Mencari cinta di Kuala Lumpur

Masuk Islam tu bukan ke masuk Melayu?”    Persoalan ini sebenarnya telah lama terbuku di minda saya dan mendengarnya dari atas pentas hanya mengesahkan bahawa bukan saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Sejak kecil, saya bergaul dengan rakan rakan yang berlainan bangsa dan agama. Matlamat kami sebenarnya sama, untuk mencari rakan saban hari, namun menjadi lumrah kami dipisahkan ketika menghadiri kelas mengaji, kelas kitab injil, ataupun upacara keagamaan masing masing. Tatkala usia mencapai remaja dan kini dewasa, ada antara pergaulan ini yang membawa kepada cinta, yang kebanyakannya samada berakhir dengan ucapan “til jannah” yang popular saban kini ataupun tidak kesampaian kerana kekangan keluarga, yang salah satu sebab utamanya adalah agama. Seperti yang dikatakan dalam satu lagi skrip karya Alfian Sa’at, dalam teater Parah, “Tidak salah berkawan dengan berlainan bangsa, tetapi jangan sampai dibuat teman lelaki!” Kisah yang saya rasa lebih dekat dengan pembaca tentunya filem Sepet karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Jenaka ‘masuk Melayu’ juga ada diutarakan kepada Jason dalam satu adegan ketika hubungan beliau dengan Orked dijadikan bahan seloroh rakan rakan Jason. Jadi, betulkah jika masuk Islam itu, masuk Melayu? Kisah suatu pengalaman Bekas teman lelaki saya ketika di Australia merupakan seorang agnostik, yakni beliau percaya bahawa terdapat suatu kuasa agung yang mencipta dunia, tetapi tidak berpegang kepada mana mana agama asas (organized religion), walaupun beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian. Kami sering berdebat tentang perlunya beliau menganut agama Islam jika kami ingin menuju perkahwinan di Malaysia, dan saya sebagai seorang yang degil inginkan beliau memahami Islam sebelum menganutinya. Tambahan pula, kerjaya kami sebagai saintis membawa satu lapisan debat lagi di mana beliau berpendapat bahawa agama saya tidak menggalakkan kemodenan dan kemajuan bidang sains. Saya akui, walaupun dilahirkan Islam dan Melayu, bahawa saya sendiri tidak pasti akan mana garis pemisah antara agama dan budaya, tambahan pula jika apa yang dikatakan ‘Islam’ itu sebenarnya budaya kaum Arab. Apatah lagi, Perlembagaan Malaysia meletakkan agama dan budaya ini bersama sama di mana status bumiputera atau Melayu itu mestilah beragama dan mempraktikkan cara hidup Islam. Walaupun perhubungan kami tidak kekal, sepanjang tiga tahun perhubungan kami membuka minda saya sendiri tentang mana batasnya Islam, dan mana yang dikatakan Melayu. Saya lebih banyak membaca tentang agama dan budaya dan kami sering membanding pendapat dan pengalaman kami yang datang dari dua budaya dan agama yang berbeza. Ironi bahawa seorang agnostik mengajar seorang Muslim untuk mendalami agama beliau sendiri. Hikmah dari pelbagai sumber Antara kebanyakan majlis perkahwinan dwi-budaya yang saya hadiri, kenangan yang paling menggembirakan saya adalah majlis rakan saya di Kuching. Beliau berbangsa Melanau-Iban, beragama Islam; dan suami beliau merupakan seorang yang berbangsa Cina. Majlis akad nikah diadakan di waktu pagi, disertai semua kaum keluarga dan rakan rakan akrab beliau yang semuanya datang dari Semenanjung. Majlis disusuli pula dengan upacara minum teh di rumah pihak lelaki dan pada sebelah malamnya, majlis resepsi di hotel. Yang menariknya, kami semua berpakaian tradisional mengikut kaum pada majlis majlis di siang hari dan mengenakan pakaian moden untuk majlis resepsi- tetapi semua hadirin, termasuk ibu bapa kedua mempelai, menari joget lambak dan menyanyi karaoke diiringi pancaragam di atas pentas semasa majlis resepsi untuk meraikan pengantin. Seolah-olah hanya ada satu budaya malam itu – iaitu untuk meraikan dan bergembira. Yang saya pasti, sehingga kini, suami rakan saya tidak ‘memasuki’ budaya kaum etnik rakan saya, tetapi mencintai rakan saya seadanya. Langkah beliau menganuti Islam tidak menghalang beliau untuk bersama sama isteri meraikan Tahun Baru Cina ataupun mengunjungi pihak mertua sebagai tanda hormat ketika upacara keagamaan ataupun budaya masyakarat berbilang bangsa. Tekanan hidup sebagai wanita independen Saya pasti ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai cerita perkahwinan dwi-budaya dan agama sebegini. Ada yang menyatakan bahawa perbezaan agama dan budaya membawa kepada ikatan perkahwinan yang lebih utuh, manakala ada pula yang tidak kekal kerana tidak dapat mencari titik keseimbangan toleransi antara agama dan budaya yang berbeza. Sukar untuk seorang wanita bujang yang tidak memenuhi kotak-kotak stereotaip semasa untuk mencari pasangan hidup di Kuala Lumpur. Saya tahu, kerana saya mengalaminya. Kebanyakkan rakan menasihati saya bahawa jodoh saya bukan dengan lelaki Melayu, mahupun lelaki Malaysia. Namun sebagai seorang optimis, saya mengisi borang “Halal Speed Dating” yang akan diadakan pada 9hb Mei ini. Secara terangnya di dalam borang tersebut dinyatakan bahawa peserta acara ini harus menimbang baik kemungkinan untuk memeluk agama Islam jika mereka menjumpai cinta melalui platform tersebut. Tidak pula dinyatakan pihak penganjur yang “matchmaking” hanya akan dibuat antara peserta yang sama kaum etnik. Namun, antara kemungkinan yang bakal berlaku termasuk ada yang jatuh cinta tetapi tidak dapat berkahwin dengan individu yang mereka cintai kerana perbezaan agama. Ada pula yang memeluk agama semata mata untuk menghalalkan cinta. Manakala ada yang akhirnya menjumpai agama ketika mencari cinta sesama manusia. Usah dalam ketaksuban kita mempertahankan Tuhan, kita lupa untuk mencintai sesama manusia, seperti satu lagi bait skrip Nadirah karya Alfian Sa’at: “Bagaimana mahu mencintai Tuhan jika tidak mampu untuk mencintai seorang manusia lain?” Saya tidak mampu menjadi sesuci Rabiatul Adawiyah, namun perlu rasanya keseimbangan untuk berterusan mengenali agama sendiri dan mencintai agama dan diri sendiri sebelum mencari cinta di hutan  konkrit yang dinamakan Kuala Lumpur. unnamed  

]]>

Insiden Protes Salib: Renungan dan Harapan

Hindari konflik agama dan kaum! Meskipun protes salib tidak menggundang sebarang keganasan seperti mana insiden Taman Medan pada tahun 2001, amat jelas bahawa konflik membabitkan kaum dan agama wajar dielakkan di sebuah persekutuan yang bernama Malaysia. Tidak cukupkah apa yang berlaku di gereja The Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang dibakar pada 8 Januari 2010 serta insiden cat hitam disimbah pada dinding luar Gereja Baptist Melaka di Durian Daun pada 10 Januari 2010? Begitu juga insiden balas seperti serangan terhadap dua surau berasingan di Muar menjadi sasaran serangan pembakaran sengaja dan sebuah lagi surau di Seremban disimbah dengan cat merah dan disepahkan dengan botol arak pada tahun 2010. Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang mempunyai masyarakat majmuk memerlukan toleransi rakyatnya untuk memahami adat, kaum serta agama antara satu sama lain.   unnamed  

]]>

Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan

Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.      Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia   Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.

]]>

Ada apa dengan salib?

Ithychis yang merujuk kepada beberapa cerita Bible berkenaan ikan. [caption id="attachment_4663" align="alignleft" width="300"]Christian_Fish_Symbol1 Lambang Ithychis[/caption]     Salib hanya diterima pakai oleh penganut Kristian sekitar tahun 400 Masihi. Logiknya mudah,ia adalah lambang yang amat mudah dilukis, dicat dan diukir di mana-mana. Salib kemudiannya direka ubah dan disesuaikan untuk mewakili ideologi khusus golongan agama, kawasan geografi atau topologi penduduk malah kasta masyarakat yang diwakili salib itu. Sebagai contoh, salib dengan bentuk bumi dibawahnya digunakan sebagai simbol kebesaran raja-raja Eropah, dan salib berbentuk “T” digunakan untuk mewakili St Francis, seorang tokoh mubaligh Katolik. Sesetengah salib mewakili kawasan geografi, seperti salib Perancis yang menggabungkan salib dengan bentuk fleur-des-lis, atau salib Anuradhapura, yang mempunyai ciri-ciri tempatan Sri Lanka. Mazhab Protestan lazimnya menggunakan salib asas, manakala golongan Katolik sering menggunakan salib dengan ikon Yesus dipaku atasnya, dikenali sebagai ‘crucifix’. Golongan Protestant menganggap salib yang kosong melambangkan kejayaan Yesus mengatasi kematian dan kebangkitanNya.Golongan Katolik pula lazimnya menggunakan salib ‘crucifix’ untuk mengingatkan mereka tentang dosa. Kepercayaan Kristian adalah, Yesus disalib dan dibunuh sebagai tebusan untuk dosa manusia. Bezanya golongan Katolik lebih menekankan ‘cause’ atau sebab , manakala golongan Protestan lebih menekankan kesan kematian Kristus tadi, yakni penyelamatan umat Kristian dan dunia. Maka semenjak abad ke 4, salib digunakan secara meluas dalam upacara keagamaan dan penyembahan kedua-dua golongan Kristian utama dunia. Bagi seseorang penganut Kristian, salib adalah simbol keagamaan paling mudah difahami dan dikenali. Doktrin atau ajaran berkenaan Penyaliban dan Kebangkitan Yesus merupakan tema utama ajaran Kristian itu sendiri. Tanpa salib, ajaran agama Kristian hanyalah coretan kisah-kisah sejarah, ajaran moral dan rohaniah yang tidak banyak berbeza dari siri ‘Chicken Soup for the Soul’. Jadi, tidak keterlaluan untuk mengatakan yang Salib merupakan jatidiri seorang penganut Kristian. Apakah simboliknya Salib kepada seseorang Kristian? Bagi penulis, takrifan dan maksud salib itu bergantung kepada penganut itu sendiri. Bagi sesetengah Kristian, ia merupakan simbol harapan di dunia ini dan dunia akan datang. Untuk Kristian yang lain pula, ia merupakan simbol sesalan dan keinsafan atas dosa. Bagi Kristian yang lain lagi, ia merupakan lambang kekuatan iman dan keakuran kepada kuasa yang Esa. Rata-rata, salib menyatukan umat Kristian dalam identiti mereka sebagai pengikut Yesus. Tatkala kepelbagaian dan diversiti kepercayaan umat Kristian, salib antara titik pertemuan yang jarang ditemui merentasi mazhab-mazhab Kristian dan ideologi doktrin Kristian yang berbeza. Tujuan salib didirikan di tempat-tempat ibadah umat Kristian adalah kerana sebab-sebab di atas. Ia mewakili identiti mereka sebagai sekumpulan Kristian, untuk mengingatkan mereka tentang Yesus Kristus, sebab mereka melakukan perkara yang dilakukan pada masa itu. Di sekolah, mengajar pelajar, di hospital menyembuhkan penyakit. Di gereja, menyembah Tuhan. Semua yang dilakukan atas nama agama oleh golongan Kristian adalah demi Tuhan mereka, Yesus. Secara rasionalnya, yang diturunkan atau ditanggalkan setiap kali ada golongan yang meradang dengan salib, atas sebab yang hanya diketahui mereka, hanyalah struktur plastik, logam atau kayu yang berbentuk palang. Namun yang dinafikan kepada golongan Kristian tadi, bukanlah hanya satu hiasan atau perkakas menarik untuk mencantikkan tempat beribadat mereka. Yang disekat adalah hak mereka untuk mentakrif dan mengamalkan agama mereka sendiri. Yang dilarang adalah kebebasan mereka untuk menyembah Tuhan mereka sendiri. Yang dinafikan adalah jati diri dan identiti mereka sebagai seorang Kristian di tanah tempat kelahiran mereka. unnamed

]]>

Manifesto Kejuruteraan Kritikal

Penterjemahan “The Critical Engineering Manifesto” oleh The Critical Engineering Working Group. Untuk mendalami wacana ini dengan lebih lanjut layari: http://discourse.criticalengineering.org/ Diterjemah oleh: Johan Zolhaidi dan Ahmad Fuad Rahmat.    0. Jurutera Kritikal merasakan bahawa kejuruteraan merupakan bahasa yang paling transformatif buat masa ini, membentuk haluan untuk kita bergerak, bertutur dan berfikir. Ianya merupakan kerja jurutera kritikal untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ini, mendedahkan pengaruhnya. 1. Jurutera Kritikal menganggap kebergantungan terhadap teknologi merupakan suatu cabaran dan ancaman. Semakin kuat kebergantungan kita terhadap teknologi, semakin pentinglah bagi kita mempelajarinya dan mendedahkan mekanisme dalamannya, tanpa menghiraukan hak pemilikan ataupun kontrak 2. Jurutera Kritikal meningkatkan kesedaran bahawa kecelikan techno-politik kita dicabar pada setiap langkah kemajuan teknologikal. 3. Jurutera Kritikal merungkaikan semula dan mencetuskan rasa was-was terhadap pengalaman pengguna yang kaya. 4. Jurutera Kritikal menjangkaui rasa “kekaguman terhadap implementasi” supaya lebih mengenali pengaruh kaedah dan akibat mereka yang khusus. 5. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa setiap hasil rekayasa turut membentuk penggunanya, selaras dengan kebergantungan pengguna terhadapnya. 6. Jurutera Kritikal meluaskan definisi “mesin” untuk menggambarkan hubungan yang merangkumi alat-alat, tubuh-tubuh, agen-agen, daya-daya dan juga jaringan-jaringan. 7. Jurutera Kritikal meneliti ruang di antara pengeluaran dan penggunaan teknologi. Bertindak secara pantas terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di dalam ruang tersebut, Jurutera Kritikal berperanan untuk mendedahkan waktu-waktu ketidakstabilan dan penipuan yang terkandung dalam proses tersebut. 8. Jurutera Kritikal mengimbau semula sejarah-sejarah seni, senibina, aktivisme, falsafah dan daya cipta dan menghasilkan pelbagai contoh Rekayasa Kritikal. Strategi, idea-idea dan agenda-agenda daripada disiplin-disiplin tersebut akan digunakan semula, supaya diberi tujuan yang baru dan diatur kedudukannya. 9. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa kod yang tersirat turut memberi kesan kepada wilayah sosial dan psikologikal, menentukan perangai diantara manusia dengan mesin-mesin yang digunakan oleh mereka. Dengan memahami situasi ini, Jurutera Kritikal ingin merungkaikan semula kekangan pengguna dan aksi sosial melalui sarana penggalian digital. 10. Jurutera Kritikal menganggap pemanfaatan ini sebagai pendedahan yang paling didambakan.

]]>

Kasih Sayang dan Sistem Keadilan Manusia

parable” (kisah ringkas yang digunakan sebagai tunjuk-ajar) dalam Kitab Injil. Semakin matang pemikiran dan daya analisa saya, semakin berkembang lah pemahaman saya dengan apa yang ingin ditunjuk oleh perumpamaan-perumpamaan tersebut. Ada satu perumpamaan yang saya sering fikirkan. Ia adalah cerita tentang keinginan segolongan masyarakat pada zaman Nabi Isa untuk merejam seorang perempuan yang didakwa berzina. Hairan juga kenapa lelaki yang bersalah tidak sama-sama dikelilingi dan dikongkong sebegitu. Nabi Isa dicabar oleh pemimpin pada masa itu, dan ditanya apa yang patut dibuat dengan perempuan tersebut sebab mengikut undang-undang yang diturunkan oleh Musa (Moses), perempuan tersebut patut direjam. Nabi Isa pula berkata kepada mereka, “Sesiapa yang langsung tidak berdosa dipersilakan melontar batu yang pertama”. Ramai yang menafsir perumpamaan ini sebagai satu tauladan, tunjuk-ajar bahawa kita tidak patut mengagungkan diri dan mengadili dosa orang lain. Itu keistimewaan Tuhan. Setiap orang patut meninjau dalam dirinya dahulu, dan kalau berdosa, patut berusaha menukar diri dalamnya dahulu. Bagi saya, apa yang disampaikan bukan setakat pemahaman ramai, yang tertumpu kepada kenyataan bahawa sebagai manusia yang tidak sempurna, kita patut meneliti kesalahan dan dosa kita dahulu dan berusaha berbuat begitu pada setiap masa. Setiap system melambangkan nilai zamannya Bagi saya, perumpamaan tersebut juga menunjukkan bahawa sistem keadilan pada masa itu adalah sistem yang ditegakkan oleh manusia, berdasarkan pemahaman zaman itu: atas apa yang dianggap sebagai kesalahan, siapa yang dipandang sebagai pesalah (dan pandangan tersebut tidak semestinya satu kebenaran) dan hukumannya. Bagi saya, apa yang saya dapat fahami adalah hukuman rejam itu datangnya dari budaya masyarakat tersebut, pemahaman yang tidak lengkap tentang keadilan dan kekeliruan tentang bagaimana keadilan patut ditadbirkan sebaik-baiknya. Kekurangan pemahaman tentang keadilan dicerminkan oleh keinginan untuk menghukum dan melihat orang yang dianggap berdosa itu menderita. Mengapa saya kata begini? Keadilan dan kasih sayang Nabi Isa pernah ditanya, di antara Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) yang diturunkan, yang mana lebih penting. Beliau berkata, “Mengasihi Tuhan atas segala-galanya, dan mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi diri kamu”. Ada orang yang berkata jawapan Nabi Isa adalah rumusan pesanan Sepuluh Perintah Tuhan. Bagi saya, ia bukan rumusan tetapi kata-kata yang sangat tepat dan yang paling susah untuk menepati Sekiranya, kita dapat mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri kita sendiri, kita tidak akan begitu berghairah memikir apakah hukuman yang terbaik untuk menyeksa mereka yang dianggap berdosa (seperti golongan LGBT) ataupun mereka yang berzina. Sebaliknya, kita akan menumpu perhatian kita ke atas cara-cara untuk mencapai kesimbangan dalam masyarakat tanpa perlu mengambil jalan keluar yang bersifat balas dendam. Kita tidak akan memikir tentang hukuman yang paling memalukan dan yang akan menghukum orang tersebut selama-lamanya. Kita tidak akan cuba meragut nyawanya atas kepercayaan silap yang kita menjalankan tugas atau tanggungjawab kita. Bukan sahaja hukuman mati yang meragut nyawa, tetapi hukuman yang meragut maruah seseorang juga turut “meragut” nyawanya. Hujah yang saya utarakan di atas biasanya dibidas dengan perangai yang agak angkuh, “Kalau tak buat salah, kenapa takut?”. Pemikiran sebegini langsung tidak mengambilkira tentang apakah kefahaman masyarakat zaman ini tentang hukuman yang sekadar dengan kesalahan. “Dosa” bagi Nabi Isa adalah isu di antara kamu dengan Tuhan. Jadi cabarannya kepada kita sebagai manusia yang matang dalam pemikiran kita, yang matang dalam kepercayaan kita, adalah untuk menentukan apakah hukuman yang sepatutnya dijatuhkan tanpa apa-apa bentuk penyeksaan atau apa-apa kecenderungan untuk mendendam orang yang didapati bersalah? Sukar bukan? Mungkin ia bermakna sistem keadilan yang kita patut tegakkan bukan sekadar untuk menghukum, dan tidak berbentuk membalas dendam, tetapi untuk membantu sedaya boleh untuk memulihkan semula mereka yang didapati bersalah. Kesalahan di sini juga tidak semestinya sama dengan pemahaman kita tentang dosa individu. Dalam bukunya, “Law is a Bottomless-pit” [Penterjemahan: “Undang-undang Adalah Satu Lubang Maut), John Arbuthnot menunjukkan bahawa undang-undang adalah mekanisme yang paling tidak berkesan untuk mempastikan tahap moral rakyat. Hakikatnya, sistem keadilan hanya mencerminkan kematangan pemahaman kita tentang keadilan. Selagi sistem tersebut menumpu kepada balas dendam, selagi kita gagal sebagai sebuah masyarakat yang dikatakan percaya kepada Tuhan. unnamed

]]>

13 Perkara Yang Membuktikan Hasil Penulisan Mitologi India Penuh Dengan Inovasi Saintifik

Penterjemahan tidak rasmi “13 things that prove Indian mythological literature is full of scientific innovation”, terbitan South Report. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.   Vedas dan teori sains dari tamadun purba India sentiasa dianggap sebagai bukti bahawa apa yang mereka hasilkan adalah yang paling maju pada zaman itu. Terdapat beberapa ahli sains yang teruja oleh ilmu yang dihasilkan oleh cendekiawan dari India purba dan mendedikasikan seluruh hidup mereka menelaah dan mengkaji teori sains India purba. Senarai yang dinyatakan di bahawa adalah tiga belas ciptaan daripada sains India purba.

  1. Mereka tahu mengenai kewujudan sistem solar lebih awal daripada yang lain.
Rig Veda 1.35.9 “ Matahari bergerak di dalam orbitnya sendiri tetapi meletakkan kedudukan bumi dan cakerawala di dalam keadaan yang memastikan bahawa kesemuanya tidak bertembung sesama sendiri melalui daya tarikan”
  1. Mereka mengemukakan teori graviti sebelum tamadun barat.
Ayat 10.22.14 dari Rig Veda yang menyatakan “Bumi ini tidak mempunyai tangan dan kaki, tetapi ianya bergerak kehadapan. Kesemua objek di bumi turut bergerak sekali. Ia bergerak mengelilingi matahari”.
  1. Mereka tahu mengenai kelajuan cahaya sebelum tamadun-tamadun yang lain.
Cendekiawan Veda yang bernama Sayana menemui kelajuan cahaya pada abad ke 14 tahun masihi. Petikannya yang diterjemah berbunyi begini: “Dengan penuh hormat, aku tunduk ke matahari, yang bergerak selaju 2,202 Yojanas setengah daripada nimesha.” Yojana adalah jarak yang hampir dengan (9 Batu) 14.5 kilometer; manakala nimesha pula bersamaan dengan 16/75 sesaat. Oleh itu, 2,202 yojanas x 9 batu x 75/8 nimesha = 186,794 batu sesaat iaitu hampir sama dengan nilai sebenar kelajuan cahaya iaitu 186 282.397 batu sesaat.
  1. Mereka tahu mengenai sains di sebalik kejadian gerhana matahari dikala kesemua tamadun yang lain masih takut dan merasakan kejadian itu disebabkan ilmu hitam.
Di dalam kitab Rigveda 5.40.5 mempunyai frasa yang diterjemahkan seperti berikut “Oh Matahari! Di waktu kau dihalang oleh benda yang kau berikan cahaya (bulan), setelah itu bumi bakal dikejutkan dengan kegelapan secara tiba-tiba.” Ini merupakan penjelasan yang tepat mengenai kejadian gerhana matahari. Kitab Veda mempunyai butiran yang jelas mengenai alam cakerawala, planet-planet, dan fenomena lain yang membuktikan keluasan ilmu yang dihasilkan pada waktu itu sebelum kewujudan tamadun moden.
  1. Mereka secara tepat membuat ramalan mengenai jarak diantara bumi dan matahari.
“Yug sahasra yojana par bahnu, Leelyo taahi madhura phal jaanu” – Hanuman Chalisa Ayat yang dinyatakan diatas merupakan hasil penulisan Tulasidas melalui karyanya yang bertajuk Hanuman Chalisa yang bermaksud, “Suria, yang terletak beribu Yojanas ditelan oleh Hanuman yang menganggap suria itu adalah sejenis buah” Disini, 1 Yuga = 12000 tahun 1 Sahsra Yuga = 12000000 tahun Dan juga, 1 Yojan = 8 Batu Maka, Yug Sahsra Yojan (tiga perkataan yang pertama) bermaksud 12000*12000000*8 = 96000000 batu. Dan jika ditukar menjadi unit Kilometer, 96000000 x 1.6 = 153,600,00 Kms. Jarak sebenar bumi ke matahari = 152,000,00 Kms (Ralat 1 %) Menarik bukan?
  1. Mereka telahpun menganggar jarak lilitan bumi.
Brahmagupta pada abad ke 7 Tahun Masihi mengajukan jarak lilitan bumi adalah 36,000 km, hampir dengan jarak yang sebenar iaitu 40,075 Km (Ralat 1%).
  1. Mereka menganggar jangka waktu di dalam setahun.
Surya Sidhhanta berkata ada empat cara untuk mengukur waktu di dalam setahun dan diberi nama “Nakshatra”, “Savana”, “Lunar” dan “Saura”. Diantara nama-nama yang diberi metod “Saura” secara tepat mengukur jangka waktu dalam setahun iaitu 365 hari, enam jam 12 minit dan 30 saat. Jika kalian masih memikirkan bagaimana mereka mengiranya, sila lawat kuil di Konark atau Humpi dimana kalian akan menjumpai sistem senibina yang kompleks dan tepat dari aspek teknikal yang menggunakan matahari untuk mengukur jangka waktu hari dan tahun.
  1. Mereka membuat kesimpulan mengenai nilai Pi (π)
Aryabhata berusaha untuk mencari nilai Pi (π) yang tepat dan tiba pada kesimpulan dimana π tidak rasional dan nilai yang dijumpai lebih kurang adalah 3.1416 pada tahun 499 Tahun Masihi semasa umurnya 23 tahun. Beliau dikirakan sebagai salah seorang yang paling bijaksana pada zaman purba India kerana nilai Pi yang tidak rasional itu dibuktikan di Eropah hanya pada tahun 1761 oleh Lambert. Harus dinyatakan di sini bahawa beliau juga memperoleh nilai sin & kos dan mencipta konsep trigonometri.
  1. Mereka mengemukakan teori bahawa bumi berbentuk sfera.
Walaupun penjumpaan teori bumi berbentuk bulat dijumpai oleh ahli astronomi Yunani, ahli astronomi dari India purba telah pun menyatakan bahawa matahari adalah bintang dan bumi berbentuk sfera sebelum pernyataan dikeluarkan oleh orang yunani. Terdapat banyak bukti yang menyatakan bahawa pelbagai percubaan dilakukan untuk mengukur lilitan pada zaman veda. Aryabhatta menyimpulkan formula yang membuktikan bumi berputar di atas paksi. Dengan menganggarkan nilai π adalah 3.1416 beliau membuat kesimpulan bahawa lilitan bumi adalah 39736 Kilometer, hanya kurang 100 Kilometer daripada nilai yang sebenar. Dan di dalam bukunya lagi, beliau juga menyatakan bahawa pergerakan cakerawala seperti matahari, bintang-bintang kesemuanya adalah relatif, dan hanya bumi yang bergerak. “Seperti penumpang di dalam bot yang bergerak mengikut arus ke hilir melihat benda yang tidak bergerak (seperti pokok-pokok di tebing sungai) seakan bergerak ke hulu sungai, begitu juga kepada sesiapa di atas bumi yang melihat bintang-bintang bergerak ke barat pada kelajuan yang sama (dimana bumi berputar dari barat ke timur).” – Diterjemahkan dari Aryabhatiya Gola 9
  1. Mereka membina sistem perparitan yang pertama di dunia.
Tamadun Indus mereka sistem sanitasi bawah tanah yang pertama pada tahun 3300 – 1300 Sebelum Masihi dimana sistem mereka diterima pakai oleh seluruh dunia satu abad kemudian. Mereka juga merupakan tamadun yang pertama mencipta sanitasi moden.
  1. Mereka membina teori dan melaksanakan konsep prosedur bedah dengan menggunakan alat-alat pembedahan berabad sebelum tamadun dunia yang lain.
Kitab Sushruta Samhita yang ditulis oleh Sushruta merupakan buku ensiklopedia perubatan yang terawal dapat diketahui di dunia – ditulis sewaktu tahun 1200 Sebelum Masihi yang mencakupi 184 bab yang mempunyai butiran mengenai 1,120 penyakit, 700 tumbuhan-tumbuhan ubatan, 64 persediaan daripada sumber mineral dan 57 persediaan berdasarkan sumber binatang. Kalian cuba namakan satu penyakit dan beliau telah pun menulis satu bab mengenainya. Telah dinyatakan di dalam jurnal saintifik bahawa bukti yang tertua dan pertama untuk gigi manusia hidup yang telah digerudi dijumpai di Mehrgarh. Sebelas gigi korona molar yang digerudi dari sembilan orang dewasa ditemui di dalam kubur di Mehrgarh yang barangkali berusia dari 7500 – 9000 tahun yang lepas. Beberapa bukti mengenai pembedahan ortopedik turut dijumpai dan secara tidak langsung memberi kesimpulan bahawa tamadun purba India mempunyai teknologi untuk melakukan prosedur pembedahan. Anestesia dihasilkan dengan menggunakan herba di Ayurveda.
  1. Mereka membina teori tentang konsep kloning, bayi tabung uji dan ibu tumpang.
Kisah Mahabrata menggambarkan Gandhari sebagai ibu kepada 100 anak yang dipanggil Kauravas, yang paling tua adalah Dhuryodhana. Kauravas dicipta melalui pemisahan satu embrio kepada 100 bahagian dan membesar di dalam penyimpan yang berlainan. Kisah kelahiran Karna & Pandavas secara mengejut menyerupai konsep bayi tabung uji yang moden. Dilahirkan mengikut “ciri-ciri yang diambil daripada lelaki yang dipilihnya.” Mereka bukan sahaja mempunyai konsep mengenai kloning, bayi tabung uji dan pemisahan embrio tetapi turut mempunyai impian untuk membesarkan fetus manusia luar daripada badan wanita, sesuatu yang tidak diketahui oleh sains moden sehingga kini.
  1. Nikola Tesla mengambil inspirasi daripada Swamy Vivenakanda dan cendekiawan Veda untuk ciptaannya yang dikenali dunia.
Setelah makmalnya terbakar dan hasil kerjanya hancur. Nikola Tesla mempelajari konsep Prana dan Akasha untuk kerjanya yang berteraskan daya dan jisim. Beliau membentuk sudut pandang yang baru tentang dunia dan mula melihat dunia dari segi frekuensi dan tenaga sehingga beliau berjaya mengenalkan konsep tenaga beliau.   ]]>

Mamak, Kaaka dan Tulukan

Penterjemahan tidak rasmi Mamak, Kaaka dan Tulukan dari laman blog Sharmalan Theva. Diterjemah oleh Megat Hanis. Generasi orang India Malaysia (kebanyakannya Tamil) hari ini, menggunakan terma bahasa Inggeris apabila memanggil orang tua seperti ibu bapa kepada rakan mereka. Kita selalu mendengar dialog seperti berikut : “Hello Uncle, saptacha?” (Hello Pakcik, dah makan?) “Hi Aunty! Sundar irukara?” (Hi Makcik! Sundar ada?) Sewaktu dahulu, sekurangnya sebelum 1980-an, masyarakat lebih kerap berkomunikasi dalam Tamil. Oleh sebab itu, terma keturunan Tamil seperti Mama (abang kepada ibu) dan Athai (Isteri kepada Abang (Mama)) digunakan tidak kira sama ada mereka mempunyai apa-apa pertalian keluarga. Ibu saya masih memanggil jirannya dahulu sebagai Athai dan Mama walaupun tiada pertalian darah. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan bistro yang kita lihat hari ini dimiliki oleh India Muslim. Sebelumnya, ia hanya dikenali sebagai “Kedai Mamak” Ia bermula dengan kosong. Tiada pendingin hawa, tiada internet tanpa wayar, tiada nama-nama yang gah dan tentunya lebih murah. Hanya beberapa buah meja dan kerusi. Sekarang pun kita boleh lihat kedai sebegini. Semuanya berubah apabila iklan-iklan di dalam televisyen seperti Kelab Bola Sepak Dunhill sentiasa berlatar belakangkan “Kedai Mamak”. Kenapa kita sebut sebagai Mamak? Seperti yang saya kata sebelumnya, kita tak pernah guna “Uncle” atau “Aunty” macam zaman dulu. Pemilik gerai dipanggil dengan nama Mama. “Mama! Oru mee goreng podungga” (Pakcik! mee goreng satu!) “Mama ! oru tea sollungga” (Pakcik, teh satu) Begitulah akhirnya Mama melekat dan menjadi perbualan masyarakat sebagai Mamak kerana orang bukan India pun menggunakannya. Sama juga jika Anna (abang ), disebut sebagai Anney, dan Macha (abang ipar) seperti yang digunakan sekarang. Perkataan lain yang digunakan untuk India Muslim ialah Kaaka dan Tulukan. Kaaka ini maknanya sama seperti Mamak cuma ia digunakan untuk pemilik gerai Muslim Malayalee. Bukan Muslim Tamil. Bagaimana dengan Tulukan? Ratusan tahun dahulu, orang Turki memerintah sebahagian besar India. Adanya satu dinasti dikenali sebagai Tughlaks atau Tughluks. Mereka ini Turki Muslim. India Muslim yang ada keturunan Turki (atau tiada) digelar sebagai Tulukan. Yang perempuan dipanggil sebagai Tulukachi. Di Malayalam, bahasa Turki dikenali sebagai Tuluk Basha. Inilah asal usul perkataan Mamak,Kaaka dan Tulukan. Hari ini, semua India Muslim di Malaysia dipanggil sebagai Mamak. Saya sebut pada awalnya perkataan Athai. Kata lain bagi Athai ialah Mami. Perkataan ini selalu digunakan oleh orang Tamil Ceylon dan orang Tamil Thanjavur. Inilah sebabnya di Malaysia, anak-anak perempuan India Melayu-Muslim dipanggil sebagai Anak Mami yang sebenarnya bermaksud Athai Ponnu (Anak perempuan Makcik Saudara)

]]>