Air wujud di Marikh. Namun wujudkah makhluk pintar di Bumi?

Mars Earth Terjemahan dari “There may be Flowing Water on Mars. But is there Intelligent Life on Earth?” tulisan George Monbiot, terbitan The Guardian pada 29 September 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Bukti saliran air di Marikh membuka kemungkinan kehidupan di sana, dan segala keajaiban yang tidak dapat dibayangkan. Penemuan ini satu pencapaian yang menakjubkan. Sementara itu, ahli-ahli sains Marikh meneruskan pencarian mereka untuk kehidupan pintar di Bumi. Kita mungkin terpesona dengan kemungkinan organisma kehidupan di planet lain, namun kita seolah-olah telah hilang minat terhadap planet kita sendiri. Kamus Oxford Junior nampaknya semakin memadamkan tanda-tanda kehidupan di dunia ini. Perkataan yang menggambarkan haiwan dan tumbuhan seperti ular “Adder”, beri hitam, pohon blubel, buah berangan kuda, pohon holi, burung murai, ikan umpan, memerang, pokok primrose, burung thrush, cerpelai dan burung ren kini dianggap tidak perlu. Dalam empat dekad ini, dunia telah kehilangan 50% daripada kehidupan liar vertebrata. Namun menjangkaui tempoh kebelakangan ini, liputan media mengenainya semakin sedikit. Pada tahun 2014, menurut kajian di Universiti Cardiff, jumlah berita yang disiarkan oleh BBC dan ITV mengenai Madeleine McCann (yang dilaporkan hilang pada tahun 2007) adalah sama dengan jumlah berita mengenai segala isu-isu alam sekitar. Bear Emaciated Melihat ke Bumi Cuba fikirkan apa yang akan terjadi sekiranya kita menghargai air di bumi ini sebagaimana kita menghargai kemungkinan air di Marikh. Hanya 3% air di bumi ini adalah bersih; dan daripada itu, dua pertiganya ais. Namun kita membazirkan air bersih yang kita perolehi. 60% daripada air yang digunakan dalam pertanian disia-siakan kerana sistem pengairan yang tidak cekap. Sungai, tasik dan sumber air semula jadi disedut kontang, sementara yang tinggal seringkali dicemar sehingga ia mengancam kehidupan sesiapa yang meminumnya. Di UK, tahap penggunaan air terlalu tinggi hingga menyebabkan kebanyakan hulu sungai hilang ketika musim panas. Namun kita masih memasang sistem lapuk tandas dan pancuran air yang menyembur seperti air terjun. Berkenaan air masin pula, sama seperti yang mengujakan kita apabila dikesan di Marikh, di Bumi kita menghargainya melalui pemusnahan yang menggila. Laporan baru menunjukkan jumlah ikan telah berkurangan separuh semenjak 1970. Ikan tongkol pasifik, yang dahulunya berjuta-juta di lautan, kini hanya tinggal kira-kira 40,000, namun ia masih diburu. Terumbu karang sekarang diancam kepupusan menjelang tahun 2050. Dalam ruang kita sendiri, keinginan kita untuk memakan ikan eksotik membinasakan dunia yang tidak kita kenali lebih seperti permukaan planet merah itu. Pukat kini dijaringkan dan ditunda pada kedalaman 2,000 meter. Kita hanya mampu meneka kemusnahan yang dilakukan. Money Environment Keuntungan vs Alam – Di Mana Keutamaan Manusia? Beberapa jam sebelum pengumuman penemuan Marikh itu, Shell menamatkan pencarian minyak Artik di Laut Chukchi. Untuk pemegang saham syarikat itu, ia satu bencana kecil: kehilangan USD $4 bilion; bagi mereka yang menyayangi planet dan kehidupannya, ia berita yang menggembirakan. Ini hanya kerana syarikat itu gagal untuk mencari rizab yang mencukupi. Jikalau Shell berjaya, ia akan mendedahkan risiko tumpahan minyak kepada salah satu tempat yang paling lemah di Bumi, sesuatu yang barangkali tidak dapat dielakkan apabila pembendungan rapi adalah mustahil. Adakah kita sepatutnya meninggalkan perkara-perkara ini kepada takdir? Di awal September, dua minggu selepas memberi kebenaran kepada Shell untuk meneroka di Laut Chukchi, Barack Obama melawat ke Alaska untuk memberi amaran kepada rakyat Amerika tentang kesan-kesan buruk perubahan iklim yang mungkin menimpa Arktik akibat pembakaran bahan api fosil. “Omong-omong kosong sahaja tidak memadai,” katanya kepada mereka. “Kita perlu mengambil tindakan.” Kita sepatutnya “menggunakan kebijaksanaan manusia yang mampu melakukan sesuatu tentangnya”. Kebijaksanaan manusia jelas terpampang di Nasa, yang mengeluarkan imej-imej menakjubkan itu. Tapi tidak kelihatan pada dasar kerajaan. Biar pasaran yang menentukannya: inilah cara kerajaan menyelesaikan kemusnahan planet. Serahkan kepada hati nurani para pengguna, walhal ia disenyapkan dan dikelirukan oleh pengiklanan dan penipuan korporat. Dalam dunia vakum maklumat ini, setiap daripada kita harus menentukan apa yang perlu diambil dari spesies dan orang lain, apa yang harus diperuntukkan kepada diri kita atau ditinggalkan untuk generasi akan datang. Sudah tentu terdapat sumber dan tempat-tempat lain – seperti Artik dan lautan dalam – eksploitasi siapa hanya harus diberhentikan? Semua penerokaan, penggalian, pemukatan, pembuangan dan keracunan ini – untuk apa sebenarnya? Adakah ia memperkayakan pengalaman manusia, atau menjerut potensinya? iPotty Realiti Pelik Zaman Sekarang Beberapa minggu lalu, saya merasmikan hashtag #extremecivilisation, dan menjemput sebarang cadangan. Ia datang berduyun-duyun. Berikut adalah beberapa produk yang ditemui. Kesemuanya, setahu saya, benar-benar wujud. Bekas telur untuk peti sejuk anda yang dihubungkan dengan telefon untuk mengetahui berapa biji telur yang tinggal. Alat yang memasak telur hancur – di dalam kulitnya. Rambut palsu untuk bayi, bagi “bayi perempuan yang botak atau berambut jarang supaya mempunyai gaya rambut yang realistik” . iPotty, yang membolehkan kanak-kanak untuk terus bermain iPad ketika latihan tandas. Bangsal anti labah-labah yang bernilai GBP £2,000. Sauna salji, yang dijual di Emiriah Arab Bersatu, di mana anda boleh mewujudkan musim sejuk dengan petikan suis. Bekas peti sejuk tembikai beroda: keperlukan untuk berkelah – atau tidak, kerana beratnya lebih daripada sebiji tembikai. Krim peluntur warna dubur, untuk … sejujurnya, saya tidak ingin tahu. “Pemutar jam automatik” supaya anda tidak perlu bersusah-payah memutar jam tangan mewah anda. Telefon pintar untuk anjing, supaya mereka boleh mengambil gambar diri sendiri. Pisang yang sedia dikupas, dalam bekas polistirena yang dibungkus dengan plastik; buka sahaja bungkusannya. Setiap tahun, kita mencipta cara baru untuk membazir, dan setiap tahun kita menjadi lebih lali dengan penggunaan sia-sia sumber berharga di dunia. Dengan setiap cara yang halus, dasar norma kita beralih. Tidak hairan bahawa semakin kaya sesebuah negara itu, semakin kurang keprihatinan rakyatnya tentang kesan mereka terhadap planet kehidupan ini. Pengasingan kita dari dunia yang penuh keajaiban ini, di mana kita berkembang maju, lebih ketara sejak gambaran David Bowie tentang seorang gadis yang berjalan dalam sebuah “mimpi kelam”, dalam perjalanannya untuk “ketagih di layar perak”, di mana sepanjangnya adalah gangguan yang mengalihkan perhatiannya dari soalan-soalan besar tentang kehidupan. Lagu ini, sudah tentunya, adalah “Life on Mars” (Kehidupan di Marikh).

]]>