Hidupku Sebagai Ratu Drag Gay Muslim

Asifa Lahore Gambar: The Telegraph[/caption] [Terjemahan makalah “My Life as a Gay Muslim Drag Queen” terbitan The Telegraph pada 21 Ogos 2015.] Asifa Lahore seorang Muslim yang mengamalkan agamanya dan juga merupakan Ratu Drag. Inilah kisah beliau menerima kepelbagaian identitinya. Islam dan drag (budaya dan identiti pakaian silang) lazimnya tidak serasi. Namun bagi Asifa Lahore, yang minatnya terhadap pakaian wanita tercetus kerana sari glamor ibunya, kedua-dua identiti ini tidak dapat dipisahkan. Keputusannya untuk menanggalkan burka di atas pentas bukan semata-mata untuk mencetuskan kontroversi, namun satu penerokaan warisan kebudayaannya. “Drag adalah cara penzahiran setiap bahagian diriku,” kata warga selatan London yang berusia 32 tahun itu. “Aku bangga sebagai seorang British, yang mempunyai warisan Pakistan, beragama Islam dan gay. Pokoknya aku tidak mempunyai semua jawapan, dan aku tak fikir sesiapa pun mempunyai semua jawapan apabila ia tentang kehidupan seorang yang beriman dan gay. Apa yang aku tahu adalah aku gay dan Muslim dan aku tinggal di negara yang mana aku mempunyai hak untuk hidup secara terbuka. ” Memperakui Diri Sebagai Gay Muslim Lahore sedar bahawa beliau adalah gay sejak dari kecil namun dibesarkan dalam keluarga Islam yang tradisional, dan kerana menyedari konflik antara agama dan seksualiti beliau, beliau berdiam diri hinggalah beliau berusia 23 tahun. Apabila beliau akhirnya memberitahu ibu bapanya bahawa beliau adalah gay, tindak balas pertama mereka adalah membawanya kepada doktor. Apabila doktor berkata, tiada apa yang boleh diubati, Lahore telah dibawa ke masjid, untuk bercakap dengan Imam beliau. Beliau disuruh memilih antara berkahwin dengan wanita atau kehidupan membujang yang dipenuhi ibadat. “Konsep kehidupan sebagai gay tidak wujud dalam budaya Islam,” katanya. “Mereka menganggap bahawa jika aku mempunyai hubungan dengan wanita, segala-galanya akan baik dan kecenderungan heteroseksual aku akan tiba-tiba tercetus. Ia waktu yang sangat gelap dalam hidupku.” Lahore dipaksa bertunang dengan sepupunya di Pakistan namun setelah enam bulan, apabila beliau menjalani kaunseling dan mencari sokongan daripada badan-badan amal LGBT, beliau akhirnya menamatkan hubungan tersebut. “Aku hanya bertegas dan mengatakan, ‘tidak’. Aku tidak boleh merosakkan kehidupan seorang wanita seperti itu. Sebenarnya, jika aku mahu berkahwin, aku ingin berkahwin dengan lelaki.” Pengertian makna diri yang kuat ini telah membentuk kehidupan Lahore sejak remaja lagi. Walaupun ibu bapanya meinginkan beliau menjadi seorang saintis atau doktor, beliau telah diterima ke sekolah seni persembahan BRIT, dan ketika itu berumur 16 tahun, telah meyakini ibu bapa beliau untuk membenarkannya menuntut di sana. Dalam sedekad kemudian, Lahore menggunakan nekad yang sama untuk berhujah dengan Imam beliau tentang kehidupan pembujangan. “Apa yang patut aku lakukan? Hanya ke tempat kerja, pulang ke rumah dan menjalani kehidupan yang tidak memuaskan dalam kesedihan dan kesunyian? Aku tak fikir Tuhan mencipta aku ke dunia untuk begitu,” katanya kepada pemimpin agama itu. “Aku seorang Muslim dan banyak dalam agama ini yang aku sukakan, tapi aku tak begitu terperosok hingga ingin mengorbankan hidupku untuknya.” Tak disangkakan, Lahore berkata, “Imam tersebut memahami sudut pandanganku akhirnya. Dia berkata, ‘Dengarlah, asalkan kau mendiamkannya dan tidak menggalakkan homoseksual, ia tidak mengapa. Asalkan ia tertutup dan jangan beritahu sesiapa, kamu tidak akan membawa malu kepada masyarakat, ibu bapa dan agama.’” Ibu Lahore semakin menerima homoseksualiti anaknya; apabila Lahore berumur 26 tahun, ibu beliau menghadiri majlis perkahwinan sivil kepada pasangan beliau. Bapanya kurang terbuka dan mereka mempunyai hubungan yang tegang dan formal. Burqa Drag Ancaman Bunuh & Penentangan: Drag Sebagai Peraian Lahore menceburi drag semasa berumur 27 tahun, apabila seorang penari menarik diri dari sebuah persembahan amal di saat akhir, dan Lahore menawarkan dirinya ke pentas untuk menggantikannya. Ia bermula sebagai jenaka, namun Lahore serta-merta menyedari dirinya serasi dengan peranan tersebut. “Ia membolehkan aku kembali ke masa silam apabila, semasa kecil, aku melihat ibuku bersiap sedia memakai sari glamor beliau,” katanya. “Pada waktu itu, aku merasakan aku telah banyak mencapai cita-cita. Aku telah memperakui diri sebenarku kepada ibu bapa, mempunyai pasangan sivil, dan menjalani kehidupan yang benar-benar bahagia. Drag itu satu peraian buat aku.” Lahore telah menyertai Idola Drag dan memenangi pingat gangsa pada tahun 2011. Beliau semakin lantang tentang kehidupannya sebagai seorang Muslim gay, dan telah mengambil bahagian dalam perbahasan Ucapan Bebas BBC dan dokumentari The Guardian tentang ratu drag Muslim. Lahore menerima kira-kira lima ancaman bunuh setiap tahun, dengan perincian di mana tempat tinggalnya dan tekad untuk “mendiamkan ibu bapa” jika beliau terus melakukan persembahan. Lahore sentiasa berhati-hati apabila bergerak sendirian, namun memaksa dirinya untuk tidak terlalu memikirkan ancaman tersebut. “Kalau aku asyik berfikir tentang hal ini, aku akan terperangkap dalam kegelapan,” katanya. Muslim yang lebih berumur mengutuk sekerasnya kehidupan Lahore sebagai seorang ratu drag, namun beliau mengatakan generasi Islam yang muda – yang beliau gelarkan sebagai “generasi Zayn Malik” – lebih memberi sokongan. Beliau mempunyai pengikut wanita Muslim yang ramai di media sosial yang berminat dengan kehidupan glamor dan solekan drag. Sementara itu, penonton bukan Islam sering tidak pasti bagaimana untuk reaksi apabila Lahore ke pentas memakai burka, dan menanggalkannya untuk mendedahkan sari, dan akhirnya skirt mini. “Separuh penonton seperti, ‘Adakah ini menghina? ‘, manakala separuh lagi seperti,’Ini menakjubkan, ia menyentuh tentang hal semasa apa yang sedang berlaku di Britain sekarang’,” katanya. “Wujudnya warga Britain yang hidup dengan pelbagai identiti dan saya adalah contohnya. Saya ingin mengutarakan idea tersebut dalam persembahan. ” Ibu Lahore pernah menghadiri persembahan beliau dan “benar-benar menyukainya.” “Pada mulanya, para penonton gay kagum melihat seorang wanita Islam yang bertudung ini,” kata Lahore. “Mereka tidak tahu sama ada untuk melihat persembahan tersebut atau ibu saya. Pada akhirnya beliau bersama-sama menari dengan orang ramai.” Islam Homosexuality Mendamaikan Islam dan Homoseksualiti Lahore tidak menolak Islam apabila beliau memeluk budaya drag. Beliau seorang Muslim yang mengamalkan agamanya dan mendapat kebahagiaan dari agamanya. “Aku mengamalkan kelima-lima rukun Islam, dan ia sangat sesuai dengan kehidupan seharianku,” katanya. “Aku penyokong tegar perkahwinan gay bukan kerana aku gay, namun kerana aku seorang Muslim. Terdapat banyak unsur-unsur konservatif dalam diriku dan perkahwinan adalah salah satu daripadanya.” Lahore mempercayai perkahwinan adalah prinsip penting dalam masyarakat dan menghargai penekanan Islam tentang keluarga. Al-Quran mengandungi cerita Bible Sodom & Gomorrah, namun Lahore mengatakan bahawa homofobia yang lazim di kalangan masyarakat Islam adalah disebabkan oleh budaya dan bukan doktrin agama. “Aku rasa ia akhirnya jatuh kepada penafsiran, dan Islam sangat samar tentang kecamannya terhadap homoseksual,” katanya. Pada masa ini, ramai gay Islam yang bersembunyi untuk mengelakkan kecaman masyarakat, dan komuniti gay Asia (atau “gaysian”) adalah satu rahsia bawah tanah. “Perkataan ‘gaysian’ hampir seperti kata laluan,” kata Lahore. “Jika anda seorang gaysian maka anda akan mengenali gaysian lain, dan anda akan menjadi sebahagian daripada komuniti mereka.” Lahore adalah salah seorang  daripada sebilangan kecil lelaki-lelaki di kelab gaysian yang terbuka tentang seksualitinya dalam kehidupan seharian beliau. Ramai lelaki Muslim hanya akan mendedahkan seksualiti mereka dalam batasan kelab. “Lima jam di dalam kelab ini satu-satunya masa setiap bulan apabila mereka boleh menjadi diri mereka sendiri,” kata Lahore. “Dan mereka benar-benar menggunakannya. Kelab ini menjadi letusan seksualiti, warna, muzik, tarian. Mereka benar-benar hidup untuk lima jam ini. ” Lahore menyedari bahawa beliau bernasib baik, dan tidak semua orang mampu begitu berani. Beliau berharap masyarakat gaysian akan menjadi arus perdana pada dekad yang akan datang, dan mengatakan bahawa beliau akan terus bersuara dan bertindak sebagai wajah umum untuk Muslim homoseksual. “Rasanya sebab aku dihormati adalah kerana aku dapat berdikari sebagai seorang ratu drag Muslim,” katanya. “Aku tahu aku siapa dan aku kuat pendirian identiti. Aku tidak akan goyah.”

]]>