Hak Asasi Haiwan: Perspektif Islam

Petikan ini diambil daripada laman ‘Moments of Perfect Clarity ditulis oleh Amber Khan. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.

 
Aku pernah melihat lelabah besar dalam hidupku – banyak yang membuatkan aku lari menjerit dari bilik seperti budak kecil. Tetapi semahu aku melanyaknya dengan objek paling besar yang dapat kucari, aku teringat kisah sewaktu seekor labah-labah menyelamatkan Nabi (saw) yang kita sayangi daripada orang-orang yang cuba membunuhnya. Apabila Rasulullah (saw) dan Abu Bakar (ra) terperangkap di dalam gua sewaktu penghijrahan mereka dari Mekah ke Madinah, mereka duduk diam di dalam ruang yang gelap ini, menunggu musuh-musuh – yang, pada waktu itu, sedang menjejaki pergerakan mereka – untuk melepasi mereka. Abu Bakar (ra) sangat gembira untuk mengiringi Rasulullah dalam perjalanan yang bersejarah ini, dan beliau berbesar hati menjadi pengawal peribadi Rasulullah. Namun apabila mendengar jejak langkah musuh-musuh mereka, beliau begitu takut bahawa Rasulullah akan dicederakan. Tapi Rasulullah tidak khuatir. Malah, baginda sangat yakin, dan seolah menjawab kerisauan sahabatnya itu, Rasulullah berkata: “Janganlah berdukacita: sesungguhnya Allah bersama kita.” Allah menceritakan kisah ini dalam Surah At-Taubah, firmanNya:

“Jika kamu tidak membantunya (Nabi Muhammad) – Allah telahpun membantunya apabila kaum kafir telah mengusirnya keluar (dari Mekah) sebagai salah seorang daripada dua, ketika mereka berada di dalam gua dan dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah berdukacita; sesungguhnya Allah bersama kita. ” Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepadanya dan membantunya dengan malaikat-malaikat yang tidak kamu lihat dan menjadikan seruan orang-orang kafir terendah, manakala perkataan Allah itulah yang tertinggi. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (9:40)

Ianya seekor labah-labah, askar yang dipilih oleh Allah – dengan kehendakNya – untuk menyelamatkan mereka. Ia menjalin sesawang di mulut gua, mengelirukan musuh dan membuatkan mereka percaya bahawa tiada siapa di dalamnya – lagipun, sesawang labah-labah tersebut masih sempurna. Pastinya ia akan rosak jika sesiapa telah menembusinya? Setiap kali aku melihat lelabah, aku teringatkan kisah ini dan merasa tanggungjawab untuk melindungi mereka – seperti aku terhutang budi kepada mereka. Dan ini sesuatu yang positif, kerana Islam adalah agama yang mengharuskan penganutnya menyantuni haiwan dengan belas kasihan dan kebaikan. Malah, status tinggi haiwan dalam Islam nyata dengan fakta bahawa begitu banyak surah di dalam al-Quran yang dinamakan sempena haiwan: Al-Baqarah (Lembu); An-Nahl (Lebah); Al-Fil (Gajah); Al-An’am (Ternakan); Al-Ankabut (Lelabah); dan An-Namal (Semut). Dalam Islam, manusia mempunyai tanggungjawab moral untuk berlaku adil terhadap haiwan. Nabi memerintahkan layanan yang baik, dan banyak riwayat hadis yang menyokong ini:

“Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kebaikan kepada semua; jadi apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan cara yang baik dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Oleh itu, setiap kamu hendaklah menajamkan pisaunya dan biarlah haiwan yang disembelih itu mati dalam keadaan senang.”(Muslim)

“Jangan jadikan apa-apa yang hidup sebagai sasaran.” (Muslim)

Said b. Jubair meriwayatkan bahawa Ibnu Umar kebetulan melalui sekumpulan lelaki yang telah mengikat seekor ayam dan membusuri anak panah kearahnya. Sebaik sahaja mereka melihat Ibnu Umar, mereka lari bertempiaran daripadanya. Maka Ibnu Umar berkata: “Siapakah yang telah melakukan ini? Sesungguhnya Rasulullah telah menyumpah sesiapa yang berbuat demikian.” (Muslim)

  Al-Quran mengibaratkan manusia seperti haiwan, menerangkan bahawa mereka juga mempunyai komuniti sendiri, seperti kita:

“Dan tiada makhluk di bumi mahupun burung yang terbang dengan sayapnya kecuali [mereka] bermasyarakat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab ini. Kemudian kepada Tuhan mereka, mereka akan dihimpunkan.” (6:38)

Allah memberitahu kita bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga memuji Allah walaupun pujian ini bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia, menunjukkan bahawa persamaan di antara kita ialah tujuan penciptaan kita, iaitu menyembah Allah.

“Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi kandungannya memuji Allah. Dan tiada suatupun kecuali ia menyanjung dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham pujiannya.” (17:44)

Walaupun hadith memberitahu kita bahawa haiwan akan akhirnya bertukar menjadi debu pada hari kiamat, sebelum itu mereka akan menyelesaikan perhitungan sesama mereka. Hakikatnya, tiada ketidakadilan yang tidak akan terbalas di akhirat:

“Allah akan mengadili antara ciptaanNya, jin, manusia dan haiwan. Pada hari itu, Allah akan membenarkan haiwan yang tidak bertanduk menyelesaikan perhitungannya dengan yang bertanduk sehinggalah, apabila tiada lagi yang perlu diselesaikan, Allah akan berfirman kepada mereka, “Jadilah debu.” Pada ketika itu yang kafir akan berkata, “Kalaulah aku menjadi debu [dan bukan kafir pada hari ini]. ‘” (Disahihkan oleh al-Albaani dalam al-Silsilat al-Saheehah, no. 1966)

Oleh itu maknanya kepada kita, sebagai manusia, adalah kita mempunyai tanggungjawab untuk berlaku adil terhadap semua ciptaan Allah. Kita diberitahu bahawa kita akan dipertanggungjawabkan untuk tindakan kita pada hari kiamat. Nabi (saw) memberitahu kita berulang-kali bahawa orang yang melayani haiwan dengan hormat dan kebaikan akan diberi ganjaran, manakala orang yang melayani haiwan dengan kejam akan dihukum.

“Seorang wanita dihukum kerana menyimpan seekor kucing yang terikat sehingga ianya mati, dan (sebagai hukuman untuk kesalahan ini) dia dicampak ke neraka. Dia tidak memberinya makanan, atau minuman, dan tidak membebaskannya supaya dia boleh memakan serangga di bumi.” (Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah (saw) bersabda: “Ada seorang yang terseksa kehausan ketika perjalanannya, apabila dia terjumpa sebuah telaga. Dia turun ke dalamnya dan meminum [air] dan kemudiannya keluar, melihat seekor anjing yang mejelirkan lidahnya kerana dahaga dan memamah tanah yang lembap. Orang itu berkata: ‘Anjing ini telah menderita kehausan sama seperti aku.’ Dia turun semula ke dalam telaga, memenuhi kasutnya dengan air, mencangkamnya dalam mulut dan memanjat naik dan memberikan anjing itu minum. Maka Allah meghargai perbuatannya ini dan memaafkannya …” (Bukhari)

Dengan kehendakNya, dosa-dosa besar juga boleh dimaafkan apabila seseorang melayani ciptaan Tuhan dengan belas kasihan:

“Seorang pelacur melihat anjing yang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang terik sambil menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Dia menimba air untuknya dengan menggunakan kasutnya dan dia diampunkan (kerana perbuatan ini).” (Bukahri)

Oleh itu, kepentingan dan penekanan dalam melayani haiwan dengan empati dan kebaikan adalah terbukti. Sebagai perbandingan, zaman pra-Islam menyaksikan amalan khurafat jahiliah dan musyrikin yang melibatkan penyeksaan dan kekejaman. Rasulullah adalah perintis dari segi hak asasi haiwan semasa hayatnya, dan beberapa hadith baginda menunjukkan bagaimana kita patut melayani haiwan dalam konteks yang berbeza. Haiwan yang berkhidmat kepada manusia seharusnya diperlakukan dengan adil sebagai contoh; mereka tidak sepatutnya dalam keadaan apa sekalipun diabaikan. Semasa perjalanan dengan haiwan, Nabi Muhammad selalu menasihati yang berikut:

“Apabila kamu melalui tanah yang subur, kamu patut [berjalan dengan perlahan dan] memberi unta peluang untuk meragut rumput di kawasan tersebut. Apabila kamu melalui [tanah] gersang yang kekurangan tumbuhan, percepatkanlah langkah mereka [bagi mengelakkan unta kamu daripada lemah dan kurus kering kerana kekurangan makanan].” (Muslim)

Haiwan juga memainkan peranan penting dalam sejarah Islam, dan terdapat pelbagai kisah yang disebutkan di dalam al-Quran mengenainya, kisah Nabi Salih (as) salah satunya. Kaum Thamud – umat (bangsa) Nabi Saleh (as) – begitu angkuh dan enggan menerima bahawa Nabi mereka adalah utusan Allah.

“Mereka berkata, ‘Wahai Salih, kau di antara kami adalah seorang yang diharapkan sebelum ini. Adakah kau melarang kami menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kami? Dan sesungguhnya kami, mengenai apa yang engkau serukan, berada dalam ragu-ragu yang meresahkan. ‘”(11:62)

Selari dengan keangkuhan mereka, mereka menuntut Salih (as) memberi petanda untuk membuktikan darjatnya. Malah, mereka bukan sahaja meminta sebarang petanda, tetapi sesuatu yang lebih khusus. Mereka menunjuk kepada sebuah batu besar yang berdiri dengan sendirinya, dan mencadangkan supaya beliau memohon kepada Allah untuk mencipta seekor unta betina daripadanya. Meskipun kedegilan mereka, Salih melakukannya dengan syarat bahawa mereka akan beriman kepada Allah jika Dia menjadikan unta betina daripada batu itu. Mereka bersetuju. Salih (as) kemudiannya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah supaya menjawab permintaan mereka itu. Benarlah, batu besar tersebut bergerak dan kemudiannya pecah, dan daripadanya jelmalah seekor unta betina yang menakjubkan, yang sedang bunting dan hampir bersalin. Allah memberikan Thamud keajaiban ini untuk menguji mereka, untuk melihat samaada mereka akan taat kepada perintahNya. Salih (as) mengatakan kepada mereka:

“Dan wahai kaumku, inilah unta betina dari Allah – [dia] kepadamu satu petanda. Maka biarkanlah ia mencari makanan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan bahaya, atau kamu akan ditimpa azab kelak.” (11:64)

Unta tersebut hidup di kalangan kaum Thamud, dan tidak lama kemudian melahirkan anak. Demikiannya, beberapa di antara mereka benar-benar beriman kepada Allah kerana apa yang mereka telah saksikan, dan apa yang mereka janjikan. Namun kebanyakannya tidak, dan mereka berpakat untuk membunuh kedua-dua unta dan anaknya itu, yang menyebabkan mereka diazab hebat. Di zaman Nabi Sulaiman (as), beliau berarak dengan tenteranya apabila beliau terserempak dengan beberapa semut:

“Sehingga apabila mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut, “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu supaya kamu tidak dihancurkan Sulaiman dan tenteranya sedang mereka tidak menyedarinya. “(27:18)

Sulaiman (as) terdengar kata-kata semut itu. Allah menceritakan di dalam al-Quran:

“Maka [Sulaiman] tersenyum mendengar ucapannya, dan berkata, ‘Wahai Tuhanku, benarkan aku mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan ke atas ibu bapaku, dan untuk melakukan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam [darjat] hamba-hambaMu yang soleh.'” (27:19)

Mengagumkan bahawa ucapan seekor semut kecil juga mampu membuat Nabi Sulaiman (as) tersenyum dan merenungkan makna kehidupannya. Hari ini, satu topik kontroversi di dalam media ialah kaedah membunuh haiwan sepertimana yang disarankan Shariah (undang-undang Islam). Penyembelihan Islam telah diserang dan dikecam oleh aktivis hak asasi haiwan, kerajaan, dan orang awam sebagai kejam – tetapi setelah segala bukti-bukti yang diberikan di dalam artikel ini, ia sepatutnya jelas bahawa Islam hanya menggalakkan layanan baik terhadap haiwan. Agama ini ialah sesuatu yang telah diutuskan oleh Allah dan maka itu, ianya sempurna. Apabila difahami dengan sebenar, ianya mudah untuk melihat bahawa penyembelihan halal sebenarnya lebih berperikemanusiaan daripada kaedah yang digunakan di Barat! Rumah penyembelihan moden menggunakan pelbagai kaedah untuk memegunkan ternakan, termasuk pengejutan elektrik, pemegunan gas dan pemegunan hentakan. Kaedah ini jarang berkesan dengan serta-merta dan malangnya, haiwan tersebut hampir sentiasa menderita sebelum mati. Umat Islam tidak seharusnya, dan kebanyakannya tidak, mengambil subjek ini secara keterlaluan, dengan mencadangkan bahawa haiwan tidak sepatutnya dimakan – seperti yang dipegang oleh vegetarianisme dan veganisme. Sebaliknya, Islam mengiktiraf bahawa Allah telah memberikan manusia bumi, dan segala yang mendiaminya, supaya sumber-sumber ini dapat dinikmati sebagaimana yang dikehendaki dan diperlukan. Meskipun itu, ia tidak bermaksud bahawa kita harus menyalahgunakan planet ini, alam sekitar, atau binatang; sebaliknya ia meningkatkan tanggungjawab kita untukmenjaga apa yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Ya, kita memakan daging, namun kita melakukannya dengan cara supaya haiwan tersebut mengalami kesakitan dan trauma yang paling sedikit dalam proses ini. Kami mematuhi garis panduan ketat yang diturunkan melalui Al-Quran, dan Sunnah (cara dan kehidupan) Nabi Muhammad. Dalam kehidupan seharian, bagaimanapun, kita sebagai umat Islam perlu bertanya kepada diri sendiri samaada kita benar-benar mengikuti contoh Nabi yang dicintai. Adakah kita benar-benar mengikuti panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran? Adakah kita memainkan peranan aktif dalam memastikan bahawa haiwan, yang mana kita telah dikurniakan kelebihan ke atasnya oleh Allah, telah diperlakukan dengan cara yang Islami? Dalam era di mana ladang penganiyaan adalah norma, sedihnya, haiwan sering tertakluk kepada persekitaran yang kejam, termasuklah dikurung, kebuluran, pengabaian dan kematian. Islam, dan warisan Nabi sepatutnya terkehadapan dalam kempen untuk layanan baik dan adil terhadap haiwan. Mencontohi Nabi kita yang tersayang, kita sepatutnya menjadikan layanan terhadap ciptaan Allah satu keutamaan dalam hidup, bukannya detik pemikiran retrospektif sepintas membeli ayam hasil ladang penganiayaan dengan harga semurah mungkin. Dengan kehendak Allah, menjadikan diri kita walaupun hanya lebih sedikit prihatin terhadap hak asasi haiwan akan meraih ganjaran hebat kepada kita pada Hari yang terpenting.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa umat bertanya kepada Nabi Muhammad (saw): “Wahai Rasulullah! Adakah ganjaran buat kami yang berbakti kepada binatang?” Baginda berkata, “(Ya) Terdapat ganjaran dalam berbakti kepada apa-apa kehidupan (yang bernyawa).” (Bukhari)

]]>