Dilema MAIS terhadap saudara Kristian

Pendedahan Agenda Kristian (2014). Buku berkenaan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diedarkan secara percuma kepada para peserta “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Saya sudah selesai membaca Bab 5 (bab terakhir) dan ingin berkongsi pelbagai ilmu serta maklumat yang terkandung dalam bab berkenaan demi manfaat masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan kepercayaan di Malaysia. [caption id="attachment_3525" align="alignleft" width="300"]10388964_10152149113968990_1139270627_o Salinan buku diserah di IPD Shah Alam untuk membantu siasatan.[/caption] Tambahan pula, pada 20 Mei 2014, selepas pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerahkan satu salinan fotokopi buku berkenaan bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, saya singgah di pejabat MAIS di Seksyen 5, Shah Alam. Saya mendapat pengesahan bahawa seminar di UiTM tempoh hari bukan acara tertutup seperti dikatakan sesetengah pihak, tetapi terbuka kepada umum. Buku berkenaan pula biasanya hanya diedarkan (secara percuma) semasa MAIS mengendalikan program seperti ceramah dan seminar. Bagaimanapun, jika ada pihak yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (serta pelbagai bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh MAIS), maka boleh sahaja mengemukakan permohonan menerusi surat rasmi dan pasti akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Bagaimanapun, memandangkan bahawa ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kandungan buku tersebut, eloklah saya berkongsi sebahagian daripada kandungannya di sini. Tambahan pula, buku itu sukar diperoleh di mana-mana. Orang ramai juga boleh membaca makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014) dan “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014) yang turut membicarakan sebahagian kandungan buku ini dari beberapa sudut. Bab 5 bertajuk “Cadangan Penyelesaian dan Tindakan untuk Menangani Agenda Kristian” dan dikatakan adalah “bab terpenting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh kesatuan dan kekuatan pegangan umat Islam dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)” (halaman 109). Sikap sebenar Kristian, menurut pandangan MAIS Perkongsian ilmu, maklumat dan fakta daripada Bab 5 dirasakan amat perlu memandangkan MAIS dalam buku tersebut sudah mengakui bahawa “isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari” (halaman 30). Dinyatakan bahawa Hindu, Buddha dan Kristian “menjadi pilihan untuk dianuti oleh Muslim di Malaysia yang murtad” tetapi “hanya Kristian yang didapati paling aktif menggerakkan usaha misionari untuk menarik penganut agama lain khususnya Islam menganut agama tersebut” (halaman 34). [caption id="attachment_3521" align="alignleft" width="300"]Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah. Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah.[/caption] Atas sebab itulah juga saya merasakan amat perlu untuk menyebar-luaskan kandungan Bab 5 buku Pendedahan Agenda Kristian kepada orang ramai. Saya tidak akan berpihak kepada sesiapa tetapi membiarkan pembaca membuat penilaian sendiri. Harus diakui bahawa buku ini agak sukar diperolehi buat masa sekarang – susulan laporan polis pada 8 Mei 2014 serta pembukaan fail siasatan kes oleh IPD Shah Alam pada 16 Mei 2014. Maka, saya akan membuat banyak petikan langsung daripada buku berkenaan tanpa ada sebarang niat melanggar Akta Hak Cipta dan hak moral MAIS selaku penerbit. Petikan kata demi kata (verbatim) juga bagi memastikan saya tidak terkhilaf atau tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam buku. Enam kesimpulan berkaitan “sikap sebenar Kristian” dipaparkan pada hujung Bab 1 (halaman 16) seperti berikut: Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam. Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam. Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam. Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga. Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian). Manakala Bab 5 pula secara langsung mengemukakan pelbagai cadangan bagi penyelesaian dan tindakan untuk menangani apa yang dilabelkan oleh MAIS sebagai “agenda Kristian”. Evangelisme Kristian dituduh punca semua masalah Sebagai langkah muhasabah diri, umat Islam diseru supaya “melihat realiti umat dalam menghadapi cabaran agenda Kristian” berdasarkan lima urutan berikut: Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (umat Islam) dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)? Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian akidah umat Islam? Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahan kemuliaan agama Allah? Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam)? Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan bagi terus mempertahan kesucian akidah Islam? Ringkasnya, tugas-tugas di atas perlu dilakukan dari dalam (kalangan umat Islam sendiri) tanpa perlu menuding jari menyalahkan pihak luar (“musuh-musuh Islam” khasnya orang Kristian). Sekiranya akidah dan keimanan sudah utuh dan kukuh, datanglah apa-apa cabaran, umat Islam di Malaysia akan tetap berdiri teguh. [caption id="attachment_3524" align="alignleft" width="300"]MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian. MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian.[/caption] Apabila keimanan tidak kuat dan akidah tidak sempurna (iaitu masalah “dalaman” Islam dan bukannya masalah “dari luar”), barulah timbul beberapa isu seperti “mengiya dan sokong usaha musuh”, “tertipu dengan usaha musuh”, “meremeh usaha amar makruf dan nahi mungkar” serta “keliru dengan tindakan yang harus diambil” (halaman 110). Walau bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian masih tetap dengan “misi” dan “niat” mahu meletakkan beban kesalahan atas bahu “agenda Kristian” (halaman 110-111). Umat Islam ditanya apakah mereka masih mahu bersangka baik dengan gerakan evangelisme Kristian. “Masih mahu membela evangelisme Kristian sedangkan Allah telah nyatakan mereka akan selama-lamanya tidak redha kepada orang Islam? Masih mahu berada di zon selesa dan yakin sepenuhnya tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan?” Demikian antara pertanyaan kepada pembaca. Pada halaman 112-118, dikemukakan “tindakan untuk menghadapi agenda Kristian” yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, institusi agama Islam (peringkat persekutuan dan negeri), institusi pengajian Islam, politikus Muslim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, gerakan belia, pendakwah Islam, umat Islam dan Individu Muslim. Antara cadangan MAIS yang menarik perhatian saya adalah “mewujudkan dasar keharmonian antara Islam dan Kristian ke arah masyarakat majmuk yang harmoni” serta “meningkatkan elemen pendidikan seperti kempen dan program kepada masyarakat tentang kehidupan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum”. Perlu sebar Islam kepada orang Kristian Hal di atas tentulah selaras dengan pengakuan MAIS bahawa “penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian” (halaman vii) dan “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Dalam pada itu, MAIS turut menggesa supaya “menggunakan pelbagai medium penyebaran seperti khutbah Jumaat untuk mendedahkan situasi sebenar masalah kristianisasi di kalangan umat Islam” serta “merangka modul pendidikan khas untuk sekolah agama berkaitan kesedaran kristianisasi”. Selain daripada “menjalankan penyelidikan tentang cara terbaik menangani usaha kristianisasi ke atas Muslim”, institusi pengajian Islam juga disaran “melahirkan pakar-pakar dalam bidang dakwah kepada golongan Kristian”. Tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah menyatakan harapan agar “ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan” (Sinar Harian, 19 Mei 2014) kerana dia beranggapan orang Kristian tiada kerja selain menghina Islam. MAIS pula menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian meminta NGO Islam “melakukan risikan dan berdakwah kepada gerakan Kristian” serta “menjadi feeder kepada kerajaan dan institusi agama untuk menghadapi dakyah Kristian”. [caption id="attachment_3523" align="alignleft" width="300"]10396500_10152149114258990_85601244_n (1) Penulis sempat berkunjung ke pejabat MAIS baru-baru ini.[/caption] Sebagai kesimpulan (halaman 119-120), salah satu perkara yang diingatkan kepada umat Islam di negara berpenduduk majmuk ini adalah supaya “waspada dengan taktik, cubaan dan strategi gerakan evangelisme Kristian yang sentiasa tidak reda dan berusaha untuk menghancurkan Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka”. MAIS ternyata “merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam” walaupun “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Ada semacam dilema dan unsur ironi yang amat nyata. Sewaktu berkunjung ke pejabat MAIS pada 20 Mei 2014, saya dimaklumkan bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian agak sulit (sukar) diedarkan sekarang berikutan isu seminar anti-Kristian di UiTM yang sedang hangat dan masih dalam siasatan polis. Dalam keadaan seperti itu, besarlah harapan saya bahawa makalah ringkas ini mampu membantu masyarakat memahami sebahagian kandungan buku berkenaan. Saya tidak mahu “menghukum” pada kali ini, sebaliknya menyerahkan kepada pembaca untuk mengemukakan pandangan balas.         unnamed

]]>