Surat Terbuka Buat Rebel Muda di UiTM

Perhatikanlah salahguna kuasa dengan teliti Pada malam 9 Disember 2011, aku sangat gelisah. Sepanjang petang itu, aku berlegar-legar di hadapan Kolej Mawar, kediaman kampus aku ketika itu. “Occupy UiTM di Dataran Cendekia, Speaker’s Corner. 8pm. Datang beramai-ramai,” begitulah SMS yang aku terima dari kawanku. “Sejak bila ada Occupy UiTM pulak ni?” fikir aku. Aku hanya berborak dengannya sekejap beberapa hari sebeum itu di Ali’s corner. Tak de sembang apa, hanya hal-hal politik biasa. Aku mempersiapkan mental aku untuk malam itu, walaupun aku tidaklah terlibat dalam perancangan ini, aku hanya dijemput untuk datang. Tapi aku tak tahu apa yang akan berlaku. Aku nak pergi untuk tahu siapa Occupy UiTM dan nak dengar apa diaorang nak cakap. Aku cuba bertenang. “Tak de apa kot,” kataku pada diri sendiri berulang kali. Setiap kali aku teringat detik ini, aku akan teringat mengapa aku perlu perjuangkan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Apa yang berlaku selepas malam itu benar-benar mengubah arah tuju hidupku kepada perjuangan menentang authoritariantisme di mana-mana, lebih-lebih lagi di universiti. Aku sampai awal. Di Dataran Cendekia telah ramai pegawai SB (Special Branch), kau akan tahu daripada pemakaian formal mereka dan perakam video yang tak lekang di tangan. Makanan banyak di DC, tapi aku tak lalu nak makan walaupun belum makan seharian. Aku tunggu Speaker’s Corner bermula, orang dah mula berkumpul. Sebaik sahaja penganjur Speaker’s Corner siapkan microphone, mereka mula. Aku tak berapa ingat siapa speakers yang memberi ucapan, tapi aku memang gelisah dengan kehadiran SB yang semakin ramai. 10 minit kemudian, aku nampak kelibat Haziq dan Khalid, dua pelajar aktivis politik yang memang diburu pihak hal ehwal pelajar (HEP) universiti masing-masing; Haziq disasar HEP Universiti Malaya, Khalid disasar HEP UiTM. Mereka ke Speaker’s Corner untuk memberikan ucapan mereka. Penganjur Speaker’s Corner tampak gelisah dengan kehadiran mereka ini. Dalam laporan mereka kepada media, malam itu Speaker’s Corner di’hijack’ oleh dua orang ini, yang mereka katakan dari Occupy UiTM. Jadi sebenarnya Occupy UiTM tidak wujud. Perkataan ‘occupy’ hanyalah perkataan yang dipinjam dari aktivis Occupy Dataran untuk mewujudkan sidang rakyat versi pelajar UiTM kononnya. Tapi tak jadi macam tu pun. Sungguhpun tidak wujud, perkataan ‘occupy’ dalam ‘Occupy UiTM’ telah cukup untuk pihak pentadbiran menghantar ramai SB untuk memantau keadaan. Polis bantuan juga ramai, dalam 10 ke 15 orang. “Apasal event pelajar nak kena ada polis?” aku fikir sendirian. Haziq berucap. Haziq biasa lah, dia kalau berucap mesti cakap pasal Anwar. Tak sampai 5 minit dia berucap, pegawai SB suruh dia berhenti. Keadaan mula kecoh bila Haziq enggan berhenti dan aku nampak pelajar pro-Aspirasi mula memaksa Haziq berhenti dengan kasar. Bila dah mula berkasar, pegawai SB pun mula menjerit-jerit suruh Haziq berhenti, macam nak rampas microphone pun ada. Masa ni aku berdiri atas tempat duduk yang ada DC, jadi aku nampak semua kekecohan tu dari atas. Haziq dipaksa diam dan dipaksa balik, ini mendatangkan ketidakpuasan hati dari penyokong-penyokong pro-Mahasiswa kerana kebebasan bersuara mereka disekat. Polis bantuan mula masuk campur dan suruh penganjur Speaker’s Corner tutup sesi. Bantahan dari pelajar disuarakan, jadi polis memaksa Speaker’s Corner ditutup juga. Polis dan SB suruh pelajar-pelajar yang membantah penutupan Speaker’s Corner diam dan balik. “Ini sangat tidak adil, kenapa kena layan pelajar universiti macam budak tadika? Let us speak,” kataku pada diri sendiri. [caption id="attachment_5367" align="aligncenter" width="570"]Gambar: Steve Morrish.com Gambar: Steve Morrish.com[/caption] Aku memang datang seorang dan tak ada kawan lain di situ. Dan aku langsung tidak memberi apa-apa ucapan awam. Kawan yang bagi SMS pasal Occupy UiTM tu pun aku tak jumpa. Haziq enggan balik dan penyokong-penyokongnya pertahankan beliau di situ, keadaan pun kecoh. Perakam video SB merakam semua ini, termasuk merakam pengunjung DC yang berada di situ. Polis bawa Haziq keluar dari DC, dan aku tak tahu macam mana, aku turut ditahan. Aku tak sempat lari, aku ditarik ke kereta dan dibawa masuk dalam kereta polis yang sama dengan Haziq. Kami dibawa ke Balai Polis Seksyen 7. Aku tanya kenapa aku dibawa sekali, polis tak jawab langsung pertanyaan aku. “Awak ikut je, awak ikut je,” itu sahaja jawapan yang diberikan kepadaku. Dalam kereta, kami disoal macam-macam. Aku disoal kenapa ada kat situ, sama ada aku kenal Haziq atau Khalid. Aku masa tu kenal Haziq biasa-biasa je, so aku cakap kat polis dengan jujur aku tak berapa kenal Haziq dan Khalid. Haziq nampak tenang, dan dia cuba menenangkan aku. Aku angguk je, tengok apa nak jadi. Sampai di lampu isyarat Padang Jawa tu, polis yang membawa kami diberi arahan untuk patah balik dan hantar kami ke pusat polis bantuan UiTM. Di sana, segala butiran aku diambil. Aku tak bagi polis ambil telefon bimbit aku dan mereka akur. Aku ditanya macam-macam tentang Haziq dan Khalid. Kemudian mereka lepaskan aku. Aku dah tak jumpa Haziq dah lepas tu. Jangan biarkan ketakutan menguasaimu Enam orang ditahan malam itu termasuk aku. Media cuba mencari siapa yang ditahan selain Shukri dan Haziq, tapi aku tidak tampil memberi keterangan kerana aku tidak mahu nama aku disebar. Masa tu aku masih muda dan tidak berani. Aku balik dan kumpulkan semangat aku. Tetapi pihak HEP silap besar jika mereka rasa penahanan aku malam itu akan membuat aku diam selama-lamanya. Sejak hari itu, aku punya kawan-kawan baru. Kawan-kawan untuk bersolidariti bersama menentang apa-apa jenis tirani dan penindasan. Kawan-kawan untuk menaikkan semangat sekiranya diancam penguasa autoritarian. Sepanjang 5 tahun aku di UiTM, aku dipanggil ke HEP dua kali lagi selepas peristiwa Speaker’s Corner, itu pun dah bersembunyi sebaik mungkin untuk melindungi diri daripada kuku besi pihak universiti. Mungkin itu cerita untuk lain hari. Namun natijahnya, selepas malam itu, Speaker’s Corner terus dibubarkan. Sehingga hari ini Speaker’s Corner tiada lagi di UiTM. Salah satu cara untuk terus membungkam mahasiswa daripada celik politik dan membuka minda. Wahai orang muda, Alangkah sia-sia waktu mudamu di tempat menimba ilmu jika ilmu itu tidak digunakan untuk melawan tirani. Segala tindak-tandukmu dikawal ketat oleh HEP, langsung tiada autonomi untukmu bergerak sendiri. Kebebasan akademik amat penting kerana kawalan ke atasnya sering digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengekalkan kuasa mereka ke atas orang lain. Lebih-lebih lagi di UiTM di mana kawalan politiknya datang secara langsung dari parti politik yang memerintah, mana-mana suara yang tidak menyokong aspirasi kerajaan akan dibungkam. Ini akan mendatangkan kesan kepada kestabilan ekonomi dan politik negara; sekiranya kita tidak boleh bersuara melawan korupsi contohnya, ekonomi kita akan terus dieksploit dan dimonopoli kroni. Kita nak maju pun susah kerana yang kaya tidak akan terancam kekayaannya apabila suara meminta kenaikan gaji terus disenyapkan, misalnya; atau indsutri beras akan terus dimonopoli sehingga kita perlu membayar harga yang mahal untuk beras sendiri berbanding beras import! Betapa pentingnya untuk kita bangun melawan, dan betapa banyaknya lagi penindasan yang perlu dilawan. Jadi lawanlah sedaya yang kamu mampu, hatta membenci dengan hati sekalipun. Tabahkanlah dirimu apabila berdepan segala jenis ancaman, kemenangan akan bersama dengan pihak yang benar.   Bersetiakawan, Mrym Lee Alumni UiTM, class of 2011-2015

]]>