Biar khatib berkhutbah

Lihat dan pertahankanlah apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah negara hari ini demi menjaga kesucian agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan juga harta. Semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat yang bijaksana, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan menghargai pihak pemerintah dan bandingkanlah keadaan kita dengan umat Islam di negara-negara jiran. Untuk konteks, khutbah ini disampaikan semasa negara mengalami musim pilihanraya. Kebetulan? Khutbah juga digunakan untuk menyerang apa yang ditakrifkan sebagai ‘musuh Islam’, tetapi lebih tepat sebenarnya jika kita katakan bahawa mereka adalah ‘musuh pihak yang memegang tampuk kuasa’. Contohnya pada tahun 2011 masjid-masjid di Kuala Lumpur menyampaikan khutbah yang menyerang penganjur Bersih 2.0 dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, LBGT  dan penganut agama Kristian juga sering menjadi sasaran mereka yang menyediakan teks khutbah Jumaat. Tidak hairanlah ada makmum yang bercakap, tidur, ber-Facebook atau tweet atau makan cendol di luar masjid. Jangan salahkan makmum yang tidak menghayati khutbah sekiranya khutbahnya sedemikian. Jangan terkejut sekiranya orang bukan Islam yang mendengar khutbah atau membaca teks khutbah mempunyai tanggapan negatif tentang agama kita. Bagaimana mahu menunjukkan keindahan agama Islam sekiranya mesej yang disampaikan sering menyerang agama lain? Bukan niat penulis untuk menetapkan apa yang patut disampaikan. Kepakaran dan ilmu penulis tidak di situ. Tetapi penulis merasakan bahawa terdapat peluang dalam masa setengah jam setiap minggu untuk menyampaikan khutbah yang benar-benar bermanfaat kepada para makmum. Sia-sialah sekiranya peluang itu digunakan sebagai saluran propaganda. Penulis berpendapat bahawa penyelesaiannya adalah dengan memberi kebebasan kepada setiap khatib untuk menyampaikan khutbahnya. Kita perlu bebaskan khutbah kita dari tangan pihak berkuasa agama dan kembalikannya kepada khatib-khatib kita. Biar mereka tentukan apa yang mereka ingin sebarkan kepada makmum, bukan pihak berkuasa agama. Biar khatib-khatib kita menjadi sumber maklumat, bukan setakat penyampai maklumat yang ditentukan oleh pihak atasan. Ya, mungkin ada khatib yang masih menyampaikan puji-pujian dan penghargaan kepada pihak yang berkuasa. Mungkin juga masih ada yang akan menyebarkan mesej negatif tentang agama lain. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kemungkinan bahawa khatib akan menyampaikan khutbah yang bermanfaat, seperti khatib bermelodi yang pernah menyampaikan khutbah di sebuah masjid di Petaling Jaya suatu ketika dahulu. Bebaskan khutbah kita, biar khatib yang berkhutbah!

]]>