Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian 4)

(Anda juga dijemput membaca bahagian pertamakedua dan ketiga) Menilai sesuatu aliran dengan prejudis tidak akan melahirkan kedamaian. Sebaliknya permusuhan akan membengkak, dan seterusnya permusuhan yang tidak berkesudahan akan membarah. Ekoran itu, menilai sesuatu aliran itu perlu adil, jujur dan ikhlas. Dalam ayat ke 8 dari surah al-Maidah, Allah SWT ada berpesan agar melakukan keadilan, walaupun terhadap mereka yang tidak sealiran dengan kita. Firman Allah yang bermaksud, “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa” (Surah al-Maidah, ayat 8) Begitulah sebilangan orang sunni menilai aliran syiah, juga sebilangan orang syiah terhadap aliran sunni. Ekoran kebencian yang membuak-buak, menjadikan mereka menilai sesuatu fahaman itu tidak dengan kerangka yang jujur, sebaliknya penilaian itu berlapikkan sentimen dan prejudis. Antara kaitan dalam perkara ini adalah seperti dalam perbincangan tentang konsep Taqiyyah yang menjadi antara bahan serangan sebilangan tokoh-tokoh sunni terhadap Syiah. Apabila kita memperhalusi fahaman syiah terhadap Taqiyyah dalam kerangka mereka dengan jujur dan adil, pasti kita akan mengambil sikap tidak bermusuh dengan mereka, sebaliknya akan terus dengan berdialog dan saling hormat menghormati satu dengan yang lain. Taqiyyah Di sisi syiah, Taqiyyah bermaksud perkataan atau perbuatan yang tidak serupa dengan kepercayaan hati untuk mengelak dari berlaku kemudaratan pada diri, nyawa atau maruah diri. Dalam maksud yang lain, jika seseorang individu syiah itu tinggal di satu tempat yang bilangan mereka minoriti dan bilangan golongan selain mereka majoriti yang boleh memberi bahaya kepada nyawa, harta dan kemuliaan diri jika mereka pamerkan kesyiahan mereka, maka dibenarkan kepada mereka untuk bertaqiyyah untuk mengelak dari terkena perkara yang memudaratkan itu. Ekoran itu, para fuqaha’ syiah membenarkan kepada individu syiah yang tinggal di kalangan masyarakat sunni sebegitu untuk menunaikan solat seperti orang sunni, atau mereka berwudu’ dengan membasuh kaki (dalam syiah, kaki tidak dibasuh ketika berwudu’, tetapi disapu sahaja). Pengamalan ini adalah untuk mengelak dari tertimpa kemudaratan atau kerosakan yang lebih besar kepada diri, nyawa, harta dan maruah hidup mereka. Asas pemikiran Taqiyyah ini adalah kepada beberapa dalil-dalil naqli dan aqli yang juga merupakan sumber dalil dalam aliran sunni. Ia berasaskan kepada firman Allah SWT dari surah al-Nahl, ayat 106 yang bermaksud, “Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar” Penurunan ayat ini adalah merujuk kepada kisah penyeksaan yang dilakukan oleh orang-orang Quraish terhadap seorang sahabat bernama Ammar bin Yasir. Ekoran tidak tahan dengan penyeksaan itu, menjadikan Ammar bin Yasir bertaqiyyah; dengan menyebut kalimah kufur, tetapi hatinya kekal beriman dengan Allah SWT. (Fakhr al-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jld 9, hlmn 470) Juga ia merujuk kepada firman Allah; Surah ali-Imran ayat 28 berbunyi “illa an Tattaqu Tuqah” yang bermaksud, “Kecuali karena memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka”. kalimah “tuqah” itu memberi maksud taqiyyah. Ini jelas dengan kupasan Ibn Abbas yang perkataannya dinukilkan oleh Ibn Kathir dengan katanya; “Bukan taqiyyah itu dengan perbuatan, tetapi taqiyyah itu dengan lisan”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld 2, hlmn 30) Juga sandaran pengamalan taqiyyah ini adalah kepada satu hadis yang diriwayatkan dalam sumber sunni, iaitu riwayat al-Tarmizi, daripada Asma’ binti Yazid bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud, “tidak halal menipu kecuali pada tiga keadaan; seorang lelaki berkata terhadap isterinya agar dia menggembirakan isterinya, menipu dalam peperangan dan menipu untuk mendamaikan antara manusia yang bergaduh” (al-Tarmizi, hadis no :1862) Di kalangan orang syiah, taqiyyah itu adalah satu keperluan untuk mengelak dari berlaku kerosakan atau kemudaratan yang lebih besar kepada diri mereka. Ekoran itu, apabila mereka sudah punyai Negara seperti Iran, atau mereka tinggal di kawasan atau negeri yang mereka tidak akan tertimpa kerosakan yang lebih besar, dengan terang mereka mengaku dan mengamalkan syiah secara terbuka. Dengan maksud, mereka tidak lagi bertaqiyyah dalam mengamalkan syiah mereka. Melakukan kerosakan yang sedikit demi mengelak dari berlaku kerosakan yang lebih besar, bukan sekadar wujud dalam pengamalan syiah, malahan wujud dalam pengamalan sunni. Ini dapat dilihat kepada beberapa fatwa ulama-ulama sunni yang mengizinkan makan bangkai demi untuk menjaga nyawa, mengizinkan minum arak jika tidak ada cara lain untuk nak elak dari tercekik, melafazkan kalimah kufur untuk mengelak dari terbunuh bagi orang yang beriman dan sebagainya. (al-Imam al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair, hlmn 76) Al-Imam al-Ghazali juga pernah menyatakan kewajipan menipu bagi seorang muslim terhadap orang zalim yang mahu membunuhnya. Perkara ini dirungkaikan oleh al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din dalam bab perkara yang diberikan keringanan untuk menipu. (al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, jld 2, hlmn 332) Tafsiran prejudis Tidak dinafikan bahawa di sana terdapat tafsiran prejudis dari pihak sunni terhadap pemahaman syiah tentang taqiyyah dengan mengemukakan beberapa sumber-sumber syiah. Antaranya adalah, mereka kemukakan perkataan beberapa tokoh syiah, seperti al-Imam al-Sodiq yang berkata yang bermaksud, “sekiranya kamu berkata bahawa orang yang meninggalkan taqiyyah adalah seperti orang yang meningalkan solat, maka kamu adalah orang yang benar” (Ibn Babayaih, Man La Yahduruh al-Faqih, jld 2, hlmn 127) Juga perkataan al-Imam al-Sadiq dalam nukilan yang lain yang bermaksud, “tiada agama bagi mereka yang tidak bertaqiyyah” (al-Hur al-Amili, jld 10, hlmn 131) Perkataan-perkataan ini menjadikan sebilangan orang-orang sunni menuduh bahawa syiah menjadikan taqiyyah sebagai rukun-rukun dalam agama, bukan sebagai perkara rukhsah. (Dr Sardar Damiral, ‘Ulum al-Hadis Bain Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah wa al-Syiah al-Imamiyyah al-Isna ‘Asyariyyah, hlmn  48) Dakwaan sebegini amat bercanggah dengan maksud atau definisi taqiyyah yang terdapat dalam kupasan di kalangan sarjana syiah. Ini kerana, jika diakui benar seperti dakwaan orang-orang sunni itu, sudah pasti dari sudut pandang syiah, segala aqidah syiah di kalangan sarjana-sarjana syiah di Iran dan Iraq sudah rosak ekoran mereka mempamerkan kesyiahan mereka di sana. Begitu juga sudah rosak aqidah syiah dalam diri orang-orang syiah yang menunaikan ritual mereka secara terbuka seperti yang dapat dilihat berlaku di Negara-negara yang kuat fahaman syiahnya. Dakwaan orang-orang sunni itu sebenarnya adalah gambaran tidak memahami terhadap nukilan perkataan sumber syiah tersebut ekoran membaca perkataan itu dalam pemahaman literal dan prejudis, sedangkan syiah bukan seperti salafi atau wahabi yang menilai nas secara literal, sebaliknya mereka punyai manhaj pemahaman cara mereka tersendiri apabila menilai sumber-sumber mereka. Dalam erti kata yang lain, menafsirkan taqiyyah sebagai salah satu rukun agama dalam fahaman syiah ekoran melihat literal pada perkataan al-Imam al-Sodiq yang menyatakan kewajipan taqiyyah sama tahap dengan kewajipan solat adalah tafsiran yang tidak benar. Sebaliknya maksud dari nukilan itu adalah, jika dengan tidak taqiyyah itu mendatangkan kerosakan yang lebih besar, makanya ketika itu bertaqiyyah adalah wajib, seperti sepertimana wajibnya solat. Rukhsan Taqiyyah Ada pihak mendakwa bahawa taqiyyah yang dibenarkan adalah dalam perkara rukhsah sahaja. Itu adalah pemahaman taqiyyah mengikut ajaran sunni. Hakikatnya, perkara yang sama juga berlaku dalam ajaran syiah. Namun begitu, jika diandaikan bahawa taqiyyah itu satu perkara yang azimah dalam fahaman syiah, didapati dalam sunni sendiri berlaku khilaf antara fuqaha’ mazhab jumhur dengan fuqaha’ mazhab Hanafi antara mendahulukan azimah atau rukhsah jika berlaku pertembungan. (Lawan bagi rukhsah adalah azimah. Rukhsah bermaksud memilih yang ringan, sedangkan azimah adalah memilih yang beban walaupun dibenarkan memilih rukhsah). Dalam fuqaha’ mazhab jumhur, didahulukan rukhsah berbanding azimah jika berlaku pertembungan, sedangkan di kalangan fuqaha’ mazhab Hanafi, didahulukan Azimah berbanding rukhsah. Alasan Fuqaha’ Mazhab Hanafi adalah merujuk kepada satu hadis yang berkaitan dengan dua orang sahabat yang telah masuk ke kampung yang dikuasai oleh Musailamah al-Kazzab yang mengaku jadi nabi. Salah seorang dari dua orang tersebut telah dibunuh ekoran menolak Musailamah sebagai nabi, sedangkan satu lagi terselamat dari dibunuh ekoran mengakui musailamah sebagai nabi, tetapi hatinya kekal menafikan kenabian musailamah. Perkara itu diketahui oleh Nabi, menjadikan Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang terselamat dari terbunuh itu mengambil rukhsah yang diberikan Allah, sedangkan yang terbunuh pula dia mempertahankan kebenaran dan dia berbahagia (masuk syurga)”  (petikan dari Dr Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, jilid 1, halaman 113). Jadi dengan itu, jika diandaikan syiah menjadikan taqiyyah sebagai perkara azimah, ia tidaklah menjadikan perkara itu sebagai sebab atau punca permusuhan antara sunni dan syiah sehingga tidak boleh didialogkan. Ini kerana, di kalangan sunni sendiri terdapat khilaf di kalangan fuqaha’ dalam mendahulukan antara rukhsah dan azimah apabila diberikan pilihan. (Akan bersambung…. )

]]>