“Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat?” : Ulasan Forum & Beberapa Persoalan

Oleh Johan Zolhaidi   Keluarga kita secara alaminya dilihat sebagai golongan penguasa yang pertama. Kita yang dilahirkan membesar dengan mengikut telunjuk ibu bapa. Memahami keadaan dunia melalui penerangan mereka, dan sedikit sebanyak berbicara mengenai keadaan semasa melalui pergelutan pendapat bersama mereka. Dan pastinya, perjalanan kehidupan kita sebaik-baiknya lancar jika tiada silap faham di antara kita dan golongan ibu bapa. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak yang sejak kecil, merasakan bahawa wujudnya suatu percanggahan yang nyata dengan makna dunia yang diberikan oleh ibu bapa mereka? Bagaimanakah kedamaian boleh dicapai jika sesuatu yang benar-benar sensitif dan tabu ini diutarakan? Begitulah antara persoalan-persoalan yang dinyatakan sewaktu berlangsungnya forum anjuran kerjasama Projek Dialog dan Dialog Jalanan dengan tajuk: “Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat??”. Ya, forum ini menekankan aspek hak asasi anak-anak yang bercanggah pendapat dengan ibu bapa mereka. Sesuatu isu yang bercanggah itu berbeza mengikut individu – ada yang bercanggah dari isu agama, politik, seksualiti, pilihan pasangan/gaya hidup, dan lain-lain lagi. Seringkali kita berbicara mengenai ruang hak asasi yang berkait rapat dengan ruang awam. Tetapi bagaimana pula dengan ruang peribadi keluarga? Bukankah di dalam ruang peribadi secara alaminya wujud hairaki yang tidak dapat disangkal? Bapa/Ibu sebagai ketua dan berada di ruang yang sama, kesedaran akan rasa hormat telah ditetapkan sejak kecil. Dan bermula dari ruang peribadi keluargalah, kesedaran untuk menentang daya kekuasaan/pemaksaan itu bermula. Harus diingatkan terlebih dahulu, artikel ini tidak dihasilkan untuk menyatakan apa yang benar dan mutlak secara didaktik. Tetapi artikel ini mengenal pasti dan mengakui kewujudan sesuatu landasan sebagai proses dialog yang diperlukan. Untuk apa ianya dilakukan? Untuk kewujudan empati, pengakuan akan keberadaan dan sudut pandang kewujudan manusia yang lain, dan mungkin sahaja pada akhirnya adalah pengakuan akan kedinamikan kehidupan yang tidak pernah jumud. Sesi Dialog Jalanan pada kali ini disertai oleh Suri Kempe dari United Nations Development Programme (UNDP) dan juga Terry Nuriman, seorang aktivis muda sebagai panelis. Kedua-duanya mewakili sudut pandang peribadi untuk berkongsi pengalaman akan percanggahan pendapat dengan golongan yang membesarkan kita. Adakah ianya sesuatu isu yang remeh? Ya jika ia bersangkutan dengan isu pilihan warna baju pada hari perayaan dan tidak jika ianya bersangkutan dengan isu agama dan hal-hal sudut pandang dunia yang mewakili realiti setiap individu yang menjalani kehidupannya sendiri.   12377630_790694557707823_6747067685022827560_o   Sikap keterbukaan dalam proses mendidik anak-anak   Soalan pertama yang diutarakan adalah kepada Suri Kempe, sebagai seorang ibu yang berkerjaya menghadapi persoalan-persoalan besar sebagai hal keagamaan dan isu seksual. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa anak-anak secara pastinya tidak mengikut arahan dan seperti biasa arahan yang dilaksanakan adalah salah satu cara bagi mereka menyesuaikan diri mereka untuk hidup bermasyarakat. Beliau mengingatkan para pendengar akan tanggungjawab golongan ibu bapa untuk turut terlibat dengan anak-anak mereka terhadap persoalan-persoalan seperti ini. Dan keberanian menggalas tanggungjawab menghadap risiko terhadap pilihan-pilihan yang bakal dibuat oleh penerus baka mereka. Keterbukaan seperti ini menurut saya, hanyalah pendekatan yang sebaik-baiknya diambil oleh golongan ibu-bapa dan tidak semestinya mencerminkan nilai-nilai yang wujud melalui mereka, baik yang konservatif ataupun progresif. Mereka sebagai pemimpin di dalam ruang peribadi keluarga, seharusnya mengenali dan memahami kedinamikan sudut pandang anak-anak mereka, lebih-lebih lagi jika lingkungan yang wujud di keliling mereka menjangkaui hegemoni kebudayaan yang ada. Jadi menurut Suri Kempe ada dua jenis golongan ibu bapa, pertama yang menghormati kepelbagaian pendapat anak-anaknya dan kedua adalah golongan ibu bapa yang ingin anak-anaknya membawa nilai-nilai dan sudut pandang dunia yang sama seperti mereka. Secara biasa begitulah yang seringkali dihadapi oleh kita sewaktu berhadapan dengan ibu-bapa. Kita yang mewakili kesinambungan genetik mereka, dibesarkan oleh nilai-nilai yang difahami mereka secara tidak langsung diharuskan untuk meneruskan sudut pandang yang telah ada. Dan jika berlakunya percanggahan pendapat, seperti yang biasa berlaku, di situlah timbulnya persoalan-persoalan akan pendekatan yang sebaiknya diambil. Kemudian persoalan kedua diutarakan kepada Terry Nuriman mengenai keputusan beliau untuk menyatakan orientasi seksualitinya kepada kedua golongan ibu bapanya dan apakah faktor-faktor utama yang menentukan waktu bagi beliau menyatakan seksualitinya. Beliau yang dibesarkan oleh ibu-bapa yang kuat beragama dari dua mazhab yang berlainan, disertakan dengan pendidikan keagamaan yang cukup bagi membentuk suatu perwatakan yang soleh tidak dapat menafikan orientasi seksualitinya dan keresahan itu telah memakan dirinya selama beberapa tahun, sehingga pergelutan peribadinya mendorong kepada keadaan kemurungan yang sukar dibendung. Beliau seperti golongan muslim yang lain turut menjalani ibadah Haji, dengan harapan agar “sumpahan” yang dilaknat ini berakhir secepat mungkin dan tidak lagi ingin berselindung dengan kesedaran akan masyarakat yang tidak dapat menerima golongan sepertinya. Tetapi mujurlah, dengan keadaan ibu-bapanya yang mampu menerima orientasinya, berupaya untuk terlibat di dalam perdebatan mengenai isu-isu seperti ini dengan penuh hormat, penuh terbuka dan tidak mempraktikkan penghinaan terhadap sesama sendiri. Sama dengan pendekatan yang disyorkan oleh Suri Kempe, kedua-duanya menekankan aspek keterbukaan sebagai dorongan perbicaraan yang mampu membawa ke keadaan emosi yang lebih stabil. Dan sekali lagi, sikap keterbukaan tidak bererti mendukung sesuatu ideologi yang spesifik sahaja. Secara amnya sikap keterbukaan ini merupakan sesuatu alat yang diperlukan bagi anak-anak kita untuk menilai semula kepercayaan yang diterapkan kepada mereka sewaktu mereka membesar. Suri Kempe memberi satu contoh di mana seorang anak yang telah memahami suatu konsep keagamaan yang dipegangnya, dipersoalkan semula oleh bapanya. Bapanya menggunakan sikap keterbukaan yang ada bagi menilai semula apa yang dipercayai anaknya, sebagai alat yang mampu menguatkan lagi keinginannya untuk mempelajari konsep keagamaannya dengan lebih mendalam dan secara tidak langsung turut memahami konsep-konsep utama di dalam agama-agama yang lain, dengan harapan agar anaknya mampu berhujah, berbicara dan berbincang mengenai persoalan agama dengan pendekatan yang penuh hormat, jauh daripada pendekatan reaksioner yang seringkali mendorong ke arah ekstremisme yang melampau. Dialog ini diteruskan dengan perkongsian oleh para pendengar yang hadir. Mereka meluahkan pengalaman peribadi mereka mengenai perselisihan pendapat akan persoalan-persoalan yang besar. Salah satu daripada pendengar yang hadir pernah menerima ugutan mati, hanya kerana beliau dengan penuh keberanian mengakui akan konsep keagamaan yang jelas bercanggah dan berlainan dengan keluarganya yang lain, sehinggakan sokongan kewangan untuk meneruskan pelajaran juga turut ditarik balik. Dan sinilah, pada akhirnya yang dipersoalkan adalah pendekatan keluarga terhadap percanggahan pendapat di dalam sesuatu hal. Dan akhirnya Suri Kempe memberi suatu contoh yang baik. Beliau mengaitkan sikap keterbukaan dan proses berdialog dengan memberi contoh di mana suatu organisasi yang melaksanakan pendidikan seks di kalangan anak-anak kecil menggunakan pendekatan dialog di kalangan ibu bapa dan ini dilaksanakan di Afghanistan. Mereka membuat kaji selidik akan hal-hal seksual yang ingin diketahui oleh anak-anak kecil. Terkejut dengan hasil-hasil kata kunci yang diberi anak-anak kecil tersebut, mereka mulai melaksanakan dialog dengan golongan ibu-bapa yang pada awalnya menolak pendidikan seks kepada anak-anak. Dengan berlangsungnya dialog yang mengambil masa yang lama, mereka bekerjasama untuk menggunakan pendekatan berteraskan kesepakatan sesama mereka mengenai cara-cara untuk menjawab persoalan-persoalan seksual yang semestinya lambat laun akan dipersoalkan oleh anak-anak mereka. Berdasarkan proses dialog seperti inilah, penekanan akan sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang perlu diterapkan, meskipun dihalangi dan dicabar oleh golongan-golongan reaksioner.   12313937_788073877969891_1511467657929420536_n   Persoalan-persoalan yang timbul   Jika dinilai semula akan dialog yang diadakan ini, apakah persoalan-persoalan ataupun kritikan yang timbul? Pertama menurut saya, mampukah perkongsian pengalaman seperti ini, secara konkritnya mampu membawa kepada perbincangan yang lebih substantif seperti isu-isu teknikal ataupun kewujudan beberapa tokoh-tokoh besar yang sedang kuat menentang wacana yang hegemoni, konservatif dan mengongkong polisi-polisi tempatan, ataupun mampu membawa perbincangan seperti ini ke tahap yang lebih luas? Mungkin sahaja disebabkan tajuk forum yang melibatkan golongan ibu bapa dan perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi secara tidak langsung membawa tanggapan yang agak subjektif, jauh daripada topik-topik hangat yang diutarakan oleh golongan-golongan aktivis. Kedua bagaimanakah sikap keterbukaan yang ditekankan oleh para panelis dapat dilaksanakan secara sistematik di sini? Salah satu kekurangan yang terdapat di dalam dialog ini adalah kurangnya pendekatan-pendekatan yang berlandaskan program yang jitu. Ini memberi tanggapan kepada saya bahawa hasil perkongsian peribadi ini agak terbatas dan tidak mampu menjangkaui ke tahap yang seterusnya. Ketiga, bagaimana pula dengan golongan-golongan minoriti yang tidak dibesarkan dengan sikap keterbukaan akan persoalan-persoalan yang sensitif, yang seringkali dibelenggu oleh keadaan kemiskinan yang melampau? Bukankah pendekatan yang ditekankan ini semestinya berlainan perlaksanaannya? Kekurangan contoh dari golongan miskin yang menghadapi percanggahan pendapat seperti inilah yang seharusnya ditekankan, kerana pastinya tahap keterbukaan turut dipengaruhi oleh keadaan sosioekonomi seseorang. Pengalaman-pengalaman merekalah yang seringkali dipinggirkan apabila dialog-dialog seperti ini dibuka untuk perbincangan ramai.   [caption id="attachment_5402" align="aligncenter" width="400"]Sumber gambar: Reddit Sumber gambar: Reddit[/caption]   Kesimpulan   Akhir kata, sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang mampu dipraktikkan dengan pendekatan yang menekankan proses sebagai sesuatu yang penting. Hasil daripada sesuatu proses adalah sesuatu yang bakal berlangsung di dalam jangka masa lama. Maka tidak dapat tidak proses akan perbincangan seperti hal-hal ini (di dalam sesi dialog ini adalah isu perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi) adalah sesuatu yang harus dihargai, dan pada masa yang sama mengakui akan kurangnya landasan bagi sesuatu isu yang sensitif seperti ini di kalangan penduduk tempatan. Proses seperti ini memberi peluang kepada para pendengar untuk turut mengakui akan keberadaan golongan minoriti yang masih bergelut dengan realiti yang dibentuk oleh mereka. Realiti yang semestinya disertai dengan cemuhan, permusuhan dan penindasan dalam pelbagai bentuk, dari ruang publik hinggalah ke ruang peribadi. Ruang perbincangan kritis seperti ini, sama seperti ruang-ruang yang lain adalah permulaan yang dengan penuh harapan, dapat dilaksanakan dengan konsisten.

]]>

Wacana Kebebasan: Hak, Batasan, dan Keseimbangan

Oleh Mohd Izzuddin Ramli   Kebebasan merupakan salah satu tunjang utama dalam sistem demokrasi yang dianuti oleh sebahagian besar masyarakat dunia pada hari ini. Tanpa kebebasan, masyarakat tidak akan mampu untuk menjadi warganegara yang aktif dalam membangunkan negara serta menyuburkan sistem itu sendiri. Kebebasan asas ini merangkumi kebebasan untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan, berhimpun dan sebagainya. Namun demikian, kebebasan juga cenderung untuk disalahgunakan terutamanya dalam menyebarkan unsur-unsur kebencian, baik terhadap individu, kumpulan-kumpulan masyarakat mahupun etnik. Yang lebih membimbangkan adalah, ucapan-ucapan yang berbaur kebencian ini cenderung untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram, perbalahan dan lebih parah mampu mencetuskan konflik kekerasan dalam masyarakat. Kebelakangan ini kita seringkali diresahkan dengan bermacam isu yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam. Hal ini dapat dilihat sekurang-kurangnya melalui ucapan-ucapan sebilangan pemimpin dan juga masyarakat awam. Sebagai contoh isu pergaduhan yang berlaku di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ada sesetengah pihak yang cuba menyiram minyak ke dalam api dengan mengaitkannya dengan isu perkauman. Hal ini lebih memburukkan apabila negara ini masih tidak mempunyai undang-undang yang mampu untuk mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan dengan sebaiknya. Pengenalan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), atau yang lebih baru iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 walau bagaimanapun disalahgunakan oleh pihak pemerintah sendiri untuk menghalang suara-suara pengkritik.   [caption id="attachment_5396" align="aligncenter" width="960"]Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang[/caption]   Pelan Tindakan Rabat dan Projek Dialog Menyedari hakikat bahawa masih wujud kelompangan yang luas dalam isu ini, maka sebuah dokumen yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Rabat diwujudkan. Pelan yang terhasil daripada beberapa siri bengkel yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) ini merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar bagi membendung unsur-unsur kebencian dalam bersuara termasuk dalam aspek kaum, agama dan sebagainya. Pelan ini diwujudkan bukanlah bertujuan untuk mengekang hak kebebasan bersuara setiap rakyat. Akan tetapi ia adalah suatu usaha untuk menghalang sebarang bentuk unsur-unsur ucapan kebencian di semua peringkat baik dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin agama, pihak media dan juga individu. Di Malaysia, antara pihak yang memberi sokongan penuh terhadap pelan ini adalah Projek Dialog melalui penganjuran beberapa siri bengkel seperti di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini. Bengkel yang dijalankan bertujuan untuk memberi penerangan secara terperinci tentang pelan tindakan ini serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan tempatan dan kalangan akademik untuk menambahbaik pelan agar sesuai pelaksanaannya dengan konteks negara ini. Perbincangan yang diadakan telah berjaya mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap Pelan Tindakan Rabat. Ia merangkumi beberapa aspek penting yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini. Antaranya adalah tentang pendidikan hak asasi manusia, pembelaan kaum minoriti, media dan stereotaip, kebebasan akademik, kebebasan berkarya untuk seniman dan perlindungan terhadap bandan-badan bukan kerajaan.   [caption id="attachment_5390" align="aligncenter" width="485"]Gambar dari: We Are One America Gambar dari: We Are One America[/caption]   Pendidikan hak-hak asasi dan peranan media Membicarakan persoalan kebebasan dan tanggungjawab sememangnya tidak terlepas untuk membicarakan hal yang lebih mendasar iaitu hak asasi manusia. Hak asasi manusia adalah antara perkara yang paling utama yang harus dilindungi oleh pemerintah untuk setiap warganegaranya. Namun demikian, masih ramai daripada rakyat negara ini yang tidak memahami hak-hak asas mereka sebagai warganegara. Keadaan ini cenderung untuk mewujudkan gejala penindasan – baik dari pemerintah ke atas rakyatnya mahupun antara semasa rakyat sendiri. Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas manusia dilihat penting dan perlu diberikan perhatian pada peringkat awal lagi khususnya kepada para pelajar sekolah mahupun universiti. Pendidikan boleh diberikan melalui pengenalan terhadap sukatan-sukatan pelajaran yang mengajarkan tentang peri pentingnya sikap bertoleransi antara para pelajar.  Kaedah-kaedah yang lebih proaktif dan interaktif perlu digunakan bagi setiap sekolah untuk mengajarkan para pelajar dari pelbagai latarbelakang budaya dengan menggunakan contoh-contoh yang konkrit dan sebenar. Hak-hak asasi kaum minoriti seperti golongan transgender, orang asli, pekerja asing dan pelbagai lagi juga perlu diutamakan. Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas juga perlu diberikan kepada mereka melalui penyediaan capaian-capaian maklumat yang lebih baik serta sumber-sumber bantuan. Menyedari hakikat bahawa negara ini memiliki kekayaan dalam kepelbagaian kaum dan budayanya, maka capaian-capaian maklumat adalah penting khususnya dalam aspek budaya, agama dan kepercayaan, gender, orientasi seksual dan sebagainya. Aspek pelaporan media yang berkecenderungan untuk menyediakan laporan yang tanpa sedar memperkukuhkan stereotaip perkauman dan prejudis turut sama menyumbang kepada ketidaktenteraman awam. Hal ini menuntut kepada perlunya disediakan garis panduan untuk media bagi menghapuskan streotaip dan menyediakan laporan yang lebih beretika dan tidak memiliki bias perkauman. Perkara sebegini jelas sekali masih dilihat menebal dalam kebanyakan media di negara ini. Media lebih gemar untuk menggunakan lensa perkauman dalam melihat atau melaporkan pelbagai isu misalnya dengan menggunakan istilah seperti “Cina”, “Melayu” dan “India” bagi menggambarkan masyarakat Malaysia daripada menggunakan istilah “rakyat Malaysia” sendiri. Contohnya dalam kes pergaduhan di Plaza Low Yatt Kuala Lumpur antara pihak penjual dan pembeli, namun digambarkan sebagai pergaduhan antara kaum. Penggunaan lensa perkauman secara tidak sedar telah memperlebarkan lagi jurang perbezaan antara rakyat negara ini. [caption id="attachment_5391" align="aligncenter" width="946"]Gambar dari: Zunar Gambar dari: Zunar[/caption] Adakah ahli akademik dan seniman perlu mendapatkan kebenaran untuk menyuarakan pendapat? Aspek lain yang perlu juga dititikberatkan adalah kebebasan akademik. Dalam kes Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya misalnya, kebebasan akademik jelas sekali sedang berada dalam keadaan yang membimbangkan di negara ini. Azmi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata memberikan pendapatnya atas kapasiti ahli akademik. Kebebasan akademik perlu dijamin dengan sebaik mungkin oleh semua pihak. Dengan memahami dan menyuburkan budaya akademik yang bebas akan memastikan kebebasan kalangan akademik dan pelajar menyatakan pendapat mereka tanpa sebarang ancaman rasa takut. Hal ini perlu diambilkira kerana universiti adalah institusi yang bebas dan menjadi tempat untuk percambahan ilmu. Golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat selagi tidak menyatakan kata-kata yang berunsur kebencian. Kebelakangan ini kita juga seringkali mendengar isu seniman yang diancam kerana berkarya. Kartunis Zunar misalnya sedang didakwa dengan pelbagai tuduhan semata-mata menjalankan tugasnya sebagai pengkarya yang politikal. Oleh yang demikian, kepercayaan dan penghargaan harus diberikan kepada para seniman dalam mengekalkan kebebasan berekspresi melalui seni. Para seniman sepatutnya bebas untuk menyatakan idea mereka melalui kerja-kerja seni, dalam masa yang sama sedar akan norma-norma sosial dan kawalan-kawalan yang munasabah. Antara hal lain yang turut sama penting adalah menjamin hak-hak kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan para aktivis untuk bergerak secara bebas dalam mempromosikan pelbagai isu hak asasi manusia. Oleh yang demikian, adalah sangat mendesak untuk diwujudkan sebuah garis panduan untuk membezakan antara kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang cenderung mempromosikan kebencian dan kumpulan-kumpulan yang tidak. Peranan semua pihak Usaha untuk memberikan pemahaman serta mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan yang dimiliki dengan baik perlulah dilakukan oleh semua pihak, tidak terkecuali desakan untuk dilaksanakan Pelan Tindakan Rabat pada peringkat perundangan negara. Untuk mencapai hasrat ini, maka usaha-usaha untuk memperkenalkan pelan tindakan ini secara lebih meluas perlu dilakukan. Penglibatan lebih ramai orang perseorangan serta badan-badan bukan kerajaan bagi membincangkan dan menambahbaik pelan ini perlu dilakukan agar cakupannya menjadi lebih meluas.

]]>

Seni & Cabaran Naratif Dominan

Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption] Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi 3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni. Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian. Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim. Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987. Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang  pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat: “Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran. Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.” Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]Gambar: Clarespark.com Gambar: Clarespark.com[/caption] Pelan Tindakan Rabat Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran. Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan. Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012. Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas. Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011). Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu. Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya. Kerangka Projek Kesenian Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka. Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu. Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa. Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan. Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan? Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain? Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain? Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini? [caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]Gambar: Come2Kelantan.my Gambar: Come2Kelantan.my[/caption] Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira? Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS. Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya. Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang. Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh. Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira. Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori. Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut? Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya? [caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]Gambar: Thirteen.org Gambar: Thirteen.org[/caption] Peranan Seni Yang Lebih Meluas Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan? Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya. Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat? Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal. Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada. Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina. Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri. Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan. Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama. Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada. Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.

]]>

Pelan Tindakan Rabat & Ungkapan Kebencian

Gambar: Socialnomics.net Gambar: Socialnomics.net[/caption] Kebebasan Bersuara, Ungkapan Kebencian & Penyalahgunaan Undang-undang Dalam era serba moden ini, kita tidak terlepas daripada mengungkapkan segala sesuatu terutama di laman media sosial. Kebebasan bersuara dan berekspresi ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai sempadan. Manusia tidak kisah apa jua latar belakang bebas bersuara tentang pelbagai perkara sama ada komen terhadap berita media, menyebarkan dakyah ideologi, menjaja kisah hidup peribadi atau meraikan keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang berjenaka, menyebarkan imej-imej serta video berunsur nasihat mahupun “menyerang” apa-apa yang dilihat tidak enak atau tidak selari dengan pendapat peribadi individu yang terasa. Tidak kurang hebatnya dalam era demokrasi ini, rakyat Malaysia sejak tahun 1998 dilihat semakin berani bersuara melalui demonstrasi dengan mempertahankan ideologi politik dan agama, membantah penindasan hak-hak tertentu dan melakukan tuntutan bagi sesuatu tujuan. Meskipun demikian, kebebasan bersuara mahupun berekpresi ini juga boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian. Di Malaysia, undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah ungkapan kebencian amat terhad seperti Seksyen 298 dan 298A dalam Kanun Keseksaan. Malangnya, penguasaan undang-undang masih dilihat meragukan meskipun kerajaan meminda akta seperti Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, ada akta baru yang diperkenalkan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai SOSMA dan terkini Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Rakyat dapat menilai sendiri bagaimana akta tersebut diguna pakai. Ia bukanlah untuk membela suara minoriti mahupun mengekang kebencian tetapi lebih kepada memelihara kepentingan pemerintah dengan menghalang suara-suara sumbang yang mengkritik kerajaan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]Gambar: Clarespark.com Gambar: Clarespark.com[/caption] Apa itu Pelan Tindakan Rabat?[1] Pelan Tindakan Rabat merupakan dokumen praktikal bagi membendung kebencian dalam bersuara. Beberapa siri bengkel telah diadakan di pelbagai negara oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi mendapatkan penilaian menyeluruh dari pakar-pakar dalam hal ini. Ia merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar yang berkait dengan advokasi terhadap kebencian nasional, kaum atau agama yang membawa diskriminasi, permusuhan dan keganasan  di peringkat nasional dan serantau. Sudah tentu ia berusaha untuk mengekang ungkapan kebencian yang melampau, tanpa menjejaskan kebebasan berekspresi sebagaimana yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Siri bengkel ini berakhir di Rabat, Maghribi pada 4 dan 5 Oktober 2012 bagi menghasilkan analisa perbandingan bagi dapatan setiap bengkel sebelumnya. Hasilnya, bengkel tersebut mengenal pasti tindakan bagi setiap peringkat dan untuk merangka langkah terbaik serta alat bagi perkongsian pengalaman. Ringkasnya, kunci utama pelan tersebut adalah untuk menghalang sebarang hasutan kebencian secara tanggungjawab bersama daripada kakitangan kerajaan, pemimpin agama mahupun komuniti, media dan individu. Justeru, adanya keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, tolak ansur, hormat-menghormati dan dialog antara agama/budaya. [caption id="attachment_5366" align="aligncenter" width="559"]Gambar: Hma-rekan.com Gambar: Hma-rekan.com[/caption] Ungkapan Kebencian yang Menjadi Jenayah Dalam hal ini, Pelan Tindakan Rabat mencadangkan ujian penentuan enam bahagian untuk ekspresi/ungkapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah:

  1. Konteks – konteks adalah amat penting apabila menilai jika kenyataan tertentu mungkin dilihat sebagai hasutan ke arah diskriminasi, permusuhan atau keganasan terhadap kumpulan sasar;
  2. Pembicara – kedudukan atau status pembicara dalam masyarakat perlu dipertimbangkan, terutama kedudukan individu dalam konteks khalayak yang ditujukan ungkapan tersebut;
  3. Niat – Artikel 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mensyaratkan niat jenayah sebagai penentu. Ia termasuklah “sokongan” atau “hasutan” dan bukannya pengagihan atau pengedaran bahan semata-mata;
  4. Kandungan dan bentuk – Kandungan ungkapan itu perlu menjadi tumpuan penentuan, pada tahap mana ia provokatif dan juga bentuk, gaya dan jenis hujahnya;
  5. Takat pengungkapan – Sejauh mana capaian ungkapannya, sama ada ia umum atau peribadi, saiz khalayak, kemampuan penyebarannya dan sama ada khalayak berupaya untuk bertindak atas hasutan itu;
  6. Kemungkinan, termasuk kesegeraan – Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada terdapat kemungkinan munasabah bahawa ungkapan tersebut mampu menghasut tindakan sebenar terhadap kumpulan sasaran.
Menangani Perbezaan Sejarah mengajar kita untuk menjadi dewasa. Itulah pendirian yang wajar diambil bagi menilai kewajaran meraikan kebebasan bersuara dan pada masa yang sama mengekang ungkapan kebencian. Ingkatkah kita pada kulit depan akhbar Utusan Malaysia yang menyelar agenda “Kristian agama rasmi?” Bagaimana pula dengan paparan status Facebook Alvin Tan dan bekas kekasihnya Vivian Lee yang mempersenda bulan Ramadhan melalui gambar mereka menikmati bah kut teh? Tidak kita lupa dengan Dato Ibrahim Ali yang menghasut ahli PERKASA agar membakar Alkitab Bahasa Malaysia yang tertera penggunaan kalimah Allah. Himpunan HINDRAF yang menuntut keadilan bagi pihak penganut Hindu sebaliknya menuduh kerajaan pimpinan UMNO-BN melakukan pembersihan etnik yang mengundang kemarahan kaum Melayu. Ada banyak lagi peristiwa yang berlaku di negara ini yang perlu dikaji dan dijadikan pengajaran bahawa kebebasan bersuara tanpa memikirkan sensitiviti norma masyarakat, kaum serta agama akan mengundang tindak balas. Namun, pada masa yang sama itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyakiti individu yang bersuara tersebut. Cukuplah dengan membidas, memprotes atau membalas hujahnya. Atau diabaikan. Jawapannya bukan pada keganasan. Terutama sekali, hak individu, lebih lagi yang “minoriti” serta “berbeza” wajar diberi perhatian agar tidak ditindas mahupun didiskriminasi. [caption id="attachment_5367" align="aligncenter" width="470"]Gambar: Steve Morrish.com Gambar: Steve Morrish.com[/caption] Menilai Kemungkinan yang Ada Memang tidak dapat dinafikan faktor agama itu sendiri boleh dijadikan alat bagi menyebarkan kebencian. Teks kitab suci dalam setiap agama juga mengandungi ayat-ayat sukar yang boleh mengguris sensitiviti antara agama. Di sinilah pemimpin agama perlu memainkan peranan penting mereka agar tidak menanamkan kebencian terhadap sesuatu kelompok yang berlainan dengan mereka. Jelas, keterbukaan untuk menerima perbezaan dan meraikan kepelbagaian memerlukan dialog yang berterusan. Bersama Projek Dialog menerusi bengkel kebebasan bersuara yang dianjurkan, saya pernah menulis makalah “Kebebasan Bersuara Dan Toleransi Agama di Malaysia” sebagai renungan. Salah satu kempen penting yang perlu dididik kepada rakyat Malaysia adalah sikap “setuju untuk berbeza pendapat”, bahawa tiada pendapat yang wajar dipaksakan kepada yang lain jika perbezaan itu tidak dapat diterima. Pelan Tindakan Rabat ini wajar dilaksanakan dalam perundangan negara bagi mengekang ungkapan kebencian, namun melindungi kebebasan bersuara pada waktu yang sama. Usaha bagi memberi kesedaran serta pengajaran wajar dipergiat melalui video, risalah, media sosial, dialog antara agama dan dalam kehidupan seharian kita. Tuntas, ungkapan kebencian tidak wajar dijadikan sebahagian kebebasan bersuara kerana khuatir ia akan menjadi suatu bentuk penzaliman mahupun keganasan. [1] http://www.ohchr.org/Documents/Issues/Opinion/SeminarRabat/Rabat_draft_outcome.pdf ]]>