Bukan wanita Melayu terakhir

Siapa saya? Kebelakangan ini, isu perkauman semakin banyak dibincangkan. Daripada pengalaman sendiri, saya akui mengalami krisis identiti tentang justifikasi bangsa saya. Walaupun saya lebih selesa menyatakan bahawa saya adalah rakyat Malaysia, adakah kenyataan yang sama juga bermakna identiti saya sebagai seorang Melayu beragama Islam diletakkan dikedudukan yang lebih rendah dari kerakyatan saya? Lebih penting lagi, adakah negara kita mempunyai identiti tersendiri sebagai bangsa Malaysia? Kepincangan peribadi berkenaan jatidiri ini ditambah pula dengan isu gender- siapa sebenarnya seorang wanita melayu dan adakah saya memenuhi kriteria seumpamanya? Melihat kad pengenalan saya, agak ketara hitam putihnya kotak di mana saya sepatutnya diletakkan. Warganegara: Malaysia. Bangsa: Melayu. Agama: Islam. Jantina: Perempuan. Namun, setiap kali saya ke luar negara dan semasa berpeluang melanjutkan pelajaran di Australia, saya selalu dimajukan soalan: adakah Malaysia itu hanya Melayu, Islam? Dan jika ya patutkah saya dianggap sebagai seorang duta kecil negara saya? Rojak Jawapan saya seringkali terpaksa berpandukan kempen pelancongan negara kita yang paling popular: “Malaysia, Truly Asia“- bahawa negara kita ini rakyatnya berbilang kaum dan agama, namun identiti setiap bangsa tidaklah terlalu stereotaip sepertimana diwar-warkan dalam kempen tersebut. Malaysia yang saya kenal dan tahu, adalah rojak yang bercampur aduk dan tidak semestinya tegas dalam kepompong budaya masing-masing. Cara kita bercakap seharian adalah contoh utama: “macha,you nak tapau or makan sini, lah?” Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kita boleh berbangga dengan betapa uniknya negara kita ini, terutama sekali penggunaan “lah” di akhir kebanyakan ayat! Mengimbas soal kepincangan identiti ini, titik permulaannya adalah semasa saya dibuli dan disisihkan oleh rakan-rakan sebangsa sendiri. Saya dibesarkan di kawasan yang kebanyakannya dihuni orang berbangsa Cina. Pasar pagi yang sering dikunjungi menjual babi di satu bahagian dan ayam halal di bahagian yang bersebelahan. Namun semua dari berbilang bangsa akan bersarapan roti canai atau apam manis dari kedai yang sama. Pendidikan pertama saya adalah di tadika Cina sebelum ke sekolah kebangsaan. Namun, saya dibuli bukan kerana bangsa saya, tetapi kerana saya lebih selesa berbahasa Inggeris, lebih gemar membaca dari bermain, dan saya terlalu banyak bertanya. Sering saya diejek tentang ingin “menjadi orang putih”, tidak tahu berbahasa kebangsaan dan terlalu taksub dengan budaya barat. Apa yang cukup? Erti kata rakan-rakan saya sebenarnya, saya ini tidak cukup Melayu, tidak cukup Islam, tidak cukup Malaysia. Jika wanita melayu sepatutnya berdiam diri, mulus, ayu, dan mematuhi kaum Adam tanpa banyak soal, saya bukanlah wanita melayu. Seringkali saya diingatkan tentang hal ini – supaya diam, rendahkan pandangan dan tahu bahawa setinggi manapun saya belajar, tempat saya adalah di dapur, dan nilai paling berharga saya sebagai seorang gadis muda ketika itu adalah kedaraan saya. Ia seolah-olah diri saya bernilai hanya sebagai seorang isteri dan ibu. Tidak saya nafikan bahawa peranan utama wanita berkisar tentang keluarga. Sebagai seorang manusia biasa, saya juga mempunyai kemahuan untuk mencintai dan dicintai. Perkara utama yang menyentuh hati saye sepemergian arwah ayah adalah berkaitan keluarga dan bahawa arwah ayah tidak dapat mewalikan saya. Namun, jika berbincang tentang peranan dan identiti wanita melayu, sejarah sendiri membuktikan bahawa wanita bukan hanya berperanan untuk menyokong kaum Adam, tetapi tegas dan tetap dalam menegakkan kemahuan diri mereka sendiri. Kebanyakan srikandi, nama-nama seperti Tun Fatimah, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi, memegang peranan penting dalam memperjuangkan hak mereka dan usaha membina masa depan negara yang lebih baik. Jadi, di mana bermulanya tanggapan bahawa kaum Hawa tidak sama tarafnya dengan kaum Adam? Siapa wanita Melayu? Lebih penting lagi, siapakah wanita melayu? Pada pendapat peribadi saya, semua orang berhak untuk menjadi diri mereka sendiri. Bangsa etnik, budaya dan agama merupakan ramuan yang membina diri setiap individu, dan tidak perlu untuk salah satunya terpaksa dipilih sebagai identiti terutama, tetapi seperti rojak – perlu dicampur-gaul sama rata. Wanita melayu secara stereotaipnya digambarkan sebagai berkebaya ketat, bertudung litup, isteri mithali dan ibu penyayang. Bagi wanita seperti saya – yang gemarkan kebaya tetapi tidak selesa menggayakannya di makmal penyelidikan, yang masih bujang dan lebih mementingkan kerjaya dan penyelidikan daripada memikirkan perkahwinan dan mempunyai anak-anak ; saya juga wanita Melayu. Ada wanita Melayu yang merupakan isteri solehah dan ibu mithali, dan masih memainkan peranan penting dalam kerjaya dan menyumbang kepada negara. Tidak perlu rasanya kita berfikiran seperti mangsa dan meletakkan diri kita sendiri di bawah tempurung gender, bangsa etnik atau agama. Sebaliknya, harus kita yakin dengan kebolehan sendiri dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan di dalam kerjaya masing masing dan memainkan peranan setiap individu dalam membina negara Malaysia yang berdaya saing sebagai negara maju. Fikirkanlah, betapa mampunya kita jika tiada sikap kebergantungan yang keterlaluan dan jika kaum Hawa, yang memonopoli kemasukan ke institusi pengajian tinggi, juga sama sama memainkan peranan seiring dengan kaum Adam. Usah terlalu berpegang kepada kekangan identiti stereotaip, tetapi yakin dengan kebolehan dan bebas untuk membuat pilihan yang terbaik untuk diri kita sendiri! unnamed

]]>