Projek Dialog

Hak asasi masyarakat trans: cabaran dan harapan

Forum yang berlangsung pada hari Sabtu yang lepas adalah suatu percubaan untuk menjelaskan segala silap faham dan rungkaian percanggahan yang wujud diantara Undang-undang Syariah Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan. Forum yang merupakan anjuran Projek Dialog dan dengan kerjasama Justice for Sisters turut menerangkan bagaimana percanggahan yang terdapat di dalam undang-undang syariah itu, walaupun mampu disanggah dari sisi teknikaliti dan melalui kuasa Mahkamah Persekutuan, jelas memaparkan suatu gejala ataupun isu yang lebih besar dan menyeluruh. Secara amnya segala masalah ini menggambarkan tentang ketidakmampuan individu untuk berfikir dengan sendirinya tanpa bersandarkan suatu autoriti mutlak dan dogma, yang secara tidak langsung menghasilkan suatu kerangka pemikiran yang kedap idea dan empati. Info tentang penyalahgunaan dan penindasan kerap berlaku di dunia, walaupun setelah wujudnya UHDR (Universal Human Declaration of Rights). Stigma yang berleluasa di tanah kita memaksa golongan minoriti hidup dibelenggu ketakutan yang hanya mereka dan komuniti mereka sahaja yang mengalaminya. Kewujudan mereka ditentukan oleh tekanan prejudis keluarga dan masyarakat disekeliling mereka, dan menjalani kehidupan yang didominasi oleh rasa hampa dan kekecewaan. Relevan isu trans untuk masyarakat am Panelis yang pertama, Firdaus Husni menerangkan tentang kes yang berlaku baru-baru ini, berkenaan dengan kes tiga orang transgender Muslim yang ditangkap dibawah undang-undang Syariah Negeri Sembilan, Seksyen 66. Beliau merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan (Artikel 4(1), 5(1), 8, 9(2) dan 10) dan menerangkan dengan jelas tentang percanggahan yang berlaku dengan undang-undang syariah pada setiap negeri. Dari segi teknikaliti undang-undang, ianya jelas bercanggah dan bagi Firdaus Husni, langkah kemenangan kes ini merupakan suatu permulaan yang positif bagi pihak minoriti, dan beliau menegaskan tentang daya ini perlu dilakukan dengan konsisten dan merupakan langkah benar untuk menguatkan lagi pembelaan hak asasi setiap individu di negara kita. Kemelut undang-undang: antara sivil dan Syariah Kemudiannya forum diteruskan dengan Honey Tan yang memberi perspektif beliau mengenai cabaran yang membelenggu pihak transgender. Bagi beliau, melalui pengalamannya mengikuti kes yang sama di mahkamah, kemelut ini lebih kepada pergelutan yang mencakupi isu yang lebih besar. Ianya merupakan pergelutan diantara kelompok yang ingin memartabatkan undang-undang syariah lebih daripada undang-undang sekular. Diantara dogma yang melahirkan golongan pemaksa dan otoritatif dengan demokrasi yang bersandarkan persetujuan ramai pihak. Diantara pihak yang melaksanakan suatu tatanan yang seragam melalui penggunaan teks suci tanpa kompromi dengan pihak yang melaksanakan suatu tatanan bersendikan premis kebebasan hak individu sebagai permulaan utama. Pengalaman di pinggir Panelis seterusnya, Dorian pula menyatakan justifikasi aktivisme beliau membela pihak minoriti melalui pengalaman peribadi beliau. Dan terus terang saya nyatakan, stigma yang dialami oleh beliau sebagai seorang trans-lelaki cukup jelas untuk mengukuhkan pendirian beliau untuk menjadi seorang aktivis. Jika ingin dilihat daripada pengalaman saya sendiri sebagai seorang heteroseksual, perbualan dan prejudis yang berlegar dikalangan kelompok heteroseksual sendiri sudah cukup menjelikkan dan benar-benar memualkan. Empati yang harus dipupuk dari usia kecil seolah-olah tidak pernah wujud dan kebencian yang terkumpul di dalam benak mereka benar-benar merbahaya, dan ianya tidak langsung harus dikira melalui perlakuan fizikal seperti penggunaan keganasan, tetapi lebih kepada tanggapan dan kondisi pemikiran mereka sendiri. Dengan menggunakan pendekatan kewujudan itu sendiri, iaitu mengambil kira pengalaman kelompok minoriti sebagai fenomena pengalaman mereka, tahap empati boleh dikukuhkan dan membentuk pendirian yang lebih memihak kepada kelompok yang sentiasa ditindas. Kerangka pemikiran yang kedap empati dan idea ini juga menurut Dorian, dikuatkan lagi dengan penggambaran media utama terhadap kelompok minoriti. Ini secara tidak langsung membentuk pemikiran anak-anak muda yang penuh dengan rasa prejudis dan membenci kelompok lain yang berbeza daripada mereka, ini bukan sahaja dihadapi oleh golongan trans/homoseksual, tetapi turut dirasai oleh kelompok minoriti heteroseksual yang enggan menurut tatanan masyarakat yang telah sedia ada. Mempromosi hak asasi di kalangan Melayu Muslim Panelis terakhir, Faisal Tehrani meneruskan forum dengan memberitahu para audien bahawa apa yang harus dilakukan adalah melawan wacana relativiti budaya melalui penekanan tentang nilai kemanusiaan yang universal. Beliau dengan terus terang menyatakan bahawa prejudis yang telah lama wujud ini harus diatasi melalui cara dimana prospeknya untuk jangka masa yang lebih panjang. Bagi saya ‘kemenangan’ itu tidak akan dicapai dan ianya harus dilihat sebagai suatu titik proses yang sentiasa memerlukan pembaharuan dan berdiri diatas landasan pemikiran yang benar-benar layak untuk dikirakan sebagai kerangka pemikiran yang progresif. Dan itu bagi saya memerlukan masa yang lebih lama untuk terlaksana. Beliau mengutamakan wacana akademik dan melaluinya dapat memperluaskan wacana hak asasi. Sebagai contoh, nilai individualistik telah lama wujud di kalangan rakyat melayu pada waktu dahulu melalui ungkapan peribahasa “kita semua mati, tapi kubur masing-masing”. Nilai-nilai hak asasi harus dikuatkan lagi melalui peranan para ilmuan dan harus secara konsisten menyebarkan wacana sebagai tindak balas terhadap wacana yang membela status quo. Secara dasarnya penguatkuasaan untuk mendukung hak minoriti bukan hanya harus dikukuhkan, tetapi harus mempunyai kuasa yang cukup untuk melawan wacana yang sedia ada. Hak asasi: relatif? Sejagat?  Mungkin sahaja relativiti budaya itu adalah sesuatu yang sentiasa perlu dicanggah dengan daya nilai universal yang benar-benar ampuh, kerana terus terang dikatakan, kita semua ditindas bukan atas nama kebenaran yang mutlak, tetapi kuasa dan pengaruh yang berselindung disebalik agama dan budaya. Dan setiap perlawanan yang harus dikembangkan sekarang adalah perlawanan wacana, dan ini adalah cabaran yang paling sukar dan mengambil masa yang lama. Rakyat biasa mengambil masa beratus tahun untuk punyai kesempatan agar mereka dapat memikirkan dengan mendalam tentang status keberadaan mereka. Dunia di kala ini, dimana informasi dapat diterokai dengan sekelip mata, harus digunakan sebaiknya. Pada masa yang sama, batasan yang ada mengikut konteks negara kita (dari teori sejarah, sosiologi dan juga antropologi) harus dinyatakan dengan jelas, agar pendekatan yang dilaksanakan dapat terlangsung dengan konsisten, sesuai dengan visi jangka panjang dan bukan dengan perlaksanaan yang berlandaskan emosi yang membabi buta dan seringkali membawa padah. unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles