Reviu Forum: Siapa Punya Merdeka?
Terdapat pelbagai perspektif yang wujud tetapi tidak diambil kira secara inklusif dan ini menimbulkan persoalan yang penting: naratif milik siapa dan bagaimana dengan naratif yang tidak dimasukkan sekali? Kemudian berkaitan dengan hal ini juga, apakah isu naratif ini merupakan hal yang penting?
Di sini pihak kami berhujah bahawa naratif digunakan sebagai justifikasi bagi memperlakukan sesuatu komuniti atau golongan sebagai bertentangan dengan naratif arus perdana. Dan naratif arus perdana secara tidak langsung mencerminkan suatu imej ataupun idea yang jelas kepada rakyat jelata dan penduduk di seluruh dunia, maka realiti pun terbentuk secara material: bangunan mega, tugu-tugu, produk-produk budaya, institusi-institusi, kesemuanya dibina mengikut masa dan peluang yang diberi sehingga kini bagi memperkukuhkan naratif yang telah dimenangi oleh mereka. Maka masa telah menguburkan naratif yang dahulunya mempunyai peluang cerah dan terbenam bersama-sama sosok ataupun golongan yang membawa obornya.
Seperti mana golongan kiri sewaktu dahulu iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Parti Buruh Malaysia, Parti Komunis Malaya, Barisan Tani Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, dan lain-lain lagi, kesemuanya dimomokkan sebagai golongan yang tidak langsung membawa aspirasi massa secara menyeluruh.
Tidak lupa juga perspektif rantau Borneo yang menjadi sebahagian daripada Malaya dengan kewujudan Perjanjian Malaysia 1963: hujah yang mengatakan bahawa kemerdekaan Malaya tidak merangkumi perspektif Sabah dan Sarawak masih kuat bergetar di dalam jiwa dan raga penduduk di sana, malah secara realitinya juga terbentuk suatu pembangunan yang tidak seimbang. Ini secara tidak langsung membawa maksud Malaysia dicipta melalui persetujuan Sabah, Sarawak dan Singapura dan bukannya diperjuangkan melalui kemerdekaan seperti apa yang berlaku di Malaya. Naratif ini juga ditenggelamkan tanpa mengambil kira sentimen penduduk Sabah dan Sarawak.
Naratif yang tidak ditekankan juga mempunyai nilai yang signifikan, ianya turut membuka suatu wacana alternatif iaitu kebarangkalian bagaimana bentuknya negara kita jika hal yang lain berlaku. Lalu persoalan yang bakal timbul, apakah karakter-karakter asas bagi setiap naratif yang dibawa dan bagi naratif arus perdana; apakah karakter umum yang menjadi tunjang naratif mereka? Setiap panelis yang dijemput menjelaskan mengenai naratif alternatif yang pernah wujud sewaktu berlangsungnya gerakan kemerdekaan dan secara peribadi, akan memberi pendapat dan perspektif mereka secara kritikal terhadap naratif kemerdekaan arus perdana yang wujud sekarang. Walaubagaimanapun, harus diakui bahawa ianya merupakan sesuatu hal yang terbatas, di mana masih terdapat banyak lagi naratif yang tidak diberi peluang, di dalam konteks ini forum yang berlangsung dilakukan dalam jangka masa yang pendek.
Panelis pertama, Puan Rohana Ariffin yang juga bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia menyatakan bahawa sejarah yang difahami oleh gerakan kiri di Malaysia sewaktu gerakan kemerdekaan tidak diutamakan. Untuk konteks forum ini, Puan Rohana secara khususnya akan menerangkan mengenai gerakan wanita. Kemudian panelis kedua, Dr Juli Edo hadir mewakili Orang Asli dan menerangkan keterlibatan komuniti OA sewaktu era kemerdekaan. Panelis ketiga, saudara Alfred merupakan peguam buruh dan berpengalaman menyusun gerakan buruh di Malaysia.
Apa yang berlaku sewaktu era kebangkitan?
Mengapa pada waktu kini, kelas penguasa dilihat sebagai satu-satunya pejuang kemerdekaan? Produk budaya menyajikan naratif mereka sebagai sesuatu hal yang benar dan secara tidak langsung, ia membentuk realiti rakyat negara secara umum. Puan Rohana menjelaskan bagaimana menjadi lumrah bagi kelas penguasa memberikan versi sejarah mereka. Malah secara umumnya, sejarah didominasi oleh kaum lelaki dan naratif perempuan sering kali ditenggelami. Perjuangan kiri termasuk Kesatuan Sekerja, Parti Komunis Malaya, dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang wujud dalam tahun 1940-an telah berjuang menentang pihak British selama 40 tahun dan hal ini seharusnya ditekankan, bahawa ini bukannya perjuangan yang kecil. Saudari Rohana merujuk kepada buku Idris Samad, di mana ia menjelaskan bahawa Tunku Abdul Rahman turut mengambil kira ancaman golongan progresif dan komunis. Ini dilihat sebagai hal yang merisaukan mereka. Ini menjadi salah satu faktor kenapa kemerdekaan diberikan kepada golongan kanan.


Impak naratif pada waktu ini.
Bagi hal komuniti Orang Asli, masih terdapat hak-hak yang belum lagi diselesaikan sehingga sekarang, begitu juga dengan kaum wanita dan buruh. Apakah impak yang jelas apabila kita tidak lagi membicarakan naratif yang telah ada pada waktu dahulu? Kemudian Rohana Ariffin menjelaskan bahawa pada waktu ini, komuniti Orang Asli dihalau dan tidak boleh melangsungkan kehidupan mereka. Beliau juga menekankan sewaktu berlangsungnya gerakan pembebasan, ramai di antara juga turut terlibat di dalam gerakan kiri. Banyak OA yang turut membantu mereka. Pada waktu ini, segala konflik dapat difahami melalui sejarah. Sejarah membentuk realiti kita dan segala bentuk naratif yang pernah wujud pada waktu dahulu amat penting bagi kita pelajari dan amati. Bagi pihak saudara Juli Edo, beliau menjelaskan bahawa tanah di ambil British dan sebahagian besar tanah Orang Asli telah diwartakan untuk kegunaan lain. Persatuan Kaum Darat Selangor turut bangkit menentang Malayan Union, atas hujah permintaan tanah adat mereka itu dikembalikan kepada mereka. Tetapi mereka terpaksa meninggalkan UMNO kerana mereka bukannya melayu dan diperkuatkan lagi dengan perlembagaan. Mereka berharap kepada perjuangan UMNO untuk membela hak mereka. Tetapi yang tetap menjadi persoalan, undang-undang tanah British masih kita pakai sehingga hari ini. Dan rundingan dengan pemerintah nampaknya kurang berkesan. SUHAKAM telah membuat siasatan akan hak tanah peribumi Orang Asli dan juga Sabah dan Sarawak tetapi masih belum dilaksanakan. Malah diterukkan lagi, kebanyakan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tuntutan masyarakat peribumi. Itu yang terjadi pada waktu ini dan disebabkan kurangnya pemahaman akan tradisi penduduk. Pemerintah hanya melihat tanah sebagai sumber menjana ekonomi dan dari sudut pandang yang kapitalistik. Alfred kemudiannya mengembalikan perbincangan keadaan persoalan utama iaitu siapa yang memiliki naratif Merdeka dan apakah impak besar yang dapat kita lihat sekarang? Beliau menekankan kekurangan material alternatif sebagai salah satu faktor yang jelas. Ini secara tidak langsung dilihat sebagai bukti bahawa kurangnya wacana yang membincangkan hal ini menyebabkan idea yang lampau, yang dikirakan sebagai progresif dan maju tidak lagi mampu dibincangkan.