Hukuman Sebatan: Siapa yang terhukum dan dihukum?

enkrateia yang boleh dibahas secara psikologi, gender bahkan feminisme – yang hanya akan memfokuskan “penderitaan yang memerlukan pembelaan” dan “perilaku narsistik yang perlu dikecam” – cara pikir binari ini yang hanya membuat kita kembali kepada tulang rusuk dan meletakkan kesalahan pada biologi seseorang. Sedangkan al-Quran telah lama mengesahkan kesetaraan; perempuan dan lelaki sama-sama menerima perjanjian asal-primordial (al–A’raf, 7:127), dicipta sebagai hamba (al–Hujurat, 49:13), khalifah (al–An’am, 6:15), dimuliakan (al–Isra’ 17:70), diberi keampunan (al–A’raf, 7:20, 22, 23) dan keturunan (al–Baqarah, 2:187) serta berpotensi meraih prestasi (al–Imran, 3:195; an–Nisa, 4:124; Ghafir, 40:40). Sudah jelas bahawa tiada kelebihan yang membolehkan satu jantina mengatasi jantina yang lain sehingga dibentuk hukuman yang bertujuan merendahkan salah seorang daripada mereka. Sosioekonomi dan seksualiti Justeru, perkara pokok di sini adalah bagaimana boleh terjadinya sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah bukan sahaja di Johor Bahru tetapi juga di tempat-tempat lain yang belum masuk berita. Jika diperhatikan, sumbang mahram berlaku dalam kalangan saudara yang tidak boleh berkahwin – sehingga tidak boleh menimbulkan syak pada sesiapa. Begitu juga dengan persetubuhan luar nikah antara pasangan kekasih yang boleh berkahwin – tetapi berlaku di tempat-tempat yang dikira selamat agar tidak menimbulkan syak. Kedua-dua kejadian ini dibenarkan berlaku dalam keadaan sosioekonomi yang tidak stabil dan seksualiti yang dikekang. Nah, apa pula kaitannya lelaki perempuan bermadu asmara dengan kadar inflasi yang kian meningkat? Suka untuk dinyatakan di sini, kejadian seperti ini tidak hanya terjadi pada mat rempit, kaki botol, kaki judi tetapi juga pak lebai dan ketua kampung yang menurut ramai, satu golongan itu kurang didikan dan satu lagi kuat pegangan agamanya. Adalah berasas untuk mengatakan bahawa ekonomi antara punca utama masyarakat berkelakuan devians – setidaknya mereka tidak perlu ke sarang pelacuran berbayar dan berdepan risiko ditangkap mata-mata atau menghidap penyakit berbahaya. Malah, duit yang ada boleh dibelanjakan untuk keperluan seharian kerana keperluan biologi sudah terpenuh dengan mereka yang berada depan mata (adik beradik, ibu ayah, sanak saudara, datuk nenek, cucu piut). Begitu juga halnya dengan persetubuhan di luar nikah yang banyak berlaku kerana hubungan yang diinstitusikan dalam bentuk perkahwinan menelan belanja banyak. Seksualiti yang diredam di sebuah negara yang didakwa sebagai negara Islam yang datang bersamanya masalah ekonomi yang tidak kunjung selesai menyebabkan masyarakat mengambil jalan mudah untuk mendapatkan kepuasan. Kepincangan sosial dalam konteks ini bolehlah dikatakan berkadar terus dengan kos hidup. Fungsi Negara Justeru, dalam isu sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini penyelesaiannya bukan terletak dengan memisahkan atau menyatukan pasangan yang terlibat. Sebagaimana masalah buang anak tidak terselesai dengan menghukum ayah dan ibunya. Terdapat fungsi negara dalam hal ini untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial buat warganya. Fungsi negara bukanlah mengintai-intai keseronokan orang lain tetapi memadam kesengsaraan warganya. Negara seharusnya mampu untuk patuh dalam sosial kontrak yang sudah ada. Kerajaan sebagai timbal balik kepatuhan yang diberi, mesti memenuhi kebajikan dan keselamatan warganya. Perhatian yang berat sebelah ini telah meminggirkan keselamatan negara sedang membangun (NSM) di rantau Asia terutamanya dalam konteks Malaysia. Neorealisme didapati gagal menjelaskan aspek keselamatan yang dihadapi NSM seperti kemiskinan, ketidaksetaraan dan pergolakan kaum. Jadi, keselamatan akhirnya untuk siapa – negara atau rakyat? Inilah yang dimaksudkan dengan jaringan keselamatan sosial yang menyentuh lebih banyak khalayak daripada menyalahkan masyarakat atas keruntuhan ‘moral’. Sebagai warga yang terdiri daripada cerdik pandai, tidaklah sukar untuk melihat bagaimana aktor bukan negara disalahkan sementara aktor negara memanfaatkan keadaan ini untuk menunjukkan siapa lebih Islam dan melepaskan diri daripada tanggungjawab akan keselamatan komprehensif – mengandungi keselamatan insan (rujuk 7 kategori yang digariskan PBB) yang salah satunya ialah struktur ekonomi dan hak asasi manusia. Ketidakstabilan sosial seperti sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini petunjuk gagalnya jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan kemisikinan dan mencapai kesejahteraan. Dan ia bukan bahan gosip petang hari antara jiran melainkan petanda kelemahan dalam pelaksanaan dasar sosial dan dasar ekonomi negara.

]]>

Pesta Rakyat dan Demokrasi Radikal

Aku bermimpi main seruling, hadapan bunga di tepi kolam. Biarkan nasib aku terguling, asalkan bangsa tidak tenggelam. Barisan Nasional merupakan satu-satunya parti yang sentiasa menang dalam setiap pilihan raya umum sejak 1950-an. Sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun di Malaysia, perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan ternyata memberi kelebihan kepada orang Melayu umumnya dan UMNO khususnya. Sistem pemerintahan begini telah berjaya memelihara “kemakmuran dan keamanan” sejak merdeka lagi dalam arti kita masih punya hak untuk bernafas. Menurut mereka, sebagai manusia, kita hanya perlu hak itu dan bukan yang lain – hak berhimpun, hak bersuara, semuanya hanya setakat formaliti dalam Perlembagaan Persekutuan (yang juga menjadi instrumen kepada penguasa). Tidak cukup dengan itu, dengan memakai nama demokrasi, disekatnya kemerdekaan akhbar dan menyuburkan surat layang yang luar biasa banyaknya dalam PRU-PRU lepas. Namun, sama ada demokrasi yang dilaksanakan di negara ini berjaya memilih wakil rakyat yang selayaknya itu hal kedua menurut mereka, janji ia menurut semangat demokrasi yang kelihatannya mementingkan “means” berbanding “ends”. Sehinggalah baru-baru ini, “demokrasi peti undi” tidak lagi mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Lalu, dibuatlah perhimpunan sebagai satu lagi alternatif untuk meluahkan rasa hati (dipanggillah sebagai “perhimpunan aman” mungkin kerana tidak mahu menyinggung susila masyarakat Timur). Perhimpunan yang dibawa ke serata negeri kali ini berhujung dengan Pesta Rakyat di Amcorp Mall Petaling Jaya pada hari Sabtu dan Ahad. Berlainan dengan perhimpunan-perhimpunan yang lepas, ia tidak disertai dengan kehadiran FRU yang serba lengkap dengan gas canister. Maka tidak kedapatanlah gerai-gerai yang mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit maupun kerosakan harta benda awam – menurut Buletin Utama TV3. Pesta Rakyat kali ini dapatlah kiranya diumpamakan seperti perayaan – mungkin merayakan undi popular. Sudah pasti pesta ini berbeza sekali dengan perhimpunan Belia di Putrajaya anjuran kerajaan BN. Perhimpunan itu dirasmikan DS Najib Razak pada hari yang sama. Anak muda sekali lagi diberi gula-gula getah untuk terus bersikap apati dalam urus tadbir negara. Ini membezakannya dengan Pesta Rakyat yang bukan dipaksakan dan dihadiri kurang lebih 50 ribu rakyat. Hal ini amat bertepatan dengan apa yang dikata Douglas Lummis: “Democracy doesn’t mean feeling powerful. It means holding real power. Radical democracy describes the adventure of human beings creating with their own hands, the conditions for their freedom. It is not a kind of government, but an end of government; not a historically existing institution but a historical project.” Beliau menekankan bahawa demokrasi bukanlah setakat procedural – yang membezakannya dengan diktum terkenal Abraham Lincoln. “Kerajaan” bagi Lincoln ialah struktur yang dibentuk untuk memperkasa rakyat sedangkan demokrasi seharusnya menjadikan rakyat itu sendiri harus berkuasa. Ini jelas menunjukkan melaung dan memahami demokrasi adalah dua perkara berbeza. Demokrasi sesuai dengan namanya mesti mahu dipraktikkan bermula dari rakyat bukan dari penguasa. Jika sebaliknya berlaku, iaitu aliran kuasa atas-bawah, maka mungkin hanya beberapa orang Malaysia sahaja yang berhasil membebaskan diri daripada segala macam belenggu yang dipasung pada dada dan pemikiran mereka sejak setengah abad ini. Demokrasi tidak harus mengikut jejak feudalisme dan tirani penguasa. Jadi cita-cita besar kita bukanlah mengembalikan kerajaan yang dirampas daripada kita tetapi mengembalikan akar demokratia.

]]>

Wang Politik dan Politik Wang

political financing) dan politik wang sering menimbulkan keraguan dan kekaburan antara orang kebanyakan dan akademia. Kekaburan yang berlaku antara dua istilah hendaklah tidak menganggu kajian terhadap gejala yang berlaku dalam proses pilihan raya. Syed Hussein Alatas pernah menyebut kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya pada konteks penilaian yang tidak tepat hanya akan menimbulkan kekacauan dan pemborosan waktu. Namun dengan adanya pemerhatian yang konsisten, ia sedikit sebanyak membantu kita menggolongkan rasuah dan menanganinya. Wang politik dilihat hanya mencakupi pembiayaan parti dan kempen pilihan raya sementara “politik wang” ialah istilah yang digunakan untuk membeli undi semasa pilihan raya sedang berlangsung. Kedua-dua istilah ini punya hubungan yang erat dengan politik patron-client. Istilah patron-client merujuk kepada hubungan yang melibatkan dua kelas yang berbeza: seorang patron mempunyai kuasa dan autoriti, dan klien adalah orang yang bernaung di bawahnya – contohnya seorang Menteri dan ahli perniagaan, Ketua Kampong dan Imam masjid dan sebagainya. Hubungan yang tidak seimbang antara keduanya menjadikan klien harus memenuhi tawaran atau permintaan patron. James C. Scott misalnya mengatakan, “client, in this sense, is someone who has entered an unequal exchange relation in which he is unable to reciprocate fully. A debt of obligation binds him to the patron”. Hubungan timbal balik ini juga dapat diterjemahkan dalam bentuk kuasa, kepatuhan, wang, dan undi. Mereka yang berkedudukan tinggi akan menggunakan instrumen untuk memberi bantuan kepada mereka yang berkedudukan sedikit rendah, dan dibalas dengan kepatuhan dan kehormatan. Dalam sesebuah negara contohnya, Perdana Menteri akan memberikan dana kepada organisasi, persatuan dan warganya untuk memelihara legitimasi kerajaannya. Politik penaung-dinaung ini sangat jelas di Malaysia seperti yang dapat diperhatikan dalam kempen pilihan raya kali ini. Selama lebih 55 tahun, warga hanya merasakan kebajikan mereka dijaga setelah parti Pakatan mula mengambil alih beberapa buah negeri pada pilihan raya 2008. Dengan terbentuknya sistem dua-parti, kehadiran pembangkang yang kuat mampu semak imbang tatalaku kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji dalam manifesto terdahulu. Perkembangan setiap negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat dilihat kecuali dalam urusan yang melibatkan kerajaan persekutuan contohnya perhubungan dan pengangkutan, kewarganegaraan dan lain-lain. Senarai Persekutuan ini tidak memungkinkan negeri menjalankan kuasa melebihi bidang kuasa dalam senarai negeri dan senarai bersama. Jadi, ia semacam menghalang perubahan dilakukan selama adanya konflik kepentingan antara kerajaan persekutuan dan negeri. Dan ini pula dijadikan alasan untuk parti BN mengutuk perlaksanaan kerajaan negeri di bawah PR – mungkin kerana itu PR harus ke Putrajaya. Tindakan BN yang tidak mampu memajukan negeri-negerinya sendiri ditutup dengan mengutuk pemerintahan PR di media massa seperti Utusan, Berita Harian dan setiap saluran perdana. Tidak cukup dengan itu, untuk PRU13 ini, beberapa konsert diadakan atas nama Kelab 1Malaysia yang menyajikan hiburan (nyanyian artis tempatan dan antarabangsa), makanan (sushi, beer, burger) dan cabutan bertuah (motosikal, peralatan dapur). Malah di kiri kanan jalan dipenuhi bendera 1Malaysia sehingga membuat kita tertanya-tanya sama ada yang bertanding ialah parti BN atau NGO dengan parti PR. Semua ini dapat diperhatikan di utara Malaysia iaitu Pulau Pinang. Setelah pembubaran parlimen, pelbagai hadiah, dana dan hiburan disogokkan kepada pengundi, wartawan dan NGO lainnya. Ini merupakan satu bentuk “politik wang” yang sangat jelas berlaku dalam tempoh berkempen. Gejala ini juga menunjukkan kemungkinan negara kita sudah sampai satu tahap yang disebut sebagai “kleptokratis” – sebarang pertolongan dan bantuan diasaskan atas wang, ganjaran dan hadiah – Syed Farid Alatas menyebutnya dalam Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi karya Syed Hussein Alatas. Politik wang tidak lagi hanya membabitkan calon menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah, belanja makan di kedai mamak, tetapi juga melibatkan agensi lain yang sarat kepentingan dengan parti tersebut. Kejadian ini dikuatkan lagi apabila ucapan, iklan dan instrumen lain dalam konsert tersebut mengingatkan setiap orang yang datang akan tiga perkara sama yang dilaungkan parti BN – Keselamatan (Security)/ Perpaduan (Unity), Keamanan (Peace), Kemakmuran (Prosperity). Presiden 1Malaysia-Penang Welfare Club iaitu Geh Choh Hun didapati mengulang hal ini dalam ucapannya dalam akhbar dan amal jariahnya di Penang. Walaupun beliau telah menafikan hubungannya adalah untuk menarik undi bagi parti BN dan cukup kesal dengan tanggapan orang ramai atas niat ikhlasnya, tetapi ini tidak mampu menyangkal kenyataan bahawa dia pernah menjadi pegawai liaison kelab MCA Australia seperti dilaporkan media. Dan menariknya, jika ditelusuri pembabitannya dalam bidang perniagaan – beliau juga merupakan ahli lembaga Pengarah Putrajaya Perdana yang menguruskan beberapa projek di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan pastinya Diamond Building. Pendeknya, 1Malaysia Charity Concert dan 1Malaysia Charity Night antara yang sesuai untuk menggambarkan politik penaung-dinaung atau politik wang yang disebut awal-awal tadi – yang melibatkan antaranya Menteri dan ahli perniagaan maupun Perdana Menteri dan rakyatnya. Hubungan ini tentunya atas tujuan mendapatkan keuntungan (projek?) dan kepatuhan (undi?). Sejauh mana hubungan ini mendatangkan kebaikan kepada warga Malaysia, kita sudah pun punya “track-record” pemerintahan BN selama ini.

]]>

Hidup mati Barisan Nasional atau bangsa?

survival). Apa-apa sahaja. Perkara inilah yang ditunjukkan oleh parti Barisan Nasional – sejak Tun Dr. Mahathir lagi – mencantas lawannya sebelum mereka ini dapat menggugat di peti undi dalam Pilihan raya umum yang bakal menjengah tidak lama lagi. Dan mereka ini pastinya bukan penganut Darwinisme kerana bagi mereka sosialis dan komunis itu kafir. Melanjutkan keinginan untuk hidup atau keinginan berkuasa, di bawah pemerintahan DS Najib – yang satu waktu dulu memenangkan kubu Tun Dr Mahathir dengan berpaling dari kubu Tengku Razaleigh – BN menggunakan aparatus kerajaan, mengadu domba rakyatnya dan mengenakan fitnah pada parti yang melawannya. Politik ini ialah cara berpolitik yang diwarisi zaman kesultanan Melayu Melaka – Hang Tuah pernah difitnah bermukah dan Hang Nadim dibunuh kerana cemburu. Dan ia berlanjutan sehingga zaman ‘moden’ ini dengan fitnah yang melibatkan antaranya Burhanuddin Helmy-Ibu Zain, Anwar Ibrahim-Saiful, Tuan Guru Nik Aziz sambil mendiamkan isu pembunuhan Altantuya, perlecehan amah, gosip Ziana Zain dan Zahida Rafik. Ternyata perubahan kerajaan 5 tahun sekali itu tidak meninggalkan Mahathir dan Mahathirisme. Belum pun berbicara soal persaingan di padang rata, parti BN dilihat tidak mampu menghadapi lawannya walaupun di gelanggang sendiri (kita juga sedia maklum mereka gentar apabila diajak berdepat walaupun adanya Piala Debat Perdana Menteri). Kelakuan mereka yang menyuguhkan kepada khalayak video pornografi, manifesto tiruan dan penglibatan ROS dengan tidak mengiktiraf CEC DAP dua hari sebelum penamaan bukanlah politik baru seperti [cuba] dianjurkan Saifuddin Abdullah – jauh sekali politik idea. Dalam acara permainan begini, adakah parti politik ini dapat dipercaya menjuarai isu rakyat sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk menduduki tampuk pimpinan, setelah 55 tahun menakutkan Melayu dengan “pembelaan nasib Melayu”, “ketidakstabilan ekonomi”, “pertelagahan kaum”? Semua ini harus ditulis semula bagi menggambarkan kepentingan UMNO itu bukan kepentingan Melayu dan rakyat seluruhnya, yang dimaksudkan mereka adalah “pembelaan nasib bangsawan”, “ketidakstabilan status quo” dan “pertelagahan poket-poket kroni”. Tanpa perlu menduga-duga, parti yang terdapat dalam BN ini akan terus mementingkan survival diri sendiri dengan mematikan lawannya, walaupun nanti akan mengorbankan pula rakyatnya.Mungkin ramai akan mengaitkan kejadian ini dengan diktum terkenal oleh filsuf Itali “matlamat menghalalkan cara” (the ends justify the means) tetapi ini sama sekali tidak tepat melihatkan konteks pengucapan Machiavelli waktu itu dan kenyataan sekarang. Setidaknya Machiavelli ingin menyatukan bangsanya – jika benar – tetapi karya The Prince itu lebih dianggap sebagai satira politik bukanlah pesannya sesungguhnya. Sedangkan UMNO pula terus-terusan meniup prasangka dan sentimen primordial kepada warga Malaysia yang saling menyayangi. Usman Awang pada 1965 dalam puisinya Suasana juga mengingatkan kita bahawa perbezaan tidak memestikan konflik. Mereka yang berbeza budaya, faham dan kepercayaan mampu berdialog walau hanya melalui kuih pau dan ketupat. Kerukunan hidup bersama tidak bakal hancur dengan bertukarnya kerajaan, malah mereka yang berbeza ini bersatu kerana merasa nasib yang sama. Selain BERSIH yang menghimpunkan rakyat dari latar hidup yang pelbagai, pilihan raya kali ini membuktikan sekali lagi bahawa soal perjuangan, keadilan dan kehormatan tidak dibatasi warna kulit maupun warna bendera parti. Kelihatannya perjuangan parti-parti Pakatan seperti PKR, DAP dan PAS tidak bergantung pada logo yang dipakai. Soal kezaliman dan penindasan ialah soal semua orang bukan satu dua elit. Justeru, rakyat punya tanggungjawab penting yang sama pentingnya ketika kerajaan British memandang rendah bahawa rakyat Tanah Melayu tidak mampu ke arah berkerajaan sendiri – kini berdiri sudah Malaysia. Begitu juga apabila bekas kerajaan BN mengatakan rakyat tidak boleh mengubah kerajaan sedia ada. Kita pernah berubah atas keyakinan bersama dan sekali lagi perlu berubah atas keyakinan yang masih ada. Dengan mendekatnya tanggal 5 Mei, rakyat pasti menginginkan perubahan yang mampu menjamin masa depan anak-anak dan menjaga hari tua mereka. Jadi, di mana kita harus berpijak dan ke mana kita harus berpihak? Namun, sebelum memutuskan sesuatu dan memuktamadkan pilihan, lihatlah pada bayi yang baru lahir, nenek yang meniti hari tuanya dalam ketidakpastian, makcik yang menjalankan kewajipannya sehari-hari, pak cik yang menghabiskan masanya di pondok jaga dan abang adik yang masih di bangku sekolah. Adakah kelompok ini mendapatkan hak mereka yang paling asas iaitu hak untuk hidup dan merasa bahagia – seperti dilaungkan Thomas Jefferson, “We hold these truths to be self evident: that all men are created equal; that they are endowed by their Creator with certain unalienable rights; that among these are life, liberty, and the pursuit of happiness”? Saya tinggalkan persoalan ini untuk pertimbangan saudara saudari yang budiman.

]]>