Projek Dialog

Antara sekarang dan masa depan: Satu temubual bersama Zul Fikri Zamir, pengasas Teach for the Needs

Apa matlamat disebalik penubuhan Teach for the Needs (TFTN)? Bila bermulanya gagasan ini pada tahap paling awalnya dan oleh siapa? Matlamat penubuhan TFTN adalah; i) memberi peluang kepada anak kelas corot, anak miskin dan yatim untuk memasuki kelas tusyen dan peluang pendidikan setara sebagaimana rakan-rakan mereka di kelas hadapan yang lain; ii) membantu guru dan sukarelawan TFTN bekerjasama menyelesaikan masalah masyarakat setempat; iii) membuktikan stereotaip bahawa anak kelas corot, miskin dan yatim ini adalah murid yang malas dan tidak berbakat. TFTN ditubuhkan pada Mac 2012 dengan tujuan menjadi platform kepada guru dan sukarelawan membantu anak-anak tertindas dan marginal ini dengan menyediakan ‘support system’ kepada guru dan sukarelawan TFTN seperti bantuan buku dan ‘teaching materials’ yang lain. Gagasan ini bermula pada awalnya oleh saya sendiri dengan bantuan sis Asmidar Alias setelah mendapat persetujuan 5 rakan guru lain yang bersetuju untuk memberikan kelas percuma kepada anak-anak terbabit. Siapa sasaran TFTN? Sasaran TFTN adalah anak-anak di sekolah yang menghuni kelas corot, anak yatim serta anak dari keluarga miskin yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM 800 sebulan. Mengapa tumpuan kepada pelajar-pelajar daripada gelongan berpendapatan rendah? Apakah dasar-dasar kerajaan yang sedia ada tidak mencukupi? Dasar kerajaan pada masa kini walaupun agak komprehensif, tetapi mempunyai berberapa blindspot yang tidak dapat dikesan oleh sistem atau Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri. Apakah blindspots teresebut? Boleh bagi contoh? Sebagai contoh, masih terdapat murid yang tidak boleh membaca pada umur 12 tahun. Tetapi mereka ini bukan hasil kepada sistem 6 tahun pembelajaran sekolah rendah. Kadang kala mereka masuk ke sekolah pada umur 11 tahun, menyebabkan mereka tercicir. Saya difahamkan kes sebegini masih banyak. Begitu juga dengan jurang di antara bandar dan pedalaman samada dari jurang teknologi mahupun sebaran guru. Semua ini memerlukan penyelesaian berbentuk setempat – samada dari masyarakat lokal atau guru di sekolah terbabit. Masalahnya kini kementerian di Putrajaya merasakan hanya mereka yang mampu menyelesaikan semua masalah di seluruh negara. TFTN percaya dengan menggerakkan masyarakat awam terutamanya anak muda, guru pelatih dan mahasiswa untuk menyelesaikan masalah anak-anak tertindas dan marginal ini; sebuah penyelesaian dalam kerangka setempat dapat dilaksanakan. Sekurang-kurangnya selain membantu anak-anak tersebut mendapat nilai pendidikan setaraf sebagaimana rakan mereka yang lain, TFTN juga berhasrat untuk menggerakkan masrakat sivil untuk cakna dengan isu pendidikan dan bergerak untuk menyelesaikannya secara kolektif. Apakah masalah yang paling biasa ditemui TFTN  dikalangan pelajar-pelajar yang TFTN bantu? Masalah biasa yang diajukan kepada TFTN oleh guru dan sukarelawan ialah penguasaan kemahiran 3M yang masih di tahap membimbangkan. Peratusan ketidakbolehan membaca di kalangan anak-anak TFTN agak besar. Kami belum lagi membuat saringan kebolehan kemahiran mengira – yang akan kami adakan pada masa hadapan dan dijangka peratusan tersebut akan lebih besar dari peratusan ketidakbolehan membaca. Apakah biasanya latarbelakang keluarga pelajar-pelajar yang ketinggalan tersebut? Apakah jenis pekerjaan ibu-bapa mereka? Biasanya latar belakang keluargamereka yang ketinggalan ini pelbagai. Jika di kota, kebanyakan mereka menghuni flat 2 bilik dengan jumlah penghuni sekitar 6-8 orang setiap rumah. Ibu bapa mereka selalunya pekerja kelas bawah seperti pekerja kilang dan sektor swasta yang gaji tidak melebihi RM 1000 sebulan untuk setiap rumah. Di kawasan pedalaman pun begitu juga, kebanyakannya hadir dari keluarga berpendapatan rendah. Dilihat banyak kecenderungan kepada penswastaan sebagai penyelesaian kemunduran kualiti pendidikan negara sekarang. Apa pendapat saudara? Saya percaya jika penswastaan boleh menyelesaikan beberapa isu dan masalah pendidikan  pun– tetapi dalam jangka masa yang pendek sahaja. Di Malaysia, pendidikan nasional perlukan sebuah ideologi dan falsafah baharu yang boleh memberi manfaat buat semua tanpa menyebabkan masalah lama berulang. Penswastaan bukanlah jawapan kepada ideologi dan falsafah pendidikan baharu sebagaimana yang diperlukan kini. Apakah falsafah tersebut? Apakah matlamat jangka masa panjang itu? Falsafah yang diperlukan negara kini adalah untuk membebaskan negara dari feudalisme ilmu. Zaman moden ini adalah zaman paling mencabar kerana kekuasaan dan pengaruh dipelopori oleh sebilangan kecil yang mendakwa mereka pemilik kebenaran. Ilmu harus dibebaskan kepada orang awam dan masyarakat untuk diamalkan, bukan terperuk di perpustakaan atau ‘online journal’. Pertama saya kira kajian mendalam terhadap Falsafah Pendidikan Negara pada masa kini yang digubal awal penubuhan negara Malaysia berpuluh tahun dahulu; perlu dibuat bacaan semula sesuai dengan perubahan zaman dan teknologi. Pendidikan negara pada masa kini bukan sahaja perlu merujuk kepada pembinaan insan holistik melibatkan unsur Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek mahupun Sosial; lebih besar dari itu konsep pendidikan haruslah bersifat anti-individualistik. Insan yang terhasil dari sistem ini perlu faham bahawa pendidikan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi adalah sebuah usaha berterusan untuk menyumbang secara aktif kepada masyarakat. Dalam jangka masa panjang, insan-insan yang terhasil dari falsafah ini akan menghasilkan sebuah sistem yang akan berfungsi untuk memajukan peradaban dan mengekalkan budaya negara bangsa. Halangan paling besar buat sistem pendidikan di negara ini adalah untuk merobohkan tembok institusi dan amalan lama yang telah meresap menjadi budaya kerja warga pendidikan khususnya. Setiap hari kita lihat isu-isu agama dan perkauman digembar gemburkan media. Apakah peranan yang boleh dimainkan universiti untuk memperbaiki atau menawar alternatif untuk menangani masalah tersebut. Saya berpendapat segala masalah dan isu seperti agama dan perkauman – jawapannya dipunyai oleh universiti-universiti yang menjadi pusat ilmu dan latihan anak muda masa kini. Jawapan kepada masalah tersebut samada dari segi teori, falsafah mahupun praktik; semuanya berada di perpustakaan-perpustakaan besar universiti terbabit. Malangnya, anak-anak muda dan mahasiswa tidak diajar untuk mencari penawar yang berada di dalam perpustakaan mega mereka untuk dianjurkan kepada masyarakat. Tetapi mereka diajar untuk mengejar CGPA , pointer ataupun Jurnal. Penawar dan ilmu, ditinggalkan di rak-rak perpustakaan. Kita perlu gerakkan anak muda untuk melihat pengakhiran pengajian mereka adalah untuk masyarakat, bukan untuk dirinya sendiri. Di manakah bermulanya kemelesetan budaya ingin tahu kritis di universiti-universiti kita? Pertama apakah yang dimaksudkan dengan budaya kritis? Apakah negara bersetuju dengan mazhab kritis sebagaimana dianjurkan oleh the Frankfurt School, Gramsci ataupun Freire? Kedua,  budaya ingin tahu ini tidak hadir secara tiba-tiba. Kita harus melihat semula sistem pendidikan di peringkat rendah dan menengah. Inilah masalah sebenar kita kerana di awal pembelajaran murid-murid disogok dengan set soalan dan jawapan. Pedagogi berorientasikan peperiksaan telah membunuh sifat ingin tahu seterusnya menghasilkan generasi yang hanya tahu menghafal dengan kemahiran berfikir yang sangat kurang.  Situasi ini bertambah parah apabila silibus yanga ada juga tidak membantu proses perkembangan kreatif dan pemikiran kritis pelajar. Pada pendapat saudara, patutkah MARA dibuka kepada golongan bukan Melayu dan Bukan Muslim? Saya optimis jika MARA dibuka kepada golongan bukan Melayu dan bukan Muslim, anak muda Melayu dan Muslim di MARA akan lebih berdaya saing serta dapat keluar dari kepompong selesa yang telah mereka huni selama ini. Saya juga percaya isunya bukanlah bangsa atau hak istimewa – tetapi lebih besar daripada itu adalah sifat jiwa besar, daya saing serta sikap untuk memajukan diri yang perlu dipupuk sejak dari kecil oleh keluarga. Apakah intipati semangat daya saing yang harus dipupuk? Apakah tempat atau peranan semangat kerjasama dalam konteks ini? Sebagai masyarakat bumiputra, sifat daya saing sangat perlu untuk memastikan keseimbangan pencapaian di antara bangsa-bangsa yang pelbagai. Di hujung sikap daya saing ini, satu pencapaian yang setara akan dicapai jika persaingan yang sihat diamalkan. Walaubagaimanapun, semangat kerjasama memainkan peranan yang lebih penting. Dengan adanya semangat kerjasama, daya saing akan turut meningkat untuk memandu pertumbuhan yang lebih positif. Saudara dilihat sebagai agak kritikal terhadap gerakan Mahasiswa, tapi tahun 2012 banyak menunjukkan tahap keberanian mahasiswa yang agak jarang dilihat sebelum ini, contohnya kes Adam Adli, Khalid Ismath, gerakan pemansuhan PTPTN. Bolehkah tren-tren ini dilihat sebagai satu permulaan peningkatan kesedaran yang baru bagi gerakan mahasiswa yang sebelum ini sudah lama terbantut perkembangannya? Tren-tren ini boleh diambilkira sebagai satu ‘sign’, walaubagaimanapun jika perkiraan dibuat secara statistikal, jumlah ini terlalu kecil dan sedikit. Lebih membimbangkan, ‘sign’ yang kita lihat kini adalah terlalu partisan. Sangat sedikit gerakan mahasiswa yang non-partisan; lebih dari itu gerakan mahasiswa yang turun ke bawah untuk menyelesaikan masalah masyarakat atau menjawab isu seperti gaji minima ataupun isu pendidikan hampir tidak ada. Sebagai penjelasan, boleh tak saudara huraikan dengan lebih lanjut apakah sebenarnya masalah dengan mengambil pendirian yang partisan? Di Eropah misalnya, pendirian partisan ini tidak menjadi masalah kerana kestabilan situasi politiko-sosio-ekonomi yang telah dicapai di sana. Malangnya di Malaysia, negara masih tersangkut dengan era ‘politics of fear’ dan ‘politics of patronage’. Sebahagian besar anak muda menganggap politik tidak menarik dan memualkan kerana dua sebab ini. Oleh yang demikian, pendirian non-partisan akan memberi lebih keuntungan di mana lebih ramai partisipasi akan dapat dijana selain akan membuka mata lebih ramai anak muda untuk menyumbang tanpa mengira ideologi politik. Lebih menarik, pendiri non partisan juga tidak tertakluk kepada peraturan-peraturan pelik partisan dan lebih mudah mendekati masyarakat. Buku karangan saudara, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang akan berada dipasaran tidak lama lagi, Apa pesanan utama buku ini? Pesan utama buku Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang adalah untuk menggembleng tenaga anak muda untuk keluar dari universiti dan membawa seluruh ilmu yang dipelajari untuk merawat masalah masyarakat. Anak muda harus segera bertindak serta mengambil alih peranan aktivisme untuk menentukan hala tuju negara. Mereka harus segera sedar Malaysia 30 tahun akan datang ditentukan oleh corak pemikiran mereka, bukan tokoh politik yang sudah berumur 89 tahun. Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai Teach for the Needs, sila layari laman web dan Facebook page mereka. 

]]>

Share your thoughts!

More Articles