Bermulanya Pasitan Malaysia?

Melati Timur (Pasitan merujuk kepada Inquisition yang berlaku di Sepanyol  pada kurun yang ke-15.) Iklan perayaan Deepavali PETRONAS yang terbaru seperti yang dijangkakan dihiasi unsur yang menyentuh perasaan. Kali ini ia memperlihatkan adengan warga tua dari rumah penjagaan orang-orang tua dibawa mendaki Batu Caves, melihat pemandangan indah tanah tinggi, singgah menikmati durian di tepi jalan, juga diajak turut serta makan sempena perayaan bersama ahli keluarga. Seperti kebiasaannya, iklan ini telah menerima reaksi positif dan menyentuh jiwa para penonton yang terharu dengan hubungan mesra yang ditampilkan. Namun bila diperhalusi dengan teliti terdapat keganjilan yang tidak mudah terlepas pandang. Watak-watak utama yang ditonjolkan merupakan seorang wanita muda suku kaum India, serta dua orang lelaki tua suku kaum India bersama teman mereka, seorang lelaki Cina. Ketaranya, tiada orang Melayu yang terlibat dalam menyambut perayaan ini. Satu-satunya orang Melayu yang dapat dilihat ialah seorang gadis di belakang kaunter yang sedang berkerja di sebuah stesen minyak. Gadis ini ramah dan gembira melayan karenah warga-warga tua ini, tanpa sebarang penglibatan dalam sambutan perayaan. Dia tidak mengenali mereka, dan hanya sedang berkerja di hari perayaan yang asing bagi dirinya. Malah, tiada langsung penghuni rumah warga tua tersebut merupakan orang Melayu. (Mungkin disebabkan tiada orang Melayu yang sanggup mengabaikan orang tua mereka, bukan?) Punca kepada keilmunan ini sebenarnya amat jelas bagi kita yang melalui fasa perubahan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia sejak era 1980an. Di sebalik kata-kata dan kebanggaan menjadi warga kepada Negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan suku kaum, hakikatnya orang Melayu telah semakin terasing, malah kelihatan sengaja mengasingkan diri daripada terlibat dalam kehidupan kaum lain, terutamanya dalam sebarang hal yang bersangkut-paut dengan agama. Mungkin sahaja kumpulan penerbit iklan perayaan Deepavali ini yang sengaja bertindak secara subversif. Namun lebih berkemungkinan mereka sebenarnya membuat keputusan untuk hanya akur kepada sensitiviti dalam hal antara-agama yang semakin ketat dalam masyarakat hari ini, sensitiviti yang tidak mengizinkan orang Melayu dilihat di dalam kuil Hindu, apa lagi jika diberi restu oleh Sami Hindu dengan tanda pottu di dahi. Pengasingan Sendiri Pihak media amat peka terhadap “peraturan-peraturan” tersebut, sama ada rasmi atau tidak, dan sering bertindak secara berhemat dengan menyunting sendiri hasil kerja mereka. Seorang penerbit tempatan pernah menceritakan tentang seorang petugas di Lembaga Penapisan Filem yang secara tidak rasminya memaklumkan bahawa sekiranya filem yang dihasilkan itu tidak melibatkan watak orang Melayu, tentu tiada masalah untuk mendapat kelulusan. Tetapi penampilan watak Melayu dalam filem itu menyebabkan perasaan kurang selesa dikalangan petugas penapisan walaupun tiada babak yang bertentangan dengan garis panduan penyiaran yang sedia ada. Atas sebab itu filem-filem Melayu kini hanya menceritakan kisah kongsi-gelap,  cerita hantu, dan ustazah anak dara yang jatuh cinta dengan lelaki yang merogolnya. Sampai masa ini kita masih mengkagumi kehebatan filem-filem P.Ramlee yang kaya dengan kritik masyarakat diselang-seli dengan komedi yang menghiburkan serta aksi drama yang meresahkan, tetapi malangnya kita tidak lagi dibenarkan menghasilkan karya sebegini. Seperti kebanyakan warga Malaysia generasi saya, saya dibesarkan dalam suasana menerima tanpa ragu-ragu sebarang jemputan rumah terbuka dengan suku kaum berbeza, makan bersama, dan menyambut perayaan satu sama lain. Malah, saya membesar di Pulau Pinang, turut sama menari dalam perarakan Thaipusam, pergi ke gereja semasa upacara perkahwinan dan berteriak menangisi upacara pengkebumian orang Cina (diakui kerana wang) dan melepak di sekitar kuil Buddha yang mempunyai taman-taman indah dengan para Sami Buddha yang mesra. Keadaan sekarang sudah berbeza. Kebanyakan orang bukan Islam sudah curiga untuk memberi jemputan kerana risau akan ditolak disebabkan penggunaan pinggan-mangkuk yang ‘tidak suci’. Orang Islam pula risau sekiranya lawatan ke gereja atau kuil, bekerja untuk orang bukan Islam, membenarkan orang bukan Islam menggunakan surau mahu pun bermain dengan anjing boleh menyebabkan serbuan, penahanan, penghinaan oleh masyarakat serta undang-undang. Analogi kepada Pasitan Sepanyol Perkembangan ini mengingatkan saya kepada satu tempoh yang ‘luar biasa’ dalam sejarah Eropah. Bagi saya, Malaysia sedang menunjukkan tanda-tanda menjadi seperti Sepanyol di Zaman Pertengahan. Mungkin ada beberapa perkara yang dapat kita pelajari daripada perbandingan ringkas ini. Di bawah pemerintahan Islam dan pada awal pemerintahan Kristian, pasca-Islam, kerajaan-kerajaan Andalusia sering menjadi model tolak ansur dimana berlaku perkongsian budaya dan kepelbagaian beragama dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni. Komuniti pelbagai ini tidak terpisah antara satu sama lain. Mereka mengekalkan identiti dan amalan upacara keagamaan masing-masing, namun pada masa yang sama aktif berinteraksi antara mereka. Keadaan ini menghasilkan percambahan budaya, kesenian dan sains. Malah, realiti kepelbagaian inilah yang meangkibatkan ilmu sains dan falsafah Greek menyerap masuk ke Eropah: ia satu usahasama yang membabitkan orang Islam, Kristian dan juga Yahudi. Situasi ini turut menghasilkan kacukan makanan, karya-karya seni, pembentukan institusi dan juga budaya. Penganut Kristian di bawah pemerintahan Islam membaca kitab-kitab serta doa dalam bahasa Arab, bukannya Latin. Orang-orang Islam pula masih membaca kitab Injil dan Taurat secara seiringan dengan ayat-ayat Al-Quran. Hinggakan tertera ayat-ayat Al-Quran menghiasi dinding-dinding di dalam Sinagog Yahudi. Bayangkan perihal ini: seorang Raja Kristian terkemuka yang mati sebagai seorang Saint dan di makamnya terukir tulisan dalam empat bahasa berbeza sebagai lambang mewakili rakyatnya yang pelbagai agama. Lima generasi berikutnya, waris pemerintahannya seorang lagi Raja Kristian telah mendapatkan khidmat artisan Islam terbaik untuk menaik taraf istana di Seville, lengkap dengan ukiran merujuk “Sultan” serta puji-pujian kepada Allah, termasuk di pintu hadapan istana. Orang ramai daripada setiap agama, dalam setiap bahasa bersaing untuk menghasilkan puisi-puisi paling hebat. Keadaan Sepanyol pada ketika itu yang amat meriah dan bersemangat dalam kepelbagaian telah banyak mempengaruhi pembentukan budaya Barat (termasuk muzik pop yang terhasil melalui penciptaan gitar Sepanyol), Sains dan falsafah. Malangnya keadaan ini tidak berkekalan dan berubah. Semasa zaman pemerintahan Ferdinand dan Isabel di Granada, Pasitan Sepanyol sudah pun bermula. Pengambil-alihan Sepanyol secara berperingkat oleh raja-raja Kristian dikenali sebagai The Reconquista, yang dalam sesetengah keadaan turut melibatkan paksaan menukar agama  terhadap orang-orang Yahudi dan Islam berserta ancaman dihalau keluar sekiranya komuniti-komuniti ini enggan menukar agama. Suasana kecurigaan dan wasangka ini mengapi-apikan lagi Pasitan Sepanyol. Jadi tidak hairanlah apabila situasi tekanan itu melahirkan suasan curiga terhadap asas dan mutu kepercayaan penganut baru golongan Kirsitian, yang hanya menjadi Kristian atas dasar ketakutan pemerintah. Oleh kerana kuasa ditumpukan untuk proses Kristianisasi, penguatkuasaan oleh pihak Pasitan  dihalakan terhadap golongan Kristian yang baru. Mereka digelark sebagai Conversos dan Moriscos, untuk merujuk kepada Yahudi ,Kristian dan bekas penganut Islam. Tentu sekali reaksi ini dapat difahami dalam kerangka waktu itu: sekiranya sesuatu agama itu dianut secara besar-besaran atas paksaan pemerintah (melalui ancaman dihalau atau dibunuh), tentunya pihak pemerintah akan, pada masa yang sama, mempersoalkan tahap keikhlasan keyakinan penganut baru ini. Kebimbangan lain turut timbul, iaitu sekiranya penganut Kristian beragama secara paksa dan tidak dibenarkan bertukar agama, maka timbullah rasa keraguan terhadap mutu kepercayaan agama yang dianuti masyarakat majoriti. Ada paradox apabila keagamaan diwajibkan dengan kekerasan: pemerintah akan mendapat rakyat yang seragam dalam label identiti agama mereka. Tetapi dasar yang sama membuat pemerintah berasa syak dan resah akan niat, mutu, halatuju dan pemahaman rakyatnya terhadap agama yang dipaksa ke atas mereka. Mereka percaya dan akur kerana takut, bukan kerana kerelaan dan penghayatan terhadap agama yang dianuti. Kesannya, masyarakat pada waktu itu terdiri daripada individu yang tidak ada pilihan melainkan untuk menjadi Kristian. Keseluruhan penganut Kristian ini berada dibawah bidang kuasa pihak Pasitan, yang berkuasa menyeksa malah membunuh penganut Kristian yang berdasarkan persepsi kerajaan tidak mengamalkan agama Kristian yang sebetulnya. Akibatnya, semua bentuk perhubungan dengan kelompok non-Kristian atau golongan Kristian yang baru menjadi amat bermasalah, kerana suasana syak dan keraguan terhadap mereka yang tidak cukup Kristian mengikut kayu ukur pemerintah. Akibatnya keikhlasan beragama semua orang diragui. Setiap aktiviti, walaupun bukan suatu kesalahan turut dianggap menjadi suatu ancaman kepada identiti Kristian yang dipaksa ke atas rakyat jelata. Jadi bermulalah Pasitan: Tuduh-menuduh berlaku sesama jiran hanya disebabkan perkara remeh. Sebarang perbezaan kecil daripada norma malah amalan yang sebelum ini diterima diragui. Seorang lelaki telah diheret ke dalam penyiasatan Pasitan hanya kerana memberi ucapan selamat kepada kawan lama beragama Yahudi yang sedang berarak dalam upacara keagamaan Yahudi, suatu amalan yang telah dilakukan tanpa gangguan sepanjang hidupnya sebelum itu. Namun pada ketika itu, tindakan persahabatan telah menyebabkan lelaki tersebut disiasat pihak Pasitan. Kawan lelaki itu yang beragama Yahudi, yang boleh dikatakan menjadi punca ‘kesalahan’, tidak pula dihukum kerana pihak Pasitan hanya berkuasa terhadap penganut Kristian. Psikologi Pasitan Ada pelajaran dalam perbandingan ringkas ini. Malaysia juga mempunyai penganut agama majoriti yang dilarang menukar agama. Mereka dikawal oleh institusi-institusi keagamaan khusus, tanpa bidang kuasa secara demokratik, yang berkuasa dalam segala aspek kehidupan peribadi yang boleh mendenda, memenjara dan memukul mereka. Nampak tak persamaan di sini? Kita dapat mengesan persamaan dalam kesan psikologi tindakan Pasitan yang berlaku. Sekiranya orang Islam tidak dibenarkan bertukar agama (beragama secara paksaan), maka keimanan mereka tentu sekali rapuh, dan boleh dijangka senang disesatkan hanya dengan sekadar satu bisikan. Kesannya dapat kita perhatikan melalui kerisauan masyarakat Islam. Sebarang hubungan dengan pihak bukan Islam dirasakan sebagai ancaman kepada agama istimewa ini. Hanya dengan membaca akhbar sahaja pasti sesiapa pun akan percaya bahawa bahaya Murtad sentiasa berlaku. Bermacam-macam larangan dikenakan kepada orang Islam hanya disebabkan kebimbangan berlakunya Murtad! Akibatnya seorang wanita yang sayang kepada anjing telah disiasat kerana dirisaukan beliau telah menghina Islam. Ada pula seorang wanita Islam yang berkerja di sebuah kedai buku milik bukan Islam ditahan hanya kerana menjual buku yang pada waktu itu masih tidak diharamkan kerana pihak berkuasa agama Islam tidak mempunyai bidang kuasa terhadap bukan Islam. Dan juga ancaman sekatan oleh kerajaan terhadap komuniti Syiah kerana dianggap menyeleweng dan mengamalkan ajaran sesat. Kes kalimah Allah juga penting untuk dibincangkan. Apabila agama Kristian mahu menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan di dalam Bible, dalam Negara yang “Allah” dikaitkan secara khusus hanya kepada agama Islam, secara logiknya penganut Kristian yang sepatutnya lebih terdedah kepada ancaman kekeliruan kerana secara ada kemungkinan mereka akan tertarik dengan agama Islam secara tidak sengaja. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku: timbul pula hujah perundangan yang mengatakan orang Islam boleh terkeliru dan kononya boleh dibawa ke pintu gerbang Murtad. Mengapa keyakinan orang Islam dianggap lebih rapuh sehinggakan perlunya lebih perlindungan? Bukankah kita sering diajar tentang kehebatan agama ini, yang juga agama majoriti dan elit pemerintah. Dengan kelebihan ini, mengapa perlu dirisaukan berlakunya kekeliruan kepada kita dan bukannya kepada penganut agama lain? Dimanakah silap keyakinan kita yang begitu dangkal hinggakan penggunaan perkataan Arab yang difahami sebagai Tuhan oleh penganut Kristian dapat melemahkan keyakinan sehingga ia kononya boleh menyebabkan ramai Muslim meninggalkan Islam? Keadaan ini sama seperti Zaman Pertengahan (Medieval) di Sepanyol bila mana penganut agama yang sedang berkuasa dianggap kurang beriman dan lebih senang diselewengkan, terutamanya melalui ancaman agama lain. Masalah penyelewengan ini dilihat sangat meruncing sehinggakan ada keperluan sebuah badan khusus dibentuk untuk beberapa abad dengan bidangkuasa menghukum amalan keagamaan yang menjangkaui norma. Akhirnya, institusi Pasitan ini mula mewujudkan senario dan kemungkinan kesesatan, dan kemurtadan yang sebelum ini tidak pernah difikirkan langsung. Ratusan ribu orang ditangkap. Adalah amat sukar untuk mengelak daripada sebarang jenis penyeksaan, penghinaan dan rampasan harta, tidak kira sama ada terhadap mereka yang didapati bersalah atau tidak disebabkan penyeksaan itu dibuat dengan tujuan Pasitan dan bukannya sebagai hukuman perundangan. Ketulenan?  Banyak sekali persamaan daripada apa yang berlaku semasa tempoh Pasitan Sepanyol yang sedang berlaku di Malaysia sekarang, contohnya sekatan untuk mereka yang mahu menukar agama serta keperluan untuk membuktikan keikhlasan. Tambahan pula penahanan terhadap golongan yang kononya tidak boleh dipercayai dan menyeleweng semakin menjadi-jadi. Bermacam usaha dilaksanakan untuk memadamkan rujukan sejarah, amalan budaya serta identiti yang menyentuh tradisi kacukan atau campuran seperti pengharaman buku, filem, tarian dan sebagainya. Ini merupakan suatu perebutan untuk menguasai bahasa dan agama. Hak bumiputera sebagai asas sebuah Negara dilanda obsesi-obsesi yang sempit. Pemahaman identiti menjadi semakin cetek dan dikaitkan dengan perkara-perkara remeh (pemakanan, cara berpakaian, tempat lepak, golongan interaksi, tempat persekolahan). Sesiapa sahaja yang berani bersuara mencabar norma akan didiamkan atau dicela. Seperti yang dilakukan oleh Pasitan Sepanyol, apa yang berlaku kini di Malaysia ialah suatu proses nasionalisasi paksa, dengan pemahaman sempit dan monolitik yang berbudaya satu dimensi. Agama digunakan sebagai senjata utama pemerintah. Sepanyol menjadi medan persaingan untuk menetapkan siapa yang selayaknya menjadi warga Sepanyol. Siapa yang diterima? Jawapannya sangat berasaskan perkauman, kekejaman, keganasan dan kesempitan. Mereka yang tidak menyesuaikan diri, yang berpegang kepada tradisi sebelumnya, walaupun dalam hal yang sangat kecil, diburu, diseksa, dihalau dan juga dibunuh. Seperti di Malaysia, kebanyakan budaya kacukan, dengan identiti campuran yang ketara dalam sejarah, serta penerimaan kepelbagaian upacara beragama terpaksa dikesampingkan demi menetapkan hanya satu cara sudut pandang dunia, walaupun dilaksanakan secara tidak tradisional dan secara paksa. Jadi kita boleh lihat bahawa dalam masyarakat penuh pemaksaan dan syak wasangka, kelakuan yang paling menunjuk-nunjuk sifat “biasa” itulah yang akan digelar penipuan. Pengajaran buat Malaysia Don Quixote, novel moden pertama di dunia, secara indah sekali menggambarkan tindakan kolektif untuk memadam dan melupakan sejarah, budaya serta makna. Usaha mencipta secara paksa satu identiti bangsa Sepanyol yang sempit hanyalah suatu ilusi degil. Buku ini merupakan suatu satira tentang mitos-mitos untuk mencapai satu identiti nasional. Mitos-mitos yang bahaya ini hanya merosakkan budaya dan sejarah. Semuanya dibuat berdasarkan penipuan dan cita-cita masa lampau. Sepanjang buku ini terdapat peringatan bagaimana tindakan memadam dan menulis kembali sejarah berlaku – pembakaran buku, serta penekanan melampau terhadap identiti (Dulcinea, watak utama wanita mitos dalam buku ini merupakan seorang ‘pakar pengubat babi’), kepupusan bahasa dan bagaimana mudahnya mitos dicipta untuk dijadikan asas kepada sejarah. Walhal, idea asal tentang kesatriaan, yang menjadi tradisi utama ciri-ciri orang Sepanyol, yang turut diambil Don Quixote sebagai penyerahan kehidupannya, juga bukanlah asli dan kemungkinannya diserap daripada pengaruh budaya Arab. Seperti yang dicatatkan oleh Maria Rosa Menocal tentang buku ini: “[f]orged in the bonfires of ideas, of books and of people, was the illusory conceit that there could be a pure national and religious identity, and yet this became the ultimate religion everyone had to live with. …Don Quixote is thus in part a postscript to the history of a first-rate place, the most poignant lament over the loss of that universe, its last chapter, allusive, ironic, bittersweet, quixotic.” Ungkapan “first-rate place” yang dimaksudkan ialah Sepanyol sebelum berlakunya Pasitan. Suatu masa yang budaya, bahasa dan agama dapat bergaul secara mesra. Tentu sekali keadaan ini bukan Utopia. Konflik tetap berlaku dan perbezaan sentiasa perlu dirunding. Namun ia membenarkan perbezaan itu wujud dan membentuk masyarakat pada skala yang lebih dinamik. Namun, nilai tolak ansur itu akhirnya diambil ringan. Tidak dapat dibayangkan pada waktu itu, yang Sepanyol akan menjadi tempat hanya untuk satu bangsa, satu bahasa dan hanya satu jenis versi agama. Saya amat mengharapkan, saya tidak akan hidup pada suatu hari nanti Don Quixote versi Malaysia akan ditulis. Kalaupun ada tertulis nanti, kemungkinan besar ia akan diharamkan.

]]>