Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian akhir)

(Anda juga dijemput membaca bahagian pertamakeduaketiga dan keempat) Pentingnya dialog Pernah satu hari saya berbeda pendapat dengan seorang teman yang sama beraliran Sunni tentang sikap mencari damai dalam perbedaan antara Sunni dan Syiah. Teman saya itu mahu mengambil sikap membenteras Syiah dengan kekerasan, sedangkan saya mencadangkan dialog yang lebih sihat. Pendapat saya ditolak beliau. Apabila saya bertanya, apa sikap sewajarnya terhadap mereka yang berfahaman Syiah. Beliau menjawab, “cukup sekadar mereka mengakui bahawa mereka bukan beragama Islam” Saya bertanya lagi, “apa pendapat anda jika mereka pula minta Sunni mengakui bahawa Sunni bukan beragama Islam?” Soalan saya itu menyebabkan dia terdiam. Rata-rata kita menilai kononnnya dialog antara Sunni – Syiah seperti gagal. Tanpa kita sedari bahawa kesan dari usaha damai yang diusahakan mereka terdahulu menjadikan usaha dialog segar antara dua belah pihak semakin berlaku. Walaupun tidak semeriah seperti yang dijangka, sekurang-kurangnya di pihak Syiah sendiri sudah ada sebilangan mereka yang menyeru agar kritikan dan mengkafirkan sebilangan sahabat oleh Sunni tidak dilakukan. Dalam perbuatan mengkafirkan sesiapa sahaja secara terbuka, kebimbangan yang paling besar adalah ia akan membawa kepada pertumpahan darah. Pengkafiran akan mangkibatkan sesuatu yang boleh dibincang secara damai bertemu jalan kegagalan. Ini kerana, menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir, melahirkan sentimen kebencian dan kemarahan, akan tentunya menghalang dialog secara ilmiah dan rasional. Bahayanya tuduhan pengkafiran Mengkafirkan manusia bermaksud menentukan orang yang tidak sealiran sebagai terkeluar dari islam. Dalam maksud yang lain, dia telah menentukan orang yang dituduhkannya  sebagai ahli neraka, sedangkan semasa si penuduh melakukan tuduhan tersebut, dirinya sendiri pun masih belum ada “cop mohor” kelayakkan masuk syurga. Hakikat yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja bahawa ke syurga atau tidak, bukan cop dan lebel kafir yang diberikan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain; bukan dari satu aliran terhadap aliran lain; bukan dari satu fahaman terhadap fahaman yang lain. Syurga seseorang itu berdasarkan rahmat dari Allah SWT. Dalam riwayat Sunni, daripada Al-Imam al-Bukhari, didatangkan satu Hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “Sesekali seseorang itu tidak masuk syurga dengan sebab amalannya”. Lalu seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apakah diri Nabi Muhammad SAW juga begitu? Nabi SAW menjawab yang maksudnya, “Ya, aku juga tidak masuk syurga dengan amalan, tetapi dengan dikurniakan rahmatNya”. (Al-Bukhari, Hadis No : 5241, Muslim, Hadis No : 5040) Dalam kes sebegini, saya amat terkesan dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Al-Imam Al-Tahawi yang pernah menyatakan, “Kami menetapkan sebagai ahli Qiblat (Kaabah) sebagai Muslim dan Mukmin selama mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia beramal dengan semua perkataan Baginda SAW dan membenarkan semua yang Baginda SAW beritakan.” Dalam pemikiran Sunni, sesuatu perkara itu tidak boleh diletakkan hukum haram kecuali terdapat nas yang jelas dan saheh. Inikan pula, untuk menentukan seseorang itu kafir, sudah pasti tidak boleh berlaku kecuali dengan sesuatu yang jelas dan nyata. Di zaman penurunan wahyu, budaya kafir mengkafir ini tidak berlaku, tetapi hairan di zaman wahyu sudah berhenti, budaya takfir ini semakin menjadi-jadi. Ini memberi gambaran, bagaimana budaya kafir mengkafir ini bukan satu perkara yang sihat, tetapi ia terhasil dari sikap kebencian, emosi melampau, hawa nafsu dan berpunca dari sikap tidak berusaha mencari jalan damai dalam berhadapan dengan perbedaan. Ada sebilangan Sunni marah dengan sikap sebilangan Syiah yang mengkafirkan sahabat, makanya mereka mengambil sikap mengkafirkan balik orang-orang Syiah. Jika difikirkan balik, sikap orang Sunni yang sebegitu sekali-kali tidak dapat mendatangkan kedamaian, kecuali permusuhan semakin membengkak, Akibat dari itu dialog antara dua belah pihak semakin gagal berlaku. Dan di pihak sebilangan orang-orang Syiah ada pula yang mahu mengkafirkan sahabat, apakah perlunya mereka mengeluarkan kenyataan kafir mengkafir terhadap sahabat di khalayak, sedangkan ia sedikit pun tidak mendatangkan hasil yang baik dalam hubungan antara masyarakat yang terdiri dari berbagai latar pegangan mazhab dan aliran. Tahaluf  Saya secara peribadi tidak berharap agar Sunni membuang pakaian Sunni, lalu menyarung pakaian Syiah, atau Syiah membuang pakaian Syiah, lalu menyarung pakaian Sunni. Pada saya, setiap Sunni dan Syiah perlu kekal dengan pemahaman dan kepercayaan masing-masing. Tetapi tapi dalam perbedaan kepercayaan ini, mereka boleh seiring sejalan dalam perkara yang boleh mereka bersama, dan berdialog secara segar dalam perkara yang mereka berbeda. Isu-isu sensitive antara kedua-duanya, seperti isu mengkafirkan sahabat wajar dielak berlaku di khalayak demi untuk menghormati perasaan Sunni. Pihak Sunni juga patut diak turut menimbulkan sensitive yang melahirkan perbalahan dengan Syiah. Tetapi, jika mahu ia didebatkan secara ilmiah, hendaklah dilakukan di kalangan mereka yang berkelayakkan sahaja. Tujuannya adalah, agar perbedaan ini tidak melahirkan perbalahan, sebaliknya menghasilkan natijah yang baik. Pada saya, seruan agar menSyiahkan orang Sunni, atau menSunnikan orang Syiah bukan seruan yang sihat, kerana ia adalah permulaan terhadap perasaan rasa tidak jujur antara satu dengan yang lain. Dengan perasaan sebegini, perbedaan itu satu masa nanti akan bernatijahkan perbalahan dan permusuhan. Makanya, dialog sihat dan damai akan bertemu kekusutan dan jalan buntu. Kesimpulan Perbedaan pendapat, kepercayaan dan aliran tidak seharusnya difikirkan sebagai perbalaham. Sebaliknya ia perlu dianggap sebagai warna warni untuk mengindahkan kehidupan. Namun, perbalahan sering terjadi ekoran tidak ada sikap ingin kenal mengenali dan fahami memahami antara satu dengan yang lain. Banyak tamadun yang hebat dahulu runtuh ekoran tidak bersedia mengenali pihak yang berbeda. Tamadun yang berjaya mencipta nama, selalunya bermula dari sikap pencoraknya dari kalangan mereka yang hormati perbedaan, malahan tidak segan untuk pelajari kelebihan dari pihak yang berbeda dengan mereka.         unnamed

]]>