Impak sosial setelah banjir di Kelantan

Pendahuluan Untuk sekian kali Malaysia mengalami banjir besar yang merugikan. Kehadiran dan kekerapan hujan di Malaysia yang terletak di Zon Equatorial bukanlah sesuatu yang luar biasa. Angin Monsun Timur Laut membawa hujan yang lebat ke negeri-negeri di Pantai Timur dan juga ke Sabah dan Sarawak. Seperti sebelumnya, hujan ini akan turun dengan lebat beberapa hari secara berterusan lantas mengakibatkan banjir seperti bah besar yang berlaku pada tahun 1967, dan 1971. Di dalam catatan sejarah banjir besar kerap berlaku di negara ini, antara lain pada tahun 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971. Bah besar pada tahun 1926 dan 1971 dikatakan berlaku oleh ‘kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak’. Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini. Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini. Dakwaan ini sejajar dengan ingatan sarjana dan ahli akademik seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Tuan Pah Rokiah Syed Hussain dari Universiti Utara Malaysia dalam makalah beliau berjudul  ‘Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan’[1] dan juga kertas bertajuk ‘Pembangunan Dataran Banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran’ oleh Mariney Mohd Yusoff, pensyarah kanan Geografi dari Universiti Malaya [2]. Jika kedua-dua pengkaji tersebut membincangkan kepincangan pembangunan di Kelantan, hal yang sama turut dikesani oleh kumpulan penyelidik diketuai Muhammad Barzani Gasim dari Universiti Kebangsaan Malaysia apabila mereka mengaitkan banjir yang berlaku antara 17 Disember sehingga 19 Disember 2006 di Segamat Johor dengan perubahan guna tanah yang berleluasa dan tanpa pemantauan: Berlakunya banjir ini besar kemungkinan berkaitan dengan kesan perubahan guna tanah, keadaan sistem saliran yang tidak terpelihara disamping keadaan iklim. Oleh yang demikian, dicadangkan pengekalan hutan simpan, kawal perubahan guna tanah, penaiktarafan sistem saliran, elak pembangunan di kawasan rendah patut dipertimbangkan oleh pihak penguat kuasa di Johor [3]. Perenggan di atas mengesahkan bahawa faktor hujan sahaja tidak boleh dijadikan alasan kepada berlakunya banjir besar di Malaysia. Adalah jelas korupsi menyumbang kepada bencana di negara ini. Walaubagaimanapun, artikel ini tidak akan membincangkan persoalan pembangunan pincang dan korupsi sebaliknya akan melihat impak sosial yang berlaku selepas sesuatu bencana besar, dalam konteks ini banjir besar 2014 di Kelantan. Impak sosial Impak sosial yang dimaksudkan dalam artikel ini melibatkan empat aspek iaitu pertama, psikososial; kedua, sosiodemografik; ketiga, sosio-ekonomi dan keempat, sosio-politikal. Untuk mengukur impak sosial, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan memberi perhatian kepada ratio-impak iaitu dengan formula – amaun kerosakan dibahagi dengan amaun sumber asas komuniti (community resources)[4] – supaya impak bencana itu dapat dinilai terlebih dahulu. Hanya dengan melengkapkan langkah pertama ini barulah aspek-aspek yang melibatkan impak sosial iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal dapat dikenal pasti dan dijangkakan. Artikel ini hanyalah satu pengamatan awal dan masih belum dirapi atau dirumus dengan kutipan data. Walaubagaimanapun ia dapat menjadi panduan kepada penyelidik kemudiannya untuk melakukan kajian impak sosial bencana 2014 tersebut. Sebelum makalah ini memanjangkan topik perbincangan yang dinyatakan di atas, adalah penting untuk kita membezakan antara musibah dan bencana. Enrico L. (Henry) Quarantelli, dari Disaster Research Center University of Delaware selaku seorang sosiologis yang banyak mengkaji kesan bencana, menyatakan terdapat perbezaan yang besar antara musibah dan bencana. Beliau memberikan enam perbezaan untuk menjelaskan apakah itu bencana. Bencana terjadi apabila, pertamanya struktur masyarakat terkesan dengan amat mendalam. Ini termasuklah pusat perlindungan, organisasi bantuan kecemasan dan hospital sendiri gagal berfungsi ketika bencana berlaku. Kedua, ketika bencana sedang terjadi, pihak berkuasa tempatan gagal melakukan tugas membantu dan bantuan kecemasan hanya dapat disalurkan ketika proses pemulihan iaitu sesudah bencana mereda. Ketiga, bantuan dari masyarakat terdekat (dalam hal ini dari luar Kelantan) gagal dikejarkan ke tempat terjadinya bencana secara serta-merta. Seterusnya, keempat, kita mengetahui ia bukan musibah tetapi adalah bencana apabila fungsi masyarakat jatuh mendadak dan terganggu untuk satu tempoh yang panjang. Dalam hal ini masyarakat akan sama sekali gagal untuk kembali ke situasi asal seperti persekolahan, perniagaan, perkebunan dan lain-lain dalam tempoh singkat. Ini bermakna ahli masyarakat akan disibukkan oleh pengurusan pasca bencana sebelum dapat kembali normal. Selain itu ketika terjadinya bencana, kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan komunikasi terputus menandakan fungsi masyarakat terjejas secara menyeluruh. Kelima, sesebuah bencana akan mendapat liputan meluas media massa termasuk di peringkat antarabangsa. Lebih besar sesebuah bencana itu maka lebih besar liputannya di media massa antarabangsa. Dalam hal ini, oleh kerana Perdana Menteri, Najib Tun Razak pulang agak lambat kerana diketahui bermain golf dengan Presiden Obama di Hawaii, bencana besar di Kelantan tersebut telah mendapat perhatian media massa internasional sehingga ia bukan lagi dapat dianggap suatu musibah biasa. Keenam, menurut Quarantelli, sebaik sesuatu bencana berlaku kebiasaannya pemimpin politik paling atas akan turun padang. Besar atau kecil bencana itu dapat diukur apabila masyarakat tidak mengendahkan kehadiran pemimpin politik tersebut malah mereka dikecam atau dikritik samada secara berdepan, atau di belakang. Dalam erti kata lain, simbol kehadiran mereka sebagai satu ‘lambang pembujukan tokoh politik’ tidak lagi dianggap mustahak atau relevan oleh masyarakat memandangkan mereka sedang menempuh penderitaan dan kesengsaraan yang jauh lebih besar [5]. Berdasarkan definisi dan pandangan Quarantelli di atas, adalah jelas banjir besar yang berlaku di Pantai Timur, khususnya Kelantan bukan suatu musibah biasa (disaster) malah sebetulnya adalah catastrophe atau dalam bahasa Melayunya bencana (malapetaka). Hal ini perlu difahami dengan jelas agar kita memahami pula impak sosial yang terjadi akibat bencana ini. Ini adalah kerana impak sosial sesuatu musibah dapat dianggap relatifnya  kecil berbanding impak sosial sesebuah bencana. Impak sosial sesebuah bencana jika tidak ditangani dan segera diberi pengurusan dan solusi utuh bakal mengakibatkan keruntuhan masyarakat secara meluas dan menimbulkan kacau bilau sosial dalam negara secara jangka panjangnya. Oleh kerana Malaysia jarang berdepan dengan bencana sebesar ini, pengabaian impak sosial bencana boleh memberi kesan negatif serba-serbi di masa mendatang. Psikososial   Salah satu impak sosial yang mesti dititik-beratkan secara jangka panjang ialah kesihatan mental mangsa, atau mereka yang terbabit menempuh bencana besar seperti banjir ini. Terdapat banyak kajian yang menekankan bahawa bencana boleh memberi kesan psikososial yang amat buruk: Psychosocial impacts incliude emotional signs such as anxiety, depression, and grief, as well as behavioral effects such as sleep and appetite changes, ritualistic behavior, and substance abuse [6]. Michael K. Lindell, dan Carla S. Prater dalam makalah tulisan mereka ‘Assessing Community Impacts of Natural Disasters’ menyatakan pengabaian aspek ini mendatangkan kesan bahaya dan mudarat kepada masyarakat jika tidak segera dirancang. Mereka menekankan supaya hal ini tidak dipandang enteng. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab dari segi hak asasi warganya hendaklah mengambil kira aspek psikososial ini, iaitu sesudah bantuan kebendaan seperti tempat kediaman, makanan, perubatan dan sara hidup ditangani dan disalur dengan baik. Dalam erti kata lain, sebaik sahaja kediaman yang musnah dibina semula, dan bantuan sara hidup untuk memulakan kehidupan diberikan serta diagih dengan adil sesama populasi yang terbabit, kerajaan perlu pula mengatasi kesan psikososial supaya mangsa bencana dapat meredakan, mengurangkan dan mengawal kesan trauma, gangguan fikiran dan tingkah-laku mereka. Ini amat penting kerana jumlah mereka yang mengalami kesakitan dan kekacauan mental akibat bencana besar boleh mengancam keamanan masyarakat kemudiannya, iaitu satu aspek jangka panjang yang kurang diberi perhatian serius oleh negara-negara membangun. Oleh kerana Malaysia masih berhasrat untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, maka perhatian harus diberikan kepada aspek ini. Sosiodemografik Bahagian paling menyakitkan dari kesan sesebuah bencana ialah urusan penempatan dan kediaman semula atau baharu, bagi mangsa banjir. Enrico L. Henry Quarantelli, menyatakan mangsa akan menempuh empat tahap kediaman. Quarantelli mengkaji proses yang dialami oleh mangsa taufan Katrina di Amerika Syarikat menjelaskan bahagian paling getir dari empat tahap kediaman tersebut adalah tahap ketiga dan keempat. Empat tahap yang dimaksudkan adalah, pertama ialah kediaman di pusat kecemasan iaitu sebaik sahaja mereka berjaya diselamatkan dari malapetaka yang terjadi. Kedua, ialah pusat perlindungan sementara di mana bekalan makanan, bermalam dan keperluan asas akan diberikan. Perlindungan sementara ini termasuklah bantuan penginapan yang diberikan oleh sanak saudara, jiran tetangga atau ahli komuniti. Tahap ketiga ialah mangsa akan membina semula penempatan atau kediaman samada di tempat asal atau di lokasi baharu yang  kurang mereka sukai dan tidak selesa, ini termasuklah struktur kediaman yang tidak lagi mereka kenali. Seterusnya tahap keempat ialah kediaman tetap yang mana mereka mulai berusaha menerima hakikat kehidupan di lokasi baharu yang tidak mereka pilih dan putuskan sebelumnya [7]. Bencana alam: perang kelas Hakikatnya adalah ahli masyarakat yang memiliki pendapatan rendah akan mengalami kesulitan untuk membangunkan semula penempatan mereka dan biasanya akan menderita sepanjang proses tahap ketiga dan keempat di atas. Dalam kerangka hak asasi manusia, kerajaan yang memerintah wajib memberi bantuan penuh untuk golongan ini demi membangunkan semula kediaman mereka supaya masalah lain seperti warga tanpa kediaman (gelandangan), masalah pelarian dan jangkaan negatif sosial tidak berlaku. Artikel 25 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) menyatakan setiap manusia berhak dan diberi jaminan untuk kediaman yang asas; ‘Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control’. Dalam hal ini penempatan sesudah bencana menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berwajib. Sosio-ekonomi Kesan yang paling dirasai selepas berlakunya bencana adalah sosio-ekonomi di mana kehilangan aset merupakan bahagian impak yang paling besar serta boleh dinilaikan. Terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti mana kita membaca di laman sosial atau akhbar bagaimana meluasnya ahli masyarakat kehilangan kenderaan, harta benda dan barangan saraan hidup. Kehilangan aset ini adalah satu kejatuhan dalam kualiti hidup, atau kemelesetan serius dari pelaburan. Meskipun terdapat aset gantian hasil derma atau dibeli kemudiannya, ia tidak dapat menggantikan kehilangan aset sebelum di mana ia akan ditanggap sebagai kerugian. Hal ini menjadi lebih sengit untuk ahli masyarakat yang tidak mempunyai insuran yang mana akibat dari itu, kehidupan mereka sama sekali tidak ada jaminan dan proses membina semula apa yang telah hilang akan menjadi satu hambatan dan dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan mental dan juga kebergantungan [8]. Sekali lagi peranan kerajaan diperlukan untuk membantu komuniti yang telah lumpuh akibat dari bencana ini. Pihak kerajaan bukan sahaja perlu menetapkan saraan sementara ahli masyarakat mampu berdikari, kerajaan juga perlu mengambil alih tanggungjawab dengan menggantikan semula aset yang telah hilang tersebut. Secara mudahnya, seorang ahli masyarakat yang pendapatannya rendah memerlukan kenderaan ganti supaya mereka dapat kembali berfungsi dan bekerja. Tanpa bantuan ini, masyarakat akan mengalami kejatuhan nilai dan kualiti hidup seterusnya menyebabkan kemelaratan yang lebih meluas. Apabila ini berlaku kesetaraan ekonomi tidak akan dicapai dan jurang ekonomi akan lebih melebar sehingga mengakibatkan ketidakadilan semakin runcing. Sosio-Politikal Tempoh pemulihan dari bencana kebiasaannya akan terisi dengan konflik. Ini berlaku kerana trauma masyarakat oleh bencana masih kental. Ahli masyarakat kini perlu membangunkan semula kediaman dan sengketa selalunya berlaku akibat dari perubahan ini. Konflik ini dapat diredakan sekiranya masyatakat memang mempunyai ‘universalistic culture’ berbanding ‘personalistic culture’. Dalam hal ini, masyarakat Jepun sebagai contoh memiliki budaya kesetiakawanan yang kuat serta membolehkan mereka membangunkan bersama masyarakat semula seraya mengelakkan konflik. Walaubagaimanapun dalam masyarakat yang telah terasuh oleh budaya personalistik, terdapat kehendak untuk mendirikan agenda masing-masing yang cenderung mengakibatkan perbalahan. Selain itu akan terdapat perubahan tingkah laku politik di mana pemain politik akan menjadi lebih agresif untuk mendapatkan perhatian warga yang terlibat dan selalunya mengakibatkan perseteruan politik yang lebih sengit. Keadaan ini akan menjadi lebih tidak teratur apabila ahli politik tempatan mencelah dan memburukkan suasana [9]. Dakwaan di laman sosial bahawa bantuan makanan dan pakaian tidak seimbang dan diberi secara pilih kasih, selain agihan makanan dengan logo parti atau wajah ahli poltiik tertentu mengisyaratkan terdapatnya masalah sosio-politikal yang sudah segera membengkak sebaik sahaja bencana ini mulai reda. Jika hal ini gagal dihindar, atau paling tidak dikawal dengan sempurna, kesan yang lebih besar boleh berlaku malah terdapat sesetengah ahli sosiologi meramalkan keganasan atau terorisme. Ia boleh mengambil tempat dalam kalangan masyarakat memandangkan ahli masyarakat kini tidak lagi toleran dan moderat akibat keperluan untuk mempertahankan agenda peribadi masing-masing, baik di peringkat kejiranan mahupun di peringkat yang lebih tinggi iaitu politik kenegerian, dan akhirnya mewabak ke peringkat kebangsaan. Rumusan Apa yang berlaku di Kelantan pada Disember tahun 2014 adalah satu bencana besar yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Banjir tersebut berlaku kerana pembangunan tidak seimbang selain faktor cuaca. Artikel ini cuba memberikan pengamatan awal terhadap impak sosial yang perlu ditimbang, diakses dan dinilai dengan segera supaya masyarakat kekal sejahtera. Empat aspek iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal harus ditangani dengan segera. Dalam bidang hak asasi manusia, tugas dan peranan untuk membangunkan masyarakat serta membantu ahli komuniti dari empat impak sosial di atas terletak, tergantung dan tergalas di bahu pemerintah. Adalah penting pihak kerajaan menyedari hak-hak asasi warga yang terkesan oleh bencana ini dengan memberi atau melunaskan hak-hak mereka demi mengelakkan ketidakstabilan dan kepincangan jangka panjang dalam masyarakat. Sebarang pengabaian bakal mengakibatkan malapetaka yang lebih serius, kali ini yang dimaksudkan adalah malapetaka atau bencana sosial. Rujukan [1] Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Hamidi Ismail. 2011. “Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan.” Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia ke VI (1): 377-388. [2] Mariney Mohd Yusoff, Goh Hong Ching, Tengku Adeline Adura Tengku Hamzah, Nureni Kase & Nik Juliana Alias. (2011) “Pembangunan Dataran banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran.” Prosiding Persidangan kebangsaan Masyarakat, Ruang dan alam Sekitar MATRA. 265-280. [3] Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Mazlin Mokhtar, Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Sahibin Abd. Rahim & Chong Huei Bee. (2010) “Analisis Banjir Disember 2006: Tumpuan di Kawasan Bandar Segamat, Johor.” Sains Malaysiana 39(3)(2010): 353–361. [4] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. (2003) “Assessing Community Impacts of Natural Disasters.” Natural Hazards Review. November: 176-185. [5] E.L. Quarantelli. (2006) Catastrophes are Different from Disasters: Some Implications for Crisis Planning and Managing Drawn from Katrina. Disaster Research Center (DRC) at the University of Delaware. Diakses di http://understandingkatrina.ssrc.org/Quarantelli/ [6] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178. [7] Enrico L. Henry Quarantelli. (1991) Preliminary Paper 170: Sheltering and Housing After Major Community Disasters: Case Studies and General Conclusions. University of Delaware Disaster Research Centre. [8] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178. [9] Ibid. Hlm. 180. unnamed

]]>