Projek Dialog

Pedagogi anak kelas hujung

“Kami memang orang miskin. Di mata orang kota kemiskinan itu kesalahan. Lupa mereka, lauk yang mereka makan itu kerja kami,”

– Gadis Pantai, Pramoedya Ananta Toer

BADRI paling awal sekali keluar dari program Projek ‘Bedtime Stories’ malam itu. Tanpa disuruh, tatkala melihat kelibat Kak Jihah, dia terus bangkit dan keluar mencari seliparnya. Diikuti Zarul, mereka adalah di antara 6 orang anak-anak Teach For The Needs (TFTN) yang akan menjalani kelas intensif ‘program membaca’ kendalian sukarelawan TFTN. Di dalam ruang khas ini, mereka sabar menunggu Kak Jiher mengeluarkan pensel, pemadam dan buku Bacalah Sayang milik mereka. Badri (9 tahun) dan Zarul (7 tahun), sudah menunjukkan peningkatan yang memberansangkan. Kelas intensif ‘program membaca’ ini, diadakan sebanyak dua kali seminggu iaitu pada malam Selasa dan Rabu. Diupayakan sepenuhnya oleh sukarelawan TFTN, tiga mahasiswa dari UiTM Shah Alam iaitu Kak Husna, Kak Jiher dari MSU serta Abang Afiq dari IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras. Bersempena dengan Kempen #TFTNMembaca 2013, TFTN melancarkan ujian saringan literasi terhadap semua anak-anak TFTN di seluruh negara. Dapatan awal kami menunjukkan jumlah yang membimbangkan untuk jumlah anak-anak berumur 5 hingga 16 tahun yang masih belum boleh membaca. Untuk setiap rumah anak yatim di bawah kelolaan TFTN, data memperlihatkan anak-anak yang masih belum menguasai kemahiran membaca adalah sekitar 10%. Musim Peperiksaan Masalah utama sistem pendidikan konvensional yang kita semua anuti kini adalah apabila kita mengamalkan sistem penilaian seragam untuk semua murid untuk menilai aspek intelek semata-mata. Beberapa minggu yang lalu, peperiksaan UPSR untuk menilai pelajar tahun 6 yang berumur 12 tahun baru sahaja selesai. Menyambung musim peperiksaan ini adalah peperiksaan PMR pula untuk menguji pelajar tingkatan 3 yang berumur 15 tahun. Menyusul sehingga ke hujung tahun adalah peperiksaan SPM untuk menguji pelajar Tingkatan 5 yang berumur 17 tahun. Malangnya, untuk anak-anak seperti Badri ataupun Zarul, apakah harapan mereka untuk peperiksaan seperti ini? Apakah anak-anak kelas corot ini, yang mendiami rumah-rumah anak yatim sepanjang tahun serta tidak punya keluarga untuk menyemak kerja rumah mereka, dapat bersaing dengan anak-anak dari kelas lain yang sepanjang malam menghadiri kelas tambahan, menghabiskan berbakul-bakul set soalan tahun lepas serta mengulangkaji melalui siri televisyen Astro Tutor TV? Anak-anak ini bukan sahaja ketinggalan dari aspek fizikal iaitu sumber kewangan yang terhad, ketiadaan buku latihan, malah lebih menyukarkan mereka ketinggalan dari aspek psikologi dan kasih sayang. Untuk sebahagian besar anak-anak ini, asrama adalah dunia mereka 24 jam 7 hari seminggu. Di mana Falsafah Pendidikan Negara? Ketika inilah lahirnya soalan; di manakah Falsafah Pendidikan Negara (FPN) ketika anak-anak seperti Badri dan Zarul di seluruh negara memerlukannya? Oleh yang demikian ada baiknya kita baca semula Falsafah Pendidikan Negara yang berbunyi; “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. ”  Untuk memudahkan kita memahami falsafah ini, secara ringkasnya FPN menggariskan item Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial serta meletakkan kayu ukur seimbang  kesemua item tersebut di hujung pendidikan. Bacaan semula falsafah ini amat penting untuk memahami corak pendidikan yang sedang kita jalani kini, hala tuju serta ideologi yang menggerakkan keseluruhan sistem yang menyokong di belakang gerak kerja Kementerian Pelajaran. Berbeza, falsafah pendidikan negara Jepun menekankan item ‘kejujuran’, falsafah pendidikan Korea Selatan yang pro-Cofucianism menekankan ‘kerja keras’, manakala falsafah pendidikan Finland menekankan ‘pedagogi yang berkesan’ atau ‘pedagogical autonomy’. Cinta, Cinta dan Cinta Kisah Badri dan Zarul bukan hanya cebisan dua kisah sahaja. Di seluruh negara, terdapat ribuan rumah-rumah anak yatim yang menempatkan puluhan ribu samada anak yatim atau anak dari keluarga miskin yang nasib mereka di sekolah hanyalah di kelas-kelas corot. Begitu juga golongan marginal yang lain seperti anak-anak pedalaman di Sabah dan Sarawak serta anak-anak orang asli di penempatan orang asli. Anak-anak ini hadir ke sekolah dengan niat yang suci untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan, tetapi kemudiannya menjadi mangsa kepada sistem. Lebih mencengangkan, jumlah anak-anak ini begitu ramai sekali kerana sistem sedia ada hanya memberi perhatian dan pengiktirafan kepada anak-anak yang cemerlang, bukannya menghargai setiap individu dengan keupayaan mereka. Ini mengakibatkan dua teres strata wujud dalam keadaan tidak kita sedari. Di satu hujung, wujudnya kelompok dari golongan cemerlang yang dirai dan disukai oleh masyarakat, manakala di satu hujung lagi wujud kelompok dari kelas corot yang dibenci oleh masyarakat. Ketika kita berbangga dengan keputusan anak-anak cemerlang dan memuji-muji mereka dengan pujian seperti rajin dan bijak, kita sergah anak-anak kelas corot dengan makian seperti pemalas dan bodoh. Hakikatnya, kedua golongan ini bersaing di dalam sebuah sistem yang sama sekali tidak adil dan rata buat mereka. Jelas sekali, yang kita perlukan kini adalah Cinta, Cinta dan Cinta. Jika kita ajarkan anak-anak kita erti Cinta, dan bagaimana kemanusiaan ini dengan Cinta, sudah pasti anak-anak kita kini tidak akan tegar meninggalkan rakan-rakan mereka yang tidak benasib baik terkontang-kanting di kelas corot. Untuk anak seperti Badri dan Zarul, sekolah kini bukan lagi tempat untuk mengajarkan mereka tentang dunia, tetapi sebuah penjara yang perlu dihadiri setiap hari kerana hukumnya begitu. Jika benar sekolah adalah tempat untuk mengajarkan mereka apa yang benar dan apa yang salah, mengapa anak-anak ini masih kekal di kelas hujung dan corot? Pedagogi Anak Kelas Hujung Dalam sejarah pendidikan, satu-satunya pedagogi yang akan diingati kerana memihak kepada kaum tertindas adalah tulisan Paulo Freire, Pedagogy of the Oppressed. Freire menegaskan, pelan-pelan pendidikan di akhirnya akan menyumbang kepada penyisihan terhadap golongan marginal dan tertindas ini. Berbeza sekali dengan konsep pendidikan itu sendiri iaitu pembebasan, sistem dan konsep pendidikan zaman ini tidak membantu masyarakat keluar dari stereotaip golongan ‘penindas dan tertindas’. Melalui tulisannya juga Freire menegaskan pendidikan itu sendiri adalah sebuah tindakan ‘Cinta’, bahawa pendidik haruslah bertindak atas nama ‘Cinta’ serta fokus untuk menyiapkan dunia yang penuh ‘Cinta’. Lebih ekstrim, Ivan Illich di dalam Deschooling Society menegaskan; “Most learning is not the result of instruction. It is rather the result of unhampered participation in a meaningful setting. Most people learn best by being “with it,” yet school makes them identify their personal, cognitive growth with elaborate planning and manipulation.” Illich kemudian membayangkan bahawa manusia belajar lebih banyak daripada pengalaman seharian daripada ketika duduk di sekolah; “A…major illusion on which the school system rests is that most learning is the result of teaching. Teaching, it is true, may contribute to certain kinds of learning under certain circumstances. But most people acquire most of their knowledge outside school, and in school only insofar as school, in a few rich countries, has become their place of confinement during an increasing part of their lives. Most learning happens casually, and even most intentional learning is not the result of programmed instruction. Normal children learn their first language casually, although faster if their parents pay attention to them. Most people who learn a second language well do so as a result of odd circumstances and not of sequential teaching. They go to live with their grandparents, they travel, or they fall in love with a foreigner. Fluency in reading is also more often than not a result of such extracurricular activities. Most people who read widely, and with pleasure, merely believe that they learned to do so in school; when challenged, they easily discard this illusion.” Masa depan bergerak, teknologi semakin pantas dan dunia menjadi semakin kecil, tetapi sesi pengajaran dan pembelajaran anak-anak kelas hujung ini masih seperti 30 tahun yang lalu. Sistem nampaknya tidak berubah walaupun iPhone kini menggunakan iOS7. Pelan-pelan pendidikan mahupun pedagogi sedia ada nampaknya tidak mampu membantu anak-anak kelas hujung seperti Badri dan Zarul. Guru perlu mengajar kerana Cinta anak bangsa dan keinginan untuk melihat mereka berubah dan keluar dari lingkaran kemiskinan, bukan kerana perlu menghabiskan silibus. Anak-anak perlu diajar untuk Cinta  ilmu agar kelak mereka mampu mengubah diri dan keluarga mereka. Negara perlu membaca semula falsafah pendidikan nasional agar nasib anak-anak seperti Badri dan Zarul tidak tersisih seperti mana mereka di dalam sistem sedia ada. Berhadapan dengan kerumitan sistem yang tidak stabil, politiko-sosio yang kecamuk dan krisis identiti nasional yang mendalam seperti hari ini, hanya ada satu pilihan di tangan kita iaitu dengan meletakkan Cinta di hadapan sebagai falsafah dan pedagogi – terutamanya untuk anak-anak kelas hujung. Lebih besar tanggungjawab kita pada hari ini adalah untuk memahamkan anak-anak kelas hujung; mengapa sekolah perlu untuk mereka – serta bagaimana sekolah berfungsi sebagai alat pendidikan untuk membantu mereka menjadi manusia pada masa depan.

“The pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, grade advancement with education, a diploma with competence, and fluency with the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value.”

– Ivan Illich

]]>

Menentang Cinta Taj Mahal

To go away, As they are hyena-men and panther-men, I would be jew-man A Kaffir-man A Hindu-man-from-Calcutta A Harlem-man-who-doesn’t-vote the famine-man, the insult-man, the torture-man you can grab anytime, beat-up, kill-no joke, kill-without having to account to anyone, without having to make excuses to anyone a jew-man a pogrom-man a puppy a beggar* Dari Borobudur di Jogjakarta sehinggalah Brandenburg Gate di Berlin, tak pernah aku rasa begini ketika menjejak tanah Akbarabad. Tak, tak ada orang kenal Akbarabad. Tapi orang kenal Agra. Di tanah ini, masa menjadi kaku tatkala melihat kemanusiaan di celah-celah kasarnya semangat untuk hidup. Berdiri di hadapan Taj Mahal, terpaku dan termangu, apa ertinya Cinta? Apakah wujud Cinta sebenarnya? Bagaimanakah rasanya Cinta? Jika Cinta itu benar dan wujud serta boleh dirasai, mengapakah manusia masih melarat dan terjerumus memukul, membunuh, memancung dan menyembelih sesama sendiri? Tolstoy sendiri, dalam The Devil tidak dapat memutuskan ‘apakah sebenarnya cinta’ dengan menyerahkan kepada pembaca untuk memilih samada membenarkan Eugene yang tersiksa dengan cinta untuk membunuh dirinya sendiri atau membunuh Stepanida, kekasih gelap, sang perempuan miskin, lambang cinta dengan hawa nafsunya. Dalam catatan hariannya dikhabarkan, Leo Tolstoy pernah menulis; ‘aku tidak tahu apa yang orang maksudkan dengan cinta,’. Menginjak tanah bekas dinasti Mughal, dikelilingi lembu yang berkeliaran tanpa pemilik, diselangi bunyi hon bajaj, di tengah simpang yang direbut semua penunggang basikal, kereta, van, penunggang motor mahupun lori 8 tan – mengingatkan aku kepada soalan; Apa yang manusia cari sebenarnya? Usai Perang Dingin, peningkatan ekstremis agama mencacatkan sejarah kemanusiaan dengan konflik peradaban berselirat di antara kemodenan dan tradisionalis. Apakah ini ‘The Gilded Age’, atau seperti diceritakan oleh Mark Twain atau Charles Dudley Warner melalui ‘A Tale of Today’ pada 1873, atau seperti disebut-sebut oleh sang profesor Thomas Piketty di Paris School of Economics, ‘a second Bella Opaque’ sebagai zaman kemunculan golongan 1 peratus? Kemanusiaan? Apakah yang memandu manusia zaman ini? Sepanjang sejarah, manusia berganti-ganti membunuh dan berperang atas nama Tuhan. Di India sendirian, apakah sejak zaman Maurya, Gupta, Chalukya, Pala membawa ke dinasti Mughal, manusia minta dilahirkan untuk berperang? Apakah Tuhan lahirkan seseorang itu untuk memakan manusia lain? Sepanjang empat jam perjalanan pulang dari Agra menuju Delhi, persoalan-persoalan ini memahat kepala dan otak dengan begitu padat dan laju, serentak dengan ritma lelaki-lelaki perindu daerah Uttar Pradesh ini pulang dari kerja. Di Paharganj, anak kecil bermain dengan berlari mengejar satu sama lain di celah-celah lorong bangunan . Tanpa menghiraukan air kuning yang mengalir dari pundi kencing manusia yang berhenti dan melepaskannya di sudut-sudut bangunan, mereka tertawa riang tatkala membenarkan matahari memancar tepat ke dalam mata mereka. Ada di antara anak kecil ini yang bekerja di hotel sekitar, menyapu dan menyediakan bilik-bilik yang akan dihuni lelaki dan perempuan Eropah. Ada di antara mereka yang tidak ke sekolah kerana perlu menjadi penghantar barang. Ada di antara mereka yang tidak pernah tahu wujudnya sekolah. Tetapi mereka masih boleh tersenyum, tanpa menyedari mereka adalah sebahagian dari 6 juta anak kecil India yang tidak cukup nutrisi. Mereka masih boleh ketawa tanpa perlu runsing memikirkan kelak mereka perlu mengayuh beca sejauh 2km hanya untuk 20 rupees. Delhi Di Old Delhi, keturunan pembuat makanan diraja dinasti Mughal masih menjual makanan mewah istana di restoran mereka. Kari kambing ‘Paaya Nahari’ berharga 180 rupees boleh di dapati tidak sampai 300 meter dari Masjid Jama’, ketika wanita bertudung meminta sedekah di kaki lima restoran sambil mendukung anak kecil. Kadangkala diiringi empat atau lima anak kecil lain yang tidak berbaju. Albert Camus di dalam makalahnya ‘Cinta dan Pemberontakan’ seperti yang disusun oleh A. M. Krich menulis; ‘pemberontakan tidak mungkin hadir tanpa cinta – dalam bentuknya yang asing itu…pemberontakan adalah cinta, kemajuan atau bukan apa-apa sama sekali,’. Beliau menyambung; ‘Revolusi tanpa kehormatan, revolusi yang diperkirakan dengan memilih antara konsep abstrak manusia atau tubuh nyata manusia – adalah sebuah gerakan yang menolak eksistensi manusia selama mungkin, dan menaruh dendam sebagai pengganti peranan cinta.’ Fariduddin ‘Attar, penyair yang menginspirasikan Rumi, pernah menulis mengenai sang kupu-kupu dengan lilin, seperti di kumpulkan oleh Muhammad Zaairul Haq. Menurut kisah tersebut, pada satu malam sang kupu-kupu berkumpul membincangkan mengenai penderaan rasa kasih dan rindu mereka terhadap sang cahaya iaitu lilin. Kisah bersambung apabila sang kupu-kupu pertama pergi melihat cahaya lilin di sebuah istana dan kembali menceritakan apa yang dilihatnya, tetapi kemudian ditolak pendapatnya oleh sang kupu-kupu paling bijak yang menjadi ketua. Pergilah sang kupu-kupu kedua, kali ini semakin dekat namun kalah kepada panasnya lilin dan kembali menceritakan pengalamannya. Juga pada kali ini, pendapatnya ditolak; “Penjelasanmu benar-benar tidak lebih berharga dari kawanmu tadi.” Fariduddin ‘Attar menyambung; “Kupu-kupu ketiga bangkit, ketagih oleh rasa cinta, maka dia melemparkan tubuhnya dengan keras ke dalam api lilin. Dia menggiring ke depan dan merentangkan sesungutnya ke dalam api. Setelah sepenuhnya memasuki pelukan api, anggota tubuhnya berkilauan merah seperti nyala api itu.” “Ketika sang kupu-kupu bijak melihat dari kejauhan bahawa lilin itu telah menyatukan dirinya dengan sang kupu-kupu ketiga dan mulai memberinya cahaya miliknya dia berkata; kupu-kupu ini telah memenuhi hasratnya, tetapi dia sendiri yang memahami apa yang telah dicapainya, tak seorang pun yang lain mengetahuinya dan itulah erti sesungguhnya,”. Kisah ini diakhiri dengan penyataan, “Sepanjang kau belum mengabaikan jiwa dan ragamu, bagaimana kau akan mengenal objek yang kau cinta?” Dan perjalanan menziarahi tanah bekas jajahan Dinasti Mughal ini menjadi semakin sukar. Paling sukar berdepan sebuah gagasan, arkitektur dan dambaan dunia mengenai cinta seperti Taj Mahal ini ialah realiti bahawa kuburan mega ini dibina dengan menindas kemanusiaan dengan mempergunakan nama – ‘Cinta’. Cinta Taj Mahal bukan lambang Cinta. Cinta bukan satu bentuk kemegahan. Cinta tidak dibina dengan menindas orang lain. Cinta bukan datang dari titik peluh kaum buruh dan karyawan. Cinta bukan materi untuk dipertontonkan. Cinta bukan seni arkitektur yang dibina dengan mengerat jari pengukirnya. Paling sukar untuk difahami, Cinta bukan dibina untuk memuja satu atau dua sosok raja yang akhirnya akan dimamah ulat tanah. Dalam mazhab Cinta yang aku anuti, Cinta ialah apabila kita berani untuk memberi. Cinta ialah apabila kita berani untuk berhenti meminta. Cinta ialah; pabila seluruh deru nafas dan degup jantung untuk memberi, kepada si Dia, dan sudah tentu melalui sang kekasih, anak bangsa dan seluruh manusia. Itulah Cinta paling dalam seperti difahami Cesaire, Camus mahupun Fariduddin ‘Attar, di dalamnya tiada perkataan ‘aku’, tetapi seluruhnya hanyalah untuk yang tercinta. Dan Tuhan tahu perasaan anak yang bekerja menyapu sampah hotel bajet di lorong kecil Paharganj, atau rintihan ibu mengandung yang meminta sedekah di kaki Masjid Jama’, serta mendengar teriakan pengukir Taj Mahal saat jarinya dikerat Shah Jahan – yang tidak mahu ada Taj Mahal kedua dibina. Penulis mengunjungi Taj Mahal pada 28 Mac 2014 yang lalu dalam lawatan pendek beliau ke Kathmandu dan Delhi.   * Dipetik dari Notebook, Aime Cesaire, siri terjemahan versi 1956 seperti diambil oleh Mara de Gennaro, ‘Fighting Humanism on Its Own Terms, tersiar di ‘differences: A Journal of Feminist Cultural Studies.’     unnamed  

]]>

“Mr. Obama, may I take a selfie with you?”

“With Afghan forces now in the lead for their own security our troops have moved to a support role,” he said. “Together with our allies, we will complete our mission there by the end of this year, and America’s longest war will finally be over.”

– Barack Hussein Obama, 2014 State of the Union speech.

Saya membesar dengan sentimen Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Buy British Last. Saya membesar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, hero rakyat Malaysia, diiktiraf negara Muslim sebagai pemimpin Islam yang lantang mengkritik Israel . Saya membesar dengan khutbah Jumaat anti imperialisme. Dalam diri saya telah ditanam bahawa negara Amerika Syarikat inilah syaitan paling besar di dunia. Syaitan inilah yang telah menceroboh Vietnam, dalang di sebalik perang Iran-Iraq, kemudian kembali menceroboh Afghanistan pada 2001 dan kemudiannya Iraq pada 2003. Saya membesar dengan ceramah dari para Ustaz pada tiap malam puasa, bahawa Amerika Syarikat ialah Dajjal mata satu yang kini bersembunyi di sebalik bendera bintang segi enam Israel. Merekalah penyokong setia Ariel Sharon dan Benjamin Netanyahu, yang menghulurkan bom, grenad, serta roket yang menyiat dan meletupkan badan anak-anak Palestin di Gaza. Saya membesar dengan membaca pelbagai bahan tulisan anti-Freemason, anti-Rotary Club serta ribuan ‘flyers’ Hizbut Tahrir yang akan menghasut dan menancapkan di dalam minda ini bahawa musuh nombor satu kita ialah George Bush. Tiada musuh yang lebih besar dari mereka lagi di dunia ini. Saya membesar dengan demonstrasi-demonstrasi anti-Amerika di kedutaan dan mesjid-mesjid. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini sahaja lebih dari 5 demostrasi selepas solat Jumaat diadakan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat membantah itu ini. Sehingga hari ini, saya masih diberitahu bahawa musuh paling utama di dalam hidup ini ialah Amerika Syarikat. Mereka ini pelopor ekonomi neo-liberal. Bapa kapitalis dunia. Mereka mencipta ‘drone’ tanpa manusia yang menyerang orang awam di Pakistan. Mereka menindas negara kecil untuk menandatangani perjanjian yang akan memihak kepada mereka. Jadi apabila ribut satu negara akibat kedatangan Air Force One yang membawa Potus dan The Beast di dalamnya, saya adalah orang yang paling terkujat dan hairan sekali! Ketua Pembangkang, yang selama ini dilabel, dimomok dan dikaitkan sebagai agen Amerika di negara ini tiba-tiba menangis terisak-isak tidak dimasukkan di dalam jadual lawatan sang Potus. Apakah semua ini? Dan secara tiba-tiba, daripada khutbah, ceramah agama, keratan-keratan kertas dan demonstrasi yang menaikkan sepanduk Anti-US serta seluruh ritual membakar bendera Amerika Syarikat berubah kelmarin pada jam 4.50 petang dengan layanan karpet merah dihamparkan. Tak cukup dengan itu, anak muda mula terkinja-kinja mencipta hashtag #welcometomalaysia dan #POTUSinKLdi Twitter. Sungguh Malaysia Truly Asia bunyinya. Semua orang gembira dan teruja membayangkan manusia paling berkuasa di dunia kini berada di Kuala Lumpur! Bukan itu sahaja, anak muda, pemimpin muda dan gabungan bukan kerajaan khabarnya diberikan peluang untuk bertemu sang Potus! Amboi, galaklah anak muda ini memuat naik tiket bertemu sang Potus mereka di Instagram. Lupalah sudah mereka dengan isi khutbah yang baharu mereka dengan 2 hari lalu. Lupalah sudah mereka dengan semua siri ceramah serta demonstrasi di hadapan kedutaan yang pernah mereka sertai. Lebih pelik, untuk menampakkan negara sebagai moderat dan moden, sang Potus dibawa melawat Mesjid Negara! Lupalah semua pejuang agama yang selama ini meroyan apabila ada bukan Muslim yang masuk ke dalam mesjid. Lupalah semua pejuang bangsa yang selama ini histeria dengan isu Bible dalam laci hotel. Habis semua jadi lupa. Negara bagaikan sedang berpesta. Hinggakan kumpulan pejuang hak asasi tersenyum lebar mendapat peluang bertemu sang Potus. Semua ini, berlaku di tengah-tengah usul untuk memperkenalkan Hukum Hudud di negeri Kelantan, perbicaraan kes Liwat 2 Anwar Ibrahim, penarikan semua kitab Bible dari almari hotel dan perdebatan mengenai penggunaan kata Rest In Peace akibat kematian Karpal Singh. Apakah yang sebenarnya berlaku? Saya betul-betul hairan. Sejak dari kecil ditanam, di fahamkan serta dimomokkan bahawa Amerika Syarikat ini ialah negara penjajah yang jahat, tiba-tiba sejak dari semalam pembaca berita di televisyen asyik memperkatakan mengenai selfie sang Potus dengan Perdana Menteri kita dengan kapsyen; ‘Malaysia mempunyai hubungan yang semakin erat dengan Amerika Syarikat!’ Peter Burgen pada April 2012 di dalam The New York Times menyifatkan; “Compare Mr. Obama’s use of drone strikes with that of his predecessor. During the Bush administration, there was an American drone attack in Pakistan every 43 days; during the first two years of the Obama administration, there was a drone strike there every four days,” Saya tidak tahu apa tujuan sebenar sang Potus datang ke negara kita. Tetapi yang lebih pelik ialah untuk melihat bagaimana masyarakat, rakyat serta anak muda memberi reaksi terhadap kedatangan sang Potus ini. Segala khutbah, ceramah agama, keratan kertas anti-US serta demonstrasi bakar bendera yang kita lalui di hadapan kedutaan selama ini hanyalah sebuah halusinasi. Tidak wujud sebenarnya perkara seperti anti-US, anti-Amerika Syarikat atau anti-Obama. Semua, setiap dari kita, samada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, pejuang agama atau bangsa malahkan pejuang hak asasi sekalipun, semuanya sukakan United States of America.* Semua berebut-berebut untuk mengadu domba antara satu sama lain, semua berebut-rebut untuk bergayut di dagu dan poket sang Potus untuk hidup. Kita semua menjadi buta dan tuli, terperangkap di dalam imperialisme kebudayaan seperti mana pernah ditulis Ngungi wa Thiong’o; “Cultural imperialism in the era of neo-colonialism can be a more dangerous cancer because it can take new, subtle forms. It can hide under cloaks of militant nationalism, calls for dead authenticity, performance of cultural symbolism, and even under native racist self-assertive banners that are often substitutes for national self-criticism and collective pride in the culture and history of resistance.” Ketika sang Potus sedang giat mengajak negara berdekatan untuk beri tekanan terhadap Rusia berkenaan kes Crimea, tentera Amerika Syarikat masih belum keluar dari Afghanistan sepenuhnya. Penjara Guantanamo Bay masih belum ditutup. ‘Drones’ di Pakistan masih terbang mengelilingi masyarakat awam mencari mangsa. Israel bahkan, masih menghantar misil dan roket untuk menghancurkan anak-anak Gaza menggunakan peluru dari Amerika. Dan anak muda kita? Masih giat selfie dengan sang Potus (walaupun Obama jaraknya 500 meter), giat mempromosi hubungan erat Kuala Lumpur-Washington di Instagram. Kita tahu anak muda kita bermasalah pabila ditanya wartawan, apakah soalan yang bakal ditanya kepada Obama, anak muda ini menjawab; “Mr Obama, can I do a selfie with you?” Malaysia, Truly Asia.

“The use of drones is not only a continual violation of our territorial integrity but also detrimental to our resolve and efforts at eliminating terrorism from our country.”

– Nawaz Sharif, Voice of America, 23 October 2013.

* Nota editor: Harap maklum bahawa PSM dan Bantah TPPA telah melakukan demonstrasi untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian TPPA yang ingin dicapai Amerika Syarikat.

unnamed

]]>

Adakah Tuhan menentang anak yatim?

ini saya akan menulis tentang pertentangan di antara Tuhan dan anak yatim. Dan saya akan menulis berdasarkan pemerhatian saya. Tetapi kali ini jangan harap saya akan masukkan petikan dari al-Quran atau Hadis. Saya tidak akan memakai serban pada kali ini untuk menjual agama. Malah jangan harapkan saya memetik kata-kata pujangga besar. Anak-anak ini lebih besar dari pujangga sebesar mana pun mereka. Hari ini Malaysia, sebuah negara Asean paling maju, punya menara berkembar setinggi 4 kali Everest, jaringan LRT 18 kali lebih dahsyat dari Tube di London, malah penganjur pertandingan kereta berenjin jet kapal terbang F1 yang disegani seluruh dunia. Semua rakyat berbangga menjadi anak Malaysia. Khabarnya 6 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Kereta terbang di Kuala Lumpur, polis robot aka Robocop di Machang dan Putrajaya akan menjadi pusat pentadbiran paling canggih dengan teknologi aeronautik dan nuklear menjadi nadi kehidupannya. “Tolong Kami Bantu Kami” Tetapi dua hari yang lalu, saya terjumpa sebuah video di laman Youtube menayangkan sebuah program untuk orang kaya, bangsawan dan kerabat diraja di sebuah mahligai bertatah emas yang menggunakan anak yatim untuk membuat persembahan. Dan persembahan yang ditayangkan di dalam video tersebut adalah persembahan anak yatim, menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami. Saya tak perlukan penjelasan lanjut. Saya tak nak tahu siapa arahkan anak-anak ini menyanyi lagu seperti itu. Saya tak peduli siapa yang bawa mereka ke majlis yang menghidangkan air dari syurga itu. Semua orang boleh beri alasan. Siapa sahaja boleh cipta pelbagai situasi untuk menyesuaikan diri mereka. Semua itu boleh pergi mati. Tetapi tatkala kita berbual hal Wawasan 2020, mengamalkan sistem perbankan Islamik, demokrasi berparlimen, mempunyai seorang angkasawan Muslim dan berjuta slogan muluk-muluk, lihat bagaimana akhlak kita dengan anak yatim? Masyarakat ‘2nd Class’ Tuan-tuan dipersilakan pergi ke rumah anak yatim di sekitar kariah tuan-tuan setiap hujung minggu. Lihat apa aktiviti mereka. Kalau mereka tak bermain pasir, mereka akan diangkut oleh orang kaya, kaum bangsawan dan kerabat diraja ke kenduri-kendara untuk menghabiskan sisa makanan. Tuan-tuan lihat baju yang mereka pakai, dan perhatikan baju yang disumbangkan oleh masyarakat. Tuan-tuan belek buku yang mereka baca. Baju yang mereka pakai bukan baju baharu. Baju yang mereka pakai itu baju ‘2nd hand’ yang dilonggokkan oleh keluarga Pak Ali yang mahu mengosongkan almari rumah. Buku yang mereka baca bukan buku baharu. Buku itu ialah buku ‘2nd hand’ yang di hantar oleh keluarga Makcik Zainab yang merasa rumahnya kini sempit dengan longgokan buku teks anak-anaknya. Kita panggil anak-anak ini datang makan di kenduri kita kerana kita mahukan pahala, kerna kita mahu masuk ke syurga dengan jalan pintas. Jika bukan kerana syurga, mustahil kita akan panggil anak-anak ini menghabiskan makanan kita. Kita sumbangkan baju terpakai kerana rumah kita semak dan penuh dengan baju-baju lama. Dengan menghantarnya ke rumah-rumah anak yatim, kita harap Tuhan akan memberikan kita skuter hibrid untuk ke syurga dengan lebih pantas. Kita longgokkan buku terpakai ke pusat jagaan anak yatim kerana mahu mengubahsuai rumah. Ketika itu baru kita terlihat longgokan buku. Dengan menghantarnya ke tempat yang tidak ada siapa akan menolak, kita berdoa agar Tuhan membelikan kita sebuah kereta berenjin jet kapal terbang untuk memotong orang lain dan lebih cepat masuk syurga. Tiket sehala ke syurga Itu baru cerita bab kenduri, bab baju dan bab buku. Pada bulan Ramadhan lebih dahsyat suasananya. Saban hari anak-anak akan dibawa berbuka puasa bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini. Mereka akan dihidangkan dengan susu dari syurga, kurma dari zaman Nabi serta daging burung Merak dari kayangan. Semua orang berlumba-lumba mendapatkan mereka. Semua syarikat, yayasan mahupun agensi kerajaan akan memastikan mereka dapat berbuka puasa bersama anak-anak. Ketika berbuka itulah mereka berbual sesama mereka seolah-olah mereka telah mendapat satu tiket ke syurga setiap seorang. Ahli politik tidak kurang jijiknya, mereka akan terjun bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini untuk membeli baju raya kepada anak-anak. Di akhirnya anak-anak ini akan mendapat 5 pasang baju melayu dan baju kurung setiap seorang. Seolah-olah inilah baju yang mereka perlu pakai selama setahun. Ketika ini, rumah dan pusat jagaan akan dipenuhi dengan ratusan tan beras sumbangan orang ramai. Masyarakat berebut-rebut membeli tiket sehala ke syurga dengan sumbangan beras-beras ini. Jika benar kita mahu menjamu anak-anak, mengapa tunggu Sabtu atau Ahad? Jika benar kita mahu  menyumbangkan baju atau buku, mengapa berikan yang terpakai? Jika benar kita mahu membeli baju baharu kepada mereka, mengapa tunggu bulan Ramadhan? Jawapannya mudah. Semua yang kita lakukan, bukan untuk anak-anak. Tetapi semuanya untuk kita. Untuk pahala kita. Untuk skuter hibrid kita. Untuk kereta berenjit jet kapal terbang kita. Untuk tiket sehala kita. Skuter hibrid, kereta berenjin jet kapal terbang dan tiket sehala ini akan membawa kita ke syurga tanpa perlu beratur di akhirat nanti. 10 kali Haji Tetapi ini hanyalah secebis dari seluruh skandal penyelewengan anak-anak yatim yang sedang hebat dan giat dijalankan di seluruh negara. Ada yayasan yang menggunakan anak-anak untuk mengutip derma. Ada pertubuhan yang menggunakan anak-anak untuk menyara pekerjanya. Ada pemimpin yang menggunakan anak yatim untuk memanjat tangga politik. Ada agamawan yang menggunakan anak yatim untuk menjual serban dan jubah agamanya. Anak-anak ini digunakan, dipergunakan, diperah dan dijual tanpa ada pembela. Siang dan malam mereka adalah ihsan orang lain. Mereka tidak pernah dianggap sebagai anak merdeka. Mereka dicemuh di sekolah. Di luar, mereka bukan sahaja dipandang sebagai warga ‘2nd class’, tetapi digunakan oleh pelbagai orang dan persatuan untuk kepentingan orang lain. Inilah yang berlaku apabila masyarakat tidak pernah berpihak kepada yang tertindas. Negara mampu menghantar ribuan jemaah haji saban tahun, tetapi masih ada anak yatim yang menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami di majlis hari jadi kaum bangsawan.  Masyarakat tidak pernah ikhlas untuk membantu golongan tertindas ini. Masyarakat yang kita punyai ialah masyarakat individualistik. Mereka boleh pergi haji 10 kali, tetapi masih menghantar baju terpakai ke rumah anak yatim. Mereka boleh pergi 1000 kali umrah, tetapi masih tidak punya masa untuk membuka beg anak-anak, berbual dan memberikan kasih sayang kepada golongan ini. Yang penting ialah pahala, bukan pendidikan anak-anak. Yang penting ialah syurga, bukan masa depan anak-anak. Tuhan bersama siapa? Jadi seluruh kesengsaraan dan penindasan terhadap anak yatim ini menimbulkan persoalan, adakah Tuhan menentang anak yatim? Bagaimana kaum agamawan boleh bersama-sama Tuhan menentang anak yatim? Tuhan tahu perasaan anak-anak ini tatkala mereka merintih kepenatan dihurung ke hulu ke hilir memenuhkan jemputan orang kaya. Tuhan tahu rintih hati mereka tatkala air menitik keluar dari kelopak mata merindukan ibu bapa yang tiada. Tuhan tahu hati-hati yang diperlakukan seperti hamba ketika mereka tidak punya sang pelindung. Yang perlukan bantuan bukan mereka tetapi kita. Yang perlu kita doa kepada Tuhan ialah untuk mengurniakan semula otak ke dalam kepala dan naluri kemanusiaan di dalam hati kita. Agar mentaliti masyarakat berubah dan melihat anak-anak ini sebagai anak merdeka. Anak-anak ini tidak perlukan baju atau buku baharu. Yang mereka perlukan ialah kasih sayang. Mereka perlu diterima di dalam struktur sosial sebagai ahli masyarakat, bukannya warga kelas kedua. Anak-anak ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif. Jika mahukan tiket sehala ke syurga sekalipun, tak perlu tunggu bulan Ramadhan untuk belikan mereka baju atau buku baharu. Kitalah yang perlu turun dan hadir ke rumah mereka untuk memasak makanan, bukan mereka yang perlu beratur dan menunduk di hadapan kita ketika mengambil nasi kenduri. Yang pasti, Tuhan sentiasa bersama anak-anak. Dia mengucup ubun anak-anak sehingga mereka menangis setiap hari. Tuhan tidak pernah bersama orang kaya, sang bangsawan atau kerabat diraja, golongan penindas yang memaksa anak mengemis dan meminta-minta di hadapan mereka tatkala mereka mencicip sirap emas di keraian syurga dunia. Tuhan tidak pernah bersama lelaki berserban agama jadi-jadian yang menjual anak-anak untuk memenuhkan poket jubahnya sendiri. Untuk yang sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah negara moden, model negara Islam progresif dengan utopia Wawasan 2020, majlis Ya Hanana 1000 malam, sistem perbankan Islamik yang cemerlang serta tidak percaya wujudnya golongan tertindas di negara ini, saya ucapkan selamat maju jaya. Anak-anak yatim akan terus diperlakukan sebegini rupa, dijual, dipandang dan diperlekeh sebagai warga ‘2nd class’, diminta mengemis untuk sesuatu yang mereka tak pernah minta; kerana kita punya warga masyarakat seperti anda. Orang yang tidak punya sikap, serta tidak pernah berani untuk berpihak kepada orang yang tertindas. Yang perlu kita risaukan ialah diri kita sendiri. Adakah Tuhan bersama kita?         unnamed

]]>

Cinta gadis gula-gula getah

 

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka” dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”, – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Al Kahfi, 22.[12]

I Tak ingat nama pemandu bas mini tersebut. Yang semua orang tahu beliau lewat sekitar 30 ke 50 minit. Cuaca agak sejuk, di hadapan, berdiri dua anak lelaki berumur mungkin 9 atau 10 tahun. Sekejap mereka berlari, menyepak pasir dan berkejaran. Sekejap mereka kembali dan asyik menuding jari ke baju Naim yang tertulis perkataan dalam tulisan Jawi; Syria. Betul ke ni anak Syria?[1] Ishak jawab acuh tak acuh; ya kerana mereka tidak ke sekolah pada waktu sebegini. Jam di tangan menunjukkan angka 2.30 minit. Dua anak Syria [2] ini masih di hadapan kami. Duduk di atas tembok, seolah-olah sedang menunggu barsama-sama kami. Sesekali, mereka mengirim senyum yang hujungnya tawa besar antara mereka tatkala mengerling kami. Tipikal gaya Arab, bumi Irbid juga seolah-olah baru selesai perang. Di hadapan, sebuah lubang besar terbentuk. Katanya sebuah apartmen akan dibina. Di hujung satu sudut, kelihatan sampah berlonggok. Di hujung sudut yang lain juga, terlonggok sampah-sampah lama. Bukan di hujung sudut itu sahaja, di sepanjang tepi jalan juga. Ah, di mana-mana sebenarnya. Bas mini sampai. Kami naik dengan barang bantuan. II Pun, tak ingat pukul berapa kami sampai ke Mafraq dari Irbid. Tempat pertama kami sampai, kawasan tersebut lengang. Dari lenggok perbualan pemandu bas kami, difahamkan sejumlah pelarian Syria [3] pernah membuka khemah mereka di sini tetapi akhirnya diminta berpindah oleh pihak berkuasa. Bas kemudiannya berpusing beberapa lama mencari ke mana berpindahnya pelarian tersebut. Tak berapa lama kemudian, setelah melalui sebuah lorong kecil kami berjaya menemui sekumpulan kecil pelarian dengan khemah tertera perkataan UNHCHR.[4] Seorang lelaki muda dengan wajah kusam dan rambut tidak terurus menyambut kami. Anak muda ini naik ke dalam bas sehingga kami sampai betul-betul di hadapan kawasan khemah. Hanya ada sekitar 8 ke 10 buah khemah kecil. Bas kini dikerumuni lelaki dan perempuan yang memegang sijil pelarian dari UNHCR,[5] lebih dari 30 orang semuanya. III Belum kaki kanan menapak keluar dari lantai bas, hawa udara dingin menyelinap masuk ke dalam jaket. Suhu betul-betul rendah di kawasan lapang ini. Di celah kedinginan ini, mereka berebut menghulur sijil pelarian[6] yang tertera nama mereka dengan kenyataan yang membenarkan mereka untuk menerima bantuan. Abe, ketua rombongan akhirnya bersetuju untuk menyampaikan bantuan, sepaket beras, sekotak teh, gula, tepung, beberapa bahan makanan yang lain untuk sebuah keluarga serta sepasang kasut untuk setiap anak-anak. Kami bergerak ke khemah[7] untuk mengira berapa ramai yang menginap di dalam khemah-khemah tersebut. Rambut tak terurus, muka berdebu, pakaian kotor. Tak pasti berapa lama mereka tak mandi di musim sejuk ini. Seorang lelaki tua berjalan ke sana sini berkaki ayam. Belasan anak-anak berumur kurang dari 12 tahun mengelilingi kami dengan senyum di bibir, meminta kasut baharu yang tahan sejuk untuk mereka. IV  Seorang wanita tua mengeluarkan x-ray miliknya dari celah khemah, memohon agar diberi wang untuk membeli ubat asma. Angin dingin bertiup dan hati meluluh saat mendengar penyakit asma di musim sejuk sebegini. Khemah[8] mereka tidak punya apa-apa selain hamparan tikar dan tilam, dengan bahagian tepi ditindih dengan batu agar angin tidak dapat menembusinya. Khemah yang mempunyai dapur boleh dibilang. Tiada elektrik, tiada bekalan air. Dan mereka tidak dapat bekerja kerana status sebagai pelarian, maka tiada wang untuk dibelanjakan. Baju yang sama mungkin sudah dipakai berbulan-bulan, selipar atau kasut yang sama, tiada bekalan makanan[9], selain harapan bahawa akan ada rombongan yang hadir memberi bantuan. V Selesai Maghrib, kasut disarung untuk berjalan ke luar. Angin sejuk memeluk dan seperti biasa, poket diseluk untuk mengecas haba. Di hadapan masjid di Irbid ini, kelihatan deretan peniaga memasang meja untuk berniaga baju musim sejuk di tepi jalan. Menunggu Marwan yang berjanji untuk membawa makan bersama dengan menyandar di hujung pintu pagar. Entah dari mana, tiga anak kecil muncul menonong di hadapan. Di tangan mereka kelihatan paket gula-gula getah[10], seorang abang, seorang adik dan seorang lagi adik kecil, sang perempuan. Masing-masing tolak menolak untuk mendapatkan perhatian. Sebagai seorang lelaki yang tidak belajar bahasa Arab tinggi, aku memang tidak faham langsung perkataan yang keluar dari mulut mereka. Kata Musa ketika sempat ziarahnya di Mafraq beberapa hari lalu, anak-anak ini tidak menggunakan bahasa Arab formal. Bahasa Arab mereka bahasa pasar. Ah, kalau Arab formal pun belum tentu aku faham juga. VI Tidak semena-mena, seorang lelaki Arab berbadan besar dari belakang menempik anak-anak ini dengan mengangkat kasutnya gaya membaling ke arah mereka.  Anak-anak yang terkejut,  adik perempuan paling kecil jatuh dahulu di hadapan. Sang abang sempat berlari, sang adik pula cuba membantu adik perempuan. Nasib tidak menyebelahi, syiling sang adik keluar dari poket jaketnya, beberapa gula getah juga jatuh. Ketika sedang mengutip itulah, lelaki tadi datang dan menyepak bontot sang adik. Sang abang sudah hilang, sang adik pula jatuh ke tanah kali ini. Terkocoh-kocoh mereka mengutip dan berlari meninggalkan kawasan masjid. Di hadapan aku kejadian itu berlaku, aku lihat ada sisa di atas tanah. Gula-gula getah.[11] (Dan perasaan sesal memeluk. Aku tak sempat membeli satu-dua gula-gula getah dari anak Syria ini.[12] )         ***   1) Sehingga 2,379,710 rakyat Syria menjadi pelarian sejak konflik bermula pada 2011 menjadikan mereka sebagai kumpulan pelarian terbesar dalam sejarah perang moden dengan tiada harapan konflik akan selesai dalam masa terdekat (Data UNHCR) 2) Dianggarkan populasi pelarian akan mencecah 4 juta sehingga penghujung 2014 (Data UNHCR) 3) Dari 30,000 anak Syria didaftarkan di sekolah awam dan sekolah dalam kem pada Mac 2013, ia meningkat kepada 83,000 anak pada hujung September 2013. (Data UNHCR) 4) Seluruh generasi Syria sedang dipertaruhkan dengan krisis memasuki tahun ketiga, program pendidikan seperti pendidikan awal kanak-kanak, perlindungan fizikal dan psiko-sosial serta kemahiran adalah sangat penting untuk menyediakan anak-anak ini untuk membina semula negara mereka ketika mereka pulang nanti. 5) Di Lebanon, 80% anak Syria tidak bersekolah, jumlah mereka bersamaan 435,000. 3 tahun lalu, 90% anak-anak Syria masih ke sekolah. (Data UNHCR) 6) Di Iraq pelarian Syria berjumlah sehingga 1.13 juta keseluruhannya selepas pintu Peshkhabour dibuka. (Data UNHCR) 7) Di Jordan, sehingga 576,354 pelarian direkodkan sehingga 31 Disember 2013. (Data UNHCR) 8) Di Turki, sehingga 571,513 rakyat Syria direkodkan sehingga 13 Januari 2014. (Data UNHCR) 9) Sehingga 11,420 anak-anak Syria dilaporkan meninggal dunia sehingga Disember 2013 dengan setiap 10 orang yang mati, seorang adalah kanak-kanak. (Data Oxford Research Group) 10) Di Lebanon dan Jordan, anak-anak seawal 8 tahun bekerja untuk mendapatkan makanan. Mereka dipaksa bekerja oleh keluarga sendiri untuk membantu menyara keluarga. Pendaftaran murid di sekolah-sekolah dalam kem seperti Zatari juga rendah kerana mentaliti seperti ini. (Data UNICEF Jordan) 11) April 2014 ini, #TFTN akan membuka kelas pertama untuk anak-anak Syria di Irbid. Dijangkakan pada hujung tahun lebih banyak sekolah akan dibina untuk memastikan generasi muda Syria ini mendapat pendidikan yang sepatutnya. 12) Perjalanan ke Jordan baru-baru ini mengingatkan satu perkara. Ke mana hala tuju pendidikan jika bukan untuk kemanusiaan?         unnamed ]]>

Daripada belanjawan ke bajet: Upacara Anglisasi bahasa untuk mewujudkan Melayu Borjuis Baharu

“A man who has a language consequently possesses the world expressed and implied by that language.” – Frantz Fanon, “Black Skin, White Masks”

Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa perkataan ‘bajet’ digunakan walhal korpus Bahasa Melayu mempunyai perkataan untuk makna yang sama iaitu ‘belanjawan’? Tetapi ‘bajet’ hanyalah satu dari ribuan perkataan yang telah di-Melayukan. Biasakah anda dengan perkataan seperti Transformasi, Fiskal, Akomodatif, Indikator, Fertigasi ataupun Sekuriti? Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita telah membuktikan betapa gilanya kita terhadap Bahasa Inggeris ini. Pada 2002-2003, tanpa adanya perbahasan di Dewan Negara, sebuah dasar yang mengangkat Bahasa Inggeris telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dinamakan dengan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melaksanakan program mentor untuk memperkasa kemahiran guru yang mengajar Bahasa Inggeris dengan belanja sehingga 270 juta untuk 360 mentor dalam tempoh tiga tahun sahaja sehingga 2013. Tidak cukup dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan September 2013 lalu telah mewartakan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Fungsi bahasa Satu perkara yang perlu kita semua setuju dan jelas adalah Bahasa Inggeris penting, namun sejauh mana pentingnya bahasa asing ini perlu dilihat dengan kaca mata yang adil dan kritis. Untuk memahami dengan lebih mendalam senario ini, kita perlu merujuk apakah fungsi sebenar bahasa. Ngugi Wa Thiong’o, penulis Kenya di dalam makalah beliau ‘Imperialism of Languge: English, a Language For The World?’ menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua aspek iaitu i) sebagai cara berhubung dan ii) sebagai pendukung sejarah dan kebudayaan. Menurut beliau lagi, berbeza dengan negara seperti Afrika, negara ‘Scadinavian’ seperti Norway, Sweden dan Finland menggunakan Bahasa Inggeris hanya sebagai komunikasi, tidak lebih dari itu. Ngugi Wa Thiong’o menegaskan, bahasa asing boleh dipelajari dan digunakan jika tiga aspek ini dpaat dipenuhi iaitu; i) kesetaraan ekonomi, ii) kesetaraan politik dan iii) kesetaraan budaya. Dengan kata lain, Bahasa asing perlu dipelajari di mana yang membelajar itu mempunyai autonomi, bahawa ia berkuasa ke atas keadaannya. Budaya menindas Tetapi beliau menyatakan bahawa sejarah pendokongan Bahasa Inggeris sebagai bahasa institusi dan dasar di kalangan negara-negara bekas jajahan British berlaku di dalam suatu konteks di mana Bahasa Inggeris meminggir bahasa lain. Sebagai bahasa penjajah atau ‘language of the conqueror’, Bahasa Inggeris disajikan sebagai bahasa ‘penyelamat’ di mana penjajah menyarankannya sebagai bahasa yang akan membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana Bahasa Inggeris diinstitusikan dalam keadaan kolonialisme  di mana adanya hierarki kukuh antara penjajah yang mengawal dan rakyat yang dikawal, tidak hairanlah Bahasa Inggeris itu mula menyerap ke dalam fabrik masyarakat tempatan. Ini berlaku hampir di semua negara yang pernah dijajah di bawah Empayar British. Secara sikit demi sedikit, melalui sedutan perlahan ke dalam sistem ekonomi, politik dan institusi budaya kolonial British, mereka (baca: rakyat yang dijajah) yang menggunakan Bahasa Inggeris dianggap bebas dari kegelapan kerana menzahirkan bahasa yang kononya melambangkan ‘Pencerahan Eropah’. Di dalam makalah yang sama Wa Thiong’o juga menceritakan tentang konteks kolonial Afrika untuk menunjukkan bagaiman penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata dianggap kononya sebagai bukti kebijaksanaan dan ketamadunan seseorang itu. Beliau menyifatkan ini sebagai sejenis ‘false consciousness’ (kesedaran palsu) kerana mereka yang berbangga dalam penguasaan Bahasa Inggeris tidak pula mengambil kira hakikat eksploitasi dan keganasan kolonial apabila mereka meraikan ketamadunan British yang dikatakan sungguh “cerah”. Malahan menurut beliau, Bahasa Inggeris telah diajarkan kepada seluruh masyarakat Afrika seolah-olah mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Bahayanya situasi ini, mereka yang tidak tahu dan tidak faham menggunakan Bahasa Inggeris akan dilihat lebih rendah. Budaya Eurosentrik Menurut Wa Thiong’o, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam konteks pasca-kolonial, pewaris kuasa daripada penjajahan British berasal dari golongan elit. Dalam konteks itu adanya wacana keinginan untuk  berkongsi lidah dan sistem kepercayaan yang sama dengan pemimpin British – tidak lain tidak bukan untuk kelihatan seperti mereka. Dari situ, mulalah tren di mana rakyat diajar menggunakan Bahasa Inggeris dan dipimpin untuk beriman dan mempercayai betapa perlu dan pentingnya Bahasa Inggeris untuk masa depan mereka. Malangnya apabila situasi ini berlaku, perkembangan sains dan teknologi disimpan di dalam rak Bahasa Inggeris, bukan lagi di dalam perpustakaan bahasa asal mereka. Berbanding dengan masyarakat biasa yang tidak berbahasa Inggeris, ilmu tersebut terpenjara di dalam penjara Bahasa Inggeris. Imperialisme bahasa ini adalah bentuk budaya kolonial baharu di zaman moden ini. Dalam konteks Malaysia, imperialisme bahasa ini digunakan untuk membentuk satu golongan kolonial baharu iaitu ‘Melayu Borjuis Baharu’. Melayu Borjuis Baharu Seperti konteks umum pasca-kolonial yang dijelaskan secara ringkas tadi, golongan ini adalah golongan yang sama mewarisi pemerintahan dari British 50 tahun yang lalu. Golongan ini adalah sekumpulan kecil elitis yang merangka dasar dan pemikiran bangsa sekian lama ke atas sekumpulan besar masyarakat yang lain. Dan tugas mereka kini adalah untuk memelihara kumpulan kecil elitis ini, melalui pembentukan sekumpulan kecil elitis kecil yang lain untuk menyokong mereka pada masa hadapan. Golongan ini bercakap di dalam Bahasa Inggeris, menulis menggunakan Bahasa Inggeris, menghantar anak-anak mereka belajar sehingga ke London bahkan sedang berusaha keras merangka dasar pendidikan pro-British melalui gerakan imperialisme Bahasa Inggeris di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara. Lebih jauh, mereka sedang memastikan masyarakat terbesar juga berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan penyerapan perkataan-perkataan asas, walaupun perkataan tersebut wujud sejak sekian lama di dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk memastikan gerakan imperialisme mereka ini berjaya, budaya Euro-sentrik dijadikan fahaman asas di dalam keluarga kecil elitis yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara dan Bangsar. Mereka akan memastikan komunikasi efektif hanya di dalam Bahasa Inggeris, menjadikan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu i) kumpulan kecil elitis yang memerintah dan ii) kumpulan besar masyarakat yang diperintah. Upacara Anglisasi Kini kita tiba kepada soalan mudah; apakah proses imperialisme moden melalui bahasa ini berjaya? Ya, jawapannya mereka berjaya. Kini anak muda Malaysia tidak akan diambil bekerja di syarikat perniagaan ternama jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Untuk sebahagian besar pensyarah, hasil kerja penyelidikan mereka tidak akan diiktiraf jika tidak mempunyai label ISI-Scopus yang perlu diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Di universiti awam, para mahasiswa berlumba-lumba mengadakan program menggunakan Bahasa Inggeris. Samada program intelektual mahupun tidak, mereka akan kelihatan lebih ‘antarabangsa’ jika dapat menganjurkannya di dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan impak dari program tersebut kepada pelajar secara makro. Masyarakat awam yang sejak dari kecil diajar untuk beriman kepada fahaman Euro-sentrik mula memandang golongan kecil elitis yang memerintah dan menduduki tempat khas dalam negara sebagai malaikat yang perlu dipatuhi kerana mereka lebih pandai berbahasa Inggeris. Di akhirnya, mereka akan kekal sebagai golongan kecil elitis, yang merangka dan membentuk cara faham dan berfikir masyarakat terbesar. Manakala wujud semacam ketakutan dalaman kepada  masyarakat biasa, golongan pertengahan dan bawahan yang tidak belajar di luar negara serta mempunyai kemahiran minimal di dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa diri mereka lebih kecil dan tidak mampu mengatasi mereka yang mempunyai kemahiran lebih baik di dalam Bahasa Inggeris (walaupun selalunya kemahiran yang mereka miliki dalam lapangan mereka sendiri lebih baik dari mereka yang punyai kemahiran lebih baik dalam Bahasa Inggeris ini). Kumpulan elitis kecil ini – adalah golongan yang sama memerintah sejak dari dahulu, diperturunkan dari anak beranak kepada saudara mara dan sepupu-sepapat, dihantar ke London untuk belajar bahasa dan cara berfikir kolonial – dan segera pulang untuk menjalankan imperialisme di dalam negara dan bangsa mereka sendiri, untuk kepentingan diri, keluarga dan kumpulan kecil elitis ini. Perlukah kita belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris? Perlukah kita menguasai Bahasa Inggeris untuk mendapatkan kerja di dalam negara yang bahasa kebangsaannya adalah Bahasa Melayu? Perlukah kita berbelanja ratusan juta untuk mengimport mentor Bahasa Inggeris untuk membantu guru Bahasa Inggeris kita? Perlukah kita menyerap ribuan perkataan dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu? Berbaloikah pengorbanan yang kita lakukan ini? Jawapannya tidak. Namun kita tidak dapat melakukan apa-apa kerana yang berkuasa kini adalah kumpulan kecil elitis – yang kini sedang merangka sebuah gerakan imperialisme untuk membina sekumpulan kecil Melayu Borjuis Baharu yang kelak pada masa hadapan akan menyokong mereka dari segi politik dan ekonomi. Rusia telah membuktikan pengembaraan ke angkasa lepas tidak memerlukan Bahasa Inggeris. Perancis, Jerman dan sekian banyak negara Eropah telah membuktikan Bahasa Inggeris bukanlah syarat untuk menjadi maju. Sedangkan Malaysia, sebuah negara paling unik dari komposisi budaya di Asia Tenggara pula sedang tergila-gilakan Bahasa Inggeris. Keterdesakkan untuk menyertai arus globalisasi yang berakar di negara-negara empayar, hanya akan menggadaikan autonomi budaya Malaysia. Ia mengabai peluang yang ada untuk menghayati keunikan kemajmukan negara kita yang sudah berkurun lama dibentuk dan dijanakan secara organik. Inilah hakikat yang patut menjadi sumber untuk memperkayakan lagi pengalaman bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi jangan haraplah ia akan menyelamatkan kita. Bagi mereka yang mendokong logik anglisasi sebagai cara mendapat pelabur asing, kita sudah tahu asal-usul logik kolonial ini. Kesemua upacara penukaran istilah tidak lain hanyalah sebahagian kecil dari ritual keagamaan untuk menyembah Bahasa Inggeris – untuk menunjukkan bahawa mereka lebih warak dan beriman dari yang lain. Mereka ini adalah – Melayu Borjuis Baharu.         unnamed ]]>

Mahasiswa, ‘Malaysia Book of Records’ dan pesan-pesan terhadap cendekiawan

“Nilai yang diwariskan oleh kemanusiaan hanya untuk mereka yang mengerti dan membutuhkan. Humaniora memang indah bila diucapkan para mahaguru—indah pula didengar oleh mahasiswa berbakat dan toh menyebalkan bagi mahasiswa-mahasiswa bebal. Berbahagialah kalian, mahasiswa bebal, karena kalian dibenarkan berbuat segala-galanya,” Rumah Kaca, Pramoedya Ananta Toer.

Musim pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar universiti datang lagi. Saya difahamkan berbeza dengan tahun sebelum ini, tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) telahpun diumumkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Seperti diumumkan oleh pihak GAMIS, berikut adalah tarikh yang dikeluarkan oleh KPM: 23 Oktober – UM, UKM, UPNM; 24 Oktober – USM, Unimas, USM, USIM; 29 Oktober – UUM; 30 Oktober – UIAM; 21 November – Unisza; 27 November – UPM, UTM, UMT, UTHM, UiTM, Unimap, UMK, UTEM, UMP dan 29 November – UPSI. Berbeza dengan suasana di dalam kampus, kehangatan PRK belum dapat dirasai walaupun sudah memasuki pertengahan Oktober. Tidak pasti bagaimana mahasiswa secara seluruhnya melihat PRK dan kepentingan PRK ini dalam menentukan hala-tuju gerakan mahasiswa. Apakah PRK masih relevan terhadap diri mereka? Ataupun apakah PRK hanyalah sebuah formaliti untuk mereka sebagai seorang pelajar? Apakah entiti gerakan mahasiswa seperti Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa membentuk ideologi mereka? Apakah mereka memilih calon secara per-se atau memilih ideologi calon? Pemimpin Baru, Aktiviti Lama Untuk menjawab soalan-soalan di atas, penelitian harus diletakkan ke atas fraksi-fraksi calon yang bertanding. Entiti perwakilan yang terhad mewakili pro kerajaan (Pro Aspirasi) melawan fraksi yang dikenali sebagai pro pembangkang (Pro Mahasiswa) membosankan mahasiswa lain secara umum yang melihat pertentangan ini tidak tumpah seperti pertentangan parti politik luar kampus. Untuk sebahagian besar mahasiswa, politik luar kampus bukanlah keutamaan mereka. Keutamaan mereka adalah isu peribadi yang melingkari diri mereka saban hari dalam kampus seperti masalah kafetaria dan masalah parking. Akur untuk mendapatkan undi, fraksi-fraksi ini tidak dapat lari dari isu kebajikan sahaja. Perkara ini lebih jelas dapat dilihat melalui manifesto calon yang bertanding. Masing-masing akan berlakon seolah-olah berjuang memperjuangkan nasib mahasiswa. Jarang sekali calon-calon ini akan mengetengahkan ideologi mereka, visi atau misi terhadap pemikiran mahasiswa, ataupun hala tuju universiti pada masa depan. Pertentangan satu lawan satu aka ‘kerajaan vs pembangkang’ yang bosan ini sangat mendukacitakan kerana di akhirnya, pemimpin baharu akan sibuk dengan program tahunan mereka sementara mahasiswa kekal tagih janji kebajikan. Bahkan ideologi dan pemikiran tidak berkembang, serta bakat kepimpinan pula semakin lama semakin buruk kerana pemimpin baharu hanya akan diangkat menjadi pemimpin jika boleh dan mahu taat kepada perintah pihak atasan. MAHA dan SISWA: Apa Ertinya? Ini adalah soalan yang paling asas sekali untuk dijawab oleh golongan mahasiswa. Apakah mereka faham apakah makna ‘maha’ dan ‘siswa’ itu? Apakah mereka melihat diri mereka sebagai mahasiswa ataupun hanya sebagai pelajar biasa? Apakah ketika mereka mula mendaftar di jabatan atau fakulti masing-masing – mereka sedar bahawa kini mereka bukan sahaja seorang pelajar pusat pengajian tinggi, tetapi juga adalah seroang intelektual muda? Apakah ketika menjawab soalan peperiksaan mereka sedar bahawa jawapan yang dituliskan di atas kertas soalan itu kelak bukan sahaja beri kesan kepada diri mereka tetapi juga kepada masyarakat? Apakah mereka sedar tanggungjawab intelektual yang terbeban di atas pundak dan bahu mereka tatkala mereka berbangga dengan status mahasiswa tersebut? Ilmu dan Pesan-pesan Kepada Cendekiawan Kemudian timbulnya soalan; apakah Ilmu? Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam secara panjang lebar ketika memperincikan tentang Ilmu menyatakan; “Ilmu adalah penetapan diri atau kalbu tentang kebenaran sesuatu sewaktu shak dan ragu-ragu timbul mengenainya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pengikraran terhadap kebenaran. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu tibanya makna ke dalam diri serempak dengan tibanya diri kepada makna, dan ilmu itulah yang menjadi hasrat dan kehendak diri,” Menarik untuk diperbahaskan dengan konsep ilmu adalah syarahan Dr Ali Shariati ketika menganalisis Surah al Rum melalui ‘A Message to The Enlightened Thinkers’. Di dalam Bab 2 Ali Shariati menceritakan bagaimana Nabi Muhammad memberitahu pengikutnya yang pada ketika itu hanyalah sekumpulan kecil orang miskin dan gelandangan; “You will be the victors of history. Neither the superpowers, the great kingdoms nor the Ceasar, but Muslims, will dominate the world. Not only you will rule Arabia, Mecca or Quraysh, but you will also conquer Persia, Byzantium, Yemen and Egypt” Dalam keadaan tertindas, dakwah secara senyap dan sembunyi, suasana begitu lemah di kalangan pengikut dengan perasaan tidak berdaya, Nabi Muhammad menegaskan kepada pengikutnya bahawa mereka bukan sahaja akan menguasai peradaban hebat zaman itu seperti Rom atau Parsi tetapi juga Barat dan Timur. Kemudian Shariati meneruskan dengan bertanya; Siapakah golongan Intelektual dan Cendekiawan pada zaman Nabi tersebut? Mereka adalah golongan peniaga kaya yang memiliki ladang di Ta’if, pengimport barangan dari Iran, Byzantium, Yemen dan Syria, yang terdedah dengan pelbagai agama lain, yang biasa dengan negara luar serta punya hubungan politik antara negara akibat dari perniagaan komersil mereka. Kontra dengan ‘Intelektual’ – timbul soalan; Bagaimana seorang buta huruf yang tidak tahu membaca, yang hanya beberapa kali keluar Mekah, tidak pernah mengaji kitab lama, tidak belajar ilmu peradaban, geografi atau empayar mahupun kepercayaan lain atau politik malah tidak tahu lansung tentang alat perang ataupun kekuatan kuasa dunia besar ketika itu – boleh mengeluarkan ucapan dan kata-kata untuk menakluk dunia? Maka kaum yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ketika itu mula berasa ragu, mempersenda dan memperlekehkan kata-kata Nabi Muhammad. Cendekiawan vs ‘Malaysia Book of Records’ Analisis surah al-Rum oleh Dr Ali Shariati ini membuktikan bagaimana kaum terpelajar yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ pada zamannya tidak dapat menjadikan ilmu di dalam diri mereka itu sebagai sesuatu yang bermanfaat. Rom mahupun Parsi menakluk hampir separuh dari dunia tetapi meninggalkan Mekah dan Madinah kerana beranggapan kawasan ini tidak bernilai. Tetapi Nabi Muhammad membuktikan melalui ilmu yang memberi makna kepada diri sebagaimana dijelaskan Syed Naquib al-Attas, Islam berjaya menundukkan kuasa besar dunia dan menakluk hampir separuh dari dunia. Shariati menjelaskan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ini berada di dalam keadaan ketidak-tahuan. Apakah yang mereka tahu? “They know only about superficial considerations including who has better administration, where the most sophistical arms are and where the bulk of the wealth is located. In addition, the intellectuals evaluate and appraise situations, but in a superficial and short sighted manner. They only know mere appearances of the life of the world, and are heedless of the Hereafter,” (30:7) Pesan-pesan Shariati di dalam ‘A Message to The Enlightened Thinkers’ ini perlu dibaca semula oleh golongan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ di negara kita. Ketika laman web Harvard University memaparkan penyarah mereka memenangi Hadiah Nobel (Kimia), kejayaan Stem Cells Intitute dalam menemui metodologi baharu transplan, ujian baharu untuk mengesan ‘Down Syndrome’; ataupun ketika laman web Oxford University memaparkan kejayaan saintis mereka menemui cara baharu untuk menghantar dadah kepada pesakit kanser yang telah merebak sehingga ke otak ataupun ketika Cambridge Institute of Astronomy menerbitkan jurnal yang memaparkan penemuan bintang GD 61 yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam sistem perairan bumi; Universiti tempatan masih sibuk dengan acara rekod merekod donut terbanyak, bina peta terbesar, ‘macro-teaching’ selama 182 jam ataupun aktiviti bersenam selama 36 jam dengan ‘Malaysia Book of Records’. Mahasiswa harus segera sedar bahawa mereka adalah ‘siswa’ – iaitu pelajar yang berada di tahap paling tinggi – ‘maha’ dan paling dekat dengan tingkat ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’. Mereka ini adalah Intelektual Muda dan Cendekiawan Muda yang harus segera mempersiap diri untuk menggalas tanggungjawab membawa kemaslahatan ke atas masyarakat. Sekiranya mereka sedar dan faham makna tanggungjawab ‘mahasiswa’ ini dan kedudukannya yang sangat rapat dengan ilmu, sesungguhnya mereka akan takut dengan tanggungjawab tersebut yang mana masyarakat sangat memerlukan mereka di saat ketidaktentuan politiko-sosio-ekonomi ketika ini. Maka tanggungjawab pemimpin mahasiswa pula bukanlah terhad sekadar menjalankan ritual tahunan dan program-program fakulti sahaja, tetapi memimpin pemikiran dan fahaman mahasiswa yang lain terhadap ilmu serta keterikatan mereka dengan tanggungjawab yang besar tehadap akademik secara intelektual. Sehingga kini saya fikir kerja memenangkan calon mahasiswa di dalam pilihanraya kampus adalah kerja no.2 sementara kerja no.1 adalah memahamkan mahasiswa apa makna menjadi mahasiswa yang sebenar-benarnya – maka kemenangan terhadap mahasiswa yang sebenar akan hadir selepas itu. Mahasiswa perlu guna kelebihan mereka sebagai intelektual dan cendekiawan muda untuk menjadi kuasa pendesak ‘non-political’ terhadap memperbaiki polisi negara yang selama ini ditentukan oleh ahli politik. Inilah masanya untuk mereka mengambil bahagian di dalam model semak dan imbang terhadap keputusan penting melibatkan isu kepentingan nasional. Dari fakulti pendidikan, undang-undang, ekonomi, syariah hinggalah kepada seni bina – semuanya berfungsi untuk menjadikan negara sebagai sebuah tempat yang lebih baik pada masa depan mengikut kapasiti masing-masing. Bayangkan jika gerakan kesedaran seperti ini muncul di setiap menara gading? Dan saya akui ini bukan kerja mudah, tetapi Murtadha Mutahhari melalui syarahan ‘Masalah Epistemologi’ menerangkan; “Dalam logika Islam, sebab Adam AS dikeluarkan dari syurga adalah kerana ia tidak mengamalkan peringkat keempat dari pengetahuannya. Peringkat pertama adalah epistemologi, kemudian pandangan dunia, kemudian ideologi dan terakhir ideologi mengharuskan ia untuk melaksanakan suatu amal perbuatan. Di sinilah ia tergelincir, sehingga Allah mengusirnya dari syurga,” ]]>