Jangan lupa ikatan kemanusiaan kita Pertama sekali, buat rakyat Malaysia keseluruhannya. Ingatlah bahawa pada dasarnya, kita semua bersaudara. Ikatan inilah yang membuatkan kita anak warga Malaysia. Tidak kiralah sama ada kita berbeza rupa, warna, fahaman agama, mahupun ideologi kehidupan sekalipun, akhirnya perasaan sayang terhadap negara ini dan rakyatnya yang menakrifkan kita sebagai anak jati Malaysia. Dan ianya tidaklah lebih jelas daripada usaha semua anak Malaysia, dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan umur yang tampil berganding bahu untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini. Pasti ramai yang menyaksikan sendiri tubuh-tubuh yang mengerahkan diri tanpa dipaksa, demi belas ihsan terhadap manusiawi dan juga haiwan. Lihat sahaja betapa rencamnya mereka. Kesepaduan dalam kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia indah. Usah lagi persoalkan persaudaraan kita. Sudah terang lagi nyata, apabila tiba saatnya yang memerlukan, tangan-tangan beraneka warna inilah yang akan menghulurkan bantuan. Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengharapkan supaya mereka dikenali, mahupun ganjaran atau balasan. Di saat ini, segala perbezaan adalah enteng – diketepikan dahulu. Nyawa lebih penting daripada persoalan Muslim Sunni-Syiah, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, lesbian, gay, transgender, konservatif, liberal, ekstremis, imam yang menyokong Hudud, penari dangdut, pekerja asing, pelarian, politik – semuanya wajib diselamatkan dahulu. Anjing dan babi hutan sekalipun. Inilah kemanusiaan, kebaikan yang merentasi segala perbezaan agama dan identiti diri. Majoriti perlukan minoriti Buat rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka majoriti di tanah air ini, ketahuilah bahawa anda amat memerlukan warga-warga lain dalam mengharungi cabaran ini dan yang akan datang. Hakikatnya ialah majoriti ini hanya mencecah 50%, dan jauh lagi untuk mengejar status ekonomi 50% masyarakat majmuk yang lain. Bayangkan jika 50% atau lebih daripada pertolongan ini hilang. Atau bayangkan jika mereka tidak pernah wujud, betapa ruginya kebudayaan Malaysia yang telahpun bercampur dan meresap ke dalam kehidupan sehari-harian sehingga mungkin kita sendiri tidak sedar ataupun lupa (roti canai, kain pelikat – semua ini asalnya dari luar Nusantara). Maka hargailah warga-warga yang dianggap minoriti ini. Jangan sesekali mudah terpacul kata-kata yang menghambat pertalian persaudaraan ini. Sebaliknya, cubalah mengenali sesama sendiri. Usah segan bertanya, asalkan santun. Pelajari mana yang baik untuk memajukan diri. Akhirnya rezeki masing-masing hasil usaha, dan bukan dari sikap ketuanan ataupun hak. Tanamkan azam menjelang tahun baru ini untuk berusaha lebih dan memperbaiki diri. Perjuangkan keadilan dan hak bersama. Pelihara hak dan martabat warga minoriti Untuk golongan minoriti, khususnya yang terpinggir. Harapan kami ialah supaya anda dapat hidup dengan martabat kemanusiaan yang setara dengan warga Malaysia yang lain. Prejudis dan kebencian berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan persefahaman. Maka teruskanlah usaha anda dalam membina kesedaran, teguhkan hati dan bersabar, kerana ianya mengambil masa. Jangan mudah berputus-asa dengan warga Malaysia. Anda mempunyai hak untuk hidup, dan tidak harus memencilkan diri. Bagi golongan moderat. Walaupun ada kalanya diam itu lebih bermaruah, dan tindakan adalah lebih bermakna, namun ianya tanggungjawab anda untuk bersuara jika berlaku ketidakadilan. Perubahan hanya akan berlaku apabila suara rakyat cukup untuk memperbetulkan keadaan atau menuntut sesuatu yang lebih baik. Anda berhak untuk bersuara, dan keberanian perlu untuk menegakkan kebenaran. Bak kata Edmund Burke, “Kejahatan akan menang hanya apabila manusia-manusia baik berdiam diri.” Berteguhlah rakyat Malaysia! Maka berteguhlah rakyat Malaysia. Yang pasti, kita sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam membentuk negara ini. Untuk mendorong rakyat dan pemimpin kita supaya lebih cakna perihal-perihal penting, kita sendiri perlu beralih dari isu-isu remeh dan menumpukan perbincangan di sana. Pastinya satu iktibar besar kebelakangan ini ialah kepentingan untuk memelihara alam. Apa yang boleh kita lakukan secara persendirian? Ya, sudah wujud NGO-NGO yang menangani isu-isu ini. Yang perlu hanyalah usaha dari kita untuk menyokongnya. Sampai bila kita mahu menuding jari? Penyelesaian terletak di tangan kita. “Jadilah perubahan yang ingin kamu lihat,” kata Gandhi. Mungkin eloklah tahun 2014 ini menutup tirainya. Terlalu banyak perit jerih dan pengajaran yang sukar untuk kita. Moga di ambang tahun baru ini membawa satu nafas baru, harapan baru. Maju dan maju ke hadapan, selangkah demi selangkah anak Malaysia!
]]>