Pakaian Wanita: Obsesi Komuniti atau Hak Individu?

Faith Fashion Fusion Gambar: Powerhousemuseum.com[/caption] Sebenarnya, masyakarat kita sudah lama mempunyai obsesi tentang tatacara pemakaian, khususnya untuk kaum Hawa. Berdesing juga telinga tatkala dikatakan pakaian wanita mengundang rogol, membawa provokasi, ataupun tidak kena semata-mata kerana susuk tubuh yang dimiliki tidak menonjolkan cantik pada pandangan mata kaum Adam. Besarnya kuasa wanita, panjang pendeknya skirt yang dikenakan juga berkemungkinan menyebabkan kaunter perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dapat beroperasi! Tubuh badan wanita seringkali dijadikan bahan lucah tanpa sedar dan masyarakat meletakkan ukuran tidak munasabah terhadap apa yang dikatakan cantik, mahupun apa yang dianggap sopan. Jika kita mengimbau album gambar ataupun filem dari zaman dahulu, wanita Malaysia lebih selesa melakukan aktiviti seharian dengan hanya mengenakan batik sarong secara berkemban. Memang selesa untuk melakukan kerja rumah dan bergerak bebas, tambahan pula dalam cuaca panas di negara beriklim khatulistiwa kita ini. Namun, seiring dengan kemajuan zaman; wanita kini bukan hanya bekerja dari rumah. Wanita merupakan tulang belakang ekonomi dan tenaga kerja negara, memegang kerjaya dalam pelbagai bidang. Tatacara pemakaian wanita ditentukan berdasarkan keselesaan wanita sendiri dan seringkali dipengaruhi kepercayaan agama. Kebelakangan ini, sukar untuk melihat wanita berpakaian mengikut pengaruh kaum etnik masing-masing dalam aktiviti seharian dan pakaian tradisional hanya digayakan tatkala musim perayaan sahaja. Bagi kaum wanita beragama Islam, apa yang saya dapat lihat kebelakangan ini adalah pakaian wanita mempunyai pengaruh Arab. [caption id="attachment_4802" align="alignleft" width="375"]Gambar: Metro Online Broadcast Gambar: Metro Online Broadcast[/caption] Jika kita melihat gambar dalam tahun-tahun pertama pasca merdeka ataupun dalam filem-filem karya Seniman Agung P Ramlee, wanita menggayakan kebaya pendek dan berkain batik sarong ataupun mengenakan gaun pendek sesuai dengan fesyen global zaman berkenaan. Mengimbau album keluarga saya sendiri, ibu dan kedua makcik saya menggayakan kebaya atau gaun dalam gambar-gambar lama mereka. Sejak kecil, saya mencemburui kecantikan ibu seperti dalam gambar-gambar lama beliau. Tambahan pula, susuk tubuh saya ketika membesar lebih berbentuk bulat dan baju kebaya beliau tidak muat untuk saya pinjam dan gayakan. Pada saya, kebaya pendek dan batik sarong menggambarkan lambang keanggunan wanita Melayu. Namun, berdasarkan pengalaman sendiri; pandangan serong sering diajukan apabila saya menggayakan kebaya dan batik sarong. Ada yang menyatakan susuk tubuh saya tidak cukup cantik menggayakan pakaian tersebut; manakala ramai juga yang mengajukan komentar bahawa pakaian tersebut menonjolkan “aset” yang tidak sepatutnya. Tambahan pula, jika dilihat sekeliling dan meneliti fesyen semasa, kaum wanita Melayu kini lebih gemar mengenakan jubah dan menggayakan tudung seperti wanita Arab.   Pakaian Sukan Wanita Komentar berkenaan pakaian saya paling galak diajukan apabila berpakaian sukan. Sebagai seorang pelari amatur, acara marathon berjarak 42.195km merupakan satu acara yang sukar dan semua pelari patut mengenakan pakaian yang sewajarnya. Pengalaman sendiri mengajar saya pakaian mana yang selesa untuk berlari dalam jarak tersebut. Ini kerana jika tidak selesa, kulit boleh melecet dan berdarah. Kemungkinan untuk menyelesaikan acara sebenarnya sangat berkait dengan pakaian yang dikenakan. Komentar negatif yang dilemparkan kepada atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pada pendapat saya sememangnya tidak wajar. Acara sukan gimnastik memerlukan beliau berpakaian sedemikian dan sewajarnya beliau dihargai dan dijulang, bukannya dicemuh kerana kononnya mendedahkan aurat. [caption id="attachment_4801" align="aligncenter" width="450"]Gambar: The Star Gambar: The Star[/caption] Jika saya yang amatur pun sukar untuk melengkapkan larian jika tidak selesa dengan pakaian yang dikenakan, apatah pula seorang atlet negara yang berjaya merangkul 6 pingat termasuk 2 pingat emas di Sukan SEA? Tidak banggakah rakyat Malaysia dengan pencapaian atlet sendiri? Tambahan pula, mana cemuhan sebegini kepada peserta bina badan dan pasukan bola sepak lelaki negara? Saya tidak nafikan bahawa ada atlet wanita yang bertudung. Dalam kalangan rakan-rakan pelari saya sendiri ada rakan yang bertudung dan memenangi acara larian dan merupakan pelari denai (trail runner). Tetapi, kebolehan mereka adalah berdasarkan tahap keselesaan sendiri semasa latihan dan acara; dan pastinya pakaian yang dikenakan tidak menyekat pergerakan.   Keselesaan adalah fesyen utama Secara kesuluruhannya, penting untuk wanita untuk berpakaian selesa. Gaya tersendiri dipengaruhi faktor agama, pengaruh kaum etnik dan pengalaman sendiri mencari apa yang selesa. Faktor utama yang sepatutnya adalah pilihan wanita itu sendiri. Masyarakat tidak sepatutnya meletakkan jangkaan terhadap wanita dan memaksa kami mengenakan pakaian mengikut pendapat atau kepercayaan majoriti. Di zaman moden ini, keutamaan sepatutnya diberikan untuk memperkasakan wanita dalam pendidikan, serta bersama menjana ekonomi dan kemajuan negara; bukannya kepada ukuran kelabuhan skirt wanita. Jika seorang wanita selesa berbaju kurung, dari kaum etnik manapun, sepatutnya beliau boleh menggayakannya tanpa komentar negatif. Muslim Women AFL Jika wanita perlu berpakaian moden ataupun mengenakan leotard untuk mencapai prestasi persembahan dan sukan yang ulung; sepatutnya kita menerima pakaian tersebut sebagai lumrah acara itu yang mampu menyokong usaha dedikasi latihan atlet saban lama. Jika wanita menggayakan kebaya, ia sepatutnya dilihat dari segi menghargai nilai etnik warisan kaum. Bukannya untuk mendedahkan aurat. Obsesi komuniti terhadap pakaian wanita tidak membawa manfaat apa pun selain membuak perasaan negatif dan egoistik patriarkal yang sepatutnya sudah lama luput. Tiba masanya untuk wanita dilihat dari segi kebolehan sendiri dan bukannya dihakimi berdasarkan pakaian yang dikenakan semata-mata. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” – Surah Al- A’raf (7:26) Article 19

]]>

Sang Pencinta di #halalspeeddating

Love “Ada PhD pun, tak ada orang nak. Buat apa?” Sebagai wanita bujang yang telah mencecah abad ketiga kehidupan, soal tentang perkahwinan sudah mual diajukan kepada saya. Ibu dan keluarga seakan-akan hilang harapan melihat saya ke jinjang pelamin, dan saya sendiri sudah akur dengan ketentuan bahawa perkahwinan mungkin bukan untuk saya. Bukannya tidak mahu mengenali cinta, namun sebagai seorang wanita yang tidak memenuhi kriteria wanita Melayu terakhir dari semua segi, agak sukar untuk mencari pasangan yang benar-benar mampu menerima diri dengan seadanya. Tambahan pula, apabila seringkali dilempar komen seperti di atas, tersinggung saya untuk membuka hati dan minda bagi mengenali kaum Adam di Malaysia. Namun, sebagai seorang yang optimis, saya telah mengisi borang dan menghadiri acara #halalspeeddating anjuran saudara Syed Azmi, Puan Hayati Ismail dan Encik Zuhri Yuhyi beberapa minggu lalu. Ingin saya jelaskan bahawa sebenarnya, saya menghadiri acara tersebut sebagai tanda sokongan kepada usaha murni tiga sekawan ini. Membaca kisah disebalik penganjuran acara #halalspeeddating ini, saya pasti niat mereka mulia dan mahu membantu kaum bujang untuk mencari pasangan hidup berdasarkan prinsip taaruf, lunas-lunas Islam dan adab yang sopan. Pada saya sendiri, apa salahnya mencuba membuka minda untuk mengalami sesuatu pengalaman yang baru. Borang yang diisi bertanyakan soalan-soalan lazim berkenaan latarbelakang diri dan harapan tentang bakal suami/isteri dan perkahwinan. Juga perlu memaklumkan wali tentang keinginan menyertai acara ini. Untuk diri saya yang baru kehilangan ayah, saya memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa saya mengosongkan petak jawapan ini. Walaupun pada dasarnya kuasa wali jatuh kepada adik lelaki ataupun salah seorang bapa saudara saya, saya berpendapat bahawa kaum wanita patut diberi kemandirian untuk menentukan hala tuju sendiri. Selain itu, soalan-soalannya agak lazim dalam membantu mencari pasangan. Namun, terdapat soalan yang berbaur mempromosikan poligami, dan sebagai seorang wanita yang belum pernah melihat bukti kesetiaan dan keadilan lelaki, saya keraguan dalam hal tersebut. Saya utarakan pendapat saya di bahagian maklumbalas. Cinta Halal #halalspeeddating Setelah proses penelitian, pihak penganjur kemudiannya menghantar jemputan kepada para peserta yang lebih berkemungkinan mendapat pasangan dari kumpulan tersebut. Menurut penganjur, lebih kurang 500 borang penyertaan diterima keseluruhannya. Daripada ini, pihak penganjur memilih dan menghantar jemputan kepada 50 wanita dan 50 lelaki. Namun, pada hari tersebut, peserta yang hadir adalah 60 orang wanita dan 20 orang lelaki. Peserta juga digalakkan untuk hadir bersama mahram ataupun rakan yang dipercayai. Setelah mendaftar dan diberi nombor, peserta diingatkan supaya tidak bergaul antara jantina di luar acara yang dianjurkan, termasuk mencari di media sosial ataupun bertukar nombor telefon. Peserta juga tidak digalakkan memperkenalkan diri antara satu sama lain, sebaliknya hanya menggunakan nombor yang diberikan untuk berkomunikasi. Peserta wanita meneliti profil-profil peserta lelaki untuk meletakkan nombor mereka di petak slot temubual peserta lelaki; dan sebaliknya. Acara dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari pihak penganjur yang menceritakan latarbelakang disebalik idea untuk acara ini. Puan Hayati dan Encik Zuhri menceritakan kisah mereka berkenalan dengan pasangan masing-masing melalui laman sesawang dan perkenalan dari pihak ketiga; maka acara #halalspeeddating bertujuan sebagai platform perkenalan pasangan melalui perantara atas talian dan acara tersebut. Seterusnya syarahan mengenai perkahwinan Islam oleh Encik Shazly Khan, penganjur iMuslim. Beliau menggunakan sirah dan kisah Khalifah Umar Al-Khattab dalam memilih menantu dan menguruskan perkahwinan anak lelaki beliau sebagai contoh utama. Beliau juga mengingatkan para hadirin bahawa mencari perkahwinan itu dirahmati Allah dan perlu adanya hormat-menghormati antara suami isteri. Beliau juga secara sinis menyatakan bahawa kos perkahwinan yang tinggi beserta harapan dan jangkaan yang terlalu tinggi oleh pasangan dan keluarga mereka merupakan faktor-faktor yang menghalang pasangan muda untuk berkahwin, dan ini mengakibatkan gejala sosial dan seks rambang di kalangan anak muda masa kini. Encik Zuhri kemudiannya menerangkan peraturan acara hari itu. Kaum Adam menduduki meja-meja yang disediakan dan nombor mereka dipaparkan di atas meja. Pihak wanita yang telah meneliti profil peserta lelaki kemudiannya akan membawa diri ke meja di mana peserta lelaki tersebut berada. Pada pendapat saya, ini merupakan satu kemajuan kepada hak wanita, dan saya memuji penganjur atas kesedaran ini. Kedua-dua pihak mempunyai masa 5 minit untuk bertaaruf, diiringi oleh mahram masing-masing. Oleh kerana wanita melebihi lelaki, pihak penganjur kemudiannya membenarkan taaruf antara seorang lelaki dengan beberapa wanita sekali pada pusingan-pusingan seterusnya. Pihak lelaki kemudiannya berpeluang menemubual kaum wanita pilihan mereka berdasarkan profil. Setelah semua pusingan selesai, setiap peserta dikehendaki memilih 3 profil yang dirasakan berpotensi menjadi pasangan hidup dan mengajukan pilihan ini kepada penganjur. Pihak penganjur kemudiannya akan mengaturkan pasangan dan memaklumkan kepada peserta melalui e-mel seminggu setelah acara berlangsung. Love World Cinta, Perkahwinan & Jodoh Walaupun saya pada mulanya agak skeptikal, namun keseluruhannya acara ini merupakan pengalaman baik. Setelah membuka bicara dengan soalan lazim, saya banyak mengajukan soalan yang bersifat falsafah hidup; termasuk pendapat kaum Adam tentang isu rogol dalam perkahwinan serta hak wanita dalam perkahwinan. Soalan paling sukar yang diterima adalah “berapa anak yang kamu inginkan?” Sebagai seorang yang telah berkeputusan untuk tidak mempunyai zuriat, jawapan saya mungkin agak mengejutkan mereka. Jawapan yang paling sensitif pada saya adalah pendapat bahawa perkahwinan adalah seperti pentadbiran, yakni lelaki mentadbir atas wanita, dan wanita harus menerima seadanya. Ini bercanggah dengan prinsip hidup saya. Seminggu selepas acara berlangsung, saya menerima e-mel dari pihak penganjur bahawa saya tidak mempunyai jodoh dari acara tersebut. Saya telah menjangkakannya. Namun, saya rasakan, mungkin jodoh yang ditentukan Tuhan untuk saya bukanlah seorang Adam sebagai pasangan hidup, namun cinta yang membanting tenaga menambahbaik komuniti dan persekitaran melalui usaha sukarelawan yang saya lakukan. Article 19

]]>

Mencari cinta di Kuala Lumpur

Masuk Islam tu bukan ke masuk Melayu?”    Persoalan ini sebenarnya telah lama terbuku di minda saya dan mendengarnya dari atas pentas hanya mengesahkan bahawa bukan saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Sejak kecil, saya bergaul dengan rakan rakan yang berlainan bangsa dan agama. Matlamat kami sebenarnya sama, untuk mencari rakan saban hari, namun menjadi lumrah kami dipisahkan ketika menghadiri kelas mengaji, kelas kitab injil, ataupun upacara keagamaan masing masing. Tatkala usia mencapai remaja dan kini dewasa, ada antara pergaulan ini yang membawa kepada cinta, yang kebanyakannya samada berakhir dengan ucapan “til jannah” yang popular saban kini ataupun tidak kesampaian kerana kekangan keluarga, yang salah satu sebab utamanya adalah agama. Seperti yang dikatakan dalam satu lagi skrip karya Alfian Sa’at, dalam teater Parah, “Tidak salah berkawan dengan berlainan bangsa, tetapi jangan sampai dibuat teman lelaki!” Kisah yang saya rasa lebih dekat dengan pembaca tentunya filem Sepet karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Jenaka ‘masuk Melayu’ juga ada diutarakan kepada Jason dalam satu adegan ketika hubungan beliau dengan Orked dijadikan bahan seloroh rakan rakan Jason. Jadi, betulkah jika masuk Islam itu, masuk Melayu? Kisah suatu pengalaman Bekas teman lelaki saya ketika di Australia merupakan seorang agnostik, yakni beliau percaya bahawa terdapat suatu kuasa agung yang mencipta dunia, tetapi tidak berpegang kepada mana mana agama asas (organized religion), walaupun beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian. Kami sering berdebat tentang perlunya beliau menganut agama Islam jika kami ingin menuju perkahwinan di Malaysia, dan saya sebagai seorang yang degil inginkan beliau memahami Islam sebelum menganutinya. Tambahan pula, kerjaya kami sebagai saintis membawa satu lapisan debat lagi di mana beliau berpendapat bahawa agama saya tidak menggalakkan kemodenan dan kemajuan bidang sains. Saya akui, walaupun dilahirkan Islam dan Melayu, bahawa saya sendiri tidak pasti akan mana garis pemisah antara agama dan budaya, tambahan pula jika apa yang dikatakan ‘Islam’ itu sebenarnya budaya kaum Arab. Apatah lagi, Perlembagaan Malaysia meletakkan agama dan budaya ini bersama sama di mana status bumiputera atau Melayu itu mestilah beragama dan mempraktikkan cara hidup Islam. Walaupun perhubungan kami tidak kekal, sepanjang tiga tahun perhubungan kami membuka minda saya sendiri tentang mana batasnya Islam, dan mana yang dikatakan Melayu. Saya lebih banyak membaca tentang agama dan budaya dan kami sering membanding pendapat dan pengalaman kami yang datang dari dua budaya dan agama yang berbeza. Ironi bahawa seorang agnostik mengajar seorang Muslim untuk mendalami agama beliau sendiri. Hikmah dari pelbagai sumber Antara kebanyakan majlis perkahwinan dwi-budaya yang saya hadiri, kenangan yang paling menggembirakan saya adalah majlis rakan saya di Kuching. Beliau berbangsa Melanau-Iban, beragama Islam; dan suami beliau merupakan seorang yang berbangsa Cina. Majlis akad nikah diadakan di waktu pagi, disertai semua kaum keluarga dan rakan rakan akrab beliau yang semuanya datang dari Semenanjung. Majlis disusuli pula dengan upacara minum teh di rumah pihak lelaki dan pada sebelah malamnya, majlis resepsi di hotel. Yang menariknya, kami semua berpakaian tradisional mengikut kaum pada majlis majlis di siang hari dan mengenakan pakaian moden untuk majlis resepsi- tetapi semua hadirin, termasuk ibu bapa kedua mempelai, menari joget lambak dan menyanyi karaoke diiringi pancaragam di atas pentas semasa majlis resepsi untuk meraikan pengantin. Seolah-olah hanya ada satu budaya malam itu – iaitu untuk meraikan dan bergembira. Yang saya pasti, sehingga kini, suami rakan saya tidak ‘memasuki’ budaya kaum etnik rakan saya, tetapi mencintai rakan saya seadanya. Langkah beliau menganuti Islam tidak menghalang beliau untuk bersama sama isteri meraikan Tahun Baru Cina ataupun mengunjungi pihak mertua sebagai tanda hormat ketika upacara keagamaan ataupun budaya masyakarat berbilang bangsa. Tekanan hidup sebagai wanita independen Saya pasti ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai cerita perkahwinan dwi-budaya dan agama sebegini. Ada yang menyatakan bahawa perbezaan agama dan budaya membawa kepada ikatan perkahwinan yang lebih utuh, manakala ada pula yang tidak kekal kerana tidak dapat mencari titik keseimbangan toleransi antara agama dan budaya yang berbeza. Sukar untuk seorang wanita bujang yang tidak memenuhi kotak-kotak stereotaip semasa untuk mencari pasangan hidup di Kuala Lumpur. Saya tahu, kerana saya mengalaminya. Kebanyakkan rakan menasihati saya bahawa jodoh saya bukan dengan lelaki Melayu, mahupun lelaki Malaysia. Namun sebagai seorang optimis, saya mengisi borang “Halal Speed Dating” yang akan diadakan pada 9hb Mei ini. Secara terangnya di dalam borang tersebut dinyatakan bahawa peserta acara ini harus menimbang baik kemungkinan untuk memeluk agama Islam jika mereka menjumpai cinta melalui platform tersebut. Tidak pula dinyatakan pihak penganjur yang “matchmaking” hanya akan dibuat antara peserta yang sama kaum etnik. Namun, antara kemungkinan yang bakal berlaku termasuk ada yang jatuh cinta tetapi tidak dapat berkahwin dengan individu yang mereka cintai kerana perbezaan agama. Ada pula yang memeluk agama semata mata untuk menghalalkan cinta. Manakala ada yang akhirnya menjumpai agama ketika mencari cinta sesama manusia. Usah dalam ketaksuban kita mempertahankan Tuhan, kita lupa untuk mencintai sesama manusia, seperti satu lagi bait skrip Nadirah karya Alfian Sa’at: “Bagaimana mahu mencintai Tuhan jika tidak mampu untuk mencintai seorang manusia lain?” Saya tidak mampu menjadi sesuci Rabiatul Adawiyah, namun perlu rasanya keseimbangan untuk berterusan mengenali agama sendiri dan mencintai agama dan diri sendiri sebelum mencari cinta di hutan  konkrit yang dinamakan Kuala Lumpur. unnamed  

]]>

Nilai sehelai tudung

Wanita setakat objek Wanita sering dianggap pesalah hanya kerana mereka mempunyai tubuh mereka. Ia seolah-olah kewujudan wanita itu sendiri dianggap sebagai objek pemuas nafsu yang tidak setaraf dengan kaum lelaki. Kenyataaan ini sering disusuli dengan saranan bahawa kaum wanita menutup tubuh mereka dengan pakaian yang longgar (tetapi tidak boleh terlalu longgar kerana mudah untuk perogol-perogol di luar sana menanggalkan pakaian mereka.) Aurat Tetapi apa yang pasti, selalunya aurat wanita dikaitkan dengan pemakaian tudung, dengan tanggapan bahawa rambut itu sendiri boleh manaikkan nafsu syahwat pihak yang berkenaan. Harapannya ialah dengan mengenakan tudung kepala, seorang wanita itu menjaga aurat dan kemuliaan diri beliau sebagai seorang wanita. Sebagai seorang wanita, saya berasa sedih bagi pihak kaum lelaki setelah membaca kenyataan-kenyataan sebegini kerana seolah-olah lelaki tidak mempunyai kuasa untuk mengawal nafsu mereka sendiri. Sepanjang pergaulan saya dengan orang lelaki, samada sebagai ahli keluarga, rakan mahupun untuk difikirkan jika beliau sesuai dijadikan pasangan hidup- saya dapati kebanyakan lelaki mempunyai nilai hormat terhadap kaum wanita yang tinggi dan selalunya berperawakan sopan. Pentingnya nilai hormat Saya pasti, nilai hormat antara sesama manusia adalah sifat yang ada di dalam diri setiap manusia, tidak semua orang menjalankan aktiviti seharian dengan memikirkan tentang siapa yang patut dirogol atau disalahkan kerana membangkitkan nafsu syahwat mereka pada setiap hari. Kawalan diri yang dibentuk dari pendidikan moral dan agama membina sifat kebanyakan individu. Tambahan pula, banyak kertas-kertas penyelidikan yang membentangkan berkenaan psikologi perogol selalunya adalah lebih bersifat egoistik daripada seksual. Cara wanita berpakaian atau memperagakan susuk tubuh badan, mahupun perawakan, tidak mengundang perkosaan. Perkara yang membawa kepada kes rogol adalah adanya perogol yang tidak mempunyai nilai estetik menghormati manusia lain, lelaki mahupun perempuan. Nilai tudung Akan tetapi, tidak saya nafikan nilai sehelai kain tudung kepada wanita adalah amat berharga. Seorang rakan lelaki Melayu saya menyatakan bahawa jika seandainya saya mengenakan tudung kepala, pastinya petisyen yang saya mulakan akan mempunyai lebih ramai pengikut. Ibu saya pula berpendapat bahawa saya akan lebih bernilai sebagai bakal isteri jika saya memakai tudung. Apabila saya nyatakan kepada rakan saya bahawa saya tidak ingin menjadi seorang hipokrit dengan mengenakan tudung kepala hanya untuk mendapat sokongan (mahupun semata-mata untuk memegang gelaran isteri), beliau menjawab bahawa tudung itu hanyalah seperti mana-mana pakaian. Ia boleh dipakai atau ditanggalkan dan labuh atau pendeknya kain tudung melitupi dada wanita boleh mengikut fesyen semasa. Dari pengalaman sendiri, saya nafikan kenyataan beliau. Jika rakan-rakan wanita saya membuat keputusan untuk mengenakan tudung, mereka akan menerima ucapan tahniah kerana telah “insaf”. Kain tudung dianggap sebagai kuasa atau benteng yang mempertahankan kaum wanita dari perkara-perkara yang tidak baik. Tudung kepala lebih banyak dipersoalkan, lebih berharga dari kepingan pakaian yang lain, dan lebih bernilai dari segi melambangkan perawakan seseorang wanita. Wanita yang bertudung dianggap secara amnya lebih mulia dari wanita tidak memilih untuk mengenakannya. Dari logik ini mulalah hujah yang menyatakan bahawa jika wanita bertudung dirogol, itu adalah takdir: Jika wanita yang dirogol itu tidak mengenakan tudung seharian, beliau adalah mengundang perkosaan itu sendiri. Makna tudung ditentukan lelaki Pada pandangan saya, persoalan tentang pakaian wanita dan dominannya tudung yang melitupi rambut wanita, terlalu berpihak kepada kuasa kaum lelaki dan sama sekali terlepas titik perbincangan yang sepatutnya. Wanita patut diberi kebebasan untuk memilih pakaian sendiri, pendek atau panjangnya rambut mereka, mahupun jika rambut itu perlu dilitupi sehelai kain tudung. Tubuh wanita adalah milik wanita itu sendiri. Pakaian yang dikenakan melambangkan gaya peribadi, tetapi tidak sepatutnya menjadi titik tolak sifat dan perawakan wanita. Masyarakat perlu juga memainkan peranan dengan mengadakan persekitaran yang selamat bagi wanita. Jika wanita berterusan dijadikan mangsa hanya kerana kewanitaan mereka, ini hanya akan menggalakan mereka yang tidak mempunyai sifat moral ataupun nilai kemanusiaan untuk memporakperandakan masyarakat. Usahlah kita menjadi seperti orang kampung di dalam filem ‘Lelaki Harapan Dunia’- di mana kaum wanita dan kaum lelaki di dalam filem itu bertukar pakaian semata-mata untuk mengelakkan kaum wanita kampung itu dirogol orang minyak. Pastinya masyarakat kita lebih bijak dari itu, dan saya pasti tidak semua kaum lelaki mahukan wanita semua dipakaikan jubah hitam longgar atau diasingkan dari pandangan mereka sekaligus. Saya juga pasti bahawa kaum wanita yang memilih untuk tidak mengenakan tudung ataupun memakai tudung – samada hijabster, bertudung “Neelofarhijab” ataupun mengenakan niqab – membuat pilihan tersebut dan mahu pilihan tersebut kekal datang dari kehendak diri mereka sendiri. unnamed    

]]>

Bukan wanita Melayu terakhir

Siapa saya? Kebelakangan ini, isu perkauman semakin banyak dibincangkan. Daripada pengalaman sendiri, saya akui mengalami krisis identiti tentang justifikasi bangsa saya. Walaupun saya lebih selesa menyatakan bahawa saya adalah rakyat Malaysia, adakah kenyataan yang sama juga bermakna identiti saya sebagai seorang Melayu beragama Islam diletakkan dikedudukan yang lebih rendah dari kerakyatan saya? Lebih penting lagi, adakah negara kita mempunyai identiti tersendiri sebagai bangsa Malaysia? Kepincangan peribadi berkenaan jatidiri ini ditambah pula dengan isu gender- siapa sebenarnya seorang wanita melayu dan adakah saya memenuhi kriteria seumpamanya? Melihat kad pengenalan saya, agak ketara hitam putihnya kotak di mana saya sepatutnya diletakkan. Warganegara: Malaysia. Bangsa: Melayu. Agama: Islam. Jantina: Perempuan. Namun, setiap kali saya ke luar negara dan semasa berpeluang melanjutkan pelajaran di Australia, saya selalu dimajukan soalan: adakah Malaysia itu hanya Melayu, Islam? Dan jika ya patutkah saya dianggap sebagai seorang duta kecil negara saya? Rojak Jawapan saya seringkali terpaksa berpandukan kempen pelancongan negara kita yang paling popular: “Malaysia, Truly Asia“- bahawa negara kita ini rakyatnya berbilang kaum dan agama, namun identiti setiap bangsa tidaklah terlalu stereotaip sepertimana diwar-warkan dalam kempen tersebut. Malaysia yang saya kenal dan tahu, adalah rojak yang bercampur aduk dan tidak semestinya tegas dalam kepompong budaya masing-masing. Cara kita bercakap seharian adalah contoh utama: “macha,you nak tapau or makan sini, lah?” Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kita boleh berbangga dengan betapa uniknya negara kita ini, terutama sekali penggunaan “lah” di akhir kebanyakan ayat! Mengimbas soal kepincangan identiti ini, titik permulaannya adalah semasa saya dibuli dan disisihkan oleh rakan-rakan sebangsa sendiri. Saya dibesarkan di kawasan yang kebanyakannya dihuni orang berbangsa Cina. Pasar pagi yang sering dikunjungi menjual babi di satu bahagian dan ayam halal di bahagian yang bersebelahan. Namun semua dari berbilang bangsa akan bersarapan roti canai atau apam manis dari kedai yang sama. Pendidikan pertama saya adalah di tadika Cina sebelum ke sekolah kebangsaan. Namun, saya dibuli bukan kerana bangsa saya, tetapi kerana saya lebih selesa berbahasa Inggeris, lebih gemar membaca dari bermain, dan saya terlalu banyak bertanya. Sering saya diejek tentang ingin “menjadi orang putih”, tidak tahu berbahasa kebangsaan dan terlalu taksub dengan budaya barat. Apa yang cukup? Erti kata rakan-rakan saya sebenarnya, saya ini tidak cukup Melayu, tidak cukup Islam, tidak cukup Malaysia. Jika wanita melayu sepatutnya berdiam diri, mulus, ayu, dan mematuhi kaum Adam tanpa banyak soal, saya bukanlah wanita melayu. Seringkali saya diingatkan tentang hal ini – supaya diam, rendahkan pandangan dan tahu bahawa setinggi manapun saya belajar, tempat saya adalah di dapur, dan nilai paling berharga saya sebagai seorang gadis muda ketika itu adalah kedaraan saya. Ia seolah-olah diri saya bernilai hanya sebagai seorang isteri dan ibu. Tidak saya nafikan bahawa peranan utama wanita berkisar tentang keluarga. Sebagai seorang manusia biasa, saya juga mempunyai kemahuan untuk mencintai dan dicintai. Perkara utama yang menyentuh hati saye sepemergian arwah ayah adalah berkaitan keluarga dan bahawa arwah ayah tidak dapat mewalikan saya. Namun, jika berbincang tentang peranan dan identiti wanita melayu, sejarah sendiri membuktikan bahawa wanita bukan hanya berperanan untuk menyokong kaum Adam, tetapi tegas dan tetap dalam menegakkan kemahuan diri mereka sendiri. Kebanyakan srikandi, nama-nama seperti Tun Fatimah, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi, memegang peranan penting dalam memperjuangkan hak mereka dan usaha membina masa depan negara yang lebih baik. Jadi, di mana bermulanya tanggapan bahawa kaum Hawa tidak sama tarafnya dengan kaum Adam? Siapa wanita Melayu? Lebih penting lagi, siapakah wanita melayu? Pada pendapat peribadi saya, semua orang berhak untuk menjadi diri mereka sendiri. Bangsa etnik, budaya dan agama merupakan ramuan yang membina diri setiap individu, dan tidak perlu untuk salah satunya terpaksa dipilih sebagai identiti terutama, tetapi seperti rojak – perlu dicampur-gaul sama rata. Wanita melayu secara stereotaipnya digambarkan sebagai berkebaya ketat, bertudung litup, isteri mithali dan ibu penyayang. Bagi wanita seperti saya – yang gemarkan kebaya tetapi tidak selesa menggayakannya di makmal penyelidikan, yang masih bujang dan lebih mementingkan kerjaya dan penyelidikan daripada memikirkan perkahwinan dan mempunyai anak-anak ; saya juga wanita Melayu. Ada wanita Melayu yang merupakan isteri solehah dan ibu mithali, dan masih memainkan peranan penting dalam kerjaya dan menyumbang kepada negara. Tidak perlu rasanya kita berfikiran seperti mangsa dan meletakkan diri kita sendiri di bawah tempurung gender, bangsa etnik atau agama. Sebaliknya, harus kita yakin dengan kebolehan sendiri dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan di dalam kerjaya masing masing dan memainkan peranan setiap individu dalam membina negara Malaysia yang berdaya saing sebagai negara maju. Fikirkanlah, betapa mampunya kita jika tiada sikap kebergantungan yang keterlaluan dan jika kaum Hawa, yang memonopoli kemasukan ke institusi pengajian tinggi, juga sama sama memainkan peranan seiring dengan kaum Adam. Usah terlalu berpegang kepada kekangan identiti stereotaip, tetapi yakin dengan kebolehan dan bebas untuk membuat pilihan yang terbaik untuk diri kita sendiri! unnamed

]]>