Bila Cina bertutur Bahasa Arab

“Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset.” Sebenarnya, selepas lima tahun berjalan, ramai tidak tahu bulan ini bulan bahasa kebangsaan. Malah ramai yang kini merasakan bulan Oktober adalah bulan arak. Tahun ini, bulan bahasa Kebangsaan meliputi tiga bulan – September, Oktober dan November. Namun begitu ramai yang tidak menyedari. Justeru usaha kerajaan tadi bolehlah dianggap kurang berkesan. Malah meleset. Perhatikan juga, tidak ramai menteri yang menyambut usaha dan upaya Timbalan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Kalau bertutur, mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, termasuklah ‘yang satu itu’. Rasa semacam Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang diri dalam menyemarakkan bahasa Melayu. Di Malaysia, oleh sebab kita mempunyai berbilang bangsa, demi menjamin hak-hak bahasa ibunda, bahasa lain dibenarkan untuk ditutur, diwarisi dan disemarakkan. Fasal 152, Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963, disebutkan bahawa, ‘bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan bahawa (a) tidak ada seseorang pun yang akan dihalang dari menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain dan (b) tidak ada sebarang peruntukan dalam fasal ini yang boleh mengganggu hak kerajaan Persekutuan atau sebarang kerajaan negeri untuk memelihara dan memperkembangkan penggunaan dan pengkajian bahasa komuniti lain.’ Walau bagaimanapun bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi negara ini mestilah benar-benar dikuasai oleh rakyat. Apa yang mengecewakan adalah terdapatnya sebahagian ahli parlimen, selaku pemimpin masyarakat tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dan terkial-kial untuk mengemaskini status facebook di dalam bahasa ini. Bukan itu sahaja, mereka tidak dapat ‘bermain’ di parlimen sebaiknya kerana kurang mampu berbahasa Melayu. Hal ini merupakan sesuatu yang mesti diatasi jika aspirasi Malaysia yang dicintai ingin dicapai menjelang 2020. Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz, Felo Penyelidik PKIRM, UniMAP pernah menyatakan dalam satu kertas kerja mereka berjudul ‘Pendaulatan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Dan Bahasa Ilmu Di Malaysia: Sejarah Dan Kedudukan Masa Kini’ bahawa UMNO sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini. Mereka menulis, dipetik; ‘Ketidaktegasan UMNO/Parti Perikatan untuk memutuskan soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat jelas dalam Testament Amanah Politik Perikatan 1956. Silap dan salah UMNO itu berterusan apabila sebagai parti yang memerintah, UMNO di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003. Pada tahun 2013, polisi ini telah ditarik semula setelah pelbagai kajian menunjukkan pelajar pedalaman berada dalam keadaan ketinggalan. Sekali lagi Ramlah Adam dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz menyalahkan kerajaan; ‘Pencapaian pelajar luar bandar yang semakin merosot dalam kedua-dua mata pelajaran itu dalam setiap peperiksaan kebangsaan, bantahan badan bukan kerajaan serta persatuan guru-guru dan dapatan kajian-kajian akedemik dan bukan akademik yang negatif telah mendorong penarikan semula dasar itu.’ Semalam, ketika merewang di Sungei Wang untuk membelanjakan wang yang ada dalam poket,  saya terserempak dengan seorang peniaga menjual barang mainan, berbangsa Cina dan boleh bertutur dalam bahasa Arab meskipun berkarat dan tidaklah fasih. Cukup dan memadailah bahasa Arab beliau itu untuk meraih minat seorang pelancong Arab yang bertubuh besar dan berjanggut panjang untuk membelikan anaknya helikopter dengan alat kawalannya sekali. Setelah urus-niaga berjalan, saya pun bertanya kepada peniaga Cina tersebut bagaimana beliau boleh berbahasa Arab? Siapa yang mengajar? Susahkah mempelajarinya? Beliau mendedahkan, ya, bukanlah rahsia, kerana wang semuanya jadi. Oleh kerana bahasa Arab sudah menjadi semacam bahasa yang penting untuk peniaga Cina itu berniaga maka dia harus boleh bercakap sepatah dua. Peniaga Cina itu memberitahu saya, ‘yang dia tak pandai berbahasa Melayu’ kerana sekolah tidak tinggi. Beberapa tahun lalu saya pernah ke Beijing, di sebuah pusat membeli belah peniaga Cina tersebut boleh berbahasa Melayu, membilang angka dalam bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan beliau bukan Cina dari Malaysia, bukan pula ahli parlimen (katakanlah dari DAP); beliau hanyalah peniaga langsir. Akan tetapi kerana ramainya pengunjung Melayu, mak cik-pak cik yang ditaja oleh Ketua Bahagian untuk jalan-jalan membeli belah di Beijing, mereka yakni peniaga Cina tersebut dengan sendiri berinisiatif untuk berbahasa Melayu. Contoh klasik ialah peniaga Arab, Afghan dan Bangladesh di kota suci Mekah dan Madinah yang fasih berbahasa Melayu. Sebab apa? Sebab bahasa Melayu adalah bahasa jual beli dengan jemaah kita yang terkenal kaki joli. Bahasa Melayu kalau hendak jadi bahasa kebangsaan yang gagah dan bermartabat, haruslah diberikan sisi komersialismenya. Jadikan ia bahasa perniagaan, bahasa jual-beli seperti mana di zaman Kesultanan Melayu Melaka lama dahulu. Bukan sahaja bulan bahasa akan menjadi laku; kedudukan aktiviti kebahasaan dan persuratan tanpa payah dibulankan dengan sendiri akan rancak bersemarak. Orang akan mencari sendiri karya sastera kita, orang akan meluru membaca khazanah tradisi kita dalam bahasa Melayu. Bahasa kita akan dipandang bermaruah di mata dunia, di mata ‘1Dunia’. Soalnya, adakah komitmen politik sejauh itu? Seperti yang dinyatakan di atas, sudah terang lagi bersuluh. Maka tidak hairanlah Oktober sebagai bulan bahasa kebangsaan tidak dikenal orang. Bahkan kini Oktober lebih dikenal sebagai ‘bulan mabuk’. Semua gara-gara kebingungan dan salah prioriti.

]]>