Al-Quran Percuma dan 'Anticipatory Bail'

Al-Quran dalam versi terjemahan pelbagai bahasa terdapat di seluruh dunia. Al-Quran terjemahan pelbagai bahasa ada di seluruh dunia.[/caption]

Program One Soul One Quran di bawah Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) dilancarkan pada Januari 2015 kononnya dalam usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar.”

Menurut pengarah projek, Sabariah Abdullah, pengedaran Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin kepada orang awam Bukan Islam dilaksanakan selama empat setengah bulan, iaitu sehingga Jun 2019, dan melibatkan anggaran perbelanjaan mencecah RM11.5 juta.

Secara paling mudah dan spontan, saya suka menyarankan supaya wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk membimbing serta memulihkan insan-insan sesat seperti Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa dan ISMA supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hal ini penting kerana segala usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar” terhalang dan musnah akibat dakyah serta kempen anti-dakwah yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar oleh puak fanatik, etnosentrik, ultra kiasu dan pelampau seperti mereka. Kalaulah “pembetulan” dan “pemulihan” dapatkan dilakukan pada peringkat akar umbi dan pada puncanya sendiri, maka tidak timbul masalah orang Bukan Islam salah anggap terhadap ajaran Islam. Secara mudah, mana mungkin masyarakat awam mendapat gambaran positif dan sebenar mengenai kesucian dan kehebatan Islam selagi wujud manusia seperti Ridhuan Tee serta orang-orang kuat dalam ISMA, Perkasa dan sekutunya? Dalam pada itu, walaupun sudah beberapa bulan sejak projek penyebaran dan pengedaran Al-Quran dimulakan, nampaknya pihak berkenaan masih teraba-raba dalam kegelapan. Perkembangan ini membuktikan bahawa seperti biasa, kita hanya pandai melancarkan sesuatu tanpa perancangan teliti. Apatah lagi dalam perkara melibatkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kitab agama. Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara mudah memberikan penyelesaian bahawa “penganut Bukan Islam boleh memulangkan semula salinan Al-Quran yang diberikan” jika tidak berminat untuk menerimanya.   Ketahui Punca Al-Quran Percuma Ditolak Soalan pertama: Apa perlunya orang Bukan Islam terbabit menerima kitab berkenaan jika mereka memang tidak berminat untuk memiliki dan membacanya? Mengapa mereka perlu menanggung beban memulangkannya semula? Soalan kedua: Kepada siapakah kitab itu perlu dipulangkan? Kepada pengedar di tepi jalan, ke masjid atau kepada jiran-tetangga beragama Islam? Bayangkan reaksi jiran beragama Islam jika orang Bukan Islam menyerahkan Al-Quran kepadanya! Nescaya disangka ada muslihat menyebarkan agama lain kepada mereka! Timbul pula isu kerana dalam insiden pengedaran Al-Quran yang dilaporkan oleh Young Buddhist Association of Malaysia berlaku di sekitar Klang, baru-baru ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Jadi, kepada siapa mahu dipulangkan kitab berkenaan jika orang Bukan Islam tidak mahu memilikinya? Tidak ada pihak yang mengaku mengedarkannya. Maka, apakah mahu dibuang ke dalam laut, sungai, tong sampah, atau dibakar sahaja? Demikian antara persoalan dan kebimbangan yang diluahkan oleh rakan-rakan menerusi mesej peribadi kepada saya berikutan penyiaran makalah bertajuk “Kenapa Bukan Islam Menolak Al-Quran Percuma?” (Kuala Lumpur Post, 5 Mac 2015). Walaupun saya secara peribadi tidak bermasalah – malah mengalu-alukan – menerima sumbangan Al-Quran versi Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya juga tetap memahami kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dalam isu ini. Bantahan dan kebimbangan pihak-pihak seperti Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Young Buddhist Association of Malaysia memang sangat berasas. Saya memahami pendirian mereka. Walaupun Perkara 3 dalam Perlembagaan memberikan jaminan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di seluruh negara, badan-badan agama serta penganut Bukan Islam sedar bahawa mereka tidak terlepas atau bebas daripada dakwah Islam dalam pelbagai cara. Saya percaya atas alasan itulah juga MCCBCHST menyeru penduduk Bukan Islam supaya tidak menerima Al-Quran yang diedarkan kerana dibimbangi “bakal menggugat kepercayaan penganut bukan Muslim.” Dalam hal ini, tentu sahaja “jaminan” yang diberikan oleh ahli jawatankuasa Biro Tarbiyyah ISMA, Mohd Azizie Hasan bahawa “tidak timbul langsung isu untuk memaksa orang bukan Islam memeluk Islam” tidak sedikit pun membantu menjernihkan keadaan.   Antara Prejudis dan Niat Tersembunyi Saya secara peribadi tidak percaya pada “jaminan” ISMA. Hal ini adalah kerana apabila saya menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi, ISMA terus “menyeru” saya masuk Islam (IsmaWeb, 19 Julai 2013). Maka, apabila orang Bukan Islam menerima Al-Quran yang diedarkan secara percuma, menelitinya dengan niat murni, lalu menyatakan kekaguman terhadap nilai-nilai liberal yang terkandung dalam Islam, pasti ISMA dan sekutunya akan segera memaksa (“menyeru”) individu terbabit terus masuk Islam. Berdasarkan alasan seperti ini serta pengalaman saya sendiri sejak kanak-kanak, maka saya amat memahami kebimbangan yang diluahkan oleh pertubuhan dan individu Bukan Islam. Seperti ditegaskan MCCBCHST, Perkara 11 (4) sepatutnya digunakan sebagai pelindung penganut Islam, tetapi tidak boleh digunakan untuk menyebarkan Islam kepada orang Bukan Islam. Sekiranya itulah “niat tersembunyi” – seperti diyakini rata-rata orang Bukan Islam yang menghubungi saya – maka wajarlah mereka berhati-hati (bukan “prejudis”) demi mempertahankan agama sendiri mengikut peruntukan sah dalam Perlembagaan. Tambahan pula, pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa dilaporkan berkata, “pilihan masih di tangan individu bukan Islam sama ada untuk menerima kitab Al-Quran terjemahan itu atau tidak.” Kenyataan ini juga membuktikan bahawa pertubuhan dan individu Bukan Islam berhak untuk awal-awal lagi membuat kenyataan rasmi – semacam mendapatkan anticipatory bail dalam filem Tamil – bagi mengelakkan sebarang kerumitan, kesukaran dan masalah yang mungkin timbul pada kemudian hari. Bak kata pepatah Melayu: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Maka, saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengkritik, menidakkan atau menghina pendirian badan-badan seperti MCCBCHST dan MHS. Mereka berhak untuk berkata “Thanks, but no thanks” sejak awal sebelum sejuta naskhah Al-Quran percuma diedarkan kepada orang awam Bukan Islam. Saya pula gembira menerima senaskhah The Holy Quran daripada rakan-rakan dari Jemaat Ahmadiyyah Muslim Malaysia. Versi ini agak membantu kerana mengekalkan teks Arab serta diberikan terjemahan Inggeris dan ulasan ringkas.   Cadangan dan Saranan Rakan-rakan Dalam pada itu, saya masih tertunggu-tunggu pihak IIS menyumbangkan Al-Quran dalam keempat-empat bahasa sebagai rujukan peribadi dan koleksi di perpustakaan mini Rumah Kavyan yang merupakan pusat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Seorang guru dari Jelebu, Negeri Sembilan, Jazilah Ramly, bersetuju dengan cadangan saya supaya Al-Quran yang diterjemahkan itu diedarkan ke perpustakaan awam dan desa di seluruh negara. Maka, sesiapa yang berminat boleh membacanya tanpa sekatan atau paksaan. Tambahan pula, Al-Quran memang sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seluruh dunia. Malaysia bukan negara pertama yang melakukannya. “Mungkin pengedarannya boleh diluaskan kepada pertubuhan atau persatuan agama-agama Bukan Islam di seluruh negara. Ini langkah lebih baik untuk membantu usaha mengenali Al-Quran seperti diharapkan,” katanya. Jazilah juga bersetuju bahawa langkah “mengenali” agama haruslah berciri dua hala. Beliau mengaku memiliki beberapa buah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris. “Saya sendiri sangat ingin memiliki bahan bacaan berkaitan agama-agama lain daripada sumber agama itu sendiri, seperti agama Sikh, Hindu dan Buddha,” katanya. Walaupun memang ada banyak buku mengenai agama-agama Bukan Islam yang ditulis dari kaca mata Islam, tentulah lebih baik dan afdal jika versi dari kaca mata agama asal itu sendiri dibaca untuk meningkatkan pemahaman. Sekurang-kurangnya boleh mengelakkan sebarang bentuk manipulasi fakta dan kandungan kitab suci seperti yang khabarnya sering dilakukan orang-orang seperti Zakir Naik. [caption id="attachment_4537" align="alignleft" width="225"]Hinduisme: Ajaran Eka Aneka yang Disalah Faham Hinduisme: Ajaran Eka Aneka yang Disalah Faham[/caption]   Sewaktu diwawancara oleh Rentakini semasa Bengkel Kemajmukan Agama anjuran Projek Dialog pada 7 Mac 2015, saya mengungkitkan pertanyaan mengenai kemungkinan orang Bukan Islam yang menerima dan membaca Al-Quran percuma itu akan mula melakukan perbandingan dengan kitab agama masing-masing. Perkara sama juga dibangkitkan oleh Damian Murphy Denis dari Pulau Pinang menerusi mesejnya kepada saya baru-baru ini. Katanya, orang Islam dan pertubuhan Islam (seperti JAKIM, misalnya) perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk menjawab persoalan-persoalan yang mungkin dikemukakan orang Bukan Islam selepas membaca kitab berkenaan.     Bersediakah Kita Untuk Dialog Antara Agama? “Mungkin ada antara pertanyaan dan kemusykilan yang dikemukakan itu agak sukar atau sensitif untuk dijawab oleh orang Islam. Soalnya, apakah mereka (orang Islam) bersedia untuk berdepan dengan keadaan seperti itu?” Soalnya sambil menambah bahawa dialog antara agama sepatutnya berciri dua hala, bukan dakwah sehala. Dalam beberapa makalah sebelum ini, saya melakukan perbandingan mengenai kewafatan Nabi Isa (Jesus) menurut Bible dan Al-Quran. Misalnya makalah “Jesus dan Isa: Serupa Tapi Tak Sama?” (The Malaysian Insider, 10 Februari 2015). Menerusi perbandingan agama menggunakan rujukan Al-Quran dan Bible juga, saya menulis “Memahami Hujah Jesus Adalah Islam” (Projek Dialog, 13 Februari 2015) demi membuka pintu dialog mengenai topik sensitif itu. Sebagai pengamal multi-faith dan pendukung dialog inter-faith, saya memperkatakan mengenai “Nabi Nuh dalam Al-Quran dan Bible” (The Malaysian Insider, 3 Mac 2015) dan “Hinduisme, Abang Sulung Kepada Islam?” (Free Malaysia Today, 1 Mac 2014). Selain daripada memperkatakan mengenai “Veda Sebagai Asas Hinduisme” (Projek Dialog, 2 Mac 2015), saya juga menulis “Buddha Sebar Islam?” (Projek Dialog, 21 Januari 2015) sebagai usaha menggalakkan dialog antara agama. Tentu sahaja segala perbandingan agama dan hujah-hujah yang saya kemukakan mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Tidak kurang juga yang menuduh dan memfitnah saya sebagai anti-Islam. Kononnya saya cuba menyebarkan ajaran Hindu/Buddha/Kristian kepada orang Melayu-Islam menerusi makalah-makalah berkenaan. Kononnya itulah sebabnya saya menulis makalah menggunakan Bahasa Malaysia. Apabila Al-Quran dalam versi terjemahan diedarkan secara percuma dan meluas kepada orang awam Bukan Islam, pasti sahaja dialog, pertanyaan dan hujah lebih hebat akan dikemukakan oleh mereka. Tanya DialogMungkin bukan menerusi makalah seperti yang saya lakukan atau menerusi majlis ilmu seperti anjuran Projek Dialog. Tetapi mungkin menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog. Paparan mereka tentu akan dikongsi rakan-rakan, selain diberikan komen secara terbuka dan tanpa sebarang sekatan. Apakah kita – khususnya pertubuhan Islam dan orang Islam – sudah bersedia untuk menanganinya secara profesional, terbuka dan berhemah tanpa menuduh orang Bukan Islam cuba mencabar kedaulatan Islam? Sanggupkah kita berdialog dua hala secara terbuka tanpa bersembunyi di sebalik Akta Hasutan dan Enakmen Agama Bukan Islam, misalnya?   unnamed ]]>