Membina Strategi Komunikasi Kepolitikan yang Berkesan untuk OKU

[Nur Adilla Abd Rahim ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Mulai November 2016, siaran langsung persidangan Dewan Negeri Selangor telah mempunyai sarana Bahasa Isyarat bagi kemudahan OKU pendengaran.] Biodata Penulis: Senator Floyd Morris kini berkhidmat dalam penggal keempatnya sebagai Senator di Jamaica. Juga merupakan Presiden Senat Jamaica (2013-2016). Beliau merupakan orang buta pertama yang menjadi Presiden Senat di sana. Floyd Morris berkelulusan Master of Philosophy in Government dan Bachelor of Arts in Mass Communication dari University of West Indies. Kajiannya berfokus kepada penyertaan OKU dalam kehidupan harian di Jamaica. Beliau menguruskan sebuah firma perundingan antarabangsa, terlibat dengan program bual bicara di radio dan merupakan ahli Badan Penasihat OKU Kebangsaan di Jamaica. Suami kepada Shelly-Ann, beliau ialah penggemar sukan dan pemain domino yang handal. Motto hidupnya ialah, “It is nice to be nice”. Artikel ini diterjemahkan daripada makalah asal bertajuk ‘Towards Establishing A Model Political Communication Strategy for People With Disabilities’ yang tersiar dalam jurnal rasmi Commonwealth Parliamentary Association (CPA), The Parliamentarian 2016 (Isu 4) Komunikasi ialah salah satu aspek terpenting dalam naratif kemanusiaan. Komunikasilah yang memungkinkan satu-satu hubungan itu tertaut atau terputus. Wahana komunikasi jugalah yang boleh membantutkan atau memajukan perkembangan kemanusiaan, apatah lagi ia boleh juga memencilkan mana-mana individu ke arah kemelaratan. Dalam artikel ini, penulis akan memfokuskan kepada situasi Orang Kurang Upaya (OKU), dengan merujuk kepada contoh amalan Parlimen di Jamaica. Dalam artikel ini, satu penilaian akan dibuat terhadap beberapa isu-isu teoretik berhubung wahana komunikasi dan bagaimana pengaplikasiannya kepada individu OKU. Penulis kemudian akan menilai ‘Apa’ dan ‘Siapa’ yang termasuk dalam golongan OKU dan melihat apakah cabaran komunikasi yang dihadapi oleh kelompok OKU. Contoh utama yang akan dilihat ialah bagaimana Parlimen Jamaica mengimplementasi beberapa pendekatan komunikasi dengan salah satu daripada kelompok OKU di Jamaica. Penulis akan menyimpulkan dengan memberi beberapa saranan mengenai strategi yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk berkomunikasi dengan efektif dengan golongan OKU khasnya di Jamaica, ataupun dengan penutur bahasa Inggeris di rantau Caribbean secara amnya. Penilaian Teoretik Pada 1948, Harold Lasswell, dalam artikelnya bertajuk ‘The Structure and Function of Communication in Society’, telah berpandangan bahawa: “A convenient way to describe an act of communication is to answer the following questions: who says what; in which channel; to whom; with what effect” (Lasswell, 1948, p.216) Melalui pandangan ini, Lasswell telah mencerakinkan elemen yang terlibat dalam komunikasi dengan melihat ‘siapa/who’ yang menyampaikan mesej; ‘apa/what’ isi mesej yang dibawa; ‘saluran/channel’ yang menjadi wahana penyampaian mesej; ‘siapa/whom’ yang merupakan khalayak penerima mesej, dan ‘kesan/effect’ mesej yang disampaikan itu. Teori yang dihuraikan oleh Lasswell ini telah diterima pakai oleh golongan sarjana dan diiktiraf juga oleh pakar bidang komunikasi seperti McQuail dan Windhal, 1993. Meskipun bersifat sangat asas, teori dalam bidang komunikasi seperti yang diunjurkan Lasswell tadi amat penting untuk memahami artikel ini kerana kita perlu memahami dahulu bagaimana proses berkomunikasi berlangsung, sebelum mencari wahana terbaik untuk berkomunikasi dengan khalayak seperti khalayak OKU. Dalam konteks ini, kita perlulah memahami siapakah yang sedang berbicara dan menyampaikan mesej; isi mesej yang disampaikan; mesej tersebut ditujukan kepada siapa; dan bagaimanakah mesej tersebut memberi kesan kepada khalayak sasaran. Namun begitu, ramai pengkritik menyatakan bahawa model bawaan Lasswell ini telah menonjolkan ketempangan teori komunikasinya kerana model Lasswell ini tidak mengambil kira ruang yang diperlukan untuk wahana maklum balas (avenue for feedback). Sebagai contoh, Stewart Hall menyatakan bahawa model Lasswell ini terlalu linear dalam unjurannya sedangkan proses berkomunikasi lazimnya bersifat lebih membulat atau sirkular. Hall kemudian membangunkan model komunikasi pengekod/penyahkod (encoder/decoder). Model ini berdasarkan pandangan bahawa satu-satu proses berkomunikasi itu terdiri daripada: penghasilan; penyebaran; penerimaan dan penghasilan semula (Hall, 1972). Daripada definisi dan sarana pandang bikinan Hall ini, kita telah melihat suatu pendekatan yang lebih berfokus dan terperinci untuk mendapatkan proses berkomunikasi yang jauh lebih baik. Dalam konteks ini, ahli wacana–terutamanya yang berada dalam lingkup ruang yang politikal—akan dapat membina pendekatan yang lebih sistematik dan saintifik dalam membangunkan pelan sarana komunikasi mereka sebagai wahana penyampaian yang lebih terperinci dan berfokus. Pemodelan saintifik, seperti undian, telah digunakan untuk mendapatkan maklumat daripada kelompok tertentu mengenai isu spesifik berhubung strategi komunikasi yang lebih cemerlang atau seperti yang dinyatakan Habermas sebagai “strategic communication action” (Habermas, 1985). Apa yang tidak dapat kita lihat, terutamanya dalam konteks negara Jamaica, ialah pendekatan model yang lebih terkini telah dibangunkan untuk strategi komunikasi lebih berkesan dengan khalayak seperti OKU. Siapakah Orang Kurang Upaya (OKU)? Dalam mana-mana masyarakat, orang kurang upaya adalah kelompok yang maha penting apatah lagi dalam konteks politik. Permainan politik yang bersandarkan kepada angka undi, perlulah menitikberatkan setiap pengundinya. Untuk menafikan mana-mana kumpulan rakyat yang berpotensi samalah seperti meletakkan nasib politik seseorang politikus itu seperti telur di hujung tanduk. Menurut United Nation Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UNCRPD): “Orang kurang upaya termasuklah mereka yang mempunyai kecacatan jangka panjang pada fizikal, mental atau deria mereka, yang mana kecacatan ini mungkin menjadi penghalang kepada penyertaan mereka secara efektif dalam masyarakat yang setara”, (United Nations Convention on the Rights of Persons with Disabilities, 2007, p.4) Akta OKU Jamaica atau The Disabilities Act 2014 of Jamaica, menyatakan: “Persons with disabilities include a person who has a long-term physical, mental, intellectual or sensory impairment which may hinder his full and effective participation in society on an equal basis with other persons” (Disabilities Act 2014, p.5) Populasi khalayak OKU di Jamaica sangat signifikan. Dianggarkan kira-kira 400,000 individu dalam golongan OKU yang tinggal di pulau ini. Kategori OKU pula amat rencam, termasuklah ketidakupayaan penglihatan (buta), ketidakupayaan pembelajaran (lembam), kecacatan mental dan fizikal dan lain-lain. OKU yang tinggal di Jamaica terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran tersebut pula terbentuk oleh stigma dan halangan sosiologikal masyarakat dalam mendepani OKU (Gayle-Geddes, 2015). Sikap dan stigma negatif ini lazimnya ‘dididik’ institusi sosial seperti media dan telah memberi impak besar kepada OKU (CAB, 2005, p.5-6). Masalah ini makin terbejat dengan ketiadaan polisi awam yang strategik yang diimplementasikan untuk meningkatkan kualiti hidup setiap individu. Di peringkat global, umum telah berhujah bahawa semakin dekat politikus dengan OKU, semakin tinggi kebarangkalian polisi-polisi yang inklusif kepada sarwa masyarakat yang akan dilakukan (Shapiro, 1994). Malangnya, sejumlah 15% daripada populasi rakyat Jamaica telah terasing daripada proses demokrasi semetelah keperluan mereka tidak dapat dipenuhi oleh masyarakat Jamaica sendiri. Bahasa Isyarat di Parlimen Jamaica Selepas 52 tahun mencapai kemerdekaan, hanya pada 2014, sarana bahasa isyarat diperkenalkan di Parlimen Jamaica. Sebelum itu, memang terdapat jurang terbesar antara institusi pemerintahan tertinggi negara dengan golongan OKU. Sewaktu mula diberi jawatan sebagai Presiden Senat Jamaica 2013, penulis telah memulakan inisiatif untuk melaksanakan sarana Bahasa Isyarat di Senat. Inisiatif ini pada mulanya hanyalah satu projek perintis, pun setelah enam bulan, inisiatif ini turut dilaksanakan juga di peringkat Dewan Perwakilan dan Dewan Senat terus melaksanakan sarana bahasa isyarat supaya khalayak pekak dapat turut mengikuti debat di Parlimen secara penuh. Inisiatif ini sangat dihargai oleh golongan pekak kerana mereka percaya bahawa keperluan mereka diraikan oleh pemerintahan tertinggi negara. Kini, golongan pekak terutamanya, telah diberi akses terhadap informasi penting negara seperti debat pembentangan Bajet yang melibatkan pendapatan dan perbelanjaan Jamaica. Model Wahana Komunikasi Mengenal pasti kepelbagaian jenis kategori OKU, teori komunikasi rintisan Lasswell, teori ‘The Media is the message’ rintisan Marshal McLuhan, dan teori rintisan Stuart Hall, suatu model wahana komunikasi wajar dibangunkan untuk memastikan setiap program dan polisi dapat disampaikan sepenuhnya kepada golongan OKU. Model ini didasari dengan prinsip partisipasi, inklusif dan nyah diskriminasi (PIN). OKU wajib mempunyai akses yang efektif untuk menyertai ruang awam dan untuk didengari suaranya. Mereka perlu terlibat dalam proses penetapan keputusan dan harus diberi ruang seluasnya untuk mencapai potensi sebenar mereka. Hak-hak OKU perlu dihormati dan jangan ada sebarang bentuk diskriminasi yang dilakukan terhadap golongan ini. Dalam membangunkan model ini, langkah pertama ialah mengenal pasti kelompok khalayak dan pandangan golongan ini terhadap kedudukan mereka dalam dialog komunikasi politik berkait ‘kebebasan’ dan ‘norma masyarakat’. OKU merupakan kelompok yang rentan dan kerana kerentanan inilah yang menjadikan mereka akan lebih mementingkan polisi dan program yang dapat membangunkan kemajuan kendiri mereka. Namun, perspektif ‘norma masyarakat’ lebih menekankan pengurusan ekonomi lantas akan mengambil kira faktor pembugaran ekonomi sebelum apa-apa bentuk pembangunan hendak dilakukan. Sudut pandang ini juga memperjuangkan implementasi pasaran ekonomi bebas secara total. Hal ini lazimnya tidak akan dipersetujui oleh golongan OKU, lantas, mereka akan lebih mendokong prinsip nilai ‘kebebasan’ berbanding ‘norma masyarakat’. Perspektif ‘kebebasan’ ini akan lebih menekankan prinsip kebebasan sivil dan kewajipan meletakkan keperluan insaniah sebagai dasar dalam setiap pembangunan. Menyedari kerencaman cabaran yang dihadapi OKU, keperluan golongan ini tidak boleh ditaklukan kepada tuntutan pasaran. Pemimpin politiklah yang perlu sentiasa menitikberatkan golongan OKU dalam pelaksanaan program dan polisi bagi memastikan mereka sentiasa terlibat dalam proses demokrasi. Langkah seterusnya dalam model ini ialah untuk menggubal polisi dan menganjurkan program yang akan memenuhi keperluan golongan OKU. OKU selalunya akan memberi maklum balas yang lebih baik kepada pemimpin politik jika pada pandangan mereka, pemimpin tersebut memperjuangkan keperluan mereka. Program, polisi dan penggubalan undang-undang yang menumpukan kepada keperluan pendidikan, pekerjaan dan akses kepada infrastruktur awam akan lebih memberi kemenangan politik kepada seseorang pemimpin dan partinya. Acuan program, polisi dan penggubalan undang-undang haruslah dilakukan melalui perbincangan dengan OKU sementelah keperluan untuk selalu menyertakan OKU dalam polisi merupakan agenda terpenting bagi kumpulan rakyat ini. Dalam membangunkan polisi dan program untuk OKU, pemimpin perlulah memberikan mereka peluang untuk berpartisipasi dalam ruang debat polisi dan penggubalan dasar negara. OKU perlu dilibatkan dalam parti politik, Parlimen, Kabinet, agensi dan badan berkanun, ahli lembaga di institusi pendidikan dan apa-apa institusi yang melakukan penetapan polisi yang memberi impak kepada mereka dalam interaksi harian. Hal ini turut selari dengan slogan antarabangsa untuk OKU, ‘Nothing about us, without us’. Mengetahui bagaimana dan di mana untuk menghubungi individu yang tepat bagi merekayasa inisiatif ini ialah antara langkah penting dalam model ini. Sehubungan itu, golongan OKU perlulah didaftarkan mengikut kategori OKU masing-masing (oleh kerajaan), supaya mereka mudah dikenal pasti. Menurut kajian yang telah dilakukan dalam bidang sains politik, tatkala adanya usaha pengelasan yang baik yang dilakukan kerajaan terhadap warga negaranya, maklumat akan lebih mudah untuk disebarkan dengan efektif. Pemimpin politik juga perlu cekap dalam mendapatkan maklumat sekaligus memahami bagaimana perbezaan kategori OKU memberi impak dalam cara mereka memperoleh maklumat. Berdasarkan satu kajian penulis mengenai seks dan reproduktif dalam kalangan OKU di Jamaica pada tahun 2010, memang terdapat perbezaan yang jelas mengenai cara seseorang OKU dengan seseorang OKU yang lain dalam mendapatkan capaian maklumat di Jamaica. Maklumat berikut diperoleh daripada kajian 2010 berkenaan: 66.7% responden mempunyai telefon bimbit, berbanding 33.3% yang tidak memiliki telefon bimbit 49.3% responden boleh menghantar dan menerima mesej menggunakan telefon bimbit. 44.1% pula langsung tidak boleh. 31.3% responden mempunyai capaian internet berbanding 68.7% yang tidak ada capaian internet. 35.8% responden boleh menghantar dan menerima emel berbanding 64.2% yang tidak boleh langsung. 80.9% responden mempunyai televisyen, manakala 19.1% tidak mempunyai televisyen. (Morris, 2010) Model wahana komunikasi ini turut mementingkan aspek penciptaan mesej komunikasi dalam proses perhubungan dengan golongan OKU. Sehubungan itu, mana-mana individu yang bertanggungjawab dalam penyediaan teks ucapan dan mesej ahli politik perlulah mengambil kira wahana komunikasi yang khusus bagi setiap OKU. Setiap kumpulan OKU menuntut pendekatan yang berbeza-beza bagi memastikan mesej komunikasi tadi dapat memberi impak sewajarnya kepada mereka. Contohnya, usaha mengadakan sarana Bahasa Isyarat dan Sarikata dalam mana-mana medium wahana komunikasi oleh ahli politik dan badan kerajaan diperlukan oleh khalayak orang pekak sementelah mereka menerima mesej melalui wahana visual. Cara berkomunikasi terbaik untuk mereka perlulah melalui wahana yang tepat iaitu sarana Bahasa Isyarat dan Sarikata. Jadual berikut telah mencerakinkan jenis menunjukkan cerakinan format dan sarana yang digunakan mengikut kategori OKU Kategori OKU Format Sarana Komunikasi Masalah Penglihatan/Buta Audio Radio Televisyen Braille Majalah Braille Laman sesawang dengan sistem pengecaman pertuturan Pekak/Kesukaran Mendengar Sarikata Bahasa Isyarat Televisyen Cetakan Media Sosial Kecacatan Mental Audio mudah Televisyen Radio Televisyen Media Sosial Masalah Pembelajaran (Lembam) Audio mudah Televisyen Media cetak boleh juga digunakan dengan disesuaikan mengikut tahap keupayaan masing-masing Radio Media cetak mengikut tahap individu Televisyen Media sosial Kecacatan Fizikal Audio Visual Media cetak Semua wahana media Untuk melaksanakan model ini, amatlah penting supaya kita menyemak penghasilan mesej yang disampaikan menerusi wahana-wahana terbabit. Bagi mereka yang terlibat dalam penghasilan mesej sebegini perlulah memastikan tiada bahasa canggung yang menyinggung digunakan sepanjang proses komunikasi berlangsung. Apatah lagi kita perlu memastikan bahawa khalayak penerima mesej yang rentan ini betul-betul merasa keterlibatan dan keturutsertaan dalam poses ini. Langkah terakhir menurut model ini ialah mengenal pasti mana-mana individu yang layak daripada setiap kelompok OKU untuk bekerjasama dan memberi maklum balas kepada pemimpin politik dan badan kerajaan. Langkah ini sangat penting bagi memastikan pemimpin badan kerajaan dapat melakukan sebarang perubahan menurut maklum balas komuniti OKU masing-masing. Kesimpulannya, perlu diingatkan bahawa perhubungan dan wahana komunikasi kepolitikan ialah ilmu sains moden. Kajian yang bertahun-tahun telah menyumbang kepada pendekatan yang lebih strategik dan berfokus dalam membentuk wahana komunikasi mengenai polisi dan program kerajaan kepada orang awam. Memang sudah terdapat banyak penambahbaikan dalam wahana komunikasi terkini berbanding kaedah ‘semberono’ yang diamalkan dahulu. Melalui pelaksanaan teori seperti yang diunjurkan Lasswell, Hall, McLuhan, Habermas dan Hahn, mereka yang bertanggungjawab merekayasa mesej (contohnya melalui ucapan, iklan dan kenyataan media) untuk pemimpin politik dan badan kerajaan akan dapat menghasilkan proses perhubungan yang lebih berkesan dan berfokus. Kendatipun begitu, masih kurang perhatian yang diletakkan untuk membangunkan model-model wahana komunikasi yang khas untuk OKU. Pada 2010, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa terdapat kira-kira 1 bilion orang di bumi yang hidup dengan rencam bentuk ketidakupayaan (WHO, 2010). Jumlah ini besar dan signifikan, dan tidak wajar untuk diketepikan terutamanya dalam konteks membangunkan model wahana komunikasi yang melibatkan keputusan politik dan polisi oleh pemimpin masyarakat, amatlah perlu meskipun usaha ini masih baru. Model ini didasari oleh prinsip partisipasi, inklusif dan nyah diskriminasi (PIN). Model wahana komunikasi ini juga turut berasaskan teori-teori wahana komunikasi tajaan Lasswell, Hall dan McLuhan dan turut merangkumi langkah utama dalam menyampaikan program dan polisi yang dibuat oleh badan kerajaan, kepada golongan OKU secara keseluruhannya. Rujukan: 1.Canadian Association of Broadcasters. (2005) The presence, portrayal and participation of persons with disabilities in television programming: Final report 2.Canadian Association of Broadcasters & RTNDA (Association of Electronic Journalists) (2005) Recommended guidelines on language and terminology – persons with disabilities: A manual for news professionals. 3.Dahl, R. (1971) Polyarchy, Participation and Opposition. New Haven: Yale University Press. 4.Dunn, H. (Ed.) (2012) Ringtones of opportunity: Policy, technology and access in Caribbean communications. Kingston: Ian Randle Publishers. 5.Gayle-Geddes, A. (2015) Disability and Inequality: Socio Economic Imperatives and Public Policy in Jamaica. New York: Palgrave Macmillan 6.Habermas, J. (1984, 1987) Theory of communicative action (2 vols.). Cambridge: Polity Press 7.Habermas, J. (1989) The structural transformation of the public sphere. Boston: MIT Press. 8.Habermas, J. (2006) Political communication in media society—does democracy still enjoy an epistemic dimension? The impact of normative theory on empirical research. Communication Theory 16(4): 411-26 9.Hahn, D.F. (2003) Political Communication: Rhetoric, Government, and Citizens (2nd Ed). N.p.: Strata Pub 10.Hall, S., Hobson, D. Lowe, A. and Willis, P. (1973) Culture, Media, Language. N.p.: Birmingham: Centre for Contemporary Cultural Studies. 11.Haller, B. (2010) Representing Disability in an Ableist World: Essays on Mass Media. Louisville, KY: Avocado Press 12.Haller, B. (2000) If they limp, they lead? News representations and the hierarchy of disability images. In Dawn O. Braithwaite and Teresa L. Thompson (Ed.), Handbook of communication and people with disabilities: Research and application (pp. 273-287). Mahwah, New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates. 13.Lasswell, H. (1948) Bryson, L., Ed. The Structure and Function of Communication in Society. The Communication of Ideas. New York: Institute for Religious and Social Studies. P. 117. 14.McCombs, M. And Shaw, D. (1972) The Agenda-Settings of the Mass Media. Public Opinion Quarterly, 36(2), 176-187. 15.McLuhan, M. (1964). Understanding Media: The Extensions of Man. New York: McGraw-Hill 16.Ministry of Labour and Social Security. (2014). Disabilities Act 2014. Retrieved from http://mlss.gov.jm/ 17.Morris, F. (2010). Sexual and reproductive health of persons with disabilities in Jamaica. UWI. Unpublished. 18.Statistical Institute if Jamaica (2001). Retrieved from http://statinja.gov.jm/ 19.United Nations. (2007). Convention on the rights of persons with disabilities. Retrieved from http://un/org/ 20.World Health Organisation. (2010) World report on disabilities. Retrieved from http://who.org]]>