Apabila Mahathir tegur Najib

Sejarah Melayu di mana watak bendahara, Sang Rajuna Tapa, membuka pintu kota kepada musuh atas kepentingan peribadi. Mahathir mempunyai pengalaman dalam politik selama lebih 40 tahun. Tambahan pula, beliau memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003). Maka, tentulah ramai yang bersetuju bahawa negarawan dan politikus itu mempunyai pengalaman, hak dan kewajaran membuat teguran terhadap pemimpin masa kini, khususnya Najib. Umum mengetahui bahawa Mahathir sendiri yang memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya pada 2003. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Mahathir jugalah yang mengkritik Abdullah secara terbuka serta menyokong Najib menjadi pengganti. Lalu, mengapa Mahathir sendiri tampil menegur Najib, seolah-olah beliau “tersilap” membuat pilihan? Umpama mebuka pekung di dada “Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya,” kata Mahathir di blognya. Timbul pertanyaan mengapa Mahathir melakukan kritikan secara terbuka sehingga semacam membuka pintu kepada “musuh” melakukan serangan bertubi-tubi. Dalam hal ini, mantan perdana menteri itu memberikan alasan bahawa dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah, serta beliau tidak menyangka pencapaian BN di bawah Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU-12 (2008). “Harapan saya, Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU-13. Malangnya sehingga kini tidak nampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya secara langsung kepada Najib,” akuinya di blog. Tanpa sedikit pun menafikan kemungkinan Mahathir berniat baik dalam membuat teguran itu, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa perbuatan beliau umpama membuka pekung di dada, atau menepuk air di dulang. Umum mengetahui bahawa Najib dikiritik hebat dari pelbagai penjuru oleh pelbagai pihak, sementara Najib sendirian dalam menangani segara serangan itu. Maka, apabila tokoh seperti Mahathir sendiri membuat kritikan yang secara langsung mempersoalkan kredibiliti Najib, maka mudahlah untuk orang ramai memetik kata-kata Mahathir untuk melakukan serangan susulan. Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, misalnya, menyeru Mahathir supaya mendesak Najib meletakkan jawatan perdana menteri. Malah, menurut Ibrahim, jika Najib bermaruah, maka beliau pasti akan melepaskan jawatannya secara serta-merta. Suara-suara kritikan yang lantang, berani dan terbuka juga datang daripada Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi Mahathir. Suara sokongan kurang lantang Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah benpendapat bahawa sedangkan kerajaan Singapura sedia menerima nasihat daripada bekas perdana menterinya, Lee Kuan Yew, maka Najib juga perlu bersedia menerima nasihat dan pandangan Mahathir. Secara perbandingan, beberapa pemimpin Umno yang mengemukakan pandangan terhadap kritikan Mahathir masih bersikap berhati-hati. Misalnya, rata-rata mengatakan mereka menghormati teguran, kritikan dan pandangan Mahathir. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Bera menzahirkan sokongan penuh terhadap segala dasar yang diperkenalkan oleh Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Ahli Parlimen Jempol pula dilaporkan oleh Bernama (20 Ogos 2014) sebagai menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Najib menguruskan negara dengan baik. Akan tetapi, siapalah Ismail dan Isa berbanding Mahathir. Pasti sahaja suara, pandangan dan hujah Mahathir selaku seorang pemimpin yang disegani pada peringkat antarabangsa lebih dipandang serius. Sikap berdiam diri media arus perdana juga membuktikan bahawa Mahathir masih digeruni. Mereka seolah-olah mengambil sikap berhati-hati kerana tidak mahu menerima kesan buruk jika menyokong Najib – sekali gus tidak menyokong Mahathir – secara terang-terangan. Tanpa menafikan hak dan niat Mahathir membuat teguran dan mengkritik kepimpinan Najib, mantan perdana menteri itu sepatutnya telah menggunakan cara yang lebih sesuai dan profesional untuk menyampaikan tegurannya. Orang ramai – seperti saya, misalnya – pasti tidak ada peluang untuk bertemu Najib sesuka hati. Mahathir pula tentu ada peluang untuk mengatur pertemuan tertutup bersama-sama Najib. Saya yakin Najib tidak akan menolak undangan Mahathir. Terlanjur perahu boleh diundur Bayangkan jika pertemuan empat mata berlangsung antara Mahathir dan Najib. Bayangkan segala kritikan, teguran dan rasa tidak puas hati disampaikan secara langsung dan dari hati ke hati oleh Mahathir kepada Najib. Pastilah kesannya tidak seburuk teguran terbuka yang dilakukan Mahathir menerusi blog – seolah-olah tidak ada langsung peluang bertemu Najib secara bersemuka. Mungkin inilah juga yang dimaksudkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila beliau mencadangkan Mahathir tidak lagi memberikan teguran secara terbuka mengenai masalah dalaman Umno dan kepimpinan kerajaan pusat. “Sekarang ini, seluruh negara sedar Najib menjadi lebih teruk daripada Badawi,” Syed Akhbar Ali pula mencatatkan di blognya. Walaupun Mahathir kemudian mengulas bahawa beliau tidak meminta Najib meletakkan jawatan berikutan teguran terbuka itu, penjelasannya sudah tidak bermakna lagi. Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, misalnya, memetik teguran awal Mahathir dan mengulas bahawa kelemahan Najib yang didedahkan itu perlu dipandang serius oleh rakyat. Mahfuz menambah komen (Harakah Daily, 19 Ogos 2014) bahawa Najib lebih banyak melakukan perkara bombastik demi kepentingan diri tetapi bukan demi negara. Nah! Siapakah yang telah membuka pintu kota seluas-luasnya sehingga memungkinkan segala kritikan pedas ini tersebar tanpa sekatan? Mustahil untuk mendakwa para pengkritik – sama ada politikus dari parti lawan atau orang ramai yang bersikap apolitikal – kerana mereka sekadar mengulas teguran terbuka yang dibuat oleh Mahathir. Saya amat yakin bahawa Mahathir tidak akan sesekali menarik balik kritikan dan tegurannya kerana ia melibatkan soal maruah dan kredibilitinya. Apakah Najib akan dibiarkan sendirian oleh media arus perdana untuk berjuang secara solo untuk membuktikan kata-kata Mahathir tidak benar? Sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan.    

]]>