Hak Wanita Islam di Malaysia – Kenapa Masih Perlu Diperjuangkan?

Diskriminasi Gender – apa itu? Baru-baru ini seorang ibu tunggal berkata pada saya, dia tidak faham kenapa dalam hal harta waris, pihak berkuasa bersungguh-sungguh mahu memastikan waris lelaki dapat bahagian mereka menurut hukum Islam. Proses mengenal pasti waris lelaki pun dilakukan dan kemudiannya mereka dihubungi. Akan tetapi, dalam hal suami tidak bayar nafkah, kenapa pihak berkuasa tidak kisah pun nak menjejak waris-waris lelaki. Padahal, bukankah Islam juga telah mempertanggungjawabkan waris lelaki untuk menjaga dan membantu menafkahi ahli keluarga atau waris mereka, terutamanya ahli keluarga perempuan? Suatu soalan yang bagus. Soalan yang timbul akibat pengalaman seorang wanita yang teraniaya oleh suami dan tidak dapat pembelaan dan bantuan dari mana-mana pihak, sama ada oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Agama atau ahli keluarga terdekat. Soalan yang mungkin tidak pernah terlintas oleh ramai lelaki. Mengapa? Ia kerana lelaki bukanlah orang yang menerima kesan langsung dari diskrimasi gender. Secara amnya, lelaki malah beruntung dari sistem dan undang-undang yang sedia ada. Oleh yang demikian, orang-orang lelaki, apatah lagi yang hidup serba kecukupan dan berkedudukan seperti Dato’ Najib dan ramai tokoh agama, boleh dengan tersenyum dan ringan mulut menyoal sinis – diskriminasi apa? Undang-undang dan Pelaksanaan Pilih-pilih Jika mahu disenaraikan satu persatu, pastinya satu artikel pendek sebegini tidak cukup ruang. Maka, mari lihat beberapa contoh sahaja. Al-Qur’an banyak sekali menekankan keadilan dan keseteraan bagi lelaki dan perempuan. Banyak ayat-ayat yang memberi hak-hak pada lelaki dan juga pada perempuan. Begitu juga, banyak ayat-ayat yang menekankan kewajiban atau tanggungjawab lelaki dan juga perempuan. Akan tetapi, apa yang berlaku ialah banyak ayat-ayat tentang HAK LAKI-LAKI dan TANGGUNGJAWAB PEREMPUAN diterjemahkan menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh sistem pemerintahan negara, manakalah HAK PEREMPUAN dan TANGGUNGJAWAB LELAKI jarang sekali diterjemahkan dalam bentuk undang-undang negara. Jika ada pun, penguatkuasaannya sangat lemah sekali. Soalan yang diajukan ibu tunggal tadi adalah salah satu contohnya. Contoh penting dalam memahami diskriminasi gender.

  1. Pembahagian Harta Pusaka
Mahkamah Syariah di Malaysia begitu teliti dan terperinci sekali perkiraannya dalam memastikan waris lelaki dan waris perempuan mendapat bahagiannya mengikut lunas-lunas hukum Islam. Pembahagian harta waris tidak boleh diselesaikan selagi waris lelaki belum dijejaki hingga dapat. Secara umumnya, waris lelaki terdekat dapat lebih atas alasan mereka bertanggungjawab terhadap waris atau ahli keluarga perempuan. Namun, jika waris lelaki yang katakanlah menerima wang seratus ribu ringgit kemudiannya terus menghabiskan wang tersebut dengan membeli kereta mewah, atau bercuti atau malah berjudi, kemudiannya tidak menunaikan tanggungjawabnya dalam membantu waris perempuan, tidak ada undang-undang yang diperuntukkan untuk menghukum waris lelaki tersebut.
  1. Poligami
Jika anda mahu hutang bank beli rumah misalnya, bank akan membuat semakan dengan bank negara bagi memastikan anda tidak pernah terlambat membayar ansuran bulanan anda bagi pinjaman yang telah anda buat sebelumnya. Apatah lagi jika anda pernah diisytihar muflis, maka jangan haraplah bank akan sudi beri pinjaman. Walau rekod anda bersih, anda tetap diminta mengemukakan slip gaji bulanan atau sebarang penyata kewangan yang menunjukkan anda memang punya wang. Bank membuat segala semakan secara terperinci itu kerana TAKUT atau BIMBANG jika anda bukan seorang pembayar hutang yang baik. Namun, walaupun Al-Qur’an dengan jelas telah memberi amaran bahawa “..sekiranya kamu KHUATIR tak akan berlaku adil, maka SATU saja..” , mahkamah syariah tidak begitu kisah untuk membuat siasatan terperinci tentang ‘track record’ si suami yang mahu berpoligami. Apakah selama ini dia telah dapat memberikan nafkah, masa dan kasih sayang yang cukup untuk anak isterinya? Apakah dia seorang suami dan bapa yang penyayang dan penyabar, jujur dan tidak pernah bercakap bohong? Apakah dia seorang berfikiran matang dan sentiasa memberi pertimbangan yang adil serta mengambil kira pandangan isteri dan anak-anaknya apabila membuat keputusan dalam keluarga? Jika isteri dan anak-anak yang sedia ada pun telah mengadu bahawa suami atau bapa mereka itu jenis panas baran, suka pukul anak bini atau keras kepala, pemalas,banyak hutang dan sentiasa tak cukup duit, selalu berbohong, jarang ada rumah, maka wajarkah mahkamah meluluskan permohonannya untuk berpoligami? Bukankah sifat-sifat sedemikian sudah cukup untuk membuatkan mahkamah KHUATIR sama ada suami itu boleh berlaku adil jika dia berpoligami? Jika diluluskan permohonan poligaminya, bukankah ia saja menganiaya keluarga yang sedia ada, tetapi bakal menganiaya isteri dan anak-anak barunya nanti? Tanggungjawab mahkamah bukanlah sekadar memastikan agar lelaki itu terhindar dari berzina (alasan yang selalu diberikan untuk membenarkan lelaki kahwin lagi), tetapi tanggungjawab mahkamah adalah memastikan lelaki itu melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak berlaku zalim pada keluarganya serta memastikan isteri dan anak-anak terjamin hak-hak dan keselamatannya dan juga Sebahagian dari ayat Al-Qur’an surah An-Nisa 4:3 “…kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat…” diterjemahkan menjadi undang-undang untuk membolehkan lelaki berpoligami. Akan tetapi, sebahagian lagi dari ayat yang sama, iaitu amaran Al-Qur’an “….tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah satu saja…” tidak diterjemahkan menjadi undang-undang. Tidak ada prosedur seragam yang mewajibkan untuk menyemak dengan ketat laterbelakang dan keperibadian lelaki pemohon poligami (sepertimana bank menyemak latarbelakang kewangan pemohon pinjaman), yang mana jika timbul keraguan atau kekhuatiran terhadap keupayaan suami itu berlaku adil, maka permohonannya harus ditolak. Begitu juga, tidak ada peruntukan di dalam undang-undang untuk menghukum suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Tidak ada undang-undang yang mendenda atau memenjarakan suami yang tidak berlaku adil. Seperti dalam hal nafkah, walau pun ada peruntukan undang-undang yang boleh menghukum suami tidak bertanggungjawab, namun pelaksanaannya sangat lemah sekali. Berapa banyakkah suami tidak bertanggungjawab yang telah dipenjarakan, walaupun ada peruntukan undang-undang yang boleh memenjarakan suami yang tidak membayar nafkah pada bekas isteri dan anak-anaknya?
  1. Ketidakseragaman sistem pentadbiran Shariah
Selain undang-undang itu sendiri, sistem pentadbiran Syariah juga kurang prihatin terhadap susah-payah yang harus dilalui oleh wanita semasa menjalani kes-kes berkaitan perceraian, yang melibatkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan sebagainya. Walaupun Malaysia sudah 55 tahun Merdeka, namun sistem pentadbiran Syariah masih belum diseragamkan. Tidakkah pegawai-pegawai agama dan Syariah di setiap negeri menasihati Sultan tentang kesannya terhadap wanita apabila sistem pentadbiran Syariah di Malaysia tidak seragam? Bukankan Sultan sebagai penaung rakyat beragama Islam harus tahu betapa sukarnya para wanita Islam apabila bekas suami mereka berpindah ke negeri lain, mereka terpaksa membuka fail baru di mahkamah negeri tempat bekas suaminya itu bermastautin? Jika negeri tempat tinggal si isteri tidak mempunyai perjanjian atau persefahaman kerjasama (MoU) dengan negeri tempat tinggal baru bekas suaminya, maka hanya surat perintah mahkamah Syariah di negeri tempat tinggal bekas suaminya itu sahaja yang boleh dikuatkasakan terhadap bekas suaminya. Bayangkan seorang janda beranak lima. Sudahlah diceraikan tanpa dapat nafkah, terpaksalah pulak jadi detektif sambilan untuk menjejaki alamat tempat tinggal baru suaminya. Kemudian, terpaksa mengeluarkan wang belanja bukan saja untuk kos pengangkutan dan tempat tinggal apabila menguruskan kesnya di mahkamah negeri tempat tinggal bekas suaminya, malah terpaksa keluarkan wang untuk upahkan orang jaga anak-anaknya sepeninggalannya. Bayangkanlah lagi jika bekas suami tidak peduli untuk hadir di mahkamah. Kalau dapat hakim yang tegas, yang terus membuat keputusan berpihak pada isteri apabila suami tidak hadir mahkamah, tidak mengapalah juga. Tapi, kalau dapat hakim yang membiarkan kes bertangguh dan bertangguh, bertambah teraniayalah wanita tersebut. Tidak Sepatutnya Wanita Terus Teraniaya Atas Nama Islam Undang-undang dibuat atas anggapan bahawa lelaki memiliki segala sifat-sifat yang murni seperti bertanggungjawab, jujur, amanah, berbudi pekerti mulia, penyabar ; manakala perempuan dianggap lemah, perlu dilindungi, tidak matang akal fikirannya, emosinya tidak stabil, ingatannya tidak tajam dsb. Maka, undang-undang pun memberi banyak hak pada lelaki seperti mendapat harta waris yang lebih, hanya lelaki yang diberi hak untuk menjatuhkan talak terhadap pasangannya iaitu si isteri, hak untuk menuntut isteri agar kembali taat padanya, hak menjadi wali pada ahli keluarga perempuan. Namun realitinya, ramai juga lelaki yang tidak memiliki sifat-sifat seperti yang dibayang dan diiklankan itu. Realitinya juga ramai wanita kini yang terbukti tidak lemah, matang fikirannya, tajam ingatannya, malah ramai yang memegang jawatan tinggi dengan begitu cekap sekali. Malahan, ramai anak-anak perempuan yang lebih bertanggungjawab terhadap keluarga berbanding dengan anak laki-laki. Ramai anak-anak perempuan yang membantu ibu bapa dan adik beradiknya dari segi kewangan dan juga membela mereka. Namun, pengamal dan penggubal undang-undang Syariah Malaysia enggan mengakui realiti masyarakat yang kian berubah. Mereka gagal memahami wawasan Islam tentang gagasan Islam dalam memartabatkan wanita. Wanita tidak lagi mahu mendengar ungkapan lepas tangan “ sabar sajalah, suami kamu akan mendapat balasan di akhirat kelak..”, akan tetapi wanita Islam di Malaysia mahukan agar sistem perundangan Syariah di Malaysia memastikan agar jaminan Islam terhadap hak-hak wanita terlaksana. Wanita berhak mendapat keadilan yang sepatutnya, dan tidak terus teraniaya atas nama Islam.   ]]>