Dilema sekelompok Melayu

Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) terpaksa diakui kebenarannya. Apabila saya menulis makalah “Dilema Melayu, Cina, India” (Projek Dialog, 16 April 2014) serta memetik beberapa pandangan Sulaiman, saya mengandaikan akan ada hujah balas yang rasional dan bernas daripada pembaca untuk menafikan kata-kata ilmuan berumur 71 tahun itu. Akan tetapi, ternyata masih wujud sekelompok kecil manusia yang kurang mampu membaca – bukan sekadar mengeja-eja dan mengeluarkan suara – lalu memutar-belitkan fakta sehingga komen-komen yang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook tersasar jauh dari topik asal. Saya hanya mampu menepuk dahi dengan penuh kecewa apabila kesimpulan yang dibuat oleh beberapa kelompok manusia daripada makalah berkenaan adalah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. [caption id="attachment_3357" align="alignleft" width="300"]Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen? Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen?[/caption] Lebih menarik apabila ada pula puak tertentu yang sekadar membaca kesimpulan itu dan mula kecoh secara berlebih-lebihan tanpa ada kemampuan membaca makalah asal. Apatah lagi kemampuan membaca buku tulisan Sulaiman. Sayang seribu kali sayang. Ada sekumpulan kecil manusia yang tidak cukup pandai untuk membezakan antara “hujah Uthaya Sankar SB” dan “hujah AB Sulaiman”. Maka, seluruh hujah balas (reaksi) menjadi tidak logik dan sekadar merapu. Bayangkan bahawa seseorang berada di Kuala Lumpur dan mahu memandu ke Perlis menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan. Dia terus memandu menuju ke Seremban dan tertanya-tanya mengapa tidak ada papan tanda menunjukkan arah Perlis. Dia terus memandu hingga ke Johor Bahru tetapi tetap mengatakan bahawa dia mahu pergi ke Perlis. Saya sudah menegaskan pada ayat terakhir dalam makalah itu sendiri: “… saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.” Maka, apabila diberitahu bahawa ada beberapa pandangan sedang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial, saya teruja kerana mengharapkan serta mengandaikan bahawa akan ada dialog yang intelektual. Malangnya, apa yang saya temui hanyalah komen-komen merapu yang tidak sedikit pun mengembangkan minda. Sebaliknya, reaksi penuh emosional yang sesungguhnya membuktikan segala hujah serta pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman menerusi bukunya. Cuba menegakkan benang yang basah Anehnya, apabila ada orang tampil mengemukakan komen yang intelektual dan rasional serta ternyata memahami kandungan sebenar makalah saya, mereka pula menjadi sasaran kelompok “minda tertutup” yang tidak mahu mengizinkan akal (Arab) dan budi (Sanskrit) mengatasi emosi negatif sedang mereka sebarkan. Bayangkanlah hakikat bahawa saya hanya memetik satu bahagian kecil daripada buku Sensitive Truths in Malaysia tetapi reaksi yang tersebar di ruang siber sudah lebih daripada mencukupi untuk menunjukkan memang wujud sekelompok kecil manusia (bukan semua) sebagaimana digambarkan oleh Sulaiman. Ya, ternyata bukan imaginasi penulis semata-mata! “There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun itu dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Demikian salah satu petikan dalam makalah saya yang ternyata menimbulkan kemarahan sekelompok kecil warga siber dan keyboard warriors. Tetapi ingat! Majoriti kelompok itu yang berkongsi komen penuh emosional tidak pula mengambil inisiatif membaca keseluruhan makalah asal yang saya tulis. Salah satu komen panjang yang sempat saya baca dimulakan dengan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. Dari mula hingga akhir komen panjang-lebar itu, itulah benang basah yang cuba ditegakkan. Lebih menyedihkan (kerana saya telah mengharapkan komen dan dialog intelektual) apabila rata-rata orang yang membaca komen panjang-lebar itu pula terus mempercayai sepenuhnya hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” lalu tampil sebagai “serikandi Melayu” untuk berhujah penuh emosional; kononnya demi mempertahankan maruah kaum, bangsa dan agama. [caption id="attachment_3359" align="alignleft" width="300"]Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan. Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan.[/caption] Apabila saya memetik pandangan Sulaiman dalam makalah yang membicarakan dilema orang Melayu, Cina dan India, salah satu harapan saya adalah supaya khalayak (khususnya khalayak sasaran buku itu, iaitu orang Melayu) mencari, meneliti, membaca dan memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis berkenaan sehingga beliau berani berkata “There is no such thing as a Malay race.” Malangnya, mungkin kerana buku berkenaan ditulis menggunakan Bahasa Inggeris (“bahasa penjajah”) maka diabaikan begitu sahaja. Tanpa disedari, salah satu “sikap Melayu” yang disebutkan oleh Sulaiman dalam bukunya sudah terbukti benar dalam kelompok kecil ini. Lebih menarik apabila makalah asal saya di Projek Dialog juga tidak dibaca. Kalaulah dibaca, tentu kelompok kecil yang “menyalak bukit” itu akan sedar bahawa “we are barking up the wrong tree” – mereka sedang menyalak ke arah pokok yang salah. (Oh, ya! Pasti selepas ini akan dijadikan isu oleh sekelompok kecil manusia kononnya “Uthaya samakan bangsa Melayu dengan anjing” semata-mata kerana saya menggunakan peribahasa Melayu dan Inggeris pada perenggan di atas. Sekali gus terus membuktikan satu lagi hujah Sulaiman dalam bukunya.) Komen emosional, tidak rasional Kalaulah kelompok kecil manusia yang penuh emosional itu berpeluang membaca makalah asal saya, tentu mereka akan faham apa yang sebenarnya diperkatakan. Tidak perlulah saya menerangkan satu per satu di sini kerana perbuatan itu hanya akan membuktikan hakikat mengenai daya intelektual sekelompok kecil orang Melayu sebagaimana diperkatakan oleh Sulaiman. Sesiapa yang membaca makalah asal saya akan tahu (kecuali mereka memilih untuk berpura-pura tidak tahu) bahawa pandangan “kaum Melayu tidak wujud” dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. Saya memetik pandangan itu antara lain untuk menunjukkan contoh dilema dalam kalangan orang Melayu. Malangnya, sekelompok kecil manusia yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional memilih untuk hanya berpegang pada hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” yang dikemukakan oleh beberapa “serikandi Melayu” menerusi komen merapu di ruang siber. Sebagai penulis makalah dan sebahagian keluarga Projek Dialog yang mengimpikan dialog, perbahasan, hujah dan komen intelektual yang membina minda, tentulah saya berasa amat sedih kerana apa yang berlaku hanyalah komen-komen emosional yang tidak lain dan tidak bukan sekadar mengukuhkan lagi pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. (Buku Bahasa Inggeris itu masih berada dalam pasaran serta boleh dibeli dan dibaca oleh sesiapa yang benar-benar berminat. Maka tidak perlulah saya menterjemahkan keseluruhan kandungan buku itu di sini.) Salah seorang individu yang terbaca sebahagian komen-komen di ruang siber telah mengirimkan pautan kepada saya menerusi mesej peribadi di Facebook. Selepas pergi laman berkenaan dan membaca komen-komen merapu berasaskan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”, saya meluahkan rasa kecewa kepada individu berkenaan. Saya katakan bahawa rata-rata komen di pautan berkenaan hanya menguatkan hujah Sulaiman mengenai mentaliti, pemikiran dan intelektualiti sekelompok orang Melayu. Saya tegaskan juga bahawa orang yang mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” adalah Sulaiman. “Saudara telah memetik kata-kata itu dalam makalah, maka kami berhak untuk mengatakan bahawa itu adalah hujah saudara juga dan saudara pasti setuju dengan pandangan Sulaiman,” jawabnya dan saya terkedu. Sulaiman benar sekali lagi! Malah, penulis itu mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” dan bukannya “bangsa Melayu tidak wujud” atau “keturunan Melayu tidak wujud” atau “orang Melayu tidak wujud” atau “Kepulauan Melayu tidak wujud”. Menerusi makalah saya, diperkatakan mengenai dilema serta kekeliruan yang dihadapi orang Melayu, Cina dan India di Malaysia (ulang: di Malaysia) berikutan penggunaan “keturunan”, “kaum” dan “bangsa”. Tidak tahu pula di mana saya menafikan kewujudan orang Melayu. Silogisme Sulaiman ternyata benar Sulaiman memberikan beberapa contoh silogisme (syllogism) dalam bukunya. Salah satu: “The Malay is Muslim. Only Muslims go to Heaven. Therefore the Malay goes to Heaven.” Reaksi merapu yang tersebar selepas makalah saya tersiar boleh disimpulkan menerusi silogisme seperti berikut: “Sulaiman says the Malay race does not exist. Uthaya quoted Sulaiman in his article. Therefore Uthaya says the Malay race does not exist.” Kalaulah saya menafikan kewujudan orang Melayu, mengapa pula saya menulis sekian banyak makalah khusus mengenai orang Melayu? Misalnya “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013) dan “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013). Makalah “Kisah Tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menegaskan bahawa Malayu/Melayu telah wujud di Nusantara (Kepulauan Melayu) jauh sebelum kedatangan Islam. Akan tetapi, seperti yang dapat diduga, makalah itu juga menimbulkan kemarahan sekelompok kecil manusia. Semasa membaca buku tulisan Sulaiman, saya tersenyum lucu apabila beliau membandingkan kelompok “bodoh sepat” (pura-pura bodoh) dengan kelompok “bodoh sombong” (terlalu bodoh sehingga tidak sedar dirinya bodoh). Apabila membaca segala komen merapu di ruang siber mengenai makalah saya, saya terkedu memikirkan kebenaran kata-kata itu. Mujurlah rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak termasuk dalam kelompok kecil seperti yang dikritik oleh Sulaiman menerusi bukunya. Rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak akan dipengaruhi emosi dan terus melenting tanpa membaca makalah asal serta buku yang menjadi rujukan. Malangnya, dalam realiti, tidak semua orang sehebat dan sebijak rakan-rakan dan saudara-mara Melayu-Islam yang saya kenali dalam kehidupan seharian. Sebagaimana dalam mana-mana kaum, ras, etnik dan bangsa, akan tetap ada sekelompok kecil manusia yang memenuhi hampir kesemua ciri yang diketengahkan oleh Sulaiman dengan penuh berani dalam bukunya. [caption id="attachment_3358" align="alignleft" width="300"]Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber. Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber.[/caption] Satu-satunya komen agak intelektual yang sempat saya baca (sehingga makalan ini ditulis) adalah apa yang dikemukakan secara kolektif oleh suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka “The Patriot”. Terima kasih kepada seorang individu bernama Helmi Effendy yang mengirimkan pautan berkenaan. Tajuk “Melayu itu bangsa yang tidak wujud – Uthaya Sankar SB” serta pelbagai hujah tetap merupakan premis yang tersasar jauh. Akan tetapi, saya cukup gembira kerana banyak “pendedahan” yang mereka lakukan mengenai orang Melayu menerusi tulisan berkenaan dan pasti bermanfaat dalam mengatasi dilema Melayu. Dalam pada itu, saya masih optimis bahawa akan ada dialog, perbahasan dan komen intelektual dan rasional daripada khalayak pembaca pelbagai lapisan selepas membaca buku Bahasa Inggeris oleh Sulaiman. Atau sekurang-kurangnya selepas membaca dengan teliti makalah saya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami oleh semua.                 unnamed    

]]>