadi “penyelamat baru Islam.” Pada masa yang sama, kejatuhan kuasa Uthmaniyyah sebelum, semasa dan selepas Perang Dunia I menguatkan idea untuk kewujudan khilafah baru, yang bukan Uthmaniyyah di dunia Arab. Namun ia tidak pernah jelas siapakah khalifah Arab yang baru itu. Maka, apabila Ataturk akhirnya memansuhkan institusi khilafah pada tahun 1924, tiada bantahan kuat mahupun menyeluruh timbul dari dunia Islam secara keseluruhannya. Ramai umat Islam, khususnya di India yang amat mementingkan simbol pan-Islam seperti khilafah sebagai antikolonialisme, telah membantah. Yang lain lebih berminat menuntut gelaran tersebut untuk diri mereka sendiri. [caption id="" align="aligncenter" width="491"] Husain bin Ali[/caption] Paling terkenal adalah Husain bin Ali, pemimipin Mekah, yang dikenali para peminat Lawrence of Arabia kerana peranan utamanya dalam Pemberontakan Arab. Sebagai pemimpin tempatan yang menguasai Mekah dan Madinah – dan kononnya waris jelas dari keturunan suku Nabi – Husain mempercayai bahawa selepas menghalau Uthmaniyyah daripada Timur Tengah, beliau boleh menjadi seorang raja Arab. Dan gelaran ini dipercayai membawa sekali dengannya segala kuasa agama dan duniawi yang dipegang oleh seorang khalifah. Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, apabila Ataturk membuang sultan Uthmaniyyah, Husain menjemput beliau ke Mekah. (Sultan tersebut tidak lama kemudian memutuskan bahawa beliau lebih menyukai Riviera Itali.) Beberapa tahun selepas itu, anak lelaki Husain, yakni Abdullah – pengasas kerajaan Jordan – mengisytiharkan bahawa, dengan menamatkan sistem khilafah, Turki telah “melaksanakan kebajikan yang paling besar untuk orang Arab.” Dan ini menyebabkan beliau ingin “menghantar telegram mengucapkan terima kasih kepada Mustafa Kemal.” Tentu sekali, rancangan Husain tidak menjadi seperti yang diharapkan. Walaupun beliau mendapat sokongan British di awal peperangan, hubungan tersebut meruncing akibat perselisihan faham tentang Perjanjian Sykes-Picot. Perancis menghalau anaknya keluar dari Syria, dan tidak lama kemudian, Arab Saudi menghalaunya keluar dari Semenanjung Arab. Apabila Husain akhirnya mengisytiharkan diri secara rasmi sebagai khalifah, kononnya atas desakan sekumpulan pemimpin Islam terpilih, kuasa beliau telah jatuh merosot sehinggakan ia kelihatan sebagai satu tindakan terdesak. Sementara itu, Kerajaan Mesir juga mengutarakan tuntutan mereka sendiri. [caption id="" align="aligncenter" width="403"] Raja Fuad, Mesir[/caption] Walaupun berhubungan rapat dengan British, dan berketurunan Sirkasia Albania tanpa sebarang pertalian kepada keluarga Nabi, Raja Fuad dalam diam mengemukakan dirinya sebagai pengganti Uthmaniyyah. Menurut seorang sarjana Islam, Mesir lebih sesuai sebagai khilafah berbanding dengan, misalnya, seorang pengembara padang pasir seperti Husain “kerana ia mendahului dari segi pendidikan agama dan mempunyai sebilangan besar umat Islam yang terpelajar dan bijak pandai.” Raja Idris I dari Libya juga nampaknya mempertimbangkan pergelutan kuasa tersebut, namun, seperti Fuad, akhirnya memutuskan bahawa sokongan terhadap beliau terlalu lemah untuk bertanding secara rasmi. [caption id="" align="alignleft" width="250"] Raja Abdulaziz Ibn Saud[/caption] Raja Saud dari Arab Saudi, walaupun akhirnya merampas Tanah Suci daripada Husain, merupakan salah seorang pemimpin yang tidak pernah mengemukakan tuntutan sebagai khalifah, walaupun ia sudah pastinya dibincangkan. Saud menyebelahi gerakan Wahhabi, yang timbul sebagai pemberontakan terhadap “keruntuhan moral” kerajaan Uthmaniyyah pada abad kelapan belas. Ironinya, walaupun penentangan beliau terhadap khilafah acuan Uthmaniyyah turut dikongsi oleh warga Arab lain, aliran keagamaan beliau terlalu radikal untuk benar-benar mempertimbangkan peluang beliau sendiri sebagai khalifah. Akhirnya, perbincangan mengenai khilafah terkubur selama beberapa dekad, salah satu sebabnya bagi mengelakkan imej buruk daripada perbalahan politik sebegini. Akibat pemansuhan khilafah, ramai umat Islam telah membalas dengan menggandakan usaha mereka untuk membina kerajaan berperlembagaan sekular di negara masing-masing. Tentunya, antara pembangkang terkuat menentang aspirasi khalifah raja Mesir, adalah dari kalangan liberal Mesir yang membantah apa-apa yang mungkin meningkatkan kuasa monarki. Sarjana Mesir Ali Abd al-Raziq, dalam kritikan kontroversi terkenalnya mengenai idea khilafah itu sendiri, mendakwa bahawa Al-Quran “tidak mengandungi sebarang rujukan tentang khilafah yang diseru umat Islam.” Ini merupakan zaman di mana kumpulan pemikir, golongan sekular dan Muslim warak juga, mula membincangkan kemungkinan bahawa khalifah seharusnya menjadi tokoh agama semata-mata. Ia seperti “Paus Islam,” yang tidak terbeban dengan sebarang kuasa duniawi.   Harapan & Doa Silap untuk kita memikirkan bahawa gerakan-gerakan Islam abad kedua puluh satu yang cuba membangunkan sistem khilafah melakukannya atas nama mandat Islam yang jelas dan terperinci. Sebaliknya, mereka hanyalah pemain baru dalam perdebatan berabad lamanya mengenai konsep yang hanya kadangkala menjadi relevan secara meluas di dunia Islam. Kesan peninggalan sejarah awal hujah ini masih dapat dirasai hingga ke hari ini. Tidak hairanlah bahawa, sebagai inspirasi bersejarah, khilafah Uthmaniyyah paling berpengaruh di kalangan Islamis Turki. Nostalgia mereka lebih merupakan akibat pengagungan nasionalis Turki tentang empayar tersebut berbanding dengan ketakwaan sultan. [caption id="" align="alignleft" width="276"] Ibn Abd al-Wahhab, pengasas Wahhabi[/caption] Sebaliknya, warisan keagamaan yang wujud akibat kritikan abad kelapan belas Abd al-Wahhab mengenai kerajaan Uthmaniyyah, digabungkan dengan warisan politik nasionalisme Arab anti-Uthmaniyyah yang lebih baru, memberikan banyak sebab untuk gerakan-gerakan Islamis bukan Turki menyebelahi contoh sistem khilafah Arab. Dengan menganggap Khilafah Uthmaniyyah sebagai titik rujukan sejarah terakhir untuk aspirasi umat Islam terkini, penganalisis politik Barat mengelirukan dua perkara berbeza. Pertama, impian umat Islam kontemporari untuk pemimpin Islam yang kuat dan dihormati serata dunia. Kedua, impian sultan Uthmaniyyah untuk menjadi seorang khalifah, yang akhirnya gagal. Keadaan yang menyatukan impian ini – yakni daya tarikan sebuah idea untuk kekuasaan agama yang mampu menghadapi kuasa politik, ketenteraan dan ekonomi Barat – mungkin sama. Namun begitu juga cabarannya. Pihak kontemporari yang menuntut gelaran khalifah bakal lantas menghadapi masalah yang sama seperti khalifah-khalifah Uthmaniyyah. Kejayaan politik atau tentera, bukan sejarah atau teologi, mampu membawa kekuasaan yang singkat, namun kegagalan dalam mana-mana aspek ini akan membawa pesaing baru untuk kekuasaan. ]]>

Dosa Struktur: Perjuangan Yang Terabai

Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star[/caption] Selama ini, kita faham bahawasanya, selain pahala atas perbuatan baik, kita juga mempunyai sistem demerit bernama dosa, sekiranya kita membuat apa–apa kesalahan. Dosa itu besar (akbar) sekiranya kesalahannya besar, dan dosa itu kecil, bergantung sejauh mana keberatan perbuatannya itu. Menurut Adrian Pereira, timbalan presiden  Pax Romana ICMICA, dalam pembentangan di Bengkel Kemajmukan Agama, anjuran Projek Dialog, dosa itu terdapat dua jenis, bukannya dosa besar atau dosa kecil seperti yang kita fahami selama ini, namun Dosa Individu dan Dosa Struktur. Dosa besar dan dosa kecil, seperti yang lazim difahami termasuk dalam Dosa Individu. Minum arak, berjudi, berzina, tidak sembahyang, ingkar pada kata kedua ibu bapa, mencuri, menipu, makan babi, inilah Dosa Individu (sama ada besar atau kecil) yang sentiasa dijadikan persepsi moral untuk masyarakat kita hari ini menilai seseorang itu. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menyedari, ada dosa yang lebih besar, dan dosa inilah, antara lainnya menghasilkan Dosa–dosa Individu? Dosa ini dipanggil Dosa Struktur. Apa itu Dosa Struktur (structural sin)? Dosa Strukturlah yang menghadirkan kepincangan masyarakat pada hari ini. Pembolotan kekayaan melampau oleh segelitir elit, menyebabkan kemiskinan tegar, rampasan tanah dan harga tanah/rumah mencanak naik yang menyebabkan anak–anak muda sulit untuk mempunyai rumah sendiri. Ia juga menghasilkan gelandanganisasi secara besar–besaran, pencukaian demi pencukaian yang dibuat atas nama daulah terhadap rakyat marhaen. Kawasan–kawasan yang perlu dibangunkan, namun dipinggirkan mengakibatkan penduduk kawasan ini tercicir dari pembangunan dan terpaksa bermigrasi ke kawasan yang mendapat lebihan pembangunan (antara faktor gelandanganisasi). [caption id="attachment_4561" align="aligncenter" width="500"]Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com[/caption] Dan seperti yang kita rasakan baru-baru ini, banjir akibat pembalakan secara berleluasa terhadap kawasan orang asal. Semua ini adalah sebahagian daripada dosa struktur yang jarang sekali dikhutbahkan sebagai dosa. Kita jangan menyangka bahawa ini adalah takdir atau ketentuan semulajadi, sebaliknya dosa ini adalah perancangan hasil elit-elit berkepentingan, demi merakus sepuasnya kenikmatan duniawi untuk kepentingan mereka, dan menghasilkan kesengsaraan kepada majoriti umat manusia selainnya. Masyarakat tidak melihat ini sebagai dosa besar yang perlu ditentang habis–habisan, kerana media arus perdana pada hari ini dimiliki oleh kaum pemodal yang bermazhab kapitalis (baca: keserakahan individu mengatasi kepentingan maslahah umum). Antara Dua Jenis Masyarakat Masyarakat yang tertumpu kepada menyelesaikan kesan–kesan yang muncul akibat dosa struktur, tetapi naif menyedari bahawasanya kesan–kesan itu akan terus berlanjutan malah merebak/mewabak menghasilkan dosa-dosa lain, selagi akar masalah itu iaitu dosa struktur tidak dihapuskan hidup–hidup. Dan kita akan terus pada setiap hari Sabtu, setiap hujung minggu, menonjolkan dermawan kita masing–masing, dan menjadikannya idola rutin setiap minggu. Namun masyarakat yang disebutkan di atas adalah lebih baik dari jenis masyarakat yang hanya berteori tanpa aksi sosial dan memandang enteng kekuatan amal jariah. Untuk menyusupkan idea–idea penentangan dosa struktur, adalah karut sama sekali jika hanya berteori tanpa melakukan sebarang langkah ke arah perlawanan sosial. Kita harus diingatkan, bahawa apa sahaja teori jika tidak mampu menghasilkan apa–apa tindakan, cumalah omong–omong kosong sahaja. Sebelum perubahan berjaya dihasilkan, tindakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Dan apalah gunanya longgokan–longgokan teori sekiranya ia tidak mampu membuahkan apa-apa hasil? Ianya menyemakkan dan mengganggu tindakan–tindakan yang ingin dilancarkan. Teori harus sejalan dengan aksi, dan aksi harus mempunyai teori, tetapi teori tanpa tindakan, diulang, hanyalah omong kosong. Monopoli teologi selama inilah yang membekukan konsep dosa itu sendiri, dan ayat–ayat hukum yang selalu dikumandangkan membuta tuli, mengakibatkan Tuhan itu sentiasa dilihat angkuh, kejam, bengis, tidak peduli, hanya mahu ditaati, dan tidak peduli terhadap manusia–manusia yang disakiti di bumi. Agama jika hanya berpandukan teks dan mengabaikan konteks, apakah lagi relevannya terhadap masyarakat kini? Sebarang teks, sama ada agama, sekular, atau ideologi yang mengabaikan konteks harus dicabar. Ketika itu kita akan mula menyiasat, Mengapa seseorang yang miskin itu mencuri?   unnamed

]]>

Hidup Anak Jalanan: Chow Kit

Anak-anak Chow Kit.” [caption id="attachment_4551" align="aligncenter" width="562"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Ini bukan kertas kerja untuk kajian akademik, dan sudah tentu kau pun tidak akan meluangkan masa membaca kajian akademik. Aku pun akhirnya tak akan bergambar dengan topi kelakar, memegang segulung kertas kalau buat kajian akademik. Aku difahamkan berkali-kali rakyat Malaysia tidak gemar membaca. Maka aku cuba ringkaskan dan mudahkan untuk  pemahaman kita. Jarang juga aku menjumpai orang bercerita tentang anak jalanan dalam Bahasa Malaysia , atau bahasa yang mudah difahami umum, jadi aku cuba untuk berfungsi di sini. Cuma kadang-kadang kau akan jumpa perkataan-perkataan yang sukar difahami, waktu tu kau tahu bahawa dunia belum kiamat dan perangai kita perlu diubah sedikit demi sedikit. Kalau kau rasa kau terlalu bijak untuk diperlakukan begini, pergi baca buku-buku tebal yang setaraf dengan keintelektualan kau, atau sambung berzikir mencari keredhaan Allah Ta’ala. Jangan buang masa di sini. Di seluruh dunia, anak jalanan ini adalah termasuk dalam kategori orang rentan, golongan marginal atau lebih mudah dibahasakan sebagai tertindas. Mereka adalah hasil dari pembangunan ekonomi, penghakisan nilai kemanusiaan, peperangan (di negara-negara yang dilanda peperangan), kemiskinan, keganasan rumah tangga serta penderaan fizikal dan mental. Terdapat beberapa bentuk atau ciri-ciri khas anak jalanan mengikut identifikasi yang dikelaskan WHO :

  1. Anak jalanan: Anak yang langsung tidak berumah dan menghuni jalanan. Biasanya ditinggalkan keluarga atau kematian ahli keluarga. Mereka tidur di tepi-tepi jalan, rumah-rumah kawan atau bangunan terbiar.
  2. Anak yang berada di jalanan : Ini jenis yang kerap melawat keluarga. Ia mungkin pulang ke rumah untuk tidur tiap malam, tapi banyak meluangkan masa di jalanan (kebanyakan hari dan kadang malam) disebabkan kemiskinan atau penderaan fizikal atau seksual di rumah.
  3. Sebahagian dari keluarga jalanan: Mereka tinggal di jalanan bersama keluarga, berpindah dari satu tempat ke tempat lain bila perlu dan menjalankan kegiatan ekonomi di jalanan bersama keluarga.
  4. Anak dalam penjagaan institusi: Berasal dari situasi di mana ia tidak berumah dan terdedah pada risiko jika kembali ke jalanan.
  [caption id="attachment_4550" align="aligncenter" width="460"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Di Malaysia, anak-anak yang hidup di jalanan terdiri dari anak-anak yatim atau yatim piatu, anak miskin,  anak-anak tidak berwarganegara (kerana tidak mempunyai sijil kelahiran) dan anak migran. Ada yang lari dari rumah, seringkali disebabkan penderaan psikologi, fizikal dan mental. Bagi yang tidak punya dokumentasi lengkap, mereka tidak dapat menikmati kemudahan sosial dari autoriti-autoriti berkenaan. Tanpa sijil kelahiran, mereka tidak dapat dibezakan dari orang tempatan, anak pendatang tanpa izin (PATI), pelarian atau pencari suaka. Begitulah nasib manusia yang terikat dengan kertas-kertas. Dalam konteks Chow Kit Kids atau anak-anak yang hadir ke kelas Region of Love di Alka Ria, Chow Kit, setakat ini anak-anak yang dikenalpasti adalah ratanya dalam kategori 3 di mana keluarga mereka tidak berumah dalam erti kata tidak punyai rumah sendiri (menyewa bilik bila mempunyai kemampuan membayar atau menumpang di rumah kawan-kawan, dan kadang-kadang terpaksa tidur di tepi-tepi jalan). Ramai yang bersekolah maka mereka tidak menghabiskan seharian di jalanan pada hari-hari persekolahan. Yang tidak bersekolah atas sebab masalah dokumentasi pengenalan diri dan kewarganegaraan sudah dan sedang dimasukkan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Setakat waktu penulisan ini ada 6 orang anak yang layak dari segi umur tetapi belum ditempatkan ke Sekolah Jalinan Kasih (jumlah mereka yang datang ke kelas RoL kian bertambah). Ada lebih kurang 60 kanak-kanak setakat ini (tidak mendapat jumlah yang tepat kerana kerja memprofail masih sedang berjalan dan kehadiran segelintir anak-anak tidak konsisten). [caption id="attachment_4552" align="aligncenter" width="500"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih memberi pendidikan asas untuk anak-anak jalanan yang tidak mempunyai dokumen, anak yatim piatu (yang ditempatkan di rumah penjagaan berdaftar) dan mereka yang tercicir dari sekolah. Aku ada masalah dengan institusi yang bernama sekolah sendiri tapi ini bukan ruangnya untuk berleter tentang itu. Perkataan-perkataan dan frasa seperti deschooling (perobohan lembaga persekolahan), homeschooling, dan anarkisme pendidikan (yang tidak popular tapi perlu diberi perhatian) masih terlalu asing bagi rakyat Malaysia yang begitu bergantung kepada sebuah sistem bergelar kerajaan. Anak-anak jalanan ini pula, ibu bapa mereka tidak dapat diharap sangat untuk mengendalikan homeschooling dan kita belum ada tenaga masyarakat yang cukup yang mahu mengajar anak-anak jalanan setiap hari dengan segala macam jenis ilmu yang dia mahu pelajari. Juga masyarakat kita sukar menerima pemikiran bahawa anak-anak punya hak untuk memilih belajar apa yang dia mahu (bagi menentukan hala tujunya sendiri) dan pada masa yang sama berhak untuk tidak mahu belajar. Semua ini kerana kebergantungan kita kepada sistem pendidikan acuan kerajaan, dan sekali lagi, kebergantungan kita kepada kertas-kertas. Pada masa yang sama tidak dinafikan anak-anak perlu diberi hak belajar. Anak-anak jalanan mempunyai hak untuk pendidikan. Selain daripada itu, pendidikan jalanan adalah efektif untuk anak-anak ini kerana jalanan adalah persekitaran mereka. Pendidikan jalanan boleh melibatkan banyak aktiviti seperti bimbingan mengenai pencegahan STD dan penyalahgunaan bahan, meningkatkan kadar literasi, dan menyedarkan mereka tentang kesihatan dan masalah sosial. Ia juga efektif untuk membimbing mereka memilih jalan hidup yang mereka mahu, dan kerana manusia adalah spesies sosial, di peringkat awal ini kita boleh membimbing mereka menyedari hakikat itu supaya mereka dapat hidup bermasyarakat dengan lebih baik. Diharapkan mereka dapat membentuk sebuah komuniti demokratik di kalangan mereka. Region of Love sedang cuba membina komuniti ini. Kami menjemput anak-anak muda yang berkebolehan dan berfikiran jauh ke depan untuk sama-sama membantu kami, berdialog, berdiskusi, mengkritik dan yang paling penting mencari penyelesaian yang lebih baik dalam usaha ini. Jangan duduk di sebuah sudut dan bersembang longkang seolah-olah kami ini sebuah kerajaan yang menghalang kebebasan bersuara kau. Jangan juga berlagak seolah-olah kau Marlon Brando yang layak kami lawati untuk mencium cincin dan meminta restu. Setiap Sabtu bermula jam 8.30 pm kami ada di Alka Ria, Chow Kit. Maaf sebab tak diselitkan kisah-kisah yang mengalirkan air mata dalam makalah kali ini. unnamed ]]>